Tuesday, November 8, 2011

Lagi Perihal 7 Billion

Maish berkisar isu 7 billion, berdasarkan artikel saya sebelum ini.

Kali ini saya ingin berkongsi lebih lagi, dengan artikel lain. Maaf copy paste dan bukan my own writing. Tapi saya setuju dengan apa yang dibentangkan.

"7 billion manusia bukan sekadar angka"

Antara isunya - cuba kira dari angka 1 hingga 7 billion.

Berapa cepat kadar kelahiran untuk mencapai jumlah 7 billion?

7 billion saat dahulu, bumi berada di tahun berapa?

Moga kita sedar dan bertindak, apa langkah yang sepatutnya diambil.

Thursday, November 3, 2011

7 Bilion dan Impaknya

Kelahiran individu ketujuh bilion dunia memberi makna signifikan untuk pelbagai pihak.

Bagi si ibu dan bapa, sudah tentu kelahiran ini memberikan kegemberiaan dan rahmat tuhan, walau dari apa jua agama yang dianuti.

Dari satu belah pihak yang lain, saintis dan pemerhati akademik, kegembiraan kelahiran ini juga menyalakan lampu merah yang perlu difahami oleh semua pihak.

Dengan jumlah populasi dunia yang semakin meningkat, permintaan atas makanan, air bersih, kawasan teduhan dan ruang pembangunan juga semakin meningkat. keamanan dan kestabilan juga tidak dinafikan dikategorikan sebagai keperluan asas buat masa kini. Sayangnya dengan keadaan iklim yang tidak lagi mudah diramal dan dikaji, semua nikmat Allah yang dinikmati ratusan, ribuan tahun dahulu semakin tiada.

Ruang semakin menyempit. Sumber makanan semakin terhad dan isipadu air bersih semakin kurang. Dengan jumlah populasi semakin bertambah dan jumlah sumber semakin menyusut, apa tindakan kita untuk memastikan anak-anak kita merasa benda yang sama dengan apa yang kita rasa dahulu.

Adakah kita sudah mengubah cara hidup kita? Paling utama, cara berfikir kita.

Sayangnya, kita masih membuang puntung rokok merata-rata tempat. Kita masih membuka paip sambil menggosok gigi. Kita masih membeli makanan berlebihan walaupun tahu ia hanya akan dilontar ke dalam tong sampah. Kita masih membuka lampu hingga ke tengahari.

Banyak lagi gaya hidup mementingkan diri yang kita amalkan.

Kekadang ia dibahaskan secara kritikal. Kiat perlu menggunakan air yang banyak untuk keperluan industri. Kita perlukan ruang di dalam hutan untuk dijadikan tempat kumbahan sisa kimia. Kita perlu gunakan banyak arang dan diesel untuk menggerakkan jentera. Jadi tak salah menggunakan sumber itu. Hasil akhirnya untuk manusia.

Tak dipertikaikan, pembangunan juga penting. Yang gagal kita praktiskan pada masa kini ialah mengutamakan yang lebih penting dan juga mengamalkan gaya hidup sederhana. Bukan hanya sederhana berbelanja supaya duit masih berbaki hingga masuk gaji hujung bulan. Tetapi juga bersederhana untuk kepentingan generasi akan datang.

Berfikir dan bertindak di luar kotak.

Thursday, October 20, 2011

Jom Berhimpun 2???

Kalau dahulu perhimpunan BERSIH, sekarang HIMPUN. Seingat aku dulu-dulu ada jugak perhipunan AMAN.

Banyak sungguh perhimpunan sekarang. Perhimpunan yang dibuat sebagai platform mencari sokongan pihak majoriti tentang sesuatu isu yang hendak dimenangkan.

Bolehkah menyertai HIMPUN? Benarkah HIMPUN dibuat atas asas kesedaran agama? Atau hanya mainan politik yang semakin menjadi-jadi? Wallahua'lam, sebagai manusia biasa memang kita tak kan tahu.

Siapa nak pergi, pergilah. Pada yang tak berpeluang dan tak berkeyakinan untuk pergi, berdoalah. Cuma pada aku, elok lagi berhimpun di masjid-masjid dan surau-surau memenuhkan saf berjemaah. Bukan bermaksud aku merelakan usaha memurtadkan saudara seagama dengan aku. Cuma rasanya usaha memenuhkan saf masjid perlu lebih diberi penekanan. Kan dah selalu disebut-sebut, nak lihat baik buruk sesuatu masyarakat, lihat jemaah di surau atau masjidnya. Jadi, jika makin utuh dan bersemangat kita memenuhkan masjid menunaikan ibadat secara jemaah, insyaAllah aqidah kita akan dilindungi Allah.

Bukan sekadar pergi berhimpun dan juga terbitkan drama TV berunsurkan Islam. Agama itu bukan untuk didagangkan.

Bukan bermaksud berdiam diri, cuma kita perlu perbaiki diri. Betulkan aku kalau aku silap.

Wallahua'lam.

Tuesday, October 11, 2011

Laman Sosial

Facebook, blog, twitter dan macam-macam lagi satu medan untuk pengguna berkomunikasi dengan pelbagai orang, baik dalam jarak dekat mahupun jauh. Kalau 10 tahun lalu masih terlalu mahal untuk setiap dari kita memiliki telefon bimbit, sekarang ini kekadang ada yang punya 2 telefon bimbit. Bukan sekadar untuk berkomunikasi, telefon bimbit pun digunakan untuk melayari internet. Maka lebih mudahlah untuk pengguna facebook dan laman sosial seadanya menggunakan platform tersebut.

Platform ini juga digunakan untuk sesetengah orang mengetengahkan pandangan, persepsi, ideologi, mencari kawan dan sebagainya. Ini termasuklah untuk tujuan yang tidak baik seperti memburukkan orang lain, mencari pengaruh dan menyebarkan berita palsu.

Kajian Institut Sosial Negara menunjukkan anak muda Malaysia kini menghabiskan hampir 4 jam sehari menghadap komputer melayari laman sosial seperti ini. Tabiat ini dilihat mampu merosakkan pemikiran dan sahsiah anak muda. Kalau tak ditegah, bahayanya akan menular dan menjadi semakin parah.

Tak perlu kita bahaskan bagaimana nak mengurangkan masalah ini. Dah terlalu ramai pakar yang membincangkannya. Biar kita bincangkan dari sudut penggunaannya sahaja.

Ada yang menggunakan laman sosial untuk melepaskan kemarahan. Silap kawan sedikit, post di facebook atas kekurangannya. Dah menjadi ruang berhujah siapa betul, siapa salah. Kalau di blog pula, semua menjadi hakim. Katakan kalau yang pemilik blog itu pemimpin kerajaan, pengulas dari pembangkang terus-terusan menyelar hasil tulisannya tanpa memberi ruang kepada pengulas lain untuk lebih berfikir secara waras dan matang. Kalau idea yang diberikan menarik pun, pengulas cenderung untuk berat sebelah.

Setiap orang akan ada pendirian tersendiri. Pemahaman dan penerimaan atas idea orang lain ini yang sangat kritikal kerana keperluan dan kehendak setiap orang itu berbeza-beza. Kita tak boleh menerima secara membuta tuli, tapi tak boleh juga kita menolak mentah-mentah. Kalau kita tak bersetuju, eloklah dibahaskan secara baik. Kalau pandangan kita masih tak diterima, eloklah kita tinggalkan perbincangan itu dan buka minda untuk perbincangan lain. Kalau terus berhujah, apa yang dirisaukan jadi perbahasan atas kepentingan diri pula. Budaya berbincang secara terbuka dan berhemah, menghormati orang lain perlu disemat dalam diri setiap orang.

Perkara kedua yang perlu diambil perhatian adalah kesahihan maklumat. Sesetangah orang boleh berhujah secara berhemah dari sudut komunikasi, akan tetapi tidak pula berhemah dari segi fakta. Ada yang mengutarakan pelbagai fakta-fakta dengan nombor untuk menunjukkan perbandingan dalam hujah. Akan tetapi sejauh mana fakta itu sahih dan benar? Dari manakah sumbernya? Adakah sumbernya boleh dipercayai? Adakah kita mengambil fakta begitu sahaja, tanpa membuat perbandingan dengan dua-tiga lagi sumber?

Isu ini perlu mendapat perhatian setiap individu, kerana penggunaan lama sosial semakin meluas. Ia dah menjadi seperti produk asas. Maklumat dan medan perbincangan itu terlalu banyak, hinggakan tak tahu saluran yang mana lebih kukuh. Kalau dibiarkan, akhirnya setiap orang akan menjadi hakim. Setiap orang akan membina teori sendiri. Setiap orang akan merasakan dia sahaja yang betul.

Akhirnya, ia berbalik kepada pendidikan dan perlu diingat yang tak ada kebebasan dan keterbukaan yang mutlak.

Monday, October 3, 2011

Yang Menyesatkan

Orang kita suka benar berhibur. Kalau ke mana-mana pun, bila-bila masa pun, hampir setiap masa adalah hiburan.

Kita cenderung untuk gelak ketawa, mencari yang seronok daripada mencari intipati sesuatu isu.

Sebab itulah kita semakin leka.

Sedihnya bila melihat iklan di kaca TV yang menunjukkan pemimpin utama negara turut serta dalam konsert terbesar Malaysia tahun ini, dan dalam hiruk pikuk orang berjoget tak sedar diri, pemimpin negara jelas menamakan identiti "Inilah generasi baru Malaysia".

Maknanya generasi baru ini generasi yang suka berhibur, yang suka menari, yang sukakan suasana sepertimana di dalam konsert tersebut.

Dalam sambutan apa pun, mesti ada slot hiburan - tarian, nyanyian, etc.

Yang lebih pedi, dalam setiap hiburan, mesti ada diselit fahaman-fahaman yang kononnya betul sedangkan salah.

Tajuk drama pun dah ada Tahajjud Cinta. Dah jadi penyakit baru, agama digunakan sebagai medium penarik pelanggan dalam dunia hiburan. Intipati cerita dalam wayang pun, banyak yang dibuat sambil lewa tanpa mengambil kira kesan kepada anak-anak kecil.

Dalam pendidikan pun, kita terlalu cenderung untuk mengejar keseronokan dalam sesi pembelajaran. Kalau tak seronok, kita takut anak murid tak boleh tumpu perhatian. Tak salah untuk ketengahkan modus operandi yang semacam itu. Tapi kebanyakan guru jarang membuat kesimpulan dalam apa-apa perbincangan.

Kalau tak ditegah dari sekarang, kita akan sesat dengan hiburan.

Monday, September 26, 2011

Audit Sesi Menipu Diri Sendiri?

Pada suatu hari, seorang pengurus sibuk menyelesaikan segala urusan dokumentasi berkaitan pentadbirannya. Kesibukannya hari itu luar biasa memandangkan hari itu, hari istimewa. Pejabatnya akan dikunjungi auditor yang juga autoriti yang akan menganugerahkan sijil ISO.

Sebagai satu entiti kecil, 'kejayaan' jabatannya dipilih untuk diaudit merupakan satu kebanggan besar, tapi juga satu bencana yang luar biasa baik.

Manakan tidak. Kalau gagal di peringkatnya, banyaklah masalah yang akan timbul, dan akhirnya menyulitkan lagi keadaan organisasi secara keseluruhan untuk dianugerahkan ISO.

Terdorong dek rasa tanggungjawab yang tinggi, pengurus ini bermati-matianlah mengarahkan semua staf bawahannya bersedia 200%. Kemaskini dokumen, penambahbaikan pelaksanaan, semakan fail-fail dan macam-macam lagi. Semuanya dibuat berbulan-bulan sebelum hari audit tiba.

Akhirnya pada hari itu, sebelum auditor tiba ke jabatannya, Pengurus masih lagi bertungkus lumus. Buat kali yang terakhir, Pengurus mengarahakn bermacam-macam lagi gerak kerja kepada staf bawahannya untuk disiapkan.

Malang tak berbau. Oleh sebab tekanan kerja yang terlalu banyak, salah seorang staf bawahannya pitam. Dia muntah dan terjatuh, tak mampu bangun dengan sendirinya. Dia cuma kerani biasa, tidak mendapat latihan insentif seperti seorang bergelar pegawai. Mungkin kerana beban kerja dan daya tahan yang tidak sepadan, dia jatuh pada hari itu. Panik semua isi pejabat, termasuklah si Pengurus.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Pada masa itu jugaklah auditor sampai ke muka pintu. Bertambah merah padam muka si Pengurus. Auditor yang melihat keadaan itu, terus bertanya kenapa semua ini terjadi.

Diceritakan secara jujur oleh Pengurus, auditor mendengar dengan baik. Staf yang pitam tadi dibawa ke klinik untuk rawatan dan diberi cuti rehat untuk 2 hari. Manakala sesi audit berjalan semula seperti biasa.

Cukup dari kisah ini. Ini kisah benar, tapi dengan sedikit olahan.

Salah si Penguruskah? Atau memang lemah si staf bawahan? Atau silap audit?

Bukan salah sesiapa. Mendapatkan pensijilan bertujuan untuk mendisiplinkan semua entiti dan jabatan di Malaysia supaya berdisiplin dalam menyiapkan kerja, cekap dan tidak buat sambil lewa.

Sayangnya disiplin itu masih belum dipupuk di dalam jiwa semua kita. Sebab itulah kita cuma bertungkus lumus hanya untuk audit, bukan untuk tugasan kita. Kita buat kerja supaya mendapat sijil. Bukannya untuk memberi khidmat seperti yang sepatutnya kita dibayar gaji.

Nampaknya macam sesi audit ini ialah sesi untuk kita menipu diri sendiri.

Thursday, September 22, 2011

Sedikit Perkongsian Berkenaan Sistem Ujrah PTPTN

Semalam saya berbual dengan salah seorang pegawai perundangan di PTPTN. Beliau menjelaskan isu persoalan saya tentang beberapa perkara yang dinyatakan dalam perjanjian sistem Ujrah. Untuk berkongsi, saya sediakan dalam bentuk penulisan ringkas dan point form.

1) Secara principle, katakan seorang pelajar yang telah mengambil pinjaman PTPTN selama 3 semester. Pada semester ke-4 sekiranya apa-apa berlaku kepada peminjam (seperti kemalangan yang menyebabkan kematian atau keilatan kekal) yang juga menyebabkan pelajar tidak dapat menyambung pengajian, jumlah pinjaman 3 semester pertama tidak perlu dibayar semula. Ia akan dibayar oleh pihak Takaful.

2) Katakan seorang peminjam yang telah bergraduat, dan membayar mengikut jadual tanpa tunggakan selama 3 tahun. Pada tahun keempat, peminjam meninggal dunia dan tempoh bayaran balik masih berbaki dengan jumlah tertentu. Jumlah baki pinjaman yang tinggal tidak perlu dibayar semula. Ia akan dibayar oleh pihak Takaful.

3) Katakan seorang peminjam yang telah bergraduat, dan membayar tidak mengikut jadual sepatutnya dengan tunggakan selama 3 tahun. Kekadang bayar, kekadang tidak. kalaupun bayar, tidak penuh mengikut jumlah yang ditetapkan. Pada tahun keempat, peminjam meninggal dunia dan tempoh bayaran balik masih berbaki dengan jumlah tertentu. Juga, masih ada jumlah tunggakan yang tidak berbayar secara penuh semasa hayatnya untuk 3 tahun pertama. Dalam kes ini, jumlah baki pinjaman yang tinggal (iaitu baki pinjaman tahun keempat dan seterusnya) tidak perlu dibayar semula. Ia akan dibayar oleh pihak Takaful. Akan tetapi, jumlah baki tunggakan (yang tidak dibayar secara sempurna oleh peminjam dalam tempoh 3 tahun pertama semasa hayatnya perlu lah dijelaskan oleh penjamin ataupun waris peminjam.

4) Katakan seorang peminjam yang telah bergraduat, dan berdasarkan pinjaman dia perlu menjelaskan jumlah hutang pinjaman dalam tempoh 10 tahun (berdasarkan jumlah pinjaman). Sekiranya dia mampu menjelaskan hutang pinjaman kurang dari tempoh yang diberi (katakan 5 tahun selesai menjelaskan semua hutang), peminjam berhak meminta semula lejar premium dari pihak PTPTN. Lejar premium merupakan satu jumlah yang disediakan sebagai jaminan risiko peminjam tidak membayar mengikut jadual atau tidak mengikut masa yang ditetapkan (sekiranya saya tidak salah).

5) Peminjam yang tamat cemerlang (CGPA first class) berhak untuk menuntut penukaran status pinjaman kepada biasiswa kepada PTPTN. Bermakna, pelajar dalam status ini tidak perlu membayar semula pinjaman PTPTN. Ini merupakan hadiah yang diberikan oleh kerajaan kepada pelajar yang bertungkus lumus dalam pengajiannya. Akan tetapi, permohonan perlu dibuat. Ia tidak akan diberi secara automatik.

Ini apa yang dapat saya kongsikan. Maafkan saya sekiranya masih menyediakan maklumat yang salah atas kekurangan saya sendiri.

Sedikit komen. Pada saya, PTPTN atas arahan kerajaan masih bertindak seperti sebuah bank dengan polisi bayaran balik yang diketengahkan. Apapun, segala usaha yang dibuat untuk membantu meringakan pelajar masih dilihat relevan dan baik.

Jadi saya sambut baik usaha yang dibuat.

Wednesday, September 14, 2011

Perkhidmatan

Dunia perkhidmatan memerlukan pengendali dan sistem berkesan untuk memastikan hasil kemajuan sesuatu urusan dapat dicapai dalam masa dan kualiti yang ditetapkan. Sayangnya tiada sistem yang sempurna, begitu juga tiada manusia yang lengkap serba serbi tanpa mampu membuat kesalahan.

Kombinasi human error and system lacking ini menjurus kepada satu kesimpulan - penganiyaan yang tidak disengajakan kepada customer.

Untuk itu, kepada mereka yang pernah menjadi mangsa perkara ini, diharap dapat bersabar. Mungkin petugas itu sudah tua dan tidak mampu bertugas secara agresif. Mungkin juga prosedur di dalam sistem kurang dijelaskan di dalam dokumen.

Ada kemungkinan juga, kita sendiri yang salah.

Aku Merungut

Semalam bermesyuarat dan bekerja hingga larut malam. Pulang ke rumah jam 1 pagi. Itu semua adalah kerja menyelesaikan masalah orang lain, bukannya masalah aku sendiri.

Pulangan materialnya? Gaji yang tak seberapa. Apa boleh buat. Nama pun makan gaji. Cuma sesekali terfikir nak cabut lari buat bisnes sendiri.

Kata rakan aku, kita memang bekerja kerana wang. Untuk survival hidup di medan yang perit ini. Yang selalu menyebabkan kita leka dan lalai dengan hal-hal ketuhanan.

Sebab itu ada kalangan staf yang berkelahi kerana Anugerah Cemerlang. Ada sesama staf yang memaki kerana penerbitan jurnal. Ada staf yang iri hati dan berdengki kerana agihan jadual kerja lebih masa yang tidak sama rata. Si pegawai menunjuk hebatnya. Si kerani keras dengan egonya. Kita berjuang semuanya atas sebab kerana wang, untuk survival hidup kita.

Akhirnya, masalah tak juga selesai. Yang lama berlalu, yang baru menjengah.