Showing posts with label Healthy Lifestyle. Show all posts
Showing posts with label Healthy Lifestyle. Show all posts

Sunday, June 9, 2013

Wednesday, August 8, 2012

Jom Jadi Duta 2

Saja nak berkongsi satu video yang diperolehi dari laman web National Geographic, yang ada mengaitkan pemanasan global dengan industri pertanian serta penternakan.


Tidaklah bermaksud yang saya ini 'vegetarian', cuma saya rasa ada mesej yang boleh dihayati pada minit ke 1:10 hingga 1:20.

Yang lain-lain tu terserah lah pada masing-masing.

Pada saya Allah dah jadikan fitrah haiwan itu untuk dimakan, dijadikan kenderaan tunggangan dan dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk lain. Ada disebut dalam Al-Quran. Yang silapnya bagaimana kita manipulasi haiwan tu, dan terlalu menuntut hawa nafsu. Ada juga disebut dalam Al Quran. Pada selang minit 1:10 hingga 1:20 dah terangkan semuanya melalui perbandingan, secara videografi.

Pada saya kita semua boleh makan daging.

Jom kita jadi Duta Islam, yang tidak semacam pada selang masa itu.

*Errr, Muslim dilarang makan khinzir yaaa....

Tuesday, May 29, 2012

"Jom Jadi Duta"

Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Denmark, United States, Belgium, Australia, Canada, Netherland, Ireland.

Ini senarai negara penghasil carbon footprint tertinggi di dunia dikeluarkan National Geographic. Apa itu carbon footprint? Sedikit gambaran tentang carbon footprint di sini.

Sayangnya, tiga tangga pertama didominasi oleh negara Islam. Teringat yang pada tahun 2011, Qatar adalah negara yang mengeluarkan sisa makanan tak berusik tertinggi di dunia. Dan hal ini berlaku semasa bulan Ramadhan.

Apa kata, sebagai Muslim, kita giatkan usaha hidup bersederhana.

Makan apa yang perlu sahaja.
Buka lampu dan kipas bila mana nak digunakan sahaja.
Gunakan komputer pada waktu perlu sahaja.
Ke kedai, kalau jaraknya dekat, memadai berjalan kaki tak perlu hidupkan enjin kereta.
Maksimumkan basuhan kain dalam mesin untuk setiap kali cucian.
Minimumkan pengeluaran sampah individu, banykkan guna barangan kitar semula seadanya.
Lebihkan memelihara wudu'.

Macam-macam lagi....

Bukan apa, kita boleh jadi duta Islam terbaik.

Thursday, November 3, 2011

7 Bilion dan Impaknya

Kelahiran individu ketujuh bilion dunia memberi makna signifikan untuk pelbagai pihak.

Bagi si ibu dan bapa, sudah tentu kelahiran ini memberikan kegemberiaan dan rahmat tuhan, walau dari apa jua agama yang dianuti.

Dari satu belah pihak yang lain, saintis dan pemerhati akademik, kegembiraan kelahiran ini juga menyalakan lampu merah yang perlu difahami oleh semua pihak.

Dengan jumlah populasi dunia yang semakin meningkat, permintaan atas makanan, air bersih, kawasan teduhan dan ruang pembangunan juga semakin meningkat. keamanan dan kestabilan juga tidak dinafikan dikategorikan sebagai keperluan asas buat masa kini. Sayangnya dengan keadaan iklim yang tidak lagi mudah diramal dan dikaji, semua nikmat Allah yang dinikmati ratusan, ribuan tahun dahulu semakin tiada.

Ruang semakin menyempit. Sumber makanan semakin terhad dan isipadu air bersih semakin kurang. Dengan jumlah populasi semakin bertambah dan jumlah sumber semakin menyusut, apa tindakan kita untuk memastikan anak-anak kita merasa benda yang sama dengan apa yang kita rasa dahulu.

Adakah kita sudah mengubah cara hidup kita? Paling utama, cara berfikir kita.

Sayangnya, kita masih membuang puntung rokok merata-rata tempat. Kita masih membuka paip sambil menggosok gigi. Kita masih membeli makanan berlebihan walaupun tahu ia hanya akan dilontar ke dalam tong sampah. Kita masih membuka lampu hingga ke tengahari.

Banyak lagi gaya hidup mementingkan diri yang kita amalkan.

Kekadang ia dibahaskan secara kritikal. Kiat perlu menggunakan air yang banyak untuk keperluan industri. Kita perlukan ruang di dalam hutan untuk dijadikan tempat kumbahan sisa kimia. Kita perlu gunakan banyak arang dan diesel untuk menggerakkan jentera. Jadi tak salah menggunakan sumber itu. Hasil akhirnya untuk manusia.

Tak dipertikaikan, pembangunan juga penting. Yang gagal kita praktiskan pada masa kini ialah mengutamakan yang lebih penting dan juga mengamalkan gaya hidup sederhana. Bukan hanya sederhana berbelanja supaya duit masih berbaki hingga masuk gaji hujung bulan. Tetapi juga bersederhana untuk kepentingan generasi akan datang.

Berfikir dan bertindak di luar kotak.

Tuesday, August 9, 2011

Mengajak Diri Sendiri

Hampir 2 bulan aku di tanah air, cuba aku praktikkan apa yang aku belajar dan aku kongsikan dengan orang lain selama ini - penggunaan sumber secara efisien, kitar semula, jaga kebersihan.

Benda asas sebenarnya tapi susah sungguh nak dipraktik. Pengalaman aku, peringkat yang paling susah ialah proses nak mengajak orang sama-sama buat apa yang aku buat. Benda macam ni, kalau tak ada jemaah, lama-lama aku sendiri yang akan hanyut dan mula tinggalkan. Jadi sebab tu aku mengajak orang lain buat sama-sama dengan aku. Setidaknya kalau aku terlupa, orang akan tegur dan ingatkan aku jugak. Yelah, aku pun manusia biasa.

Ok, berbalik ke isu utama. Memang susah nak mengajak orang buat sesuatu. Setiap dari kita akan mentafsir sesuatu itu mengikut pemahaman kita sendiri. Keterbukaan manusia ini pelbagai mengikut kecenderungan yang mereka sendiri perolehi. Kecenderungan ini pulak dipengaruhi oleh bermacam-macam perkara. Ilmu psikologi ini apa yang aku belajar dari tuan Fakir Fikir dulu.

Sebab itu jugaklah, bila aku pesan pada orang untuk jimat guna air, jimat guna elektrik, jaga kebersihan, jangan buang sampah puntung rokok merata-rata, orang akan cakap, tak apa. Tak ada masalah. Sebab akan ada orang bersihkan semulalah, air hujan akan turunlah, ini memang kadar aku berjimatlah, dan macam-macam lagi.

Pada akhirnya bila dikemukakan fakta yang krisis air akan berlaku di Lembah Klang, tarif elektrik meningkat, kawasan pembuangan sampah semakin meluas, jumlah e-waste tak mampu disimpan lagi, barulah orang akan sedar yang selama ini apa yang diamalkannya taklah sebetul mana. Ini jugak tak bermaksud apa yang aku buat selama ni betul Apa yang aku tulis ni mengingatkan diri aku jugak.

Nak menunggu akhirnya itu, kesedaran semua orang sedar tu memang lambat. Jadi untuk mempercepatkan proses pendidikan ni, eloklah aku sendiri memperbetulkan diri aku betul-betul, amalkan betul-betul secara istiqamah (konsisten) apa yang aku nak minta orang ikut. Moga-moga dengan cara ni, orang yang perhati cara aku akan ikut cara aku jugak, mana yang baik.

Kita tak boleh mengubah seseorang. Yang boleh kita buat ialah mengubah diri kita sendiri supaya jadi lebih baik. Moga-moga dengan pengamalan tu, dapat datangkan minat dan kesedaran orang di sekeliling kita untuk mengikut cara kita.

Jadi, untuk aku sendiri, jangan lupa jimatkan guna air dan elektrik. Cuba amalkan kitar semula dan jaga kebersihan.

"Makan ingat orang belakang"

Dalam kemuliaan Ramadhan, dalam kita sibuk menunaikan kewajipan berpuasa dan mengawal pelbagai bentuk nafsu, kita juga diasuh untuk berjimat. Kalau ke bazaar, mesti berjimat. Beli apa yang patut, yang hendak di makan dan boleh di makan sahaja. Jangan berlebih-lebih sebab akan jadi pembaziran. Ada juga didikan berjimat yang melarat hinggakan semasa hendak menyambut Aidilfitri. Beli baju yang harga sederhana. Kalau tahun lepas bajunya masih elok dan cantik, tak salah untuk dipakai lagi... Baguslah. Benda baik mesti dikekalkan dan ditingkatkan lagi pada masa-masa akan datang.

Tapi kekadang kita terlupa berjimat benda-benda yang lebih asas.

Berjimat air dan elektrik. Puas aku tegur beberapa orang, kalau mandi biarlah sekejap-sekejap. Badan dah bersih dah baik sangat. Takkanlah kita nak biar sampai bilik mandi tu banjir baru nak berhenti mandi. Jawabnya dah berbuka boleh mandi lama sikit.

Setengah orang pula, kalau buka TV dan kipas, tak bertutup 24 jam walaupun tak ada orang yang betul-betul menggunakannya. Belum kira lagi yang tak switch off plug point charger handphone. Jawabnya, bulan Ramadhan ni panas, kipas kena selalu pusing. Benda kecil tapi kalau berterusan dan dibiarkan sahaja, impaknya tinggi.

Ada orang menjawab, "Aku bayar bil, ikut aku lah nak guna sebanyak mana. Itu yang aku selesa." Kiranya dia selesa TV dibuka tanpa tutup, kipas beprusing tanpa henti, air paip melimpah-limpah? Ini bukan soal kita mampu menanggung bil atau tidak. Ini soal penjimatan untuk kegunaan masa depan. Kita tahu, tapi kita tak sedar, yang air tawar yang bersih digunakan kita setiap hari itu adalah sumber terhad. Jumlah air tawar di dunia yang boleh igunakan manusia kurang dari hanya kira-kira 3%. Nak tunggu berhujan pun belum tentu air akan masuk ke kawasan tadahan. Air dikitar semula tetapi tidak boleh diguna semula. Air yang bersih selepas rawatan itu gunanya untuk dikumbah ke lautan bagi mengurangkan kadar pencemaran. Elektrik pula, tak sampai 30% pun janaan elektrik di Malaysia hasil dari turbin elektrik, apatah lagi photovoltaic di bumbung-bumbung bangunan. Elektrik yang kita jana dari sumber kitar semula sangat sedikit. Kira-kira 90% yang menampung penggunaan seluruh di Malaysia janaan elektrik adalah dari bahan mentah petroleum.

Itu baru cerita di Malaysia. Belum penggunaan sumber di negara-negara berkapasiti tinggi seperti China, United States, Jepun dan India.

Oleh sebab penggunaan sumber yang tinggi, kita disaran untuk berjimat. Bayangkan, kalau dalam bil yang dihantar ke setiap rumah tu, bagi setiap unit penggunaan elektrik ada juga dikenakan charge untuk generasi akan datang, mesti kita merungut. Kenapa pulak nak kena bayar semua ni. Aku guna untuk diri aku saja. Bukan untuk anak-anak aku (Entah panjang umur atau tidak untuk dapat zuriat). Tapi itulah hakikatnya. Kita meminjam dunia yang sedia ada dari anak-anak kita, dari generasi akan datang. Jadi jangan melampau sangat menggunakannya.

Selalu mak aku mengingatkan aku di meja makan, "Makan lauk tu ingat juga 'orang belakang'." Tak salah kalau diaplikasi dalam hal ni. "Guna air dan elektrik tu, ingat juga 'orang depan'."

Jadi eloklah diamalkan berjimat. Tarbiyyah Ramadhan bukan hanya untuk mengawal nafsu makan dan minum, nafsu melihat keluk badan wanita, nafsu mengumpat dan mengata buruk orang di sebelah kita, nafsu bongkak dan tak sedar diri. Tapi juga medan untuk kita mengawal bagaimana untuk berjimat menggunakan sumber. Ingatlah 'orang depan' sikit.

Thursday, July 7, 2011

E-Waste - Handphone

KOSMO hari ni keluarkan berita ada institusi pengajian tinggi ketengahkan cadangan kepada semua pengguna teknologi untuk mula mengamalkan kitar semula dengan handphone.

Elok sangat tu. Benda baik kena sokong baik secara literal mahupun action. Telefon bimbit/handphone salah satu produk e-waste (Lepas ni aku sebutkan EW je. Senang aku nak menaip). EW bukan sahaja dari handphone tapi juga semua produk telekomunikasi, teknologi elektrik itulah EW. Remote control televisyen pun EW. Mouse komputer pun EW. Kabel cerek elektrik pun EW. Banyak sebenarnya EW ni. Berkenaan cadangan recycle handphone, kenapa kena mulakan dengan produk ni?

Oklah, aku mula dengan sikit introduction. Dalam manusia gopoh mengejar kemajuan dan kecanggihan hidup, para saintis mula merekacipta bermacam-macam alatan, device baru. Semua teknologi ni pun bukan sekadar dicipta baru tapi juga berkembang dan berevolusi. Contohnya, telefon bimbit yang dah bermacam-macam model. Evolusi teknologi ni mempengaruhi dan dipengaruhi demand dari pengguna. Pengguna macam kita-kita semua ni, dah ada Nokia 3310, beli pulak Nokia Butterfly. Dah ada iPhone3, cari pulak Samsung Galaxy. Lepas tu beli lagi iPhone4. Tambah lagi macam-macam tawaran khidmat telekomunikasi, menyebabkan orang nak lebih dari satu nombor telefon. Kalau dah ada lebih dari satu nombor telefon, mestilah nak lebih dari satu telefon jugakkan.

Dan umum jugak kita semua maklum yang handphone ni, hayatnya tidaklah selama mana. Dari segi harga, hayatnya cuma sehari selepas terlepas dari pasaran. Hari ni orang beli harga RM200, esok harganya RM110. Jangkamasa kegunaan pulak, paling optimum dengan penggunaan tanpa masalah, puratanya ialah 4 tahun (ni bukan kajian khusus ok. cuma pengalam aku sendiri je). Jadi dalam juta-juta orang di Malaysia yang ada handphone, lepas tamat jangka hayat, bayangkan betapa banyaknya handphone yang tak terpakai. Tu baru kita kirakan yang tamat jangka hayat. Kalau kita dah tak nak pakai sebab beli baru? Lagilah berbukit-bukit handphone ni.

Jangan kita ingat 'plastik gelenya' (loghat Kelantan) aka plastik bungkusan, polisterin dan tali rafia je yang tak boleh dikitar semula. EW macam telefon bimbit pun sama, bahkan lebih serius lagi. Pateri yang menyambungkan komponen-komponen dalam body handphone ni dah sanagt beracun. Belum lagi komponen-komponen handphone tu sendiri.

Kertas, sumbernya adalah pokok. Cara kita mengawal pengeluaran kertas, ialah dengan mengawal penebangan pokok. Bila kita kitar semula kertas, bermakna kita membantu mengurangkan kadar pokok yang ditebang. EW bukan macam kitar semula kertas, yang mana handphone dibuat dari bahan kimia yang direka dari manusia itu sendiri melalui adunan benda yang bukan-bukan lagi bahaya. Jadi, tak ada kekangan yang pengeluaran tak terkawal handphone boleh merosotkan kuantiti sumber alam sekitar. Akibatnya, susahlah nak mengawal jumlah sisa handphone ni. Cara untuk membantu mengurangkan sisa EW macam handphone ialah dengan kitar semula.

Jadi, amalkanlah recycle EW.

Thursday, June 23, 2011

Cuba Sendiri

Masih ingat Ecological Footprint? Cuba semak semula di sini kalau sudi.

Ecological Footprint istilah pertama yang saya belajar di sini. Dulu saya tak didedahkan dengan perkara ni. Jadi bila berpeluang, suka benarlah. Kawan saya yang ada PhD pun ada yang kurang tahu berkenaan perkara ini. Jadi bersyukur benar aku diberi peluang oleh Allah belajar tentang ini.

Reflek atas pembelajaran tu, saya rasa sedikit sebanyak saya dah mula aware atas setiap benda yang dibuat, semua benda yang digunakan. Bab perubahan tingkahlaku (behaviour), erm.... masih belum sampai ke tahap itu. Cuma sedikit sahaja yang mampu diperbaiki. Berharap sangat dan akan berusaha mengubah cara hidup dengan lebih sihat untuk kepetingan anak-anak sendiri juga nanti.

Tak semua feedback yang saya dapat positif berkenaan Ecological Footprint. Saya ingat lagi, rakan PhD dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan matematik tak habis-habis memandang rendah tentang hal ni. Katanya orang putih terlalu exxagerate perihal kehabisan sumber. Kononnya untuk memperbodohkan orang Asia dari negara membangun macam saya. Agak tercabar dan rasa sakit hati. Tapi akhirnya bila ingat semula yang tidak semua orang faham dan boleh terima perkara yang bukan dalam minatnya. Semacam jugak diri saya sendiri, yang memandang kejuruteraan bukanlah sebagai ketaksuban. Kawan saya, ya. Sebab itu bidang pengajiannya, bidang kepakarannya.

Sudahlah dulu. Apa kata cuba sendiri Footprint Calculator. Dari situ kita boleh tahu bagaimana perkaitan cara hidup kita dengan sumber asli yang kita gunakan, dan impaknya kepada alam sekitar. Klik sini.

Moga-moga semua kita pun belajar sesuatu dari hal ni.

Friday, June 3, 2011

Jom Pergi ke Taman

Ingat lagi, faktor yang menentukan kemampanan ialah social, economy dan environment. Jom kita lihat lagi perihal taman di mana melalui faktor-faktor ini.

Taman secara jelasnya adalah salah satu sumber alam sekitar. Pada taman itu ada elemen tumbuh-tumbuhan, air, tanah, haiwan. Dengan elemen-elemen yang ada pada taman, ia membantu meningkatkan kualiti udara dan cahaya sedia ada. Secara awamnya juga, pusingan alam berlaku dengan baik di kawasan taman. Walaupun pusingan alam tidak berlaku sesempurna mana berbanding dengan kawasan hutan, tapi kawasan taman aku jamin punya lebih kualiti berbanding persekitaran di dalam pasaraya semacam TESCO dan juga Plaza Phoenix.

Baik. Sekarang kita lihat pula apa yang ada 'di dalam' taman.

Dulu sewaktu aku tinggal di Cheras, kerap benar aku ke Taman Tasik Shah Alam bersama keluarga untuk berkelah. Sekarang, bila kami dah berpindah ke Shah Alam, lebih kerap kami berkunjung ke Putrajaya pula. Pelikkan. Waktu dekat, nak ke tempat yang jauh. Dah dekat, tak sampai-sampai pula.

Haa baik, aku dah melalut. Apa yang ada di dalam taman? Sewaktu aku berkelah, ramai orang yang aku lihat berjogging, bermain badminton dan bola, menemani anak-anak berbasikal, birding, dan ada juga yang buat yoga. Bermacam aktiviti sosial berlaku di taman. Di satu sudut lain pula, ada ruang berniaga. Ada yang menjual ais krim, kacang, dan cendol. Ada juga ruang meniaga khusus dengan pondok dan meja-meja minum. Sekumpulan ahli korporat (aku jangka), duduk semeja berbual dan ketawa di meja minum sambil melepaskan penat lelah minum 100Plus. Sesekali aku dengar keluar perihal pejabat, tapi dengan cara lebih santai.

Semua contoh aktiviti yang aku sebut boleh dibuat di macam-macam tempat selain taman. Tapi santai di taman membantu mengurangkan tekanan. Jadi tak formal, rasa lebih selesa.

Taman-taman awam, merupakan kawasan yang menemukan pelbagai manusia samada dirancang atau tidak dirancang. Orang boleh melepaskan lelah minda dan emosi, selain mampu jadi medan kumpul duit poket (pastikan dapat kebenaran Local Council ya). Orang akan bosan dengan produk senaman yang pelbagai di rumah, akhirnya orang akan berjoging di taman juga. Bila orang merasa nak melihat kecantikan bunga, taman kan ada.

Aktiviti sosial ini membantu membentuk komuniti yang sihat, 'luaran dan dalaman'. Jadi ulasan ringkas ni memenuhi faktor sosial.

Aku sarankan, elok sesekali bawa keluarga ke taman. Berkelah sekejap pun ok.

Monday, May 2, 2011

Berjimat menggunakan Air

Berjimatlah menggunakan air.

Kajian menunjukkan jumlah simpanan air semakain merosot, sedangkan pada masa yang sama populasi penduduk di Malaysia (khususnya di banda-bandar besar) semakin meningkat. Ini adalah hukum asas. Semakin banyak permintaan, sumber juga akan merosot. Untuk keperluan pengimbangan jangka panjang, kaedah seperti menaikkan tarif air digunakan. Keputusan akhir, diri sendiri terbeban kerana bil semakin tinggi.

Lebih parah, jumlah penggunaan isipadu air/pengguna juga semakin meningkat. Ini juga hukum asas, tapi dari sudut sosiologi. Apabila kehendak mengatasi keperluan, manusia cenderung untuk mendapatkan apa sahaja sehingga kepuasannya dapat dipenuhi. Tahun 2009 mencatatkan penggunaan air sebanyak 235 liter/pengguna, tapi pada 2010 jumlah meningkat 239/pengguna. Itu baru penggunaan secara langsung. Belum penggunaan air secara tidak langsung seperti pengairan di taman-taman perumahan berdekatan.

Banyak faktor yang mempengaruhi statistik ini. Seperti kurang kesedaran dalam menggunakan air, kurang pengetahuan tentang status sumber asli ini dan pelbagai lagi.

Sabda Nabi Muhammad sallallahialaihiwassalam yang memberi mesej jelas bahawa kita ditegah untuk membazir ketika mengambil wudhu' walaupun sedang berwudhu' dalam air mengalir.

Bersambung....

Thursday, February 24, 2011

Mahasiswa dan ____ ?

Entry kali ini tidak berkaitan langsung dengan urusan ibu bapa. Lebih kepada pandangan umum. Mungkin perlu ditarik semula pengertian entry awal yang bertajuk 'Ibu Bapa Mahasiswa' di dalam blog ini.

Kalau dahulu, kebanyakan mahasiswa yang menjalankan protes dan demonstrasi di universiti mempunyai CGPA yang rendah. Mungkin ini menjadi suis menyebabkan kekecewaan ibu bapa mereka. Manakan tidak, anak sibuk berpolitik di peringkat kampus hingga terpaksa meniru di dalam peperiksaan, terpaksa mengabaikan pelajaran dan sebagainya.

Tapi kini tidak lagi. Anak-anak yang menjalankan protes dan berdemonstrasi punya keputusan akademik yang juga bukan calang-calang. Bahkan, ada kes yang ibu bapa mereka menggalakkan anak-anak mereka berpolitik di kampus. Jadi mereka punya alasan untuk berpolitik.

Saya tidak katakan mahasiswa tidak boleh berpolitik. Bahkan saya amat setuju sekiranya mahasiswa sentiasa ke depan meluahkan pandangan mereka, mengajukan pendapat, berdiskusi memahami pendirian masing-masing dan sebagainya.

Akan tetapi saya rasakan kite tersalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Kita salah meletakkan sesuatu kepentingan. Penghayatan ilmu itu dijadikan sebagai penanda aras yang di bawah selepas berpolitik.

Baginda Rasul Muhammad sallallahualaihiwassalam, menggunakan politik sebagai medium penyampaian dan penyebaran dakwah agama Islam. Akan tetapi Baginda hanya berbuat demikian selepas Baginda disokong oleh pemahaman ilmu yang benar-benar arif berkenaan Islam.

Adakah kita benar-benar arif dengan apa yang kita perjuangkan?

Kita banyak berkatakan tentang hak. Akan tetapi apa usaha kita untuk mengekalkan hak yang sedia ada? Memecahkan cermin pejabat? Menafikan kemenangan sesetengah pihak yang tidak sebulu? Pada saya, kes di UPM pada 23 Februari lalu mendukacitakan dan memalukan.

Sistem di Malaysia ada cacat celanya. Akan tetapi lebih cacat lagi akhlak penghuninya.

Sama-sama kita doakan agar Malaysia terus aman makmur, pemimpinnya terus diberi ilham terbaik memacu kemajuan Islam dan negara, pemuda-pemuda isi negara menjadi nadi penggerak kejayaan, dan semoga berkuranglah perpecahan di negara tercinta.

Tuesday, July 13, 2010

Permasalahan Media Elektronik

"Agama itu nasihat menasihati." Jadi saya ingin menasihatkan diri sendiri dan jugak mereka yang membaca note ni. Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini ade satu parti politik yang mengetengahkan cadangan untuk memansuhkan rancangan berunsur 18sx dan 18sg di semua rangkaian televisyen di Malaysia. Tujuannya adalah untuk mengurangkan kadar pengurangan jenayah seks yang kian meningkat di Malaysia hampir 50% seperti dimaklumkan oleh Menteri berkaitan. Memang tak dinafikan cadangan tersebut wajar dan sesuai untuk dilaksanakan. Hapuskanlah puncanya untuk kurangkan rebaknya virus2 yang xdisukai tuh. Tapi jadi persoalan di sini, tahap apakah yang dilabel sebagai rancangan 18sx dan 18sg? Cuba semua perhatikan dan teliti betul2, transition process yang berlaku di media elektronik. Kalau dulu iklan syampoo dan sabun mandi tunjuk tangan yang berbuih. Sekarang dah nampak bahu. Kalau dulu iklan deodorant perempuan, tunjuk orang lelaki bau wangi bile perempuan lalu sebelah dia. Sekarang iklan di televisyen dan tunjuk ketiak perempuan. Dulu iklan bulu kaki perempuan tunjuk ape? Tak de pun iklan tu. Sekarang ni iklan tunjuk betis perempuan siap nampak paha berkilat lagi. Tak payahlah siaran movie dimansuhkan kalau iklan pun dah 18sx dan 18sg (iklan unsur ganas xterbagi contoh lah pulak). Akibatnya tetap sama. Dek kerana penerapan secara halus oleh produk harian, akhirnya kita dah dikaburi oleh pembawaan ni. Kita akhirnya terima bahawa perempuan pakai seluar ketat ok, lelaki pakai short boleh, cerita cium-cium mulut tu normallah dan sebagainya. Siapalah saya untuk cadangkan agar rancangan dan iklan dimansuhkan. Tapi saya boleh nasihatkan kepada kawan-kawan yang membaca agar sentiasa waspada dengan mainan dunia. Jaga-jagalah dengan rancangan yang ditonton oleh anak-anak/adik-adik kita sehari-harian. Sentiasalah mendidik diri, PENJARAKAN DIRI ANDA DI DUNIA ni sebab hanya orang-orang yang tidak beriman sahaja yang akan meletakkan diri mereka selesa dengan suasana nikmat dunia ini.

Wallahua'lam...