Pada satu tarikh yang telah saya lupa, satu akhbar tempatan (Berita Harian) memberi satu statistik umum yang rakyat di ibukota terkenal negara ini (Kuala Lumpur) menghasilkan secara purata 9000 tan sampah sisa pejal berupa sisa makanan dalam tempoh sehari. Maklumat ini diperolehi pada bulan Ramadhan 1431 Hijrah yang lalu. Jumlah tersebut mewakili kira-kira 45 peratus daripada 20,000 tan sisa pepejal atau sampah dihasilkan sehari di seluruh Malaysia.
Akhbar juga melaporkan yang situasi ini menunjukkan masyarakat di ibukota Kuala Lumpur rata-ratanya suka membazir dengan membuang makanan walaupun masih elok untuk dijamu. Natijahnya - jumlah sampah terpaksa dilupuskan di tapak pelupusan sisa pepejal meningkat, selain membawa kesan negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia berhampiran tapak pelupusan. Sedangkan jumlah sampah yang sedikit dapat mengurangkan kos pengurusan sisa pejal seperti sisa makanan. Peruntukan untuk pengurusan ini bolehlah digunakan untuk kepentingan lain. Ini apa yang dilaporkan akhbar.
Apa yang berlaku, tafsiran saya secara langsungnya purata rakyat di Malaysia mempunyai kemampuan kewangan yang baik untuk membeli makanan.
Secara tidak langsungnya, rakyat di Malaysia semakin suka mengamalkan sikap membazir, cenderung memilih gaya hidup mewah, memilih makanan yang lebih membawa masalah kesihatan, rendah fahaman agama Islam (tidak mengamalkan gaya hidup Islam sebaiknya), dan tiada kesedaran tentang kepentingan alam sekitar.
Agak keras tapi itulah realitinya.
Sebagai seorang pencinta alam, saya melihat ini sebagai satu perkara yang sangat serius. Manakan tidak. 9000 tan sisa pejal yang dibuang untuk sehari memang mendatangkan masalah untuk dilupuskan semula. Di mana lokasi yang sesuai untuk dibuang kesemua sisa ini? Memang, sisa makanan agak sukar untuk dikitar semula. Tambahan dengan sistem kitar semula yang masih di takuk 'pengenalan' di Malaysia (mengikut persepsi penerimaan masyarakat). Akan tetapi angka yang ditunjukkan agak mendukacitakan. Tambah dukacita, perangkaan ini dibuat ketika Ramadhan. Bayangkan ketika Aidilfitri.
Ini bukan hanya tentang kitar semula tapi juga isu penggunaan sumber secara tidak berhemah. Tahukah kita semua, dengan membazir makanan kita bukan sahaja membazir makanan itu sahaja? Akan tetapi juga membazir sumber lain. Kita bermewah membazir sedangkan rakyat di beberapa daerah di Pakistan dan Palestin kekurangan makanan.
Saya berikan contoh pada kadar minimum. Sekiranya sebuah keluarga membazirkan 1 ekor ikan masak kicap, membuangnya ke dalam tong sampah. Sebenarnya yang dibuang bukan hanya sisa makanan/sisa pejal. Turut sama ikut ke dalam tong sampah adalah minyak masak, bawang, cili merah, air dan soya (kicap).
Memang lucu dan berbunyi sedikit cerewet tapi itulah hakikatnya. Jika 50 buah rumah melakukan perkara yang sama, boleh kita bayangkan berapakah jumlah pembaziran sumber yang akan dihasilkan.
Amalan berjimat dan berbelanja seadanya mengikut keperluan amatlah perlu. Sekiranya berbaki dan bersisa, gunakanlah saluran yang betul untuk membuat kitar semula. Saya sendiri bukanlah seorang yang benar-benar efektif dalam mengasingkan setiap sisa dan sampah yang saya hasilkan. Justeru untuk mengurangkan impak terhadap alam, saya menggunakan setiap sumber secara berhemah. Makan apa yang diinginkan sahaja, dan mengikut keperluan. Setiap apa yang ada, dihabiskan dan tidak pula dibazirkan. Bukan apa. Kita tidak mahu anak cucu kita pada 20 tahun akan datang diam di atas longgokan sampah yang tidak terkira banyaknya.
Satu perumpamaan. National Geographic dalam websitenya menyatakan yang Pemanasan Global tidak boleh dihentikan, akan tetapi prosesnya boleh diperlahankan. Saya merasakan hal ehwal sampah sarap ini juga sama. Kita tidak boleh berhenti menghasilkan sampah. Sedangkan sisa dalam badan kita pun layak digelar sampah. Akan tetapi kita boleh memperlahankan prosesnya.
Cukuplah kita perturunkan pelbagai masalah kecelaruan agama, ekonomi, politik, perkauman dan peluang kerjaya kepada anak cucu kita. Setidak-tidaknya kita hendaklah berusaha menyelamatkan mereka daripada sampah. Jika tidak, jangan salahkan mereka kalau satu hari nanti mereka melihat kita sebagai sampah masyarakat, yang hanya tahu mewariskan pelbagai masalah, bukannya kebaikan kepada mereka.
No comments:
Post a Comment