Showing posts with label Rohani. Show all posts
Showing posts with label Rohani. Show all posts

Wednesday, February 19, 2014

Persoalan Lalu

Lama dahulu ada saya menulis berkenaan persoalan bagaimana kita akan sentiasa menjadi orang yang dibelakang.

Dari sudut pandang sebuah negara, kita akan sentiasa di belakang. Kita akan sentiasa menjadi negara dunia ketiga.

Betulkah?

Ada kaedahnya untuk benar-benar menjadi juara yang di depan. Mujur berdepan kawan-kawan yang boleh memberikan jawapan dan pencerahan.

Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun, kita sudah pasti mencita-citakan untuk menjadi sebuah negara yang benar-benar mampu menguasai ekonomi, keselamatan, dan punya hak berdiri sendiri. Kita mahu diiktiraf sebagai sebuah negara maju. Mengapa perlunya pengiktirafan ini? Sejarah mengajar yang Portugis dahulunya beriya benar ingin menakluki Melaka antara sebabnya untuk mengejar Glory, menempa nama selepas Venice di Rom. Dek kerana itulah, pengiktirafan ini perlu, supaya pihak luar tidak lagi memandang kita sebelah mata tetapi melihat kita sebagai sebuah komuniti Islam terbaik.

Kita berlari dari titik mula, negara maju sedia ada juga sedang berlari tapi titik mula mereka nun jauh meninggalkan kita. Landasan negara maju juga lebih baik berumput dan tidak berbukit. Sedangkan landasan kita yang masih muda dan baru merdeka ini masih belum rata sepenuhnya, masih berliku tidak berumput tetapi penuh dengan kerikil dan tanah merah. Kerana dahulunya mereka yang menjajah kita beratus tahun lamanya. Dan kita hanya punya peluang untuk mengurus negara sendiri 57 tahun lalu.

Akibatnya, sekuat mana kita berlari, kita tetap tidak terkejar mereka.

Sahabat, jangan kita lihat dari aspek yang sama.

Untuk menjadi juara, dan tidak sentiasa tertinggal di belakang, biarlah kita berlari di landasan yang sama dengan pesaing kita. Biarkan kita menang dengan pesaing dari landasan yang sama, kita mesti menang dengan pesaing yang bermula di titik mula yang sama.

Dalam erti kata lain, biarlah kita menjadi negara maju dengan kekuatan tersendiri, dan dalam jalan tersendiri. Biar kita mengenalpasti apakah kekuatan sebenar kita, dan kita kuatkan kelebihan kita. Usah biarkan nafsu persaingan memakan diri, sehinggakan kita terlupa yang mana realiti dan yang mana fantasi.

Secara kasarnya, Malaysia hampir pasti tidak akan sesekali menang sekiranya (contohnya) bersaing dengan China dalam aspek sumber tenaga manusia (badminton?). Malaysia tidak akan menang dengan Sweden dalam hal hak asasi manusia. Malaysia akan sentiasa kalah dengan Jerman dalam hal penghasilan kereta. Malaysia akan dipandang enteng dalam hal teknologi ketenteraan jika disaingkan dengan Amerika.

Tetapi kita juara pertanian sawit menerusi FELDA, sampaikan Filipina dan Myanmar pun ingin meniru kita. Bukankah industri minyak soya negara barat (khususnya Amerika) terancam dengan kejayaan FELDA milik Malaysia. Tanah air kita ini juga juara dalam peneraju industri makanan halal dan perbankan Islam. Bukankah kita dirujuk oleh negara-negara Timur Tengah sendiri dalam hal perbankan Islam dan halal. Bahkan Jepun yang 'super pembersih' pun merujuk dengan Malaysia kaedah pengurusan makanan bersih menerusi aplikasi halal. Malaysia negara majmuk dengan kadar pecahan populasi yang kritikal juga berada antara 20 negara paling bahagia di dunia, hampir setara dengan Amerika dan Kanada.

Mungkin pasukan bola kita rankingnya tidak seberapa, akan tetapi alhamdulillah sudah lama kita memegang kejuaraan boling padang dan juga skuasy.

Ini antara kekuatan kita, landasan Malaysia. Banyak lagi sebenarnya (Petronas, Schomi etc). Kita gunakan kekuatan kita ini.

Jangan pula kita ingin menempuh landasan lain untuk bersaing, yang sememangnya kita sudah ketinggalan. Belum tentu juga masuk ke landasan lain jalannya lurus dan tidak berliku. Biarkan kita berlari di landasan kita, bergerak laju di atas landasan kita sendiri.

Tak perlu nak jadi juara hak asasi manusia dan kebebasan bersuara seperti negara lain, kerana bukankah negara kita berpaksikan Islam menerusi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Tuesday, October 22, 2013

Rukun Islam yang Kelima

Betulkah yang...

...semua orang Islam ingin pergi menunaikan Haji?
...semua orang Islam ingin ke Tanah Suci Mekah?

Di zaman sekarang, betulkah semua orang mempunyai kesedaran untuk 'melengkapkan Rukun Islam yang Kelima' ini? Benar! Menunaikan Haji ialah Rukun - Rukun Islam. Jika tidak sempurna dilaksanakan Haji itu, tidak sempurnalah Rukun Islam seseorang.

Malangnya frasa "sekiranya mampu" telah menyebabkan kita (termasuklah saya sendiri) jadi leka dan lalai dalam usaha melengkapkan rukun.

Saya kirakan inilah ujian Allah pada kita.

Di sebalik frasa "sekiranya mampu" kita telah tertipu dengan makna dan helah disebaliknya. Bukannya helah untuk merosakkan kita, tetapi helah dalam bentuk ujian. Ujian dari Allah pada kita hambaNya, sejauh mana kita 'berusaha' untuk menjadikan diri kita 'mampu pergi menunaikan Haji di Tanah Suci Mekah'.

Tanyalah diri sendiri,
Berapa ramai daripada kita dah mula menyimpan duit untuk menunaikan Haji?
Berapa ramai daripada kita telah mendaftarkan nama untuk menunaikan Haji di Lembaga Tabung Haji?
Berapa ramai daripada kita telah secara istiqamah menuntut ilmu berkenaan menunaikan Haji?
Berapa ramai daripada kita telah 'berniat' untuk pergi menunaikan Haji?

Antara persoalan yang diutarakan mungkin berbentuk prosedur yang direkacipta oleh manusia sendiri. Banyak pincangnya tapi inilah antara bentuk usaha awal untuk membolehkan kita 'mampu' menunaikan Haji.

Anak muda semua, termasuklah saya.
Dalam era penuh cabaran, semuanya menuntut wang ringgit termasuklah masa. Dan seringkali kita terlupa untuk menyediakan sedikit pecahan pendapatan kita bagi tujuan ibadat. Kesibukan kita kekadang mengganggu fokus kita, melekakan kita dari menanam niat yang lebih priority.

Mungkin kita bekerja korporat, bertali leher, dan berkasut kulit yang berkilat. Kereta kita pun gah dan mewah. Ruang pejabat amat indah, belum cerita lagi perihal rumah yang jauh lebih mewah. Mungkin juga kita dah diasuh dengan sifir menyimpan 10% dari jumlah pendapatan untuk simpana hari tua. Kita juga tahu perlunya ada insuran ataupun takaful, medical card. Kita pun punya skim dan laba pelaburan yang progresif lagi menguntungkan. MasyaAllah rupanya ramai juga dalam kalangan kita ada perniagaan sendiri yang sekali hasilnya jauh meninggalkan pendapatan bulanan orang kebanyakan yang makan gaji.

Tapi kekadang kita terlupa dan terleka untuk menyediakan sedikit pecahan wang yang kita ada untuk tujuan menunaikan Haji. Pergi ke Tanah Suci menjadi tetamu Allah bukanlah usaha jangka pendek. Tempoh persediannya bukanlah cuma sebulan, akan tetapi masa persiapannya sepanjang hayat. Sebelum kita pergi ke Tanah Suci, tarbiyyah Allah pada kita supaya sentiasa dan istiqamah menanam keinginan dan kesungguhan yang tinggi untuk melengkapkan Rukun Islam. Kesungguhan dan keinginan ini, kalau tidak diiring oleh iman dan taqwa yang tebal, sudah pasti destinasinya akan bertukar melancong ke negara-negara lain. Sinonim pula dengan istilah 'Qurban', pergi menunaikan Haji menghendakkan kita sanggup berkorban masa, tenaga dan kehendak pada usia muda. Menyimpan duit berbanding berbelanja tengok wayang atau shopping, menuntut ilmu Haji berbanding berseronok dengan kawan di kedai mamak, menambah pembacaan dan penghayatan berbanding menghabiskan masa menonton rancangan hiburan. Ini satu pengorbanan melawan nafsu, yang mungkin kecil dan tidak signifikan di mata kita, tetapi sebenarnya tarbiyyah berterusan oleh Allah untuk hambaNya. Rukun Islam itu juga saling berpaut antara satu sama lain. Syahadah dan solat yang sempurna dan lengkap itulah yang membantu menebalkan kesungguhan dan keinginan menunaikan Haji. Puasa dan Zakat itulah yang akan membantu mendisiplinkan kita, mengingatkan diri supaya tidak leka. Bahkan bukan mudah menjadi tetamu Allah. Hanya mereka yang terbuka hatinya, 'mendapat jemputan Allah' berpeluang ke Tanah Suci. Hasilnya adalah menjadi tetamu Allah.

Dengan kesungguhan itu barulah kita punya upaya untuk melengkapkan keperluan kewangan dan ilmu sebagai persediaan sebelum benar-benar menjengah rumah Allah, mendepani ujian yang jauh lebih mencabar. Secara fitrahnya, mana mungkin orang yang baru hendak menyimpan di usia penghujung 40 sempat mencukupkan keperluan kewangan, ilmu bahkan dah makin hilang kekuatan badan.

Jadi janganlah kita leka dan lalai dalam mempersiap-siagakan diri kita untuk melengkapkan Rukun Islam yang kelima. Janganlah kita menjadi dalam kalangan mereka yang sering mengutarakan "Aku belum sedia lagilah". Kerana untuk membolehkan kita bersedia, kita mestilah berusaha. Berusaha dari awal, dan bukannya di hujung waktu.

Salam Aidiladha, sama-sama kita tingkatkan usaha untuk menjadi salah seorang tetamu Allah.

                                                                                  source pict: MRM

“Qu anfusakum waahlikum naaro’..”

Nur Adlini Ab. Aziz, Muhammad Adam Zikri Zulkhairi Azizi


Saban hari, makin susah dan makin getir
Mendepani cabaran yang semakin sulit dan berbelit
Tapi kita ini khalifahNya
Tak patut rasa putus asa dan tak boleh berhenti berusaha
Berusaha meningkatkan taraf hidup dengan halal
Berusaha memartabat darjat dengan hikmat
Berusaha merendah ego diri dengan syukur dan sabar
Berusaha mengekalkan tahap konsistensi iman
Berusaha menambahbaik kualiti taqwa
Berusaha mengejar redha Yang Maha Esa

Kerana itulah kita dicipta oleh Allah Ta'ala sebagai manusia

Tambahkan Pembacaan dan Kesedaran untuk Bertindak

Assalamualaikum semua.

Maaflah lama menyepi.
Banyak urusan yang perlu diutamakan.
Cuma bila sesekali terpanggil rasa nak sebarkan maklumat baru.
Entahlah, apa sudah jadi dengan zaman sekarang?
Makin maju, makin banyak cabarannya.

Klik sini untuk lebih maklumat.

Tuesday, July 30, 2013

Mari Makan di Pristana

Assalamualaikum wbt,

Salam Ramadhan.

Entry ringkas ini ditulis pada 22 Ramadhan, selepas saya puas memerhati kekalutan yang tak putus-putus, kekeliruan yang tak kan habis dan permainan kotor sesetengah pihak cuba mengelirukan keadaan. Mungkin ini cuma persoalan yang hanya bermain di kepala saya, dan tidak mewakili banyak pihak. Tapi saya rasa wajar difikirkan bersama.

Guru Besar arahkan bilik persalinan dijadikan kawasan makan pelajar dan guru, atas beberapa sebab. Dan dia dimaki hamun, dicaci, dihina, dan dah diarahkan untuk mengambil cuti pun buat masa ini. Kemungkinan didakwa, mungkin menerima pelbagai ugutan, anaknya yang di luar negara stress, keluarganya yang lain mungkin juga.

Persoalan pertama, kenapa tiada sesiapa yang nak dakwa ibu-bapa yang bawa anak-anak mereka makan di gerai-gerai Khairul, Ah Shing, atau Mutu yang terletak sebelah longkang, di atas longkang, di tepi tempat pembuangan sampah, dan di atas tanah haram di tepi jalan raya? Yang tukang masaknya tak cuci tangan, yang dapurnya boleh nampak lipas dan tikus lari berkeliaran, yang laluan pengairannya tidak ditutp, yang sinkinya tersumbat, dan yang tandasnya tidak di flush?

Persoalan kedua, kenapa isu ini ditimbulkan semasa kebanyakan dari umat Islam masih lagi geram pada Bak Kut Teh Alvivi, dan ketika kehangatan isu hak kebenaran pertukaran agama anak masih dirasa, dengan pokok persoalan utama yang dimainkan adalah perkauman dan keagamaan.

Mengapa bukan persoalan kebersihan?

Betul, ada yang membahaskan hal kebersihan selain perkauman dan keagamaan. Tetapi rasanya elok dipersoalkan semula persoalan yang ada saya utarakan di atas tadi.

Sebagai orang yang dah mempunyai anak, saya akan terkesan sekiranya anak saya diminta makan di bilik yang kotor (kotorkah bilik itu?). Akan tetapi saya lebih terkesan sekiranya saya dan anak dimanipulasi untuk meraih perhatian pihak tertentu.

Islam itu mengajar umatnya supaya berlemah lembut, dan menjaga lebih dari kebersihan, itulah kesucian. Dan kesucian ini bukan hanya boleh dilihat secara zahir, tetapi juga jauh di dalam benak hati. Sebelum kita mempersoalkan kebersihan 'bilik persalinan' SK Pristina, mengapa tidak kita persoalkan kesucian hati dan niat kita untuk ketengahkan isu ini. Ikhlaskah kita ingin menjaga pendidikan anak kita?

Masih lambat untuk berbuka. Apapun, pastikan kita berbuka dengan juadah yang bersih dan suci, di tempat yang bersih dan suci.

Wednesday, August 8, 2012

Jom Jadi Duta 2

Saja nak berkongsi satu video yang diperolehi dari laman web National Geographic, yang ada mengaitkan pemanasan global dengan industri pertanian serta penternakan.


Tidaklah bermaksud yang saya ini 'vegetarian', cuma saya rasa ada mesej yang boleh dihayati pada minit ke 1:10 hingga 1:20.

Yang lain-lain tu terserah lah pada masing-masing.

Pada saya Allah dah jadikan fitrah haiwan itu untuk dimakan, dijadikan kenderaan tunggangan dan dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk lain. Ada disebut dalam Al-Quran. Yang silapnya bagaimana kita manipulasi haiwan tu, dan terlalu menuntut hawa nafsu. Ada juga disebut dalam Al Quran. Pada selang minit 1:10 hingga 1:20 dah terangkan semuanya melalui perbandingan, secara videografi.

Pada saya kita semua boleh makan daging.

Jom kita jadi Duta Islam, yang tidak semacam pada selang masa itu.

*Errr, Muslim dilarang makan khinzir yaaa....

Thursday, July 19, 2012

Jangan Lupa Datang Ya...

Waktu lahir
Ramai datang menjenguk, mengucapkan tahniah pada ibu dan ayah
Tak lupa pada kau juga

Waktu kau menyambung pengajian
Ramai datang sama menghantar
Bersalam, menyampai ucapan selamat belajar
Tak lupa ingatan janagn lupakan Tuhan

Waktu kau berjaya, tamat pengajian
Ramai datang meraikan
Mengucap tahniah
Memberi hadiah kenangan
Sama-sama gembira

Waktu hari pertama kau bekerja
Ramai mengucap selamat memula kerjaya
Ramai mengingatkan jangan lupa ibu bapa
Bila berjaya nanti

Waktu kau berkahwin
Penuh sahabat handai dan saudara
Memenuhi ruang rumah dan dewan sewaktu majlis
Aqad nikah dan kenduri
Menyamnpai ucapan tahniah
Hadiah
Doa
Dan Barakah

Waktu itu berulang lagi, kini kau sebagai ibu dan ayah
Waktu itu menjadi waktu anak-anak
Waktu bagi zuriat pula

Dan kini kau
Menanti waktu semadi yang abadi

Waktu kau menjadi jenazah
Siapa yang datang?
Siapa yang mendoakan?
Siapa yang memandikan?
Siapa yang mengkafankan?
Siapa yang mensolatkan?
Siapa yang mengkambuskan tanah?

Di akhirat kelak?
Hanya siapa?

Jadi, jangan lupa datang ya
Datangkan rasa taqwa pada Yang Maha Esa,
supaya orang lain dapat datang mendoakan

Tuesday, May 29, 2012

"Jom Jadi Duta"

Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Denmark, United States, Belgium, Australia, Canada, Netherland, Ireland.

Ini senarai negara penghasil carbon footprint tertinggi di dunia dikeluarkan National Geographic. Apa itu carbon footprint? Sedikit gambaran tentang carbon footprint di sini.

Sayangnya, tiga tangga pertama didominasi oleh negara Islam. Teringat yang pada tahun 2011, Qatar adalah negara yang mengeluarkan sisa makanan tak berusik tertinggi di dunia. Dan hal ini berlaku semasa bulan Ramadhan.

Apa kata, sebagai Muslim, kita giatkan usaha hidup bersederhana.

Makan apa yang perlu sahaja.
Buka lampu dan kipas bila mana nak digunakan sahaja.
Gunakan komputer pada waktu perlu sahaja.
Ke kedai, kalau jaraknya dekat, memadai berjalan kaki tak perlu hidupkan enjin kereta.
Maksimumkan basuhan kain dalam mesin untuk setiap kali cucian.
Minimumkan pengeluaran sampah individu, banykkan guna barangan kitar semula seadanya.
Lebihkan memelihara wudu'.

Macam-macam lagi....

Bukan apa, kita boleh jadi duta Islam terbaik.

Monday, May 21, 2012

Bijak?

Kata Syed Naqiub al-Attas, lambakan maklumat itu bukan semestinya baik.

Kerana belum tentu dalam yang banyak itu, semunya benar. Dukacita lagi jika bukan sekadar tidak benar, bahkan memandu orang kepada destini yang salah.

Kebijakan manusia menterjemah maklumat itu menjadi adunan ilmu bermanfaat sangat mustahak.

Cuma di mana taraf kebijakan kita era ini?

Pada buku?

Tafsir Quran?

Blog, Facebook?

Malaysiakini?

Dewan kuliah?

Mungkin juga pada hati, yang sentiasa diteman yakin.

Moga bijak kita itu bijak hakiki, bijak yang membimbing kita meniti liku hidup, cabaran dan dugaan, bukan bijak seperti dikehendaki orang lain.

Semuanya Milik Dia

Setiap apa yang kita rancang, hasilnya belum tentu menjadi seperti apa yang kita jangka.

Setiap apa yang kita persiapkan untuk menghadapi hari mendatang, belum tentu ia benar-benar cukup untuk berdepan semuanya.

Semua yang kita laburkan untuk kesenangan akan datang, mungkin memberi susah pula pada kita.

Siapa tahu, apa yang akan berlaku esok hari.

Baru tadi kita melihat langit membiru, baru tadi kita terpesona dengan kicauan burung.

Siapa tahu, esok mata kita tak mampu melihat lagi. Siapa tahu telinga kita tak upaya mendengar lagi.

Kita cuma mampu berusaha, dan berserah padaNya.

Monday, February 27, 2012

Hanya Perkongsian Dari Orang Lain Kerana Saya Belum Mampu

Saya bukanlah ahli agama, jauh sangat dari status bijaksana. Nak kata cerdiknya lebih dari orang, tidak juga.

Mungkin hanya kerana saya ada belajar tentang sesuatu isu, maka saya ada secebis idea untuk dilontarkan tentang apa yang saya belajar itu. Sebab perkongsian itu juga satu dakwah. Saya ketengahkan dakwah melalui mesej kebaikan yang saya rasakan mungkin mampu untuk saya fikirkan, dan garapkan dalam bentuk tulisan.

Cuma hasil tulisan saya tidaklah sehebat mana. Saya cuma mampu mengajak orang membuat apa yang saya buat, untuk lebih mengejar kesejahteraan bersama.

Isu yang sentiasa saya ulas, lebih berkisar pada kes-kes berkenaan alam sekitar, berkait dengan peluang, kelebihan, ancaman dan kelemahannya. Cuma kekadang saya kaitkan sedikit dengan keadaan semasa manusia, sebab kita ini pengguna alam sekitar - juga khalifah di buminya.

Semasa bujang, banyak saya praktikkan menjaga kebersihan. Selepas bergelas suami, saya ingatkan isteri saya supa teruskan habit menjaga kebersihan. Bila bersama pelajar-pelajar saya, acapkali saya ingatkan supaya menjaga kebersihan dan menghargai alam sekitar. Jangan buang puntung rokok merata-rata, jangan membazir penggunaan elektrik dan air. Ingatan saya pada pelajar juga adalah ingatan kepada diri sendiri. Ini juga salah satu perkara yang saya kirakan proses perkongsian ilmu yang mampu saya ketengahkan.

Di masa dulu, ada seorang kawan mengingatkan saya, cuba sebaik mungkin kaitkan apa yang saya pelajari dengan agama. Kerana dengan keperkaitan agama itu, barulah kita nampak keindahan Islam. Baru kita sedar yang agama itu berkait dengan alam, dan alamlah juga yang berkait dengan agama. Supaya kita sedar, SEBAB KITA SENTIASA LUPA, LALAI DAN LEKA.

Hasilnya, saya temui beberapa ayat Quran yang dikaitkan dengan alam ini, dan bagaimana kita khalifah bumi yang diamanahkan Allah untuk memanfaatkannya. Cumanya hasil penemuan itu terlalu sedikit kerana terhadnya daya fikir saya dan lemahnya insan bernama manusia ini. Maka saya hanya mampu berkongsi melalui penceritaan bergambar kerana tidak mampu menginterpretasikan secara berlebihan. Takut dikategorikan orang yang bukan bidang, bercakap hal yang bukan bidangnya.

Hingga kini, saya masih belum mampu menghasilkan nukilan berkesan dan efektif, menyentuh hati dan minda manusia lain untuk berfikir tentang kepentingan alam sekitar.

Akan tetapi saya suka benar untuk berkongsi dua artikel yang saya kirakan amat berkesan dalam mendidik diri kita, menghargai kebersihan dan alam sekitar menurut kacamata Islam.

Elok benar kalau diluaskan pembacaan untuk artikel dari DrMaza dan SaifulIslam ini.

Semoga kita sedar, sesi kutip sampah di awal waktu persekolahan sebelum masuk ke kelas waktu kecil dahulu adalah untuk melatih diri kita menjaga kebersihan. Bukan sekadar memori untuk diimbau atau memenuhi jadual sekolah.

Tuesday, August 2, 2011

Ramadhan sekarang...

Dah masuk Ramadhan. Bulan yang penuh rahmat.
Malam pertama Ramadhan aku dalam kereta, menyudahkan perjalanan dari Perak Ke Shah Alam. Jadi tarawikh di rumah aje, bila sampai di Shah Alam lebih kurang jam 1025 pm.

Hari pertama Ramadhan, aku berbuka di Masjid Besi (Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin) Putrajaya dengan kawan baik satu jabatan. Terkenang pulak keluarga di Shah Alam. InsyaAllah aku akan curi masa balik ke rumah berbuka dengan family.

Berbeza dengan tahun sudah, aku menyambut Ramadhan dalam suasana panas dan tempoh berpuasa yang lebih panjang. Lebih banyak cabaran. Lebih-lebih lagi bila ke bazaar, itulah ujian untuk berjimat. Kalau di tempat aku belajar dulu, tak ada bazaar untuk aku habiskan wang. Makan apa yang aku masak, apa yang rakan serumah masak. Sekarang ni, ada ayam golek, air tembikai, nasi beriani, nasi ayam, char kuew teow, sup ekor, kepak ayam, gulai kawah, aduhai... macam-macam.

Tapi agama itu tetap sama. Di ceruk mana pun, syariat tarawikh tetap ada dan dituntut sangat untuk dilaksana. Puasa di mana pun, mata tetap kena jaga. Bukan sekadar perut sahaja. Galakan mengaji tak henti-henti. Yang membezakan cuma bagaimana kita menghidupkan norma Ramadhan di dalam hati kita. Jadi jangan henti-henti berusaha berbuat yang baik, jangan putus asa tinggalkan yang jahat.

Thursday, June 23, 2011

Elak Ambil Sumber Haram

Sejak kebelakangan ni, macam-macam berita di akhbar tempatan keluar nyatakan tentang produk tu haram, produk ni haram, makanan ni haram, makanan ni ada DNA babi. Banyak sungguh.

Salah seorang kawan aku pernah cakap, "Kalaulah betul, lagi bahaya Malaysia dari negara asing macam Australia ni."

Tak tahulah betul atau tidak.

Kawan saya berseloroh, tabung uji yang digunakan untuk 'mengetest' makanan haram atau tidak, ada DNA babi atau tidak, diguna pakai yang sama sahaja tak bertukar-tukar. Hahaha... seloroh saja.

Apa kata, printkan semua senarai additive yang boleh dimakan, simpan dalam wallet. Bila nak membeli, tengok kandungannya. Kalau sah ada additive yang haram, jangan beli. Dengan cara ni, kita tak bergantung pada persepsi. Kesian orang meniaga.

Apapun, terima kasih kepada mereka yang mula-mula mewar-warkan apa-apa berita tentang produk haram. Setidak-tidak orang akan berjaga-jaga.

Monday, March 14, 2011

Material vs Masa vs Peluang

Ini kisah orang kebanyakan yang makan gaji (seperti saya).

Ada orang punya duit berkepuk-kepuk kerana kerjaya.
Pulangannya dia tidak punya masa untuk masa lapangnya. Habis masa untuk mencari nafkah. Kalaupun punya masa, sangatlah sedikit.
Perkaitan ini normal...

Ada orang punya masa yang begitu banyak untuk diluangkan untuk orang-orang tersayang.
Balasannya, dia pasti kurang masa untuk mencari rezeki. Maka kurang teballah poketnya.
Perkaitan ini normal...

Akan tetapi, ada orang punya duit dan masih punya masa lapang yang begitu banyak untuk pelbagai aktiviti lain. Negatifnya, ini tak normal. Bahasa motivasinya, ini luar biasa.

Kata kawan saya, "Orang jenis ketiga tu terima rasuah". Hehehe...

Kebijaksanaan kita membahagikan masa, menggunakan masa untuk perkara yang tertentu, dan menggenggam peluang yang ada itu sangat penting.

Belum tentu dia menerima rasuah. Akan tetapi bijaknya dia mencari, memahami dan memanfaatkan peluang itu yang membantu dia berjaya.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...
"Demi masa. Sesunggunya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula yang berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."
Al-Asr (1-3).

Friday, March 4, 2011

Khutbah Jumaat

Hari ini saya solat Jumaat di UniSA, kampus Mawson. Bukan di Wandana, ataupun UniAdelaide, ataupun City Masjid. ALhamdulillah, khutbah di sini amat menarik untuk didengar. Lebih praktikal dan lebih menarik perhatian. Walaupun cuma khutbah tadi disampaikan selama tak sampai 10 minit.

Suka untuk saya berkongsi isi khutbah jumaat yang didengar hari ini.

Khatib berkhutbah yang kandungan Al-Quran mula dikumpulkan untuk dijilidkan pada zaman saidina Abu Bakar As Siddiq. Sejarah bermula apabila Abu Bakar berjumpa dan berbincang dengan saidina Omar Al Khattab, berkenaan peri pentingnya menjilidkan Al-Quran setelah ramai hafiz Al-Quran mati syahid dalam peperangan dengan golongan yang tidak ingin membayar zakat.

Selepas itu, saidina Abu Bakar As Siddiq dan saidina Omar Al Khattab berjumpa dengan Zaid bin Thabit, merupakan seorang yang sanagt jujur, dipercayai dan juga adalah orang yang menghafal Al Quran. Atas kelebihnnya, beliau diamanahkan oleh Abu Bakar untuk menguruskan hal mengumpulkan Al Quran untuk dijilidkan.

Isi khutbah ini mengejutkan saya yang selama ini hanya mengetahui Al Quran dijilidkan pada zaman saidina Othman ibn Affan. Kata khatib, pada zaman saidina Othman, Al Quran mula dijilidkan dengan mashaf yang sama dan mula diedarkan ke negeri-negeri lain. Akan tetapi sejarah pengumpulan Al Quran pula bermula sejak zaman pemerintahan sahabat yang pertama selepas Bagin Muhammad sallallahualaihiwassalam.

Ini berbeza dengan pengumpulan kitab Bible, di mana kitab agama Kristian itu hanya mula dikumpulkan dan dijilidkan selepas beratus-ratus tahun oleh Ahli-ahli Kitab. Dek kerana itu, banyak kesilapan dan pengolahan yang berbeza dengan ayat asal yang diturunkan kepada rasul pada zaman sebelum Islam itu.

Banyak lagi sebenarnya sejarah Islam yang belum saya ketahui. Moga saya terus diberi peluang untuk mempelajari dan mengetahui tentang Islam dan ilmunya.

Tuesday, March 1, 2011

Email sharing - Biar cukup duit selepas majlis kahwin

CYBERITA Online Forum

URL: a href="http://http://cyberita.asia1.com.sg/mforum/story/0,6879,182922,00.html?">

SAYA ingin merujuk isu wang hantaran dan belanja perkahwinan yang dibincangkan di ruangan Forum. Saya memang tidak setuju tentang keperluan wang hantaran yang saya anggap sebagai satu kelemahan amalan orang Melayu kita.

Kebanyakan orang kita bergaji tidak tinggi dan selalu hadapi masalah kekurangan perbelanjaan harian. Malah ada yang sukar bayar bil api air dan ada juga yang tidak cukup dari segi belanja sekolah.

Anehnya, apabila anak hendak berumah tangga, mereka sanggup berusaha membuat majlis perkahwinan yang besar belanjanya dan melakukan perkara-perkara tidak perlu dan kolot. Mereka bermegah tentang majlis itu dan mendabik dada tentang wang hantaran yang tinggi.

Semua ini, bagi saya, adalah perbuatan dan perbelanjaan yang sia-sia dan membuang wang sahaja. Kenapa kita perlu beri wang hantaran yang bukan satu kewajipan dan pada 'harga pasaran'?

Akibatnya, yang menerima padah adalah pasangan itu sendiri, khususnya pengantin lelaki yang terpaksa menyediakan jumlah wang yang besar.

Saya sendiri tahu ada lelaki yang bermain nombor ekor kerana berharap menang dan menerima jumlah wang yang besar untuk membiayai majlis perkahwinan dan wang hantaran.

Malah ada juga ibu bapa pengantin yang menggunakan wang hantaran anak mereka untuk selesaikan hutang mereka. Ini termasuk wang itu digunakan untuk membiayai majlis perkahwinan itu yang bermakna mereka sebenarnya tidak mampu berbelanja untuk majlis perkahwinan.

Ramai anak kita yang sekadar ikut amalan bodoh ini dengan memberi wang hantaran dan akhirnya wang simpanan semuanya habis.

Kini ada sebilangan anak muda yang enggan mendirikan rumah tangga kerana tidak cukup wang hantaran. Jika bakal mentua berdegil mahukan wang hantaran, maka semakin ramailah pasangan tidak akan berumah tangga.

Cakap tidak serupa bikin? Anak saya sendiri baru-baru ini mendirikan rumah tangga dengan wang hantaran $0. Bernikah di pejabat nikah dan majlis kenduri kesyukuran hanya menelan belanja $295. Saya punya wang simpanan yang mencukupi tetapi tidak mahu terikut-ikut dengan amalan menganjurkan majlis perkahwinan yang hanya men,jejas masa depan anak.

Saya berpegang pada prinsip, ‘ada duit selepas kahwin, bukan buang duit di majlis kahwin’. Kita sebagai orang tua mesti main peranan dalam memastikan masa depan anak kita bermula dengan cara baik dengan mempunyai wang simpanan yang mencukupi demi melayari kehidupan mereka sebagai suami isteri.

Syed Muravvat Hussain

Tuesday, February 22, 2011

Jalan ke Syurga

4 jalan ke syurga, menurut sabda Nabi Muhammad sallallahualaihiwassalam dalam ucapan pertama beliau setibanya di Madinah:

1) Menyebarkan salam.
2) Memberi makan kepada orang lain.
3) Menyambung silaturrahim dan ukhuwah islamiah.
4) Solat malam, setakat mampu (walaupun 2 rakaat).

Tuesday, February 15, 2011

Jawapan pada surah Al-Insyirah

Kata ayah dan seorang teman rapat, saya sentiasa celaru memikrkan banyak perkara pada satu-satu masa. Nasihat mereka, biar diselesaikan satu persatu. Dalam menyelesaikan urusan biarlah dengan sabar, tak perlu fikr terlalu rumit, dan mengikut tertibnya.

Malam semalam di Terminal LCC, seorang lagi rakan menunjukkan saya terjemahan surah Al Insyirah. Benarlah, bukan sahaja kata orang-orang tua dan nasihat teman tapi dah lama Allah nyatakan di dalam Al Quran, iaitu dalam surah Al Insyirah ayat 1-6.

Rupanya dah lama saya tertipu dan termakan dengan istilah 'multi-tasking' yang cukup popular dalam industri makanan fast-food sejak berkurun lamanya.

Jadi nasihat saya kepada semua rakan-rakan, apabila kita berurusan, hendaklah diselesaikan satu persatu. Tak perlu melakukan banyak perkara pada satu-satu masa.

Desakan merasa masa berlalu begitu seketika di akhir zaman sepertimana dalam hadith baginda Muhammad sallallahualaihiwassalam perlu diatasai dengan baik.

Semoga kesedaran ini istiqamah di dalam hati kita semua.

Sunday, January 16, 2011

Garis Penamat yang Terkebelakang?

Negara kita sedang memacu pembangunan untuk mencapai Wawasan 2020. Sasaran yang ditetapkan pastinya membanggakan kita, membuahkan hasil yang luar biasa buat anak cucu kita kelak. InsyaAllah pada ketika tiba saat itu, Malaysia akan diiktiraf sebuah negara maju, berpendapatan tinggi dan pelbagai lagi istilah yang mega luar biasa.

Akan tetapi perlu diingat, seraya kita berusaha mengejar kemajuan, negara maju sedia ada pun sedang membentuk bentuk kemajuan yang baharu.

Pada akhirnya apabila kita tiba di titik 'kemajuan yang dikejar sekarang', sebenarnya kita telah ditinggalkan oleh pelbagai lagi kemajuan baharu dinamakan dengan bermacam istilah yang maha hebat. Garis penamat yang kita kejar selama ini sebenarnya adalah di belakang.

Adakah itu boleh dijadikan alasan kita berhenti berusaha?

Memajukan diri adalah satu proses yang istiqamah, konsisten. Selepas Malaysia mencapai Wawasan 2020 pastikan kita mensasarkan wawasan baharu pula.

Dari sudut Islam, pada akhirat kelak Allah swt tidak akan menyoal hambaNya apakah hasil dari kebaikan yang dibuat sepanjang hayatnya? Akan tetapi Allah swt akan bertanya hambaNya apakah usaha yang telah dilakukan oleh mereka untuk menyebarkan kebaikan dan memperbanyakkan kuantiti serta meningkatkan kualiti ibadat.

Wallahua'lam...