Musim konvokesyen
tahun ini sedikit sejuk kerana hujan yang kerap kali turun, hampir setiap hari
sejak bermulanya Pesta Konvo secara rasmi. Akan tetapi sejuknya cuaca tidak
menyelimuti semangat mahasiswa memeriahkan Pesta Konvo, dan majlis konvokesyen
itu sendiri.
Tahniah buat semua
graduan, mereka yang telah berusaha keras selama 3, 4 tahun untuk mendapatkan
segulung ijazah. Pada hari penuh bersejarah itu, semua graduan hanya memerlukan
masa kurang dari seminit... Tidak, bahkan mungkin hanya 30 saat sahaja di atas
pentas menggenggam gulungan ijazah. Itulah nilai sehelai kertas, yang dicetak
dengan semua Purata Nilaian Gred Kumulatif sepanjang 4 tahun pengajian, dan
sehelai lagi kertas yang dicetak dengan ayat pengiktirafan kerana berjaya
menamatkan pengajian dan mendapatkan ijazah.
Tapi itu bukan
nilai seorang graduan. Graduan itu, datang dengan pakej yang lebih lengkap.
Mindanya datang dengan kemampuan analitikal dan praktikal. Jiwanya itu tertanam
sikap dipercayai dan mempercayai. Pancainderanya lengkap kemahiran dan
kompetensi. Dirinya itu sendiri penuh potensi. Inilah nilai graduan yang
dilihat mengikut aspek pasaran kerjaya. Nilai ini tidak dapat diukur dengan
aras gaji, apatah lagi dengan jumlah pinjaman PTPTN, atau biasiswa MARA dan JPA.
Syaratnya, untuk
mendapatkan nilai lebih dari harga sekeping kertas ijazah, anak muda itu tak
harus membuang masa. Usaha mengembangkan potensi diri dan membawa keluar
‘gergasi hebat dan luar biasa’ yang lama tersorok dalam diri itu tidak hanya boleh
dilakukan dengan penglibatan di dalam kelas. Itulah justifikasi adanya pelbagai
kegiatan ko-kurikulum, aktiviti kesukarelawanan dan daya saing sukan mahupun
kebudayaan. Hanya dengan itu sahajalah, kehebatan sebenar kita boleh
dikeluarkan serentak dengan pembentukan nilai-nilai murni.
Kerana itulah,
agama murni milik Yang Maha Esa menunjukkan contoh, terbentuknya peribadi mulia
junjungan besar Muhammad s.a.w. adalah hasil tarbiyyah berterusan menghadapi
pelbagai kesusahan dan kepayahan hidup sejak dari kecil lagi. Bukan hanya
dengan datangnya wahyu melalui mimpi.
No comments:
Post a Comment