Friday, August 26, 2011

Apa Yang Berlaku Itu Kerana Diri Kita Sendiri

Bila kita ada masalah, biasanya kita cenderung melihat apa punca luar yang menyebabkan sesuatu berlaku. Jarang kita muhasabah, mengapa sesuatu berlaku atas alasan kesilapan diri sendiri.

Asasnya mudah. Setiap dari kita, hambaNya Yang Maha Esa akan dipertanggungjawabkan atas setiap apa yang kita pimpin - termasuklah diri sendiri.

Dan balasan Allah itu tak semestinya sama dengan buruk yang kita lakukan. Kekadang ia datang dalam zahir yang berbeza tapi dengan nilai dan maksud yang sama, supaya kita berfikir. Ini yang selalu kita lupa dan leka.

Kalau di jalanraya, kita berhenti untuk membantu memberi laluan kepada kereta dari haluan lain. Bila tiba giliran kita menunggu lama untuk masuk ke simpang, dan ada kereta lain yang memberi laluan pada kita, adakah itu kereta yang sama dengan kereta yang kita bantu tadi?

Kita banyak bersedeqah pada faqir dan miskin yang mengemis di tepi jalanan. Sebagai ganjaran zahir, adakah nanti akan ada orang memberi kita sedeqah di tepi jalan sebagaimana kita memberi pada orang? Tak mungkin? Mana tahu Allah sediakan ganjaran biasiswa untuk belajar kepada anak kita. Mana tahu juga ALlah balas dengan kenaikan pangkat untuk kita.

Melihat dari perspektif lain, isu jumlah gereja dan kuil yang semakin bertambah. Adakah kerana kita merobohkan masjid-masjid sedia ada dan Allah membalas kepada qaryah di sesebuah kawasan itu dengan menambahkan jumlah gereja dan kuil? Tak pula kita lihat masjid-masjid dirobohkan dan digantikan dengan gereja dan kuil ataupun tokong. Tapi Allah hendak hambaNya berfikir. Kerana kita punya masjid yang besar, kita ada masjid yang cantik, tapi tidak diimarahkan oleh masyarakat setempat. Setiap waktu solat cuma satu saf sahaja. Jemaahnya tidak ada. Oleh itu Allah balas dengan ketidakstabilan politik, masalah ekonomi, kebergantungan pada kemajuan negara luar, masalah sosial dan jenayah, isu murtad, dan macam-macam lagi. Kerana kita tidak meneliti apa yang dituntut oleh Allah dan RasulNya. Kita tidak muhasabah diri, mencari kekurangan diri yang menjadi punca sesuatu masalah berlaku. Kita cenderung melihat faktor luar yang kononnya mempengaruhi setiap masalah. Akhirnya gaya hidup Islam cuba hebat dicanang di bibir kita sahaja.

Wallahua'lam...

Thursday, August 25, 2011

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri

Semakin kita menghampiri penghujung Ramadhan, semakin kita dihangatkan dengan kemeriahan Aidilfitri.

Apapun perayaan ini tak akan bermakna jika apa yang kita latih dan bentukkan semasa Ramadhan terus luput bersama dengan takbir pagi Aidilfitri.

Biarlah apa yang telah kita bina, kita teruskan dengan istiqamah.

Aidilfitri bukan hanya medan bermaaf-maafan tapi juga ruang untuk terus menguji diri, sejauh mana kita memahami dan menghayati kehebatan tarbiyyah Ramadhan.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Wassalam...

Tuesday, August 23, 2011

Kena Tipu Penjual atau Kita Membeli Membuta-Tuli?

Ada tercatat pada laptop tu, saiz HardDisk 500GB. Bila balik, semak semula dalam properties cuma bersaiz 320GB.

Banyak kurangnya tu.

Itu kisah pembeli terkena dengan peniaga. Tak tahulah adakah peniaga tak sengaja atau sengaja. Menipu harga atau apa pun aku tak pasti.

Sebab itu aku pernah berjumpa ikan keli goreng sambal RM5 seekor, murtabak RM4 sekeping, air kelapa RM3.50 sebungkus kecil. Ini sebab kenaikan kos bahan mentah atau memang sengaja dinaikkan peniaga, tak tahulah. Yang pastinya kalau aku ke kawasan bukan bandar-bandar besar, rendah pula harganya berbanding di sekitar kawasan rumah aku.

Itu kisah liciknya orang berniaga. Jarang aku dengar kisah bijaknya orang yang membeli.

Bagaimana Pemahaman Kita?

Pemahaman manusia ini berbeza-beza. Keterbukaan kita terhad dan terbatas dengan penerimaan kita terhadap sesuatu keadaan, ilmu kita, dan tahap kita memahami sesuatu dengan lebih jauh.

Contoh paling mudah, ada orang melihat pokok itu satu dirian dengan daun. Ada pula orang melihat pokok dengan tempat untuk sarang burung dan tempat serangga belindung. Advance lagi, sebut pokok teringat oksigen dan jualan balak. Ada pula orang melihat kereta sebagai satu objek berenjin membawa kita dari satu point ke point lain. Ada juga yang lihat kereta sebagai kenderaan yang boleh lindungi pengguna dari hujan. Bagaimana pula orang melihat bulan Ramadhan? Bulan yang sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga? Atau lebih dari bulan melatih diri dan aqidah?

Aku tak tahu adakah ini teori sebenar tentang pemikiran manusia, tapi ini kesimpulan yang aku dapat selepas sebulan lebih bertugas dan dua minggu melapor diri secara rasmi. Resam politik dalam pejabat benar-benar membuatkan aku penat. Mana yang patut aku ikut? Mana yang patut tuju?

Itu baru rakan sekerja. Belum lagi permasalahan dengan kawan-kawan.

Ada orang berkongsi pada aku, elok aku berdiri sendiri dengan paksi yang aku sendiri yakini. Sebab pada titik akhir itu, aku akan dipertanggungjawabkan atas semua benda yang aku lakukan. Samada berat atau ringan tanggungjawab itu, aku sendiri yang akan rasa. Sama juga dengan balasan di dunia sana.

Jadi elok kita sama-sama mencari paksi itu dan berdiri sendiri. Cuma jangan kita tersalah paksi.

Tuesday, August 16, 2011

Apa Kata Orang Lama?

Ada orang lama cakap begini:

"Dulu di zaman aku, kami seronok bermain di tali air. Airnya masih bersih, ikannya boleh ditangkap dengan tangan. Bukan macam sekarang."

"Kalau aku dan kawan-kawan aku dulu boleh sudahkan PhD dalam masa 4 tahun, kenapa tak boleh orang-orang sekarang siapkan dalam masa yang sama? Patutnya boleh lebih cepat lagi sebab sekarang dah ada internet."

"Aku ingat lagi dulu bekerja tak macam sekarang. Bosnya baik-baik aja. Sekarang bos orang muda, baru naik dah berlagak. Mintak itu ini. Tak dihormatnya orang berpengalaman macam aku ni."

"Masa aku kecik-kecik dulu, puasa seronok. Tak panas macam sekarang. Sejuk aja. Waktu maghrib rasa hening dan selesa. Sekarang malam pun berpeluh."

Aduhai orang lama. Itu dahulu dan bukan sekarang. Zaman berubah dan cabaran juga bertambah. Kalau dulu orang susah mencari maklumat, sekarang orang sibuk nak mengesahkan ketulenan lambakan maklumat. Kalau dulu orang berkerjaya sibuknya tak seberapa, dek kerana persaingan global orang sekarang sibuknya bagai nak gila. Dulu cuacanya baik-baik aja sebab pencemaran kurang. Sekarang panas sebab asap yang dilepaskan sejak dari zaman orang dahulu terkumpul sampai sekarang. Dulu senang nak cari ikan di tali air, sekarang dah habis dek kerakusan guna tanah.

Orang dahulu, terima kasih kerana berkongsi cerita. Terima kasih kerana tak lokek pengalaman lama. Cuma cabaran berbeza mengikut masa. Perbandingan itu boleh cuma janganlah seperti diperlekeh generasi X dan Y. Ikutkan cerita, susah orang sekarang, panas zaman sekarang, tingginya cabaran zaman sekarang dek kerana orang dulu yang tak begitu menyumbang untuk orang sekarang.

Alhamdulillah, mujur hanya segelintir sahaja orang lama yang sebegitu.

Tuesday, August 9, 2011

Mengajak Diri Sendiri

Hampir 2 bulan aku di tanah air, cuba aku praktikkan apa yang aku belajar dan aku kongsikan dengan orang lain selama ini - penggunaan sumber secara efisien, kitar semula, jaga kebersihan.

Benda asas sebenarnya tapi susah sungguh nak dipraktik. Pengalaman aku, peringkat yang paling susah ialah proses nak mengajak orang sama-sama buat apa yang aku buat. Benda macam ni, kalau tak ada jemaah, lama-lama aku sendiri yang akan hanyut dan mula tinggalkan. Jadi sebab tu aku mengajak orang lain buat sama-sama dengan aku. Setidaknya kalau aku terlupa, orang akan tegur dan ingatkan aku jugak. Yelah, aku pun manusia biasa.

Ok, berbalik ke isu utama. Memang susah nak mengajak orang buat sesuatu. Setiap dari kita akan mentafsir sesuatu itu mengikut pemahaman kita sendiri. Keterbukaan manusia ini pelbagai mengikut kecenderungan yang mereka sendiri perolehi. Kecenderungan ini pulak dipengaruhi oleh bermacam-macam perkara. Ilmu psikologi ini apa yang aku belajar dari tuan Fakir Fikir dulu.

Sebab itu jugaklah, bila aku pesan pada orang untuk jimat guna air, jimat guna elektrik, jaga kebersihan, jangan buang sampah puntung rokok merata-rata, orang akan cakap, tak apa. Tak ada masalah. Sebab akan ada orang bersihkan semulalah, air hujan akan turunlah, ini memang kadar aku berjimatlah, dan macam-macam lagi.

Pada akhirnya bila dikemukakan fakta yang krisis air akan berlaku di Lembah Klang, tarif elektrik meningkat, kawasan pembuangan sampah semakin meluas, jumlah e-waste tak mampu disimpan lagi, barulah orang akan sedar yang selama ini apa yang diamalkannya taklah sebetul mana. Ini jugak tak bermaksud apa yang aku buat selama ni betul Apa yang aku tulis ni mengingatkan diri aku jugak.

Nak menunggu akhirnya itu, kesedaran semua orang sedar tu memang lambat. Jadi untuk mempercepatkan proses pendidikan ni, eloklah aku sendiri memperbetulkan diri aku betul-betul, amalkan betul-betul secara istiqamah (konsisten) apa yang aku nak minta orang ikut. Moga-moga dengan cara ni, orang yang perhati cara aku akan ikut cara aku jugak, mana yang baik.

Kita tak boleh mengubah seseorang. Yang boleh kita buat ialah mengubah diri kita sendiri supaya jadi lebih baik. Moga-moga dengan pengamalan tu, dapat datangkan minat dan kesedaran orang di sekeliling kita untuk mengikut cara kita.

Jadi, untuk aku sendiri, jangan lupa jimatkan guna air dan elektrik. Cuba amalkan kitar semula dan jaga kebersihan.

"Makan ingat orang belakang"

Dalam kemuliaan Ramadhan, dalam kita sibuk menunaikan kewajipan berpuasa dan mengawal pelbagai bentuk nafsu, kita juga diasuh untuk berjimat. Kalau ke bazaar, mesti berjimat. Beli apa yang patut, yang hendak di makan dan boleh di makan sahaja. Jangan berlebih-lebih sebab akan jadi pembaziran. Ada juga didikan berjimat yang melarat hinggakan semasa hendak menyambut Aidilfitri. Beli baju yang harga sederhana. Kalau tahun lepas bajunya masih elok dan cantik, tak salah untuk dipakai lagi... Baguslah. Benda baik mesti dikekalkan dan ditingkatkan lagi pada masa-masa akan datang.

Tapi kekadang kita terlupa berjimat benda-benda yang lebih asas.

Berjimat air dan elektrik. Puas aku tegur beberapa orang, kalau mandi biarlah sekejap-sekejap. Badan dah bersih dah baik sangat. Takkanlah kita nak biar sampai bilik mandi tu banjir baru nak berhenti mandi. Jawabnya dah berbuka boleh mandi lama sikit.

Setengah orang pula, kalau buka TV dan kipas, tak bertutup 24 jam walaupun tak ada orang yang betul-betul menggunakannya. Belum kira lagi yang tak switch off plug point charger handphone. Jawabnya, bulan Ramadhan ni panas, kipas kena selalu pusing. Benda kecil tapi kalau berterusan dan dibiarkan sahaja, impaknya tinggi.

Ada orang menjawab, "Aku bayar bil, ikut aku lah nak guna sebanyak mana. Itu yang aku selesa." Kiranya dia selesa TV dibuka tanpa tutup, kipas beprusing tanpa henti, air paip melimpah-limpah? Ini bukan soal kita mampu menanggung bil atau tidak. Ini soal penjimatan untuk kegunaan masa depan. Kita tahu, tapi kita tak sedar, yang air tawar yang bersih digunakan kita setiap hari itu adalah sumber terhad. Jumlah air tawar di dunia yang boleh igunakan manusia kurang dari hanya kira-kira 3%. Nak tunggu berhujan pun belum tentu air akan masuk ke kawasan tadahan. Air dikitar semula tetapi tidak boleh diguna semula. Air yang bersih selepas rawatan itu gunanya untuk dikumbah ke lautan bagi mengurangkan kadar pencemaran. Elektrik pula, tak sampai 30% pun janaan elektrik di Malaysia hasil dari turbin elektrik, apatah lagi photovoltaic di bumbung-bumbung bangunan. Elektrik yang kita jana dari sumber kitar semula sangat sedikit. Kira-kira 90% yang menampung penggunaan seluruh di Malaysia janaan elektrik adalah dari bahan mentah petroleum.

Itu baru cerita di Malaysia. Belum penggunaan sumber di negara-negara berkapasiti tinggi seperti China, United States, Jepun dan India.

Oleh sebab penggunaan sumber yang tinggi, kita disaran untuk berjimat. Bayangkan, kalau dalam bil yang dihantar ke setiap rumah tu, bagi setiap unit penggunaan elektrik ada juga dikenakan charge untuk generasi akan datang, mesti kita merungut. Kenapa pulak nak kena bayar semua ni. Aku guna untuk diri aku saja. Bukan untuk anak-anak aku (Entah panjang umur atau tidak untuk dapat zuriat). Tapi itulah hakikatnya. Kita meminjam dunia yang sedia ada dari anak-anak kita, dari generasi akan datang. Jadi jangan melampau sangat menggunakannya.

Selalu mak aku mengingatkan aku di meja makan, "Makan lauk tu ingat juga 'orang belakang'." Tak salah kalau diaplikasi dalam hal ni. "Guna air dan elektrik tu, ingat juga 'orang depan'."

Jadi eloklah diamalkan berjimat. Tarbiyyah Ramadhan bukan hanya untuk mengawal nafsu makan dan minum, nafsu melihat keluk badan wanita, nafsu mengumpat dan mengata buruk orang di sebelah kita, nafsu bongkak dan tak sedar diri. Tapi juga medan untuk kita mengawal bagaimana untuk berjimat menggunakan sumber. Ingatlah 'orang depan' sikit.

Tuesday, August 2, 2011

Jangan Mudah Percaya Membabi-buta

Dah lama aku tak post apa-apa, sekali post keluar terlebih pulak dari satu. Huhuhuhu... Bukan apa, sebelum ni aku dalam tempoh berkurung. Bila dah dapat result, baru mampu untuk ke depan semula.

Oklah, sambung apa yang aku nak ceritakan. Minggu lepas aku solat jumaat di salah satu masjid yang terkemuka. Tak boleh aku sebutkan nama di sini. Sensitif. Sementara menunggu masuk waktu, ramai orang berjual beli. Tak lupa ada yang sedang buat promosi produknya - Minyak Magnet Kuat. Apa yang kita boleh dapat dari produk ni, kalau disapu sedikit minyak ni pada bahagian bawah botol air mineral, dan kita minum air tu, tak semena-mena segala penyakit ringan dalam badan akan dinyahkan dan segala macam kekuatan fizikal akan menerjah dalam badan, membantu kerja seharian kita. Ada brader tu tunjukkan bukti dengan bagi orang minum seteguk air dari botol mineral yang dah disapu Minyak Magnet Kuat tu. Siap ada sesi praktikal, dengan brader tu cuba buktikan potential customer dia tu boleh menampung berat badan dia yang sedang jatuh dengan mudah. Belum kira dia tunjuk orang berdiri sebelah kaki macam mana. Semacam live testimoni lah tu.

Punyalah bersungguh brader ni promote produk dia. Orang yang mendengar di keliling aku rasakan lebih dari 30 orang.

Penghujungnya, aku tak tahu berapa ramai yang membeli produk Minyak Magnet Kuat tu.

Entahlah. Bukan aku tak percaya, tapi memang aku susah nak percaya. Takkanlah sekali sapu minyak tu pada botol yang tak ada apa-apa membran untuk meresap minyak, terus boleh zat-zatnya berasimilasi dengan air dalam botol tu. Takkanlah jugak dalam tempoh kurang dari seminit, dah boleh datangkan impak dan kesan pada pengguna. Dari lemah, minum seteguk, tak sampai seminit, sihat dan kuat semula.

Kalaulah semua orang percaya dan terus percaya membabi-buta dengan benda-benda semacam ini, kasihan pada orang yang belajar bertahun-tahun mencari kebenaran keistimewaan pelbagai ciptaan Allah secara ilmiah dan saintifik.

Bang, benda baik takkan datang bergolek senag-senang je bang.

Ramadhan sekarang...

Dah masuk Ramadhan. Bulan yang penuh rahmat.
Malam pertama Ramadhan aku dalam kereta, menyudahkan perjalanan dari Perak Ke Shah Alam. Jadi tarawikh di rumah aje, bila sampai di Shah Alam lebih kurang jam 1025 pm.

Hari pertama Ramadhan, aku berbuka di Masjid Besi (Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin) Putrajaya dengan kawan baik satu jabatan. Terkenang pulak keluarga di Shah Alam. InsyaAllah aku akan curi masa balik ke rumah berbuka dengan family.

Berbeza dengan tahun sudah, aku menyambut Ramadhan dalam suasana panas dan tempoh berpuasa yang lebih panjang. Lebih banyak cabaran. Lebih-lebih lagi bila ke bazaar, itulah ujian untuk berjimat. Kalau di tempat aku belajar dulu, tak ada bazaar untuk aku habiskan wang. Makan apa yang aku masak, apa yang rakan serumah masak. Sekarang ni, ada ayam golek, air tembikai, nasi beriani, nasi ayam, char kuew teow, sup ekor, kepak ayam, gulai kawah, aduhai... macam-macam.

Tapi agama itu tetap sama. Di ceruk mana pun, syariat tarawikh tetap ada dan dituntut sangat untuk dilaksana. Puasa di mana pun, mata tetap kena jaga. Bukan sekadar perut sahaja. Galakan mengaji tak henti-henti. Yang membezakan cuma bagaimana kita menghidupkan norma Ramadhan di dalam hati kita. Jadi jangan henti-henti berusaha berbuat yang baik, jangan putus asa tinggalkan yang jahat.

Di Malaysia

Dah 3 minggu lebih aku di Malaysia. Alhamdulillah, setakat ni semuanya dalam keadaan baik. Minggu pertama aku cukup resah menunggu keputusan Master dan hingga minggu ketiga di sini (minggu lepas lah tu), baru aku beroleh keputusan rasmi. Syukur tak terhingga aku pada Allah, kiranya ni antara hadiah Ramadhan untuk aku.

Dalam tepoh yang seketika ni, banyak benda yang aku amati. Ada yang baik, dan ada yang buruk. Kita cerita perihal baik ajelah buat masa ni. Seronok benar aku bila dengar promosi teknologi hijau dicanag-canang dalam radio. Banyak jugak produk elektrik yang dijual ada highlight branding eco-ideas. Aku kirakan sebagai usaha yang baik untuk membantu mengawal penggunaan sumber melalui pendidikan langsung dan tak langsung.

Dikalangan student pulak, ramai yang dah mula cakap tak perlu print itu ini. Cukup sekadar hantar dokumen menerusi email. Kan jimat. Betullah tu.

Orang sekeliling aku pun, walaupun cuma ada kesedaran umum tapi dah ramai yang tahu istilah pemanasan global. Cuma bila aku ceritakan tentang ecological footprint, masih agak terpinga-pinga. Yang eloknya, orang-orang ni tunjukkan minat untuk tahu dengan lebih lanjut. Bagus!

Kita tak boleh mengubah manusia supaya jadi apa yang kita rasakan patut jadi. Tapi kita boleh berusaha menyampaikan apa yang baik, apa yang kita tahu. Jadi insyaALlah aku akan terus berkongsi cerita dengan sesiapa supaya kita berjimat dan mengoptimumkan penggunaan sumber.