Wednesday, February 20, 2013

Currently....

Setiap orang punya cita-cita, punya impian, punya harapan.
Bilamana harapan, cita-cita dan impian itu terhalang,
itulah masalanya kita rasakan peritnya hidup ini.
Bilamana harapan, cita-cita dan impian itu musnah,
itulah masanya kita rasa erti kosong di dunia ini.


Jadikan teman hidup disamping itu pendokong,
Jadikan keluarga di belakang itu penggerak,
Jadikan rakan dikeliling itu penggalak,
Jadikan harapan, cita-cita dan impian itu realiti,
Kerana ia juga milik mereka, milik semua.

Thursday, January 31, 2013

Perkongsian - Artikel dari Berita Harian

Langkah bersepadu perlu dilaksana elak kos pemulihan terus meningkat
Secara asasnya pertumbuhan ekonomi di kawasan Asia meningkatkan taraf sosio kehidupan penduduknya. Pada masa sama, keadaan ini membawa kepada peningkatan penggunaan sumber semula jadi dan eksplotasi persekitaran untuk keperluan sosial dan industri. Akibatnya, di kebanyakan bandar negara Dunia Ketiga, pembuangan sampah yang tidak diurus dengan baik akan mengakibatkan masalah besar seperti banjir.
Penghasilan sisa pepejal di kebanyakan negara Asia meningkat terutama di negara mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan sistem pengurusan sisa pepejal yang teruk serta pemahaman mengenai kepentingan penjagaan yang masih rendah. Sekiranya setiap individu terus mengamalkan sikap suka membuang sisa pepejal secara tidak berhemah, masalah banjir kilat akan menjadi lebih kritikal.
Banjir adalah bencana alam yang sering melanda di kebanyakan tempat di Malaysia. Ia berpunca daripada ketidakseimbangan kitaran air yang biasanya disebabkan peningkatan kawasan tepu bina, kelemahan sistem pengairan bandar di sesebuah lembangan dan beberapa faktor fizikal lain.

Sebagai contoh kawasan yang sering dilanda banjir ialah kawasan tanah rendah terutama di kawasan Pantai Timur Semenanjung seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan yang dilanda musim tengkujuh antara November hingga Mac. Masalah ini menyebabkan penduduk kehilangan harta benda dan paling menyedihkan ia juga meragut banyak nyawa.

Masalah banjir juga turut berlaku di Georgetown, Pulau Pinang khasnya di sekitar Jalan P Ramlee dan Jalan Perak pada September 1995. Banjir kilat berlaku sekiranya hujan lebat untuk tempoh masa agak lama disertai peningkatan paras air sungai yang mendadak.

Pembuangan sampah

Antara punca masalah banjir kilat ialah pembuangan sampah sarap oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) turut memperakui bahawa sisa pepejal adalah punca berlakunya masalah banjir di kawasan berkenaan.

Di Kuala Lumpur, banjir kilat sering berlaku di sekitar Jalan Klang Lama, Kampung Baru, Pantai Dalam dan Kampung Haji Abdullah Hukum. Kepadatan penduduk yang semakin bertambah dan kepesatan pembangunan di Kuala Lumpur memburukkan lagi keadaan.

Hal ini dibuktikan dengan terjadinya banjir kilat yang agak serius sejak kebelakangan ini, termasuk pada 10 Jun 2003 yang mana bandar raya Kuala Lumpur ditenggelami air diikuti pada 14 Julai 2004 di mana kawasan sekitar Sungai Buluh pula dilanda banjir. Kejadian terbaru banjir kilat di Kuantan pada 24 Disember 2012 lalu pula akibat limpahan air Sungai Galing dan menenggelamkan beberapa kawasan bandar Kuantan sehingga 1.5 meter.

Walaupun fenomena hujan lebat yang dikaitkan dengan masalah pemanasan global dikatakan sebagai punca utama, faktor asas lain seperti pembuangan sisa pepejal yang menghalang pengaliran air yang sempurna tidak boleh dipandang remeh dan perlu diselesaikan bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang lagi pada masa hadapan.

Tiada kesedaran

Sikap penduduk membuang sampah ke dalam longkang atau perparitan menyebabkan sistem pengaliran air tersekat. Kebanyakan sampah yang dibuang ke dalam parit perbandaran akan mengalir ke dalam sungai dan menyebabkan pengaliran air sungai tidak lancar.

Selain itu, endapan terkumpul akibat kerja pembinaan yang pesat dan tidak terkawal serta hakisan tebing menyebabkan parit dan kawasan sungai menjadi cetek. Hal ini akan mengurangkan kapasiti pengaliran air dan menyebabkan limpahan sungai.

Beberapa siri banjir dan banjir kilat sejak 2001 sehingga 2012 di negeri Pantai Timur dan pada 2006 di Johor menelan kos pemulihan jutaan ringgit dan ia akan terus meningkat pada masa akan datang jika langkah bersepadu membendung banjir tidak dilaksanakan.

Secara asasnya bagi mengelakkan kejadian banjir kilat ini terus melanda sama ada di kawasan yang biasa terkena banjir atau tidak, setiap individu mesti mempunyai kesedaran yang maksimum untuk mengubah cara pemikiran mereka supaya masalah pembuangan sisa pepejal ke sistem perparitan dan sungai tidak berlaku sesuka hati.

Penulis ialah Pengarah Pusat Penyelidikan & Pembangunan Sumber Alam (CERRM) Universiti Malaysia Pahang

Wednesday, December 26, 2012

Ahli Baru


MUHAMMAD ADAM ZIKRI BIN ZULKHAIRI AZIZI
14 DISEMBER 2012 - 1 SAFAR 1434
Mula mengenal dunia pada detik 20:08

Kerana dialah teladan dan pemimpin terbaik, yang terpuji, yang sentiasa mengingatiNya, dan ibunya.

Friday, November 30, 2012

Wednesday, November 21, 2012

Sekitar Kochi, Jepun

Lawatan kerja selama 8 hari di Kochi University, Kochi, Jepun memberi lebih pengalaman pada saya. Daripada waktu tiba hingga balik semula ke Malaysia, layanan yang diterima oleh rombongan diketuai saya mendapat layanan baik. Bukan hanya oleh pihak universiti, bahkan juga pemandu bas, pengendali tiket, jurual di convinient store, dan di mana saja. Pada saya, penduduk Jepun berjaya membentuk identiti mereka yang tersendiri. Saya kagum dengan cara mereka yang begitu rendah diri. Sungguhpun pertuturan mereka di dalam bahasa Inggeris boleh dikatakan teruk, dan tidak fasih, mereka tidak berputus asa memberi bantuan penterjemahan dan cuba memahamkan saya dan ahli rombongan.

Satu perkara luar biasa yang saya belajar di Jepun, yang mana saya kirakan berjaya mengalahkan komuniti di Adelaide, Australia tempat saya belajar dahulu, ialah tandasnya. Tandas di Jepun terlalu bersih. Saya ulang, terlalu bersih. Sebagai penganut Islam, saya berasa malu mengenangkan tandas di tanah air, termasuk tandas di rumah sendiri.

Saya tak berkesempatan untuk mengulas terlalu banyak. Apapun saya cukup suka untuk berkongsi gambar-gambar di sana semasa lawatan tersebut.



Kolam hiasan di depan Faculty of Agriculture, Kochi University



Bendera Jepun berkibar di depan Muroto National Youth Outdoor Learning Centre, Muroto



Matahari terbit di Muroto National Youth Outdoor Learning Centre, Muroto



Pemandangan di Global Geopark Muroto (GGM), Muroto



Pemancing di sebalik batu mencuba nasib di Lautan Pasifik, Muroto



Pemandangan Lautan Pasifik dari View Tower GGM, Muroto



Bongkah batu ini, tiada apa yang menariknya.....



Dari pandangan sudut, dilihat seakan bentuk raut muka manusia. Juga di GGM.


Ratum, hasil yang tumbuh selepas tuaian padi pertama.



Katsurahama (Katsura Beach)



Pokok hiasan



Khaki, buah-buahan yang banyak ditanam di hadapan rumah. Kalau di Malaysia ibarat seperti rambutan. Ia dikenali sebagai Pisang Kaki di tempat kita



Lanskap hiasan

Lawatan Kerja ke Negara Matahari Terbit, Koleksi Matahari Terbit

Semasa Lawatan Kerja saya ke Kochi University, Jepun awal November lalu, banyak perkara baru yang saya belajar. Kochi, sebuah negeri yang sangat terkenal dengan pertaniannya. Lagipula, ia sebuah rural area. Hampir keseluruhan kawasannya tidak sesibuk bandar besar seperti Osaka, yang sempat saya singgah buat seketika sebelum pulang semula ke tanah air.

Untungnya dapat melihat alam yang tak mungkin akan ada di Malaysia seperti Lautan Pasifik.

Sepanjang sesi lawatan bersama 5 orang pelajar, banyak sesi pembentangan yang kami hadiri. Itu pembelajaran fardhu kifayah. Saya katakan pada pelajar, pengamatan kita pada gaya hidup orang Jepun, cara mereka menjaga kebersihan tandas dan persekitaran, cara mereka menghormati masa dan menyanjungi tetamu, cara mereka bekerja, juga satu sesi pembelajaran tak langsung yang mesti mereka teliti.

Sedikit gambar di dalam kapal terbang sebelum mendarat. Koleksi matahari terbit. Kualiti gambarnya mungkin kurang baik, tapi ini antara yang dapat saya kongsikan.








Tanpa saya sedari, rupanya banyak gambar yang saya ambil semasa lawatan tempoh hari berlatar belakangkan matahari. Mungkin kerana sudah identitinya Negara Matahari Terbit.

Kalau berkelapangan, nanti saya kongsikan lagi.

Tuesday, October 16, 2012

Nilai Seorang Graduan



Musim konvokesyen tahun ini sedikit sejuk kerana hujan yang kerap kali turun, hampir setiap hari sejak bermulanya Pesta Konvo secara rasmi. Akan tetapi sejuknya cuaca tidak menyelimuti semangat mahasiswa memeriahkan Pesta Konvo, dan majlis konvokesyen itu sendiri.

Tahniah buat semua graduan, mereka yang telah berusaha keras selama 3, 4 tahun untuk mendapatkan segulung ijazah. Pada hari penuh bersejarah itu, semua graduan hanya memerlukan masa kurang dari seminit... Tidak, bahkan mungkin hanya 30 saat sahaja di atas pentas menggenggam gulungan ijazah. Itulah nilai sehelai kertas, yang dicetak dengan semua Purata Nilaian Gred Kumulatif sepanjang 4 tahun pengajian, dan sehelai lagi kertas yang dicetak dengan ayat pengiktirafan kerana berjaya menamatkan pengajian dan mendapatkan ijazah.

Tapi itu bukan nilai seorang graduan. Graduan itu, datang dengan pakej yang lebih lengkap. Mindanya datang dengan kemampuan analitikal dan praktikal. Jiwanya itu tertanam sikap dipercayai dan mempercayai. Pancainderanya lengkap kemahiran dan kompetensi. Dirinya itu sendiri penuh potensi. Inilah nilai graduan yang dilihat mengikut aspek pasaran kerjaya. Nilai ini tidak dapat diukur dengan aras gaji, apatah lagi dengan jumlah pinjaman PTPTN, atau biasiswa MARA dan JPA.

Syaratnya, untuk mendapatkan nilai lebih dari harga sekeping kertas ijazah, anak muda itu tak harus membuang masa. Usaha mengembangkan potensi diri dan membawa keluar ‘gergasi hebat dan luar biasa’ yang lama tersorok dalam diri itu tidak hanya boleh dilakukan dengan penglibatan di dalam kelas. Itulah justifikasi adanya pelbagai kegiatan ko-kurikulum, aktiviti kesukarelawanan dan daya saing sukan mahupun kebudayaan. Hanya dengan itu sahajalah, kehebatan sebenar kita boleh dikeluarkan serentak dengan pembentukan nilai-nilai murni.

Kerana itulah, agama murni milik Yang Maha Esa menunjukkan contoh, terbentuknya peribadi mulia junjungan besar Muhammad s.a.w. adalah hasil tarbiyyah berterusan menghadapi pelbagai kesusahan dan kepayahan hidup sejak dari kecil lagi. Bukan hanya dengan datangnya wahyu melalui mimpi.