Thursday, October 20, 2011

Jom Berhimpun 2???

Kalau dahulu perhimpunan BERSIH, sekarang HIMPUN. Seingat aku dulu-dulu ada jugak perhipunan AMAN.

Banyak sungguh perhimpunan sekarang. Perhimpunan yang dibuat sebagai platform mencari sokongan pihak majoriti tentang sesuatu isu yang hendak dimenangkan.

Bolehkah menyertai HIMPUN? Benarkah HIMPUN dibuat atas asas kesedaran agama? Atau hanya mainan politik yang semakin menjadi-jadi? Wallahua'lam, sebagai manusia biasa memang kita tak kan tahu.

Siapa nak pergi, pergilah. Pada yang tak berpeluang dan tak berkeyakinan untuk pergi, berdoalah. Cuma pada aku, elok lagi berhimpun di masjid-masjid dan surau-surau memenuhkan saf berjemaah. Bukan bermaksud aku merelakan usaha memurtadkan saudara seagama dengan aku. Cuma rasanya usaha memenuhkan saf masjid perlu lebih diberi penekanan. Kan dah selalu disebut-sebut, nak lihat baik buruk sesuatu masyarakat, lihat jemaah di surau atau masjidnya. Jadi, jika makin utuh dan bersemangat kita memenuhkan masjid menunaikan ibadat secara jemaah, insyaAllah aqidah kita akan dilindungi Allah.

Bukan sekadar pergi berhimpun dan juga terbitkan drama TV berunsurkan Islam. Agama itu bukan untuk didagangkan.

Bukan bermaksud berdiam diri, cuma kita perlu perbaiki diri. Betulkan aku kalau aku silap.

Wallahua'lam.

Tuesday, October 11, 2011

Laman Sosial

Facebook, blog, twitter dan macam-macam lagi satu medan untuk pengguna berkomunikasi dengan pelbagai orang, baik dalam jarak dekat mahupun jauh. Kalau 10 tahun lalu masih terlalu mahal untuk setiap dari kita memiliki telefon bimbit, sekarang ini kekadang ada yang punya 2 telefon bimbit. Bukan sekadar untuk berkomunikasi, telefon bimbit pun digunakan untuk melayari internet. Maka lebih mudahlah untuk pengguna facebook dan laman sosial seadanya menggunakan platform tersebut.

Platform ini juga digunakan untuk sesetengah orang mengetengahkan pandangan, persepsi, ideologi, mencari kawan dan sebagainya. Ini termasuklah untuk tujuan yang tidak baik seperti memburukkan orang lain, mencari pengaruh dan menyebarkan berita palsu.

Kajian Institut Sosial Negara menunjukkan anak muda Malaysia kini menghabiskan hampir 4 jam sehari menghadap komputer melayari laman sosial seperti ini. Tabiat ini dilihat mampu merosakkan pemikiran dan sahsiah anak muda. Kalau tak ditegah, bahayanya akan menular dan menjadi semakin parah.

Tak perlu kita bahaskan bagaimana nak mengurangkan masalah ini. Dah terlalu ramai pakar yang membincangkannya. Biar kita bincangkan dari sudut penggunaannya sahaja.

Ada yang menggunakan laman sosial untuk melepaskan kemarahan. Silap kawan sedikit, post di facebook atas kekurangannya. Dah menjadi ruang berhujah siapa betul, siapa salah. Kalau di blog pula, semua menjadi hakim. Katakan kalau yang pemilik blog itu pemimpin kerajaan, pengulas dari pembangkang terus-terusan menyelar hasil tulisannya tanpa memberi ruang kepada pengulas lain untuk lebih berfikir secara waras dan matang. Kalau idea yang diberikan menarik pun, pengulas cenderung untuk berat sebelah.

Setiap orang akan ada pendirian tersendiri. Pemahaman dan penerimaan atas idea orang lain ini yang sangat kritikal kerana keperluan dan kehendak setiap orang itu berbeza-beza. Kita tak boleh menerima secara membuta tuli, tapi tak boleh juga kita menolak mentah-mentah. Kalau kita tak bersetuju, eloklah dibahaskan secara baik. Kalau pandangan kita masih tak diterima, eloklah kita tinggalkan perbincangan itu dan buka minda untuk perbincangan lain. Kalau terus berhujah, apa yang dirisaukan jadi perbahasan atas kepentingan diri pula. Budaya berbincang secara terbuka dan berhemah, menghormati orang lain perlu disemat dalam diri setiap orang.

Perkara kedua yang perlu diambil perhatian adalah kesahihan maklumat. Sesetangah orang boleh berhujah secara berhemah dari sudut komunikasi, akan tetapi tidak pula berhemah dari segi fakta. Ada yang mengutarakan pelbagai fakta-fakta dengan nombor untuk menunjukkan perbandingan dalam hujah. Akan tetapi sejauh mana fakta itu sahih dan benar? Dari manakah sumbernya? Adakah sumbernya boleh dipercayai? Adakah kita mengambil fakta begitu sahaja, tanpa membuat perbandingan dengan dua-tiga lagi sumber?

Isu ini perlu mendapat perhatian setiap individu, kerana penggunaan lama sosial semakin meluas. Ia dah menjadi seperti produk asas. Maklumat dan medan perbincangan itu terlalu banyak, hinggakan tak tahu saluran yang mana lebih kukuh. Kalau dibiarkan, akhirnya setiap orang akan menjadi hakim. Setiap orang akan membina teori sendiri. Setiap orang akan merasakan dia sahaja yang betul.

Akhirnya, ia berbalik kepada pendidikan dan perlu diingat yang tak ada kebebasan dan keterbukaan yang mutlak.

Monday, October 3, 2011

Yang Menyesatkan

Orang kita suka benar berhibur. Kalau ke mana-mana pun, bila-bila masa pun, hampir setiap masa adalah hiburan.

Kita cenderung untuk gelak ketawa, mencari yang seronok daripada mencari intipati sesuatu isu.

Sebab itulah kita semakin leka.

Sedihnya bila melihat iklan di kaca TV yang menunjukkan pemimpin utama negara turut serta dalam konsert terbesar Malaysia tahun ini, dan dalam hiruk pikuk orang berjoget tak sedar diri, pemimpin negara jelas menamakan identiti "Inilah generasi baru Malaysia".

Maknanya generasi baru ini generasi yang suka berhibur, yang suka menari, yang sukakan suasana sepertimana di dalam konsert tersebut.

Dalam sambutan apa pun, mesti ada slot hiburan - tarian, nyanyian, etc.

Yang lebih pedi, dalam setiap hiburan, mesti ada diselit fahaman-fahaman yang kononnya betul sedangkan salah.

Tajuk drama pun dah ada Tahajjud Cinta. Dah jadi penyakit baru, agama digunakan sebagai medium penarik pelanggan dalam dunia hiburan. Intipati cerita dalam wayang pun, banyak yang dibuat sambil lewa tanpa mengambil kira kesan kepada anak-anak kecil.

Dalam pendidikan pun, kita terlalu cenderung untuk mengejar keseronokan dalam sesi pembelajaran. Kalau tak seronok, kita takut anak murid tak boleh tumpu perhatian. Tak salah untuk ketengahkan modus operandi yang semacam itu. Tapi kebanyakan guru jarang membuat kesimpulan dalam apa-apa perbincangan.

Kalau tak ditegah dari sekarang, kita akan sesat dengan hiburan.