Kasihan anak kecil dijadikan tebusan dalam kes di ibu negara baru-baru ini.
Apapun masih punya teladan dari apa yang berlaku.
Setidak-tidaknya saya nampak, orang ramai masih percaya dan perlukan POLIS untuk menjaga keselamatan mereka, menyelamatkan keadaan dan suasana.
Selepas POLIS asyik dimaki-hamun, dicaci anjing kerajaan, dan bermacam lagi bentuk hinaan, berita kanak-kanak 10 tahun menjadi tahanan orang kurang siuman yang disiarkan di televisyen menunjukkan POLIS masih sangat relevan.
Jelas bahawa setiap caci maki orang sebelum ini kepada POLIS adalah akibat obsesi dan fanatik politik, hinggakan gagal memikirkan mana baik, mana buruk. Dek kerana itu, kerana politik, kita bencikan POLIS dan caci maki POLIS selepas mereka diarahkan membuat benteng semasa perhimpunan BERSIH dan menangkap orang-orang kenamaan tertentu. Akan tetapi kita bersorak dan mengucapkan terima kasih bila mana POLIS menyelamatkan anak kecil tadi. Kita juga yang menelefon POLIS, bukannya orang Mongolia atau pegawai di kedutaan Turki.
Saya boleh katakan, POLIS juga manusia yang ada buat kesalahan. Mereka makan gaji dan mereka tidak mahu pun menganiayai orang lain sesuka hati. Walaupun ada segelintir yang salah guna kuasa, tetapi bukan semua dan tidak wajar dibusukkan terus institusi beruniform yang bertanggungjawab menjaga keamanan itu. Jadi janganlah kita memandang semuanya buruk pada POLIS.
Kalau ada mereka buat salah dan silap, banyak saluran penyampaian untuk memperbaiki keadaan. Medan jalanan dan cacian makian di laman sosial adalah kaedah kurang bertamadun dan mencerminkan gaya fikir kelas bawahan. Apa yang lebih utama, kita jalankan tanggungjawab kita - menjadi warganegara dan rakyat yang baik.
Untuk POLIS dan pemimpin-pemimpin politik, mereka juga warganegara dan rakyat Malaysia, yang tak lari dari ikatan tanggungjawab bersama - menjadi warganegara dan rakyat yang baik.
*Tahniah juga kepada Jabatan BOMBA yang berjaya mengawal kebakaran dahsyat di KL Sentral baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment