Monday, March 26, 2012

Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah, Fakulti Perhutanan UPM

21 Mac lepas, Sultan Selangor ada mencemar duli hadir ke Hutan Simpan Ayer Hitam untuk merasmikan dan menamakan semula makmal luar Fakulti Perhutanan kepada Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah, atau dengan nama lainnya Sultan Idris Shah Forestry Education Centre - SISFEC.

Walaupun program separuh hari ini menelan belanja yang tinggi, tetapi saya percaya pelaburannya amat berbaloi.

Dengan menamakan kompleks ini bersempena dengan nama sultan, diharapkan ia secara tidak langsung dapat memberi imuniti khas kepada perlindungan Hutan Simpan Ayer Hitam daripada pemaju-pemaju dan kontraktor-kontraktor yang tak jemu-jemu menghantar kertas kerja permohonan tanah kepada kerajaan negeri untuk dimajukan.

Lebih bermakna, saya rasakan pelaburan puluhan ribu itu telah diterjemah kepada nilai bilion ringgit bilamana Sultan Selangor mengisytiharkan supaya kerajaan negeri dapat membuat semakan semula perjanjian pinjaman kawasan hutan kepada Fakulti Perhutanan, UPM daripada 80 tahun kepada 999 tahun. Hampir seribu tu. Walaupun keturunan Tuanku yang akan datang belum tentu mampu melihat apa yang terjadi kepada kawasan hutan itu dalam tempoh 999 tahun, akan tetapi ia memberi impak yang lebih bermakna kepada penduduk di sekitar Lembah Klang. Saya kirakan inilah anntara pengorbanan pemimpin kepada rakyat. Alhamdulillah, terima kasih Allah, terima kasih Tuanku.

Moga dengan perlanjutan perjanjian dan penamaan semula HSAH ini, Fakulti Perhutanan dapat lebih mengukuhkan pelan strategi dan modus operandi pelbagai kursus yang ditawarkan terutamanya Bacelor Sains Taman dan Rekreasi.

Maklumat lanjut, boleh dapatkan capaian pantas di sini.

Seperti biasa, saya bertugas sebagai ahli jawatankuasa.

Thursday, March 22, 2012

World Water Day

Sempena sambutan World Water Day, saya nak kongsikan gambar-gambar ni.

Klik di sini.

Maaflah bukan entry sendiri, agak sibuk.

Tuesday, March 13, 2012

Wanita Penting

28 Januari 2012 lalu, saya telah diijabqabulkan dengan isteri tercinta Nur Adlini Ab. Aziz.

Gambar yang ada bukanlah nak menunjuk-nunjuk isteri, sekadar nak kenalkan yang inilah 3 wanita penting dalam hidup saya. Bertudung biru, mak mertua - Rohaya Ahmad. Di tengah itu dah tentulah isteri saya - Nur Adlini Ab Aziz. Bertudung oren tu pulak ibu kesayangan saya - Azizah Mat Hussin.



Awal cerita, isteri saya berdepan cabaran nak mengenal selera saya. Cabaran saya jugak, nak membiasakan diri dengan menu ikut citarasa isteri tercinta. Sebab itulah, selalu jadi persaingan antara air tangan ibu dan masakan isteri.

Alhamdulillah bab ibadat sama sahaja. Tak perlu ikut cara keluarga saya atau family isteri, sebab kedua-dua kami mengesakan Allah Yang Satu.

Pada yang seagama dan yang sudi, doakanlah kami berdua yang baik-baik.. terima kasih Allah..

Monday, March 12, 2012

Tanggungjawab Kebersihan

Semasa saya mengikuti Kursus Biro Tatanegara tiga bulan sudah, selain isu patriotik dan penerangan, perbincangan lebih dalam tentang Perlembagaan, ada juga diselitkan tentang tanggungjawab pengguna.

Kata fasilitator, pernahkah sesiapa dari kita terfikir, kemanakah perginya sisa tinja kita? Selepas flush, apa yang berlaku 'di bawah' sana? Berbaloikah charge yang dikenakan pada pengguna untuk menguruskan hal ehwal kebersihan jijik ini? Dan siapa sebenarnya yang membantu mencuci najis kita, mengelakkan hidung kita berbau sengit melampau, membantu mengurangkan masalah penyakit di kawasan perumahan kita selama ini?

Saya pernah terfikir, tapi tak sejauh itu.

Bila berjumpa artikel seperti yang dibincangkan dulu, memang rasa bersyukur kerana Allah kurniakan manusia bermacam-macam, untuk saling melengkapi. Bersyukur juga kerana kemajuan dan teknologi dah ada di negara ini untuk membantu masalah-masalah asas, untuk terus ditambah baik.

Klik di sini untuk lebih maklumat

Benarlah yang sehebat mana sijil akademik kita, sebesar mana gaji kita, kita tak mampu mengurus betul-betul najis diri sendiri.

Teringat masa kecil buang air dalam lubang di balik semak di kampung Opah. Salah satunya memanglah kerana dhaif, tapi juga berkait dengan kemajuan yang belum sampai sepenuhnya. Mungkin masih ada lagi orang di kawasan kampung dan pedalaman yang berdepan situasi sama, mengurus najis sendiri. Setidaknya saya sempat merasa pengalaman itu, membuat diri merasa lebih kecil ditambah lagi dengan pembacaan artikel tadi. Sekarang, untuk kebanyakan penghuni bandar alhamdulillah kerana ada orang lain yang membantu menguruskan sisa kita sendiri.

Sayangnya, ramai dari kita yang menidakkan usaha mereka-mereka yang menguruskan najis kita. Masih ramai yang tidak menjelaskan bil tangki septik hingga ada yang bertahun lamanya. Ada juga yang mencampak tisu ke dalam lubang tandas, tak lupa ibu-ibu yang mencurah minyak masak ke dalam sinki. Saya semakin berfikir.....

Kata fasilitator, yang penting menjadi orang yang bertanggungjawab untuk diri sendiri dan orang lain.

Benarlah kata Muhammad sallahualaihiwassalam yang setiap dari kita akan dipersoalkan atas apa yang kita lakukan walaupun sebesar zarah sekalipun. Kerana kita dipertanggungjawabkan atas setiap itu.

Jika ada tersilap, betulkan, dan mintalah ampun.

Wednesday, March 7, 2012

Betulkah Kita atau Salahkah Dia?

Ada polis yang menendang jatuh penunggang motosikal kerana tidak memakai topi keledar di sekitar kawasan perumahan hinggakan mengalami kecedaraan parah.

Ramai yang marah.

Salahkah tindakan polis atau betulkah tindakan penunggang motosikal?

Kemudian ada pula sekumpulan orang yang marahkan polis dalam usaha menangani masalah mat rempit dengan melempar topi keledar. Dengarnya balai polis dilempar dengan batu.

Lagi kemarahan orang ramai.

Salahkah tindakan mat rempit, atau betulkah tindakan orang ramai?

Akhirnya tetap salah institusi badan beruniform, bukannya individu polis itu, lagilah bukan orang yang membuat kesalahan itu.

Yang kritikalnya, siapa yang buat salah, siapa yang bertindak dengan betul?

Monday, February 27, 2012

Hanya Perkongsian Dari Orang Lain Kerana Saya Belum Mampu

Saya bukanlah ahli agama, jauh sangat dari status bijaksana. Nak kata cerdiknya lebih dari orang, tidak juga.

Mungkin hanya kerana saya ada belajar tentang sesuatu isu, maka saya ada secebis idea untuk dilontarkan tentang apa yang saya belajar itu. Sebab perkongsian itu juga satu dakwah. Saya ketengahkan dakwah melalui mesej kebaikan yang saya rasakan mungkin mampu untuk saya fikirkan, dan garapkan dalam bentuk tulisan.

Cuma hasil tulisan saya tidaklah sehebat mana. Saya cuma mampu mengajak orang membuat apa yang saya buat, untuk lebih mengejar kesejahteraan bersama.

Isu yang sentiasa saya ulas, lebih berkisar pada kes-kes berkenaan alam sekitar, berkait dengan peluang, kelebihan, ancaman dan kelemahannya. Cuma kekadang saya kaitkan sedikit dengan keadaan semasa manusia, sebab kita ini pengguna alam sekitar - juga khalifah di buminya.

Semasa bujang, banyak saya praktikkan menjaga kebersihan. Selepas bergelas suami, saya ingatkan isteri saya supa teruskan habit menjaga kebersihan. Bila bersama pelajar-pelajar saya, acapkali saya ingatkan supaya menjaga kebersihan dan menghargai alam sekitar. Jangan buang puntung rokok merata-rata, jangan membazir penggunaan elektrik dan air. Ingatan saya pada pelajar juga adalah ingatan kepada diri sendiri. Ini juga salah satu perkara yang saya kirakan proses perkongsian ilmu yang mampu saya ketengahkan.

Di masa dulu, ada seorang kawan mengingatkan saya, cuba sebaik mungkin kaitkan apa yang saya pelajari dengan agama. Kerana dengan keperkaitan agama itu, barulah kita nampak keindahan Islam. Baru kita sedar yang agama itu berkait dengan alam, dan alamlah juga yang berkait dengan agama. Supaya kita sedar, SEBAB KITA SENTIASA LUPA, LALAI DAN LEKA.

Hasilnya, saya temui beberapa ayat Quran yang dikaitkan dengan alam ini, dan bagaimana kita khalifah bumi yang diamanahkan Allah untuk memanfaatkannya. Cumanya hasil penemuan itu terlalu sedikit kerana terhadnya daya fikir saya dan lemahnya insan bernama manusia ini. Maka saya hanya mampu berkongsi melalui penceritaan bergambar kerana tidak mampu menginterpretasikan secara berlebihan. Takut dikategorikan orang yang bukan bidang, bercakap hal yang bukan bidangnya.

Hingga kini, saya masih belum mampu menghasilkan nukilan berkesan dan efektif, menyentuh hati dan minda manusia lain untuk berfikir tentang kepentingan alam sekitar.

Akan tetapi saya suka benar untuk berkongsi dua artikel yang saya kirakan amat berkesan dalam mendidik diri kita, menghargai kebersihan dan alam sekitar menurut kacamata Islam.

Elok benar kalau diluaskan pembacaan untuk artikel dari DrMaza dan SaifulIslam ini.

Semoga kita sedar, sesi kutip sampah di awal waktu persekolahan sebelum masuk ke kelas waktu kecil dahulu adalah untuk melatih diri kita menjaga kebersihan. Bukan sekadar memori untuk diimbau atau memenuhi jadual sekolah.

Pengetahuan Pakar itu Tiada Nilainya

Perhimpunan Hijau jelas menunjukkan ahli akademik dipandang sebelah mata, pengetahuan mereka selaku pakar dalam bidang berkaitan tidak diterima, dan orang awam masih terus berkiblatkan politik.

Dukacitanya.

Lebih info di sini.

Friday, February 17, 2012

Sampah Bukan di Bumi Sahaja

Suka nak berkongsi, selain daripada masalah sampah di darat, dalam laut dan sungai, generasi kita juga berdepan dengan masalah pencemaran di orbit angkasa lepas sekeliling bumi.

Boleh klik di sini untuk mendapatkan maklumat berkaitan.

Mungkin boleh kita fikirkan, sikap manusia yang utilitarian itukah penyebab?

*Kewujudan blog ini juga salah satu usaha menyokong bertambahnya satelit di angkasa.

Thursday, February 16, 2012

Jom Berhimpun 3???

Sudah macam-macam perhimpunan aman yang kita dengar dilaksanakan di Malaysia sejak akhir-akhir ini.

Paling baru, mungkin akan diadakan Perhimpunan Hijau 2.0 pula.

Antara fokus perhimpunan untuk highlight isu Lynas di Gebeng.

Kata PM, perhimpunan aman adalah hak semua orang untuk berbuat demikian.

Pada yang memerhati seperti saya, perhimpunan seperti ini dengan kehadiran pemimpin-pemimpin politik cuma satu mainan seketika, manipulasi oleh orang tertentu.

Kempen buang sampah di tempat sepatutnya (termasuklah puntung rokok jangan buang ikut tingkap kereta), jimatkan penggunaan air di rumah, berkongsi kenderaan, hijaukan kawasan rumah, bersihkan sungai air tawar dan laut, masih lagi dipandang sepi. Sedangkan kempen-kempen seperti ini dibuat kerana masalah sudahpun berlaku. Dah menjadi barah yang tenat, sukar untuk dirawat semula. Bezanya kempen seperti ini tidak punya perhimpunan.

Sayangnya, kempen seperti ini masih belum mendapat tempat dan perhatian semua orang. Dalam media perdana mahupun alternatif, hanya ada sesipi sahaja sedutan tentang isu lambakan sampah dan pencemaran. Bilamana isu itu boleh dipolitikkan, barulah dibuat perhimpunan dan publisiti besar-besaran.

Tentang isu kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, pandangan saya cuma satu dan masih tidak berubah sejak dari pertama kali isu ini diketengahkan hingga kini.

Malaysia perlukan satu industri alternatif membekal tenaga dan sumber bumi secepat yang mungkin. Akan tetapi kadar cepatnya itu dipengaruhi oleh mentaliti rakyat Malaysia itu sendiri. Jangankan usaha mendisiplinkan pengasingan sampah atau buang sampah di tempat sepatutnya, bayar bil pembentungan pun tak dijelaskan. Bagaimana kita nak menangani nuklear jika masih di takuk lama.

Yang kurang itu cara kita berfikir dan bagaimana kita bertindak. Jadi usahakanlah untuk perbaikinya. bertindak dengan cara sepatutnya, tidak semestinya dengan berhimpun.