Monday, September 5, 2011

Kawasan Hutan

Bulan Oktober ini akan diadakan sambutan Hari Perhutanan Sedunia. Bagaimana pemimpin-pemimpin di kementerian dan kerajaan negeri mengadakan sambutannya aku kurang pasti. Yang jelas, Fakulti Perhutanan UPM akan membuat sambutan itu selama seminggu dan pelbagai acara akan diadakan. Sambutan ini diadakan di peringkat universiti dan kebanyakan aktiviti akan berlangsung di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong. Hutan ini diserahkan kepada Fakulti Perhutanan untuk dikelola dan diurus secara mampan dalam satu perjanjian dengan Kerajaan Negeri Selangor selama 90 tahun bermula pada tahun 1996. Siapa sangka, di tengah-tengah hiruk-pikuk kesibukan metropolitan, adanya Green Lung yang boleh dikatakan luas dan tidak terusik oleh pembangunan.

Ok, tinggalkan tentang sejarah. Aku bukan nak berkongsi kisah sejarah. Serba sikit untuk pengenalan je.

Sambutan Hari Perhutanan Sedunia yang dianjurkan oleh Fakulti Perhutanan turut mengadakan bermacam-macam program. Contohnya pertandingan fotografi, Bird Race, Orienteering, Paintball dan pameran pendidikan. Pada akhirnya akan dianjurkan satu upacara penanaman pokok dengan kerjasama antara syarikat minyak terkemuka dunia, ExxonMobil.

Sebagai antara institut yang mengetengahkan bidang pengajian perhutanan di peringkat tinggi, Fakulti Perhutanan memang sentiasa aktif menganjurkan program-program kesedaran dan pengembangan secara tidak langsung seperti yang diadakan pada tahun ini. Pada umumnya, diharapkan menerusi program-program semacam ini akan membuka mata orang ramai yang bidang perhutanan bukan hanya berkisar pokok dan aktiviti penebangan balak sahaja. Orang awam harus berhenti 'melihat' perhutanan dengan imej renjer beruniform hijau tua, memegang chain saw dan juga kawasan yang seram lagi menakutkan. Tapi kita semua perlu sedar yang kawasan hutan merupakan punca pembekal kebanyakan sumber asli langsung dan tidak langsung yang kita gunakan dan yang kita manfaatkan selama ini. Air, madu lebah, rotan, pollinators, tanah, kayu balak, peluang rekreasi, ruang pembuangan sampah haram, terapi bunyi air terjun, kesejukan asli, primat, budaya orang asli, batu-batuan sungai, dan bermacam-macam lagi termasuklah penyakit dan penawarnya.

Aspek perhutanan di zaman penuh mencabar ini perlu dilihat secara meluas dan kritikal. Kalau dibiarkan sahaja jumud dan ketinggalan, aku yakin yang potensi untuk kawasan hijau di Malaysia ini terus dipelihara semakin tipis dek kerana kerakusan pembangunan. Untuk pastikan tindakan pengurusan, pemeliharaan dan pemuliharaan dibuat secara efektif, aku lihat integrated approach sangat-sangat berbaloi untuk diketengahkan. Macam mana? Senang saja. Pendekatan yang libatkan orang awam dan bukan hanya agensi-agensi tertentu.

Semasa aku berbual dengan graduan Kochi University, Jepun, kawasan hutan di sekitar daerah itu lebih 70% dan hampir 80% dari jumlah keluasan hutan yang ada di sana adalah milik dan hasil usaha orang persendirian, bukannya kerajaan. Dah menjadi industri di sana. Pengamatan mata aku sendiri pula di Adelaide, orang tak mampu memiliki kawasan hutan sendiri yang berluas ratusan ekar. Sebagai gantinya, mereka sediakan pula kawasan berhutan di kawasan bandar dengan adakan dominasi urban forest. Penghuni negara kangaroo ini suka menanam pokok dengan berbagai strata untuk memastikan green corridor di kawasan perumahan mereka tak terputus. Juga ada yang sediakan artificial nest untuk possum, birds, dan lizards. Sampaikan ada orang yang sanggup melabur ribuan dollar untuk sediakan laman dengan tanaman yang sihat dan subur. Ada laman hadapan dan belakang rumah seperti itu satu kebanggaan buat orang-orang di sana.

Tak perlu kita jadi seperti orang negara lain. Elok kita bentuk identiti dengan cara kita sendiri. Identiti kita menjaga hutan dengan kaedah dan jalan kita sendiri. yang penting aku nak tekankan di sini, orang-orang di negara maju menghargai kawasan-kawasan berhutan dan mereka melihat secara kritikal setiap isu kawasan hijau di tempat masing-masing. Menggunakan sumber kawasan hutan sebagai punca rezeki juga jalan yang baik. Jadi bagaimana kita?

Kita jangan bencikan pembangunan. Cuma bagaimana kita melestarikan pembangunan di sekitar kita, itu yang menjadi persoalan.

No comments:

Post a Comment