Pada suatu hari, seorang pengurus sibuk menyelesaikan segala urusan dokumentasi berkaitan pentadbirannya. Kesibukannya hari itu luar biasa memandangkan hari itu, hari istimewa. Pejabatnya akan dikunjungi auditor yang juga autoriti yang akan menganugerahkan sijil ISO.
Sebagai satu entiti kecil, 'kejayaan' jabatannya dipilih untuk diaudit merupakan satu kebanggan besar, tapi juga satu bencana yang luar biasa baik.
Manakan tidak. Kalau gagal di peringkatnya, banyaklah masalah yang akan timbul, dan akhirnya menyulitkan lagi keadaan organisasi secara keseluruhan untuk dianugerahkan ISO.
Terdorong dek rasa tanggungjawab yang tinggi, pengurus ini bermati-matianlah mengarahkan semua staf bawahannya bersedia 200%. Kemaskini dokumen, penambahbaikan pelaksanaan, semakan fail-fail dan macam-macam lagi. Semuanya dibuat berbulan-bulan sebelum hari audit tiba.
Akhirnya pada hari itu, sebelum auditor tiba ke jabatannya, Pengurus masih lagi bertungkus lumus. Buat kali yang terakhir, Pengurus mengarahakn bermacam-macam lagi gerak kerja kepada staf bawahannya untuk disiapkan.
Malang tak berbau. Oleh sebab tekanan kerja yang terlalu banyak, salah seorang staf bawahannya pitam. Dia muntah dan terjatuh, tak mampu bangun dengan sendirinya. Dia cuma kerani biasa, tidak mendapat latihan insentif seperti seorang bergelar pegawai. Mungkin kerana beban kerja dan daya tahan yang tidak sepadan, dia jatuh pada hari itu. Panik semua isi pejabat, termasuklah si Pengurus.
Sudah jatuh ditimpa tangga. Pada masa itu jugaklah auditor sampai ke muka pintu. Bertambah merah padam muka si Pengurus. Auditor yang melihat keadaan itu, terus bertanya kenapa semua ini terjadi.
Diceritakan secara jujur oleh Pengurus, auditor mendengar dengan baik. Staf yang pitam tadi dibawa ke klinik untuk rawatan dan diberi cuti rehat untuk 2 hari. Manakala sesi audit berjalan semula seperti biasa.
Cukup dari kisah ini. Ini kisah benar, tapi dengan sedikit olahan.
Salah si Penguruskah? Atau memang lemah si staf bawahan? Atau silap audit?
Bukan salah sesiapa. Mendapatkan pensijilan bertujuan untuk mendisiplinkan semua entiti dan jabatan di Malaysia supaya berdisiplin dalam menyiapkan kerja, cekap dan tidak buat sambil lewa.
Sayangnya disiplin itu masih belum dipupuk di dalam jiwa semua kita. Sebab itulah kita cuma bertungkus lumus hanya untuk audit, bukan untuk tugasan kita. Kita buat kerja supaya mendapat sijil. Bukannya untuk memberi khidmat seperti yang sepatutnya kita dibayar gaji.
Nampaknya macam sesi audit ini ialah sesi untuk kita menipu diri sendiri.
No comments:
Post a Comment