Tuesday, October 11, 2011

Laman Sosial

Facebook, blog, twitter dan macam-macam lagi satu medan untuk pengguna berkomunikasi dengan pelbagai orang, baik dalam jarak dekat mahupun jauh. Kalau 10 tahun lalu masih terlalu mahal untuk setiap dari kita memiliki telefon bimbit, sekarang ini kekadang ada yang punya 2 telefon bimbit. Bukan sekadar untuk berkomunikasi, telefon bimbit pun digunakan untuk melayari internet. Maka lebih mudahlah untuk pengguna facebook dan laman sosial seadanya menggunakan platform tersebut.

Platform ini juga digunakan untuk sesetengah orang mengetengahkan pandangan, persepsi, ideologi, mencari kawan dan sebagainya. Ini termasuklah untuk tujuan yang tidak baik seperti memburukkan orang lain, mencari pengaruh dan menyebarkan berita palsu.

Kajian Institut Sosial Negara menunjukkan anak muda Malaysia kini menghabiskan hampir 4 jam sehari menghadap komputer melayari laman sosial seperti ini. Tabiat ini dilihat mampu merosakkan pemikiran dan sahsiah anak muda. Kalau tak ditegah, bahayanya akan menular dan menjadi semakin parah.

Tak perlu kita bahaskan bagaimana nak mengurangkan masalah ini. Dah terlalu ramai pakar yang membincangkannya. Biar kita bincangkan dari sudut penggunaannya sahaja.

Ada yang menggunakan laman sosial untuk melepaskan kemarahan. Silap kawan sedikit, post di facebook atas kekurangannya. Dah menjadi ruang berhujah siapa betul, siapa salah. Kalau di blog pula, semua menjadi hakim. Katakan kalau yang pemilik blog itu pemimpin kerajaan, pengulas dari pembangkang terus-terusan menyelar hasil tulisannya tanpa memberi ruang kepada pengulas lain untuk lebih berfikir secara waras dan matang. Kalau idea yang diberikan menarik pun, pengulas cenderung untuk berat sebelah.

Setiap orang akan ada pendirian tersendiri. Pemahaman dan penerimaan atas idea orang lain ini yang sangat kritikal kerana keperluan dan kehendak setiap orang itu berbeza-beza. Kita tak boleh menerima secara membuta tuli, tapi tak boleh juga kita menolak mentah-mentah. Kalau kita tak bersetuju, eloklah dibahaskan secara baik. Kalau pandangan kita masih tak diterima, eloklah kita tinggalkan perbincangan itu dan buka minda untuk perbincangan lain. Kalau terus berhujah, apa yang dirisaukan jadi perbahasan atas kepentingan diri pula. Budaya berbincang secara terbuka dan berhemah, menghormati orang lain perlu disemat dalam diri setiap orang.

Perkara kedua yang perlu diambil perhatian adalah kesahihan maklumat. Sesetangah orang boleh berhujah secara berhemah dari sudut komunikasi, akan tetapi tidak pula berhemah dari segi fakta. Ada yang mengutarakan pelbagai fakta-fakta dengan nombor untuk menunjukkan perbandingan dalam hujah. Akan tetapi sejauh mana fakta itu sahih dan benar? Dari manakah sumbernya? Adakah sumbernya boleh dipercayai? Adakah kita mengambil fakta begitu sahaja, tanpa membuat perbandingan dengan dua-tiga lagi sumber?

Isu ini perlu mendapat perhatian setiap individu, kerana penggunaan lama sosial semakin meluas. Ia dah menjadi seperti produk asas. Maklumat dan medan perbincangan itu terlalu banyak, hinggakan tak tahu saluran yang mana lebih kukuh. Kalau dibiarkan, akhirnya setiap orang akan menjadi hakim. Setiap orang akan membina teori sendiri. Setiap orang akan merasakan dia sahaja yang betul.

Akhirnya, ia berbalik kepada pendidikan dan perlu diingat yang tak ada kebebasan dan keterbukaan yang mutlak.

No comments:

Post a Comment