Thursday, July 23, 2015

Pokok itulah Aku

Nun jauh di hujung sana
Ada terlihat sebatang pokok
Daunnya hijau
Batangnya tegap
Dahannya, tak seberapa kelihatan
Tidak kelihatan berbunga
Atau berbuah

Esok hari
Pokok itu masih di sana
Daunnya hijau
Batangnya tegap
Dahannya, tak seberapa kelihatan
Tidak kelihatan berbunga
Atau berbuah

Kemudian hari
Pokok itu masih di sana
Daunnya hijau
Batangnya tegap
Dahannya, tak seberapa kelihatan
Tidak kelihatan berbunga
Atau berbuah

Hari-hari berikutnya?





Dan aku di sini....

Wednesday, July 22, 2015

Menulis dengan Ilmu

Saya sudah terlalu lama tidak menulis.
Kerana bosankah?
Kerana berjumpa komitmen barukah?
Kerana apa?

Banyak sungguh sebab.
Yang pasti terana kurang ilmu.

Disebabkan menulis itu adalah satu dakwah, maka menulis memerlukan ilmu.
Menulis itu juga digalas dengan tanggungjawab.
Menulis tanpa ilmu hampir sama dengan penulisan yang tanpa tanggungjawab.
Dan menjadi manusia yang tidak bertanggungjawab itu bukan sesuatu yang baik.
Saya sendiri sedar penulisan sebelum ini bersandarkan pemahaman yang sempit dan mendatar.

Hinggakan bila baru saya akan menulis semula?
Nak tunggu sehingga bergelar pujangga ternama, atau saintis terkemuka dunia?

Tak semestinya.

Apabila sudah yakin dengan ilmu kita, agar boleh dibahaskan secara baik dan berhemah.

Monday, January 5, 2015

Rumah untuk Mangsa Banjir

Banjir kali ini memang sangat dahsyat.
Mangsa banjir bukan cuma kehilangan rumah, tapi kehilangan semangat dek kerana semua memori dan susah payah hidup hanyut dek arus. Beranda tempat adik beradik duduk di waktu petang dah tiada. Ruang tamu tempat ayah mengajar mengaji dah tiada. Dapur tempat duduk bersila makan bersama dah tiada. Rumah itu medan mereka mengimbas sejarah diri kita, agar kita tak hilang jati dan harga diri.

Mangsa banjir hilang tempat berteduh, yang selama ini menjadi dinding penghalang cuaca dan hijab ehwal keluarga. Dinding itu yang selama ini menutup aurat mereka sudah tiada lagi. Selama ini kelahi adik beradik, dinding itu lah yang melindungnya. Selama ini rahsia manja suami isteri tak tertayang, dinding itu lah yang melindungnya. Dalam rumah itu tempat berlegar kasih sayang, dan kerahsiaan mereka.

Rumah itu juga simbol ekonomi. Baik rumahnya hampir pasti memberi gambaran baiknya ekonomi individu. Bukan sekadar besar satu-satu rumah tapi apa pengisian bahan di dalamnya pula mencirikan sosio-ekonomi individu-mangsa banjir. Bahan buku ilmiah yang memenuhi rumah, hiasan yang sederhana, cukup menggambarkan siapa penghuninya. Bukan sekadar besar dan mewah.

Semua ini ketentuan Allah yang mesti diterima, dan diinsafi oleh semua yang terjejas mahupun tidak.

Rumah, tempat berteduh itu bukan sekadar tempat kita tidur, makan dan berehat. Rumah itu tempat kita belajar erti jatuh bangun. Kehilangan tempat berteduh, seperti hilang pedoman jika tidak cukup ketahanannya.

Malaysia, negara kita juga adalah rumah kita.

Di 'rumah' ini lah kita membesar dengan semua nilai tadi, membentuk masyarakat yang makmur.

Dalam waktu kita berdepan ujian yang sangat mencabar, ini bukanlah masanya untuk kita menuding jari siapa yang salah, siapa yang buruk. Bencana alam ini bukan hendak membuka pekung pemimpin Malaysia, bukan untuk jadi medan menghina pihak keselamatan, bukan ruang kita mengambil kesempatan.

Mana-mana pemimpin (baik kerajaan mahupun pembangkang) pasti inginkan semuanya baik untuk negara mereka sendiri, mengikut ideologi mereka. Mana-mana pihak beruniform bukan sengaja melewatkan bantuan, sedangkan mereka sendiri berkemungkinan ada keluarga yang terperangkap di daerah lain yang menjadi asbab emosi mereka sedikit terganggu. Belum kira aspek prosedur untuk kurangkan isu menipu bantuan. Dan usahlah ada yang mengambil kesempatan mencuri dari rumah mangsa banjir yang ditinggal tidak berpenghuni.

Sekarang bukannya sekadar masa membantu mangsa banjir membina semula rumah mereka, ini juga masa untuk kita terus 'menjaga' juga 'rumah' kita bersama.

Bantulah mangsa banjir dengan kurangkan beban mereka. Bantulah diri kita, masyaraat kita, negara kita, dengan membantu Malaysia.

Kerana kita yang bukan di Pantai Timur juga sebenarnya mangsa banjir yang sentiasa hanyut.

Friday, December 26, 2014

Musibah Itu

Hari ini saya terkejut melihat jemaah di masjid.

Jumlah jemaah yang tinggal untuk mengerjakan solat sunat hajat di masjid selepas solat fardhu Jumaat lebih dari sepatuh keluasan masjid.

Sudah beberapa ujian Allah berikan kepada Malaysia, akan tetapi banjir kali ini benar-benar menonjolkan kelemahan kita sebagai manusia, dan bagaimana masyarakat kita amat mengharapkan bantuan dari Yang Maha Esa.

Solidariti menerusi agama, dan hikmah musibah sempena tahun baru untuk ummat Islam di Malaysia fikirkan bersama yang Islam dan Melayu masih punya harapan untuk bersatu.

Hadiah Hari Lahir

Pada 14 Disember, diadakan majlis kecil-kecilan menyambut ulangtahun kelahiran yang kedua anak sulung kami.
Tarikh yang sama, saya mendapat makluman salah seorang guru saya sewaktu di universiti dah pergi meninggalkan kami, di usia yang tidak lah tua mana.

Pada 17 Disember, anak kedua kami telah genap sebulan. Pemeriksaan bulanan di klinik difahamkan anak kami sihat dan membesarvdengan baik setakat ini. Ibunya juga semakin pulih.
Tarikh yang sama, kedua-dua nenek dari sebelah ibu dan ayah saya dimasukkan ke wad hospital kerana sakit semput dan lelah, masing-masing di Hospital Putrajaya dan Hospital Manjung.

Pada 19 Disember, saya menerima banyak ucapan selamat sempena ulangtahun kelahiran yang hampir menjengah 3 dekad.
Tarikh yang sama, saya dimaklumkan salah seorang rakan baik ibu telah dipanggil Illahi, di usia yang tidak lah tua mana.

Allah punya banyak cara untuk ingatkan kita supaya mengingati Dia. Itu hadiah hari lahir saya tahun ini.

*Al-Fatihah buat almarhumah Pn Latifah Zainal Abidin dan Pn Masnah Zainab.

Friday, December 19, 2014

KeADILan

Di suatu petang, atok dan cucu berehat di gazebo bersebelahan surau. Di tangan atok ada sebungkus biskut gula berkrim. Sedap. Kedua mereka sedikit lapar, setidaknya hendak mengalas perut.

Cucu: Atok, nak makan biskut.

Atok: Boleh, kita kongsi ya. Ada 5 keping dalam sebungkus ni.

Cucu: Alaa.. kalau kongsi, sikitlah boleh dapat. Seorang dapat dua keping je.

Atok: Kita kena adil, meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Cucu: Maksud atok?

Atok: Cu baru 5 tahun. Atok dah 50 tahun. Perut Cu kecil. Cu sekeping, atok makan bakinya.

Cucu mencebik, tapi tak terkata apa.

Mereka berdua makan biskut.

Cucu tak puas.
Atok tersenyum seronok.

Malam itu, atok tak boleh makan apa-apa, kadar gula dalam darah naik terlalu tinggi. Kencing manis.
Cucu merasa pelik.



Letakkan sesuatu bukan untuk nafsu.

Saturday, December 6, 2014

Harapanku pada mereka

Muhammad Adam Zikri
14 Disember 2012

Pemimpin pada adik-adiknya, akhlak dan pekertinya, yang akan membantu ayahnya dalam membuat keputusan dewasa nanti, dan yang sentiasa penciptaNya, jasa ibu dan ayahnya, keluarganya, mencontohi Muhammad saw.

Nur Adibah Zahrah
17 November 2014

Insan yang cerdik, tangan kanan pada ibunya, pemberi ingatan pada abangnya, dengan keindahan akhlak sebagai hijab utama, mencontohi Fatimah az-Zahrah

Wednesday, October 22, 2014

I Want Too...

Saya sedang belajar.
Topiknya Wildlife Value Orientations.
Ibarat nak memahami bagaimana interpretasi atas sikap, yang diterjemah pula kepada tindakan kita kepada haiwan, bagaimana emosi kita dan isi hati kita kepada haiwan.
Dan bila dikata haiwan, bukan anjing atau kucing, bukan yang dibela di rumah.
Tapi yang liar, yang bebas, tanpa pengaruh manusia, yang jadual makannya tidak berjadual.

Bila dah ada gambaran tentang hal ini, insyAllah hendak bantu agensi berkenaan hidupan liar.
Sebab Malaysia pun makin pesat pembangunan bandarnya.
Nak tahu juga aspek undang-undang dan risiko dalam tindakan pengurusan hidupan liar.

Lagi? Kenapa saya belajar tentang hal ini?
Oh saya bagi jawapan buku ya?
Nak jawapan lain?
Saya pun tak tahu.

Harap-harap juga boleh tahu, kenapa boleh ada orang Islam semasa kempen 'I Want To Touch A Dog'...

Aduhai manusia.... Aduhai Melayu Islam....

Saturday, October 11, 2014

Bezanya Jihad Kita, Untuk Kita Bertemu di Syurga yang Sama

29 September 2014 lepas, tarikh lahir isteri tercinta.
Itu juga tarikh saya berlepas ke bandar Wageningen, untuk memulakan pengajian PhD selepas hampir 4 tahun mencuba.
Saya kirakan itulah hadiah hari lahir yang paling pahit untuk dia, tetapi janji untuk usaha yang lebih baik mampu saya berikan untuk dia, dan keluarga.

Kami cuma berpisah untuk tempoh seketika cuma.
Dia berjihad di jalan sendiri, saya menempuh jihad di jalan sendiri.
Dia akan berjuang di dewan bedah persalinan untuk anak kami yang kedua pertengahan/penghujung November ini. Siapa yang tahu, hanya Allah penentu.
Saya juga terpaksa meninggalkan anak yang hampir 2 tahun, di saat dia sangat galak bermain dengan bapanya.

Belum dikira terpaksa meninggalkan ibu dan bapa, abang dan adik-adik yang memerlukan.

Apakan daya, inilah skrip arahanNya.

Ini satu kisah hidup yang panjang.
Dan satu cerita dengan pelbagai tempo pahit manis.

Kita hendaklah terus berjuang, dan berusaha memanfaatkan diri pada orang lain. Inilah hakikat hidup.

"Ampunkan abang ngah atas semua salah silap pada umi, baba, along dan adik-adik"

"Kuatkan semangat sayang.
Abang halalkan segala apa yang abang berikan selama ini.
Dan abang ampunkan segala salah silap sayang.
Doa abang sentiasa untuk sayang."