Thursday, April 19, 2012

Semasa di Tasik Temenggor bersama Pelajar FHR3616

Saya janji nak kongsikan beberapa perkara semasa saya menjalankan kerja luar di Tasik Temenggor, Perak.

Saya mengiring pelajar Bacelor Sains Perhutanan yang mandaftar subjek Kemahiran Rekreasi Luar (FHR3616) ke lokasi yang disebutkan, dan kami diam di dua pulau. Pulau PERHILITAN Baru untuk 5 hari pertama dan Pulau PERHILITAN Lama untuk 4 hari terakhir.

Pemandangan, masyaAllah sangat cantik. Alhamdulillah masih ada kawasan yang kurang diusik kerakusan manusia di Semenanjung ini, seperti mana kawasan tersebut. Cuma dah mula ada beberapa tanda yang kawasan tersebut akan menerima impak negatif tinggi dari pengunjung tak lama lagi. Semua kesan daripada pemodenan, publisiti, pelancongan dan juga ekonomi. Tak salah semua itu, cuma ia perlu diurus dengan baik. Sebab itulah adanya kursus pengajian seperti Bacelor Sains Perhutanan dan Bacelor Sains Taman dan Rekreasi di Fakulti Perhutanan UPM. Tujuannya untuk melahirkan pemimpin pembuat keputusan dengan daya fikir kritis yang turut mengambil kira kepentingan ekologi dan alam sekitar selaras dengan pembangunan infrastruktur. Barulah sesuai dengan matlamat minda kelas pertama. Sebab alam ini juga milik anak cucu kita.

Saya kongsikan beberapa gambar untuk semua.















Suka juga saya nak kongsikan, semasa mengiring pelajar untuk amali subjek Kemahiran Rekreasi Luar ini, banyak juga yang saya pelajari. Paling utama, matlamat kita menjalankan rekreasi luar bukan untuk mencapai tahap tertinggi dalam sesuatu aktiviti. Tapi memahami potensi diri.

Alam ciptaan Allah ini untuk dihayati, dihargai, dimanfaatkan.

Monday, April 16, 2012

Pandangan Saya Tentang 'Mereka'

Saya baru balik dari Pulau Banding, Tasik Temenggor, Perak mengiringi amali pelajar. Pengalaman menarik, dan insyaAllah saya akan kongsikan nanti.

Selepas 9 hari terputus hubungand engan dunia luar, bila kembali semula ke dunia pejabat, bermacam surat menanti jawapan. Bermacam tanggungjawab kena diselesaikan.

Yang mendukacitakan, bila melihat khabar berita tentang kumpulan pelajar yang berdemonstrasi menuntut pemansuhan PTPTN.

Belajar masih belum habis, dah nak mansuh itu ini.

Ada yang katakan baguslah mahasiswa dah mampu berfikir dan bertindak sendiri, tapi semua ini jenis lupa diri.

Kalau orang yang berdemonstrasi itu dari golongan pelajar yang pernah mewakili Malaysia membuat pembentangan akademik di Syria, atau kumpulan pelajar yang memenangi pertandingan reka sains inovasi di Australia, atau kumpulan pelajar yang dah mampu membantu beban ibu ayah walaupun masih belajar, atau kumpulan pelajar yang dah punya perniagaan sendiri, atau dari kumpulan pelajar yang pernah menghantar artikel ilmiah di beberapa majalah antarabangsa, lagi pula dengan Purata Nilaian Gred Kumulatif pada julat 3.5 hingga 4.0, saya tak kisah juga. Kerana mereka ini orang cemerlang.

Sayangnya, yang berdemonstrasi itu cuma kumpulan pelajar yang dengan keputusan akademik rendah, yang jarang bertanya khabar ibu dan ayah di kampung, yang tidak tahu adab dengan orang lain, yang mungkin juga menjeling kertas jawapan orang di sebelah semasa peperiksaan.

Mungkin benar kerajaan sedia ada korupsi atau mengamalkan perbelanjaan yang tidak berhemah, tidak terurus. Akan tetapi, sebagai pemimpin masa hadapan, salah cara kita mewarisi khilaf pemimpin masa kini dengan membuat perkara tidak sewajarnya selain cuba memajukan diri sendiri terlebih dahulu.

Akhirnya, yang elok tetap mereka yang menangguk di air keruh, mengguna pakai golongan mahasiswa untuk mencapai matlamat mereka sendiri.

*Golongan cemerlang tidak akan berdemonstrasi seperti apa yang berlaku dalam hal pemansuhan PTPTN ini, kerana itu bukan amalan mereka yang cemerlang.