Semasa saya mengikuti Kursus Biro Tatanegara tiga bulan sudah, selain isu patriotik dan penerangan, perbincangan lebih dalam tentang Perlembagaan, ada juga diselitkan tentang tanggungjawab pengguna.
Kata fasilitator, pernahkah sesiapa dari kita terfikir, kemanakah perginya sisa tinja kita? Selepas flush, apa yang berlaku 'di bawah' sana? Berbaloikah charge yang dikenakan pada pengguna untuk menguruskan hal ehwal kebersihan jijik ini? Dan siapa sebenarnya yang membantu mencuci najis kita, mengelakkan hidung kita berbau sengit melampau, membantu mengurangkan masalah penyakit di kawasan perumahan kita selama ini?
Saya pernah terfikir, tapi tak sejauh itu.
Bila berjumpa artikel seperti yang dibincangkan dulu, memang rasa bersyukur kerana Allah kurniakan manusia bermacam-macam, untuk saling melengkapi. Bersyukur juga kerana kemajuan dan teknologi dah ada di negara ini untuk membantu masalah-masalah asas, untuk terus ditambah baik.
Klik di sini untuk lebih maklumat
Benarlah yang sehebat mana sijil akademik kita, sebesar mana gaji kita, kita tak mampu mengurus betul-betul najis diri sendiri.
Teringat masa kecil buang air dalam lubang di balik semak di kampung Opah. Salah satunya memanglah kerana dhaif, tapi juga berkait dengan kemajuan yang belum sampai sepenuhnya. Mungkin masih ada lagi orang di kawasan kampung dan pedalaman yang berdepan situasi sama, mengurus najis sendiri. Setidaknya saya sempat merasa pengalaman itu, membuat diri merasa lebih kecil ditambah lagi dengan pembacaan artikel tadi. Sekarang, untuk kebanyakan penghuni bandar alhamdulillah kerana ada orang lain yang membantu menguruskan sisa kita sendiri.
Sayangnya, ramai dari kita yang menidakkan usaha mereka-mereka yang menguruskan najis kita. Masih ramai yang tidak menjelaskan bil tangki septik hingga ada yang bertahun lamanya. Ada juga yang mencampak tisu ke dalam lubang tandas, tak lupa ibu-ibu yang mencurah minyak masak ke dalam sinki. Saya semakin berfikir.....
Kata fasilitator, yang penting menjadi orang yang bertanggungjawab untuk diri sendiri dan orang lain.
Benarlah kata Muhammad sallahualaihiwassalam yang setiap dari kita akan dipersoalkan atas apa yang kita lakukan walaupun sebesar zarah sekalipun. Kerana kita dipertanggungjawabkan atas setiap itu.
Jika ada tersilap, betulkan, dan mintalah ampun.
No comments:
Post a Comment