Hari ini kita masih lagi diselubungi masalah bekalan air.
Secara lisan, banyak saya nasihatkan kepada orang yang dekat untuk berhemah menggunakan air.
Bahkan menerusi jalan frontline orang yang paling dekat dengan sekelompok mahasiswa di IPTA, banyak kali saya tegaskan, persatuan pelajar harus mengetengahkan mesej-mesej supaya mahasiswa harus bertindak tegas dan bijak dalam menguruskan penggunaan air bagi diri mereka sendiri.
Kelebihan pendidikan dalam bidang perhutanan dan pengalaman merantau untuk satu tempoh yang tak berapa lama di negara yang tidak berapa banyak sumber air juga sedikit sebanyak mengajar saya kepentingan air.
Kita di Malaysia, kerana amat jarang berdepan musim kemarau yang panjang dan dahsyat, kerana kita punya banyak sungai-sungai untuk dikunjungi, kerana kita boleh nampak air mengalir di dalam longkang dan parit, kerana kita boleh dikatakan setiap minggu melihat air hujan turun membasahi jalan, kerana kita sendiri sering basah ditimpa hujan, makanya kita sering mengambil mudah tentang isu air.
Air banyak digambarkan di dalam Quran betapa Allah mengkaitkan air dengan rezeki (rujuk Surah Ibrahim ayat 32, surah Ar Raad ayat 3-4), bahkan diceritakan syurga-syurga Allah itu banyak mengalir air-air di bawahnya. Air diterangkan sebagai kandungan utama manusia - kita dilahirkan puncanya dari air mani - 70% tubuh badan manusia adalah air - berwuduk dan berhadas menggunakan air - bahan asas memasak kebanyakannya air - tanpa air pokok tak akan boleh hidup - kebanyakan siri dokumentari mesti akan ada babak harimau/singa/zirafah/apa jua jenis haiwan minum air di gigi sungai - promosi kawasan pelancongan mesti ada babak air (ada juga Oasis Tourism) - dan kita ada Teh Ais yang dibuat dari air (baik air tehnya dan juga aisnya).
Jadi betapa pentingnya air ini.
Saya tidak mahu membangkitkan soal fakta berkenaan air. Persoalan yang sesuai kita ketengahkan masa sekarang adalah isu penggunaan air.
Cuba kita berfikir sejenak, dalam sehari (24 jam) berapa liter air kita habiskan untuk...
1) Mandi (Sunat/Wajib)?
2) Berwudhu'?
3) Minum dan Makan?
4) Siram pokok bunga?
5) Basuh motor atau kereta?
6) Basuh kain baju?
7) Cuci lantai rumah atau meja makan?
8) Mandikan anak?
9) Basuh tangan/muka/kaki sebab kotor selepas bersukan @ buat aktiviti luar?
10) Sejukkan enjin kereta?
Tak banyak pun persoalannya. Dan persoalan-persoalan itu cuma berkisar untuk kehidupan seharian.
Bagaimana pula industri? Mereka ada persoalan tambahan. Tempat binaan perlu ada ruang untuk cuci tayar lori supaya lumpur dan debu tak keluar ke kawasan jalan awam. Jentera berat yang berterusan beroperasi di kilang-kilang juga perlukan air untuk disejukkan. Air juga digunakan di hospital dan klinik-klinik untuk tujuan rawatan. Nak bancuh simen perlukan air. Nak buat barang-barang besi di kilang peleburan perlukan air. Nak sauna di hotel perlukan air. Semuanya perlukan air, bagi dalam kegunaan harian mahupun industri.
Persoalannya, berapa liter air yang kita gunakan, dan BERAPA LITER AIR PULA KITA BAZIRKAN?
Dalam memenuhi permintaan air semua orang, kita (di Malaysia lah) sering membicarakan, syarikat konsesi itu ini tak bagus, charge mahal, negeri itu ini bagus bagi air percuma (wp hakikatnya nothing is free), air batu naik harga, tapi jarang sebagai orang awam kita bincangkan bagaimana untuk menggunakan air secara berhemah.
Semuanya kerana kita tidak pernah merasa susah tidak cukup air. Malaysia is blessed with water. Our country flowed with fresh water. We live in tropical region where the rain coming down all over the year!!!
Sekarang, kita sedang berdepan dengan ujian dari Allah swt. Tiada hujan (rahmat Allah buat satu tempoh yang agak panjang, dan empangan untuk membekalkan air terawat pun semakin surut. Di Negeri Sembilan, dijangkakan bekalan air statik cuma mampu bertahan selama kira-kira 40 hari sahaja lagi. Sekiranya air semakin surut di Malaysia dan tidak lagi mampu menampung permintaan ramai, dari mana kita hendak mengambil air? Ambil semula dari Singapura?
Tak perlu rasanya untuk kita cakap, kerajaan patut itu dan ini....... Bukannya akan ada orang dengar dan bertindak seperti mana kita cakapkan. Lebih teruk kalau kita mengarutkan hal politik, bukannya masalah sebenar. Eloklah kita bicarakan, macam mana SAYA/AKU dapat mengurangkan pembaziran air? Walaupun ramai yang dah tahu, tetapi ramai yang tak praktiskan (termasuklah saya, selalu sangat lupa).
Itu pokok persoalan sebenarnya.
1) Kurangkan waktu mandi, dan kecilkan air sewaktu buka paip. Jangan buka paip air semasa sabun atau gosok gigi. Mandi wajib... kurangkan sesi dalam seminggu?
2) Hilangkanlah was-was dan syak. Mainan syaitan semua tu. Dan peliharalah wudhu'.
3) Maklumkan pada isteri, masak dan jerang air bila perlu, ikut kadar yang perlu sahaja. Dan kalau masak jangan sampai guna 7-8 pinggan untuk menyediakan bahan masakan. Membasuh, kecilkan tap air sewaktu membasuh dan lebih elok guna air dalam besen daripada air mengalir.
4) Siram pada akar, bukan pada daun. Daun tak serap air, tapi akar yang serap air. Dan jangan sembur air dengan tekanan tinggi pada permiukaan tanah. Jika tidak akar pokok akan terima tekanan tinggi, terdedah dan boleh mati. Elakkan siram pokok waktu tengahari sebab akan matikan/lecurkan daun pokok/air cepat mengewap. Sebaliknya siram pokok pada waktu pagi dan lewat petang.
5) Tak perlu nak basuh kereta/motor kerap-kerap. Yang penting biarkan bahagian dalam, tempat kita nak duduk tu bersih. Apa guna kereta berkilat kalau dalamnya ada lipas dan cicak?
6) Maksimumkan basuhan dalam setiap kali putaran. Jangan 4,5 helai dah masuk mesin, putar.
7) Elakkan kekerapan lantai dan meja kotor. Simple. Kalau kotor juga, gunakan mop daripada floor wiper.
8) Jangan ajar anak berenang musim kering kontang, air kurang ni.
9) Kurangkan aktiviti luar jika tidak berkenaan. Musim panas kering ni pun penyakit mudah kena. Kalau perlu juga aktiviti luar, basuh sekaligus.
10) Selenggara enjin ikut jadual, baru kereta tak buat ragam, cepat/selalu panas. Bab engineering kena engineer yang bagi jawapan sebab saya buta skru dan spanar.
Isu air bukanlah hal remeh.
Air ini penentu kelangsungan kita.
Air juga boleh jadi musibah, jika kita lupa bersyukur dan bersabar.
Kenapa kita mesti menghargai air?
Sebab satu hari nanti masuk di berita 'Warga Tua Berjalan 13 KM untuk mendapatkan air dari Lori Bekalan Air' itu kemungkinannya adalah ibu/ayah kita?
Sebab satu hari nanti yang kena penyakit batuk kering itu kemungkinannya adalah anak kita.
Sebab satu hari nanti yang terpaksa bertayammum menggantikan wudhu' itu kita.
Jadi peliharalah cara kita menggunakan air.
Bukankah Islam itu mengajar umatnya supaya tidak membazir dan tidak melampaui batas.
No comments:
Post a Comment