Assalamualaikum wbt,
Salam Ramadhan.
Entry ringkas ini ditulis pada 22 Ramadhan, selepas saya puas memerhati kekalutan yang tak putus-putus, kekeliruan yang tak kan habis dan permainan kotor sesetengah pihak cuba mengelirukan keadaan. Mungkin ini cuma persoalan yang hanya bermain di kepala saya, dan tidak mewakili banyak pihak. Tapi saya rasa wajar difikirkan bersama.
Guru Besar arahkan bilik persalinan dijadikan kawasan makan pelajar dan guru, atas beberapa sebab. Dan dia dimaki hamun, dicaci, dihina, dan dah diarahkan untuk mengambil cuti pun buat masa ini. Kemungkinan didakwa, mungkin menerima pelbagai ugutan, anaknya yang di luar negara stress, keluarganya yang lain mungkin juga.
Persoalan pertama, kenapa tiada sesiapa yang nak dakwa ibu-bapa yang bawa anak-anak mereka makan di gerai-gerai Khairul, Ah Shing, atau Mutu yang terletak sebelah longkang, di atas longkang, di tepi tempat pembuangan sampah, dan di atas tanah haram di tepi jalan raya? Yang tukang masaknya tak cuci tangan, yang dapurnya boleh nampak lipas dan tikus lari berkeliaran, yang laluan pengairannya tidak ditutp, yang sinkinya tersumbat, dan yang tandasnya tidak di flush?
Persoalan kedua, kenapa isu ini ditimbulkan semasa kebanyakan dari umat Islam masih lagi geram pada Bak Kut Teh Alvivi, dan ketika kehangatan isu hak kebenaran pertukaran agama anak masih dirasa, dengan pokok persoalan utama yang dimainkan adalah perkauman dan keagamaan.
Mengapa bukan persoalan kebersihan?
Betul, ada yang membahaskan hal kebersihan selain perkauman dan keagamaan. Tetapi rasanya elok dipersoalkan semula persoalan yang ada saya utarakan di atas tadi.
Sebagai orang yang dah mempunyai anak, saya akan terkesan sekiranya anak saya diminta makan di bilik yang kotor (kotorkah bilik itu?). Akan tetapi saya lebih terkesan sekiranya saya dan anak dimanipulasi untuk meraih perhatian pihak tertentu.
Islam itu mengajar umatnya supaya berlemah lembut, dan menjaga lebih dari kebersihan, itulah kesucian. Dan kesucian ini bukan hanya boleh dilihat secara zahir, tetapi juga jauh di dalam benak hati. Sebelum kita mempersoalkan kebersihan 'bilik persalinan' SK Pristina, mengapa tidak kita persoalkan kesucian hati dan niat kita untuk ketengahkan isu ini. Ikhlaskah kita ingin menjaga pendidikan anak kita?
Masih lambat untuk berbuka. Apapun, pastikan kita berbuka dengan juadah yang bersih dan suci, di tempat yang bersih dan suci.
No comments:
Post a Comment