Wednesday, April 20, 2011

Blog Sharing - BLR dan Inflasi

Saya kurang arif tentang ekonomi, tapi ulasan dan penerangan Dr. Mohammad Khir Toyo dalam blognya tentang isu BLR dan Inflasi membuka mata saya yang sememangnya buta ekonomi, jumud hanya dengan hukum penawaran dan permintaan.

Secara umumnya, 'policy maker' perlu lebih menekankan hasil praktikaliti berbanding teori semata-mata.

Baru juga saya berbincang dengan rakan serumah tentang isu gaji dan ketidakcukupan kewangan bagi pekerja makan gaji di tanah air. Manakan tidak, sebulan cuma bergaji RM2000, maka setahun cuma dapat RM24,000. Dengan andaian konsisten untuk sepuluh tahun, pekerja makan gaji cuma mendapat RM240,000. Dicampur dengan andaian kenaikan tahuan (dan bonus yang entah tak kunjung tiba), pekerja makan gaji akan mendapat kira-kira RM280,00 untuk sepuluh tahun. Pinjaman perumahan pula RM400,000. Kereta pula kira-kira RM65,000. Belum dikira potongan untuk simpanan Tabung Haji untuk diri sendiri dan isteri, takaful dan pendidikan anak-anak. Jangan lupa, perbelanjaan kesihatan akan meningkat seraya kita makin dimamah usia.

Matematiknya, pemahaman menerusi nisbah begini memang tidak akan cukup. Peranan pemimpin untuk menentukan polisi menang-menang di dalam populasi Malaysia. Penentuan polisi juga biarlah yang menjamin kemaslahatan Islam dan Melayu. Peranan rakyat juga untuk terus bertindak dalam menentukan kuasa membeli secara berhemah. Saya sendiri belum terjebak secara total dalam dunia pinjaman bank, tetapi sebagai pengguna saya syorkan kepada semua termasuk kepada diri saya sendiri agar memilih sistem perbankan Islam yang menyisihkan elemen BLR dalam sistemnya.

Moga-moga pemimpin masa kini akan lebih dibuka minda oleh Allah untuk menerajui kepemimpinan negara dan kelestarian hidup masa akan datang. Duit bukan segala-galanya tetapi segala-galanya memerlukan duit.

Saya lampirkan sebahagian dari hasil tulisan Dr. Mohammad Khir Toyo untuk bacaan semua.

BLR, Inflasi dan Risiko Politik

1. Pada bulan hadapan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan satu lagi mesyuarat membabitkan isu Overnight Policy Rate (OPR). Sebelum ini pada bulan Mac lalu BNM tidak membuat sebarang kenaikan OPR. Pada tahun 2010 sebanyak tiga kali kenaikan OPR diumumkan pada Mac, Mei dan Julai yang menyebabkan kenaikan dari 2.0 kepada 2.75.

2. Kenaikan OPR ini akan berkait langsung dengan kenaikan Base Lending Rate (BLR) atau Kadar Pinjaman Asas. BLR turut meningkat sebanyak tiga kali dari 5.55% pada 2009 kepada 6.30 pada Julai 2010.

3. Salah satu tujuan kenaikan OPR dan BLR ialah untuk membendung inflasi. Kebanyakan kita bukan pakar ekonomi jadi kita sendiri tentu sukar untuk memahami bagaimana menaikan kadar pinjaman asas boleh membantu mengurangkan inflasi. Hakikatnya kita terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk membayar hutang.

4. Apa yang saya faham secara mudah (mungkin betul atau salah pemahaman ini) ialah kenaikan OPR dan BLR akan menaikkan kadar faedah bagi simpanan. Secara teorinya ini akan menggalakkan orang ramai menabung bagi mendapat faedah yang tinggi. Dengan penabungan iaitu menyimpan di bank, orang ramai akan kurang berbelanja. Ini akan mengurangkan permintaan (teori penawaran dan permintaan) sekaligus menurunkan harga barangan. Penurunan harga barangan akan menurunkan inflasi.

5. Namun persoalan yang jarang dijawab oleh pengamal ekonomi yang mahu mengawal inflasi melalui kaedah ini ialah apakah inflasi hari ini disebabkan permintaan yang lebih daripada penawaran atau kerana peningkatan harga barangan keperluan di luar kuasa pembeli?

6. Tanda-tanda BNM hendak menaikkan kadar OPR tampak jelas apabila beberapa penganlisis ekonomi yang "mesra" kerajaan meramalkan kenaikan ini bagi mengawal inflasi.

7. Pada tahun lalu BNM menaikkan OPR sebanyak tiga kali apabila negara mengalami inflasi. Malangnya kenaikan sebanyak tiga kali tersebut gagal mengawal inflasi apabila inflasi terus meningkat pada bulan Disember lalu sehingga kini.

8. Mengapa ia gagal? Ini kerana kenaikan kadar inflasi di Malaysia pada masa kini berkait rapat dengan kenaikan harga barangan asas dan keperluan utama yang sebahagiannya dikawal oleh kerajaan.

9. Misalnya pada tahun 2010 sebelum kenaikan OPR, kadar inflasi negara naik akibat kenaikan ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi seperti makanan dan minuman bukan alkohol (1.6 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.0 peratus); dan pengangkutan (0.7 peratus). Kenaikan-kenaikan lain ialah minuman alkohol dan tembakau, dan pelbagai barangan dan perkhidmatan masing-masing pada 2.9 peratus; perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan 2.7 peratus; pendidikan 1.8 peratus; restoran dan hotel 1.6 peratus; kesihatan 1.5 peratus; dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah 0.7 peratus.

10. Selepas kenaikan BLR pun, inflasi masih meningkat. Kenaikan kadar inflasi sejak beberapa bulan lalu dilaporkan oleh FOMCA. Menurut Fomca,


"Kadar inflasi Malaysia pada Disember 2010 naik kepada 2.2 peratus, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 19 bulan. Kenaikan kadar inflasi ini berpunca daripada lonjakan harga makanan, komoditi dan penurunan subsidi oleh kerajaan pada akhir tahun 2010. Penurunan subsidi yang menyaksikan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak lima sen seliter, LPG lima sen sekilogram dan gula 20 sen sekilogram serta sambutan perayaan Krismas dan cuti sekolah telah mendorong kenaikan inflasi.

Bagaimanapun, kadar inflasi negara masih jauh lebih rendah berbanding Indonesia 6.9 peratus, Thailand tiga peratus, Korea 3.5 peratus dan India 8.4 peratus."

11. Jelas sekali sebahagian besar punca kenaikan harga barang adalah kerana kerajaan memotong subsidi. Jadi kadar inflasi yang tinggi ini ialah akibat pemotongan subsidi. Justeru kenaikan OPR dan BLR tidak memberi kesan apa-apa kepada inflasi kerana majoriti rakyat membayar barangan ini bukan untuk kemewahan tetapi untuk keperluan.

12. Lihat kenaikan-kenaikan harga barangan yang mengakibatkan inflasi melonjak tinggi adalah akibat daripada pemotongan subsidi dan kenaikan harga bahan tenaga bukannya kerana lebihan permintaan berbanding penawaran.

13. Dengan menaikkan OPR dan BLR, rakyat bukan sahaja terpaksa membayar barangan harian yang tinggi tetapi perlu menjelaskan hutang pinjaman perumahan dan peribadi yang lebih tinggi. Ini bermakna rakyat akan terus dibeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

14. Kenaikan BLR hanya menguntungkan sekumpulan kecil rakyat Malaysia yang mempunyai wang berjuta ringgit dalam simpanan tetap tetapi menindas majoriti rakyat. Saya berharap kerajaan tidak membenarkan polisi ekonomi negara yang membabitkan BLR ini ditentukan oleh birokrat ekonomi BNM sahaja.

Source: http://www.drkhir.com/2011/04/blr-inflasi-dan-risiko-politik.html#comment-form

No comments:

Post a Comment