Tuesday, July 30, 2013

Mari Makan di Pristana

Assalamualaikum wbt,

Salam Ramadhan.

Entry ringkas ini ditulis pada 22 Ramadhan, selepas saya puas memerhati kekalutan yang tak putus-putus, kekeliruan yang tak kan habis dan permainan kotor sesetengah pihak cuba mengelirukan keadaan. Mungkin ini cuma persoalan yang hanya bermain di kepala saya, dan tidak mewakili banyak pihak. Tapi saya rasa wajar difikirkan bersama.

Guru Besar arahkan bilik persalinan dijadikan kawasan makan pelajar dan guru, atas beberapa sebab. Dan dia dimaki hamun, dicaci, dihina, dan dah diarahkan untuk mengambil cuti pun buat masa ini. Kemungkinan didakwa, mungkin menerima pelbagai ugutan, anaknya yang di luar negara stress, keluarganya yang lain mungkin juga.

Persoalan pertama, kenapa tiada sesiapa yang nak dakwa ibu-bapa yang bawa anak-anak mereka makan di gerai-gerai Khairul, Ah Shing, atau Mutu yang terletak sebelah longkang, di atas longkang, di tepi tempat pembuangan sampah, dan di atas tanah haram di tepi jalan raya? Yang tukang masaknya tak cuci tangan, yang dapurnya boleh nampak lipas dan tikus lari berkeliaran, yang laluan pengairannya tidak ditutp, yang sinkinya tersumbat, dan yang tandasnya tidak di flush?

Persoalan kedua, kenapa isu ini ditimbulkan semasa kebanyakan dari umat Islam masih lagi geram pada Bak Kut Teh Alvivi, dan ketika kehangatan isu hak kebenaran pertukaran agama anak masih dirasa, dengan pokok persoalan utama yang dimainkan adalah perkauman dan keagamaan.

Mengapa bukan persoalan kebersihan?

Betul, ada yang membahaskan hal kebersihan selain perkauman dan keagamaan. Tetapi rasanya elok dipersoalkan semula persoalan yang ada saya utarakan di atas tadi.

Sebagai orang yang dah mempunyai anak, saya akan terkesan sekiranya anak saya diminta makan di bilik yang kotor (kotorkah bilik itu?). Akan tetapi saya lebih terkesan sekiranya saya dan anak dimanipulasi untuk meraih perhatian pihak tertentu.

Islam itu mengajar umatnya supaya berlemah lembut, dan menjaga lebih dari kebersihan, itulah kesucian. Dan kesucian ini bukan hanya boleh dilihat secara zahir, tetapi juga jauh di dalam benak hati. Sebelum kita mempersoalkan kebersihan 'bilik persalinan' SK Pristina, mengapa tidak kita persoalkan kesucian hati dan niat kita untuk ketengahkan isu ini. Ikhlaskah kita ingin menjaga pendidikan anak kita?

Masih lambat untuk berbuka. Apapun, pastikan kita berbuka dengan juadah yang bersih dan suci, di tempat yang bersih dan suci.

Sunday, June 9, 2013

Monday, May 6, 2013

GE13

Alhamdulillah Pilihanraya Umum ke-13 berakhir dengan selamat sebentar tadi, tanpa perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Moga-moga keamanan ini kekal.

Keputusannya, BN, PAS dan Melayu kalah, Cina menang.

Aqidah Islam, menang kalahnya dalam jiwa masing-masing.

Sekarang adalah masa bekerja, (walaupun ada yang ambil cuti) dan merealisasi wawasan untuk maju dan berjaya.

Thursday, April 4, 2013

Itu Dia



BERJAYA itu subjektif.

Semua mahukannya.

Berjaya, BELUM TENTU BERJASA.




Biar jadi MANUSIA...

Tuesday, March 19, 2013

Kongsi artikel dari Berita Harian

Article sharing dari Berita Harian:

Pada Mac setiap tahun, terdapat dua sambutan istimewa bertemakan pemuliharaan alam sekitar yang diisytiharkan di peringkat global iaitu Hari Hutan Sedunia (21 Mac) dan Hari Air Sedunia (22 Mac).

Menterjemahkan rasa cinta kepada alam, kebiasaannya hari istimewa ini disambut atau diraikan dengan aktiviti berbentuk pendidikan serta kesedaran alam sekitar oleh masyarakat di seluruh dunia.

Kedua-dua sambutan itu antara sebahagian usaha menarik perhatian masyarakat mengenai kepentingan memulihara ekosistem hutan dan sumber air bersih kepada seluruh hidupan di atas muka bumi.


Sambutan Hari Hutan Sedunia yang diraikan sehari lebih awal daripada sambutan Hari Air Sedunia dilihat sangat molek percaturannya memandangkan kedua-dua sumber ini saling berkait rapat antara satu sama lain.

Hayati fitrah alam

Mungkin timbul persoalan kepada segelintir, bagaimanakah kedua-dua sumber ini dikatakan mempunyai kesinambungan erat? Elok kita kembali menghayati hikmah dan fungsi kejadian alam serta komponen hidupan ada dalamnya yang secara fitrah saling melengkapi satu sama lain.

Hal ini telah dinyatakan dengan jelas di dalam firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).” (Surah al-Qamar, ayat 49)
Firman-Nya lagi: “Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisi-Nya kadar yang tertentu.” (Surah ar-Ra’ad, ayat 8)

Begitu juga dalam konteks kewujudan ekosistem hutan menghijau yang tidak terkecuali mempunyai fungsi penting bukan saja terhadap komponen alam lain tetapi juga memainkan peranan besar menjamin bekalan sumber air bersih kepada kehidupan manusia.

Selain bertindak sebagai kawasan tadahan hujan bagi mencegah berlakunya hakisan tanah, ekosistem hutan juga pengawal aliran air yang sangat cekap dan berkesan. Melalui fungsi ini, ekosistem hutan bertindak sebagai span besar yang menyerap air hujan dan mengalirkannya secara perlahan-lahan ke dalam anak sungai, empangan, kolam dan tasik.

Bekal air bersih

Air yang diserap ke dalam tanah di kawasan masih dilitupi hutan akan ditapis dan dituras secara semula jadi seterusnya menghasilkan bekalan air bersih dan jernih yang keluar ke permukaan tanah sebagai mata air untuk digunakan manusia dalam aktiviti seharian.

Banyak ayat al-Quran berhubung saranan supaya manusia sentiasa merenung dan berfikir mengenai setiap kejadian di atas muka bumi supaya lebih memahami hikmah di sebaliknya.

Firman Allah SWT: “Dan Dialah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, ia dijadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir. Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon tamar yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.” (Surah ar-Raad, ayat 3-4.

Wednesday, February 20, 2013

Currently....

Setiap orang punya cita-cita, punya impian, punya harapan.
Bilamana harapan, cita-cita dan impian itu terhalang,
itulah masalanya kita rasakan peritnya hidup ini.
Bilamana harapan, cita-cita dan impian itu musnah,
itulah masanya kita rasa erti kosong di dunia ini.


Jadikan teman hidup disamping itu pendokong,
Jadikan keluarga di belakang itu penggerak,
Jadikan rakan dikeliling itu penggalak,
Jadikan harapan, cita-cita dan impian itu realiti,
Kerana ia juga milik mereka, milik semua.

Thursday, January 31, 2013

Perkongsian - Artikel dari Berita Harian

Langkah bersepadu perlu dilaksana elak kos pemulihan terus meningkat
Secara asasnya pertumbuhan ekonomi di kawasan Asia meningkatkan taraf sosio kehidupan penduduknya. Pada masa sama, keadaan ini membawa kepada peningkatan penggunaan sumber semula jadi dan eksplotasi persekitaran untuk keperluan sosial dan industri. Akibatnya, di kebanyakan bandar negara Dunia Ketiga, pembuangan sampah yang tidak diurus dengan baik akan mengakibatkan masalah besar seperti banjir.
Penghasilan sisa pepejal di kebanyakan negara Asia meningkat terutama di negara mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan sistem pengurusan sisa pepejal yang teruk serta pemahaman mengenai kepentingan penjagaan yang masih rendah. Sekiranya setiap individu terus mengamalkan sikap suka membuang sisa pepejal secara tidak berhemah, masalah banjir kilat akan menjadi lebih kritikal.
Banjir adalah bencana alam yang sering melanda di kebanyakan tempat di Malaysia. Ia berpunca daripada ketidakseimbangan kitaran air yang biasanya disebabkan peningkatan kawasan tepu bina, kelemahan sistem pengairan bandar di sesebuah lembangan dan beberapa faktor fizikal lain.

Sebagai contoh kawasan yang sering dilanda banjir ialah kawasan tanah rendah terutama di kawasan Pantai Timur Semenanjung seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan yang dilanda musim tengkujuh antara November hingga Mac. Masalah ini menyebabkan penduduk kehilangan harta benda dan paling menyedihkan ia juga meragut banyak nyawa.

Masalah banjir juga turut berlaku di Georgetown, Pulau Pinang khasnya di sekitar Jalan P Ramlee dan Jalan Perak pada September 1995. Banjir kilat berlaku sekiranya hujan lebat untuk tempoh masa agak lama disertai peningkatan paras air sungai yang mendadak.

Pembuangan sampah

Antara punca masalah banjir kilat ialah pembuangan sampah sarap oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) turut memperakui bahawa sisa pepejal adalah punca berlakunya masalah banjir di kawasan berkenaan.

Di Kuala Lumpur, banjir kilat sering berlaku di sekitar Jalan Klang Lama, Kampung Baru, Pantai Dalam dan Kampung Haji Abdullah Hukum. Kepadatan penduduk yang semakin bertambah dan kepesatan pembangunan di Kuala Lumpur memburukkan lagi keadaan.

Hal ini dibuktikan dengan terjadinya banjir kilat yang agak serius sejak kebelakangan ini, termasuk pada 10 Jun 2003 yang mana bandar raya Kuala Lumpur ditenggelami air diikuti pada 14 Julai 2004 di mana kawasan sekitar Sungai Buluh pula dilanda banjir. Kejadian terbaru banjir kilat di Kuantan pada 24 Disember 2012 lalu pula akibat limpahan air Sungai Galing dan menenggelamkan beberapa kawasan bandar Kuantan sehingga 1.5 meter.

Walaupun fenomena hujan lebat yang dikaitkan dengan masalah pemanasan global dikatakan sebagai punca utama, faktor asas lain seperti pembuangan sisa pepejal yang menghalang pengaliran air yang sempurna tidak boleh dipandang remeh dan perlu diselesaikan bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang lagi pada masa hadapan.

Tiada kesedaran

Sikap penduduk membuang sampah ke dalam longkang atau perparitan menyebabkan sistem pengaliran air tersekat. Kebanyakan sampah yang dibuang ke dalam parit perbandaran akan mengalir ke dalam sungai dan menyebabkan pengaliran air sungai tidak lancar.

Selain itu, endapan terkumpul akibat kerja pembinaan yang pesat dan tidak terkawal serta hakisan tebing menyebabkan parit dan kawasan sungai menjadi cetek. Hal ini akan mengurangkan kapasiti pengaliran air dan menyebabkan limpahan sungai.

Beberapa siri banjir dan banjir kilat sejak 2001 sehingga 2012 di negeri Pantai Timur dan pada 2006 di Johor menelan kos pemulihan jutaan ringgit dan ia akan terus meningkat pada masa akan datang jika langkah bersepadu membendung banjir tidak dilaksanakan.

Secara asasnya bagi mengelakkan kejadian banjir kilat ini terus melanda sama ada di kawasan yang biasa terkena banjir atau tidak, setiap individu mesti mempunyai kesedaran yang maksimum untuk mengubah cara pemikiran mereka supaya masalah pembuangan sisa pepejal ke sistem perparitan dan sungai tidak berlaku sesuka hati.

Penulis ialah Pengarah Pusat Penyelidikan & Pembangunan Sumber Alam (CERRM) Universiti Malaysia Pahang