Tuesday, October 16, 2012

Nilai Seorang Graduan



Musim konvokesyen tahun ini sedikit sejuk kerana hujan yang kerap kali turun, hampir setiap hari sejak bermulanya Pesta Konvo secara rasmi. Akan tetapi sejuknya cuaca tidak menyelimuti semangat mahasiswa memeriahkan Pesta Konvo, dan majlis konvokesyen itu sendiri.

Tahniah buat semua graduan, mereka yang telah berusaha keras selama 3, 4 tahun untuk mendapatkan segulung ijazah. Pada hari penuh bersejarah itu, semua graduan hanya memerlukan masa kurang dari seminit... Tidak, bahkan mungkin hanya 30 saat sahaja di atas pentas menggenggam gulungan ijazah. Itulah nilai sehelai kertas, yang dicetak dengan semua Purata Nilaian Gred Kumulatif sepanjang 4 tahun pengajian, dan sehelai lagi kertas yang dicetak dengan ayat pengiktirafan kerana berjaya menamatkan pengajian dan mendapatkan ijazah.

Tapi itu bukan nilai seorang graduan. Graduan itu, datang dengan pakej yang lebih lengkap. Mindanya datang dengan kemampuan analitikal dan praktikal. Jiwanya itu tertanam sikap dipercayai dan mempercayai. Pancainderanya lengkap kemahiran dan kompetensi. Dirinya itu sendiri penuh potensi. Inilah nilai graduan yang dilihat mengikut aspek pasaran kerjaya. Nilai ini tidak dapat diukur dengan aras gaji, apatah lagi dengan jumlah pinjaman PTPTN, atau biasiswa MARA dan JPA.

Syaratnya, untuk mendapatkan nilai lebih dari harga sekeping kertas ijazah, anak muda itu tak harus membuang masa. Usaha mengembangkan potensi diri dan membawa keluar ‘gergasi hebat dan luar biasa’ yang lama tersorok dalam diri itu tidak hanya boleh dilakukan dengan penglibatan di dalam kelas. Itulah justifikasi adanya pelbagai kegiatan ko-kurikulum, aktiviti kesukarelawanan dan daya saing sukan mahupun kebudayaan. Hanya dengan itu sahajalah, kehebatan sebenar kita boleh dikeluarkan serentak dengan pembentukan nilai-nilai murni.

Kerana itulah, agama murni milik Yang Maha Esa menunjukkan contoh, terbentuknya peribadi mulia junjungan besar Muhammad s.a.w. adalah hasil tarbiyyah berterusan menghadapi pelbagai kesusahan dan kepayahan hidup sejak dari kecil lagi. Bukan hanya dengan datangnya wahyu melalui mimpi.