Thursday, January 6, 2011

Anak Murid Kencing Berlari kerana Guru Kencing Berdiri

Apabila saya melepasi pintu pagar sekolah itu, beberapa orang murid mengacah saya. Apabila saya menoleh mereka memberi respon seperti tiada apa berlaku dan kemudian meninggalkan saya dengan gelak tawa. Mungkin penampilan saya yang botak tetapi memakai beg agak pelik buat mereka.

Berjalan lagi, saya terlihat seorang pelajar perempuan yang juga adalah pengawas sekolah menari ala barat seperti gaya di kelab malam. Wah, ini lebih hebat. Walaupun hanya kelibat kawan-kawan perempuan di sekelilingnya, akan tetapi bukankah dia di tempat umum yang boleh dilihat semua. Dalam saya melihat gelagat itu, beberapa orang rakannya menjeling tajam ke arah saya.

Tak mengapalah. Budak-budak katakan.

Tiba di pejabat, saya menunggu giliran bertemu guru besar untuk mendapatkan keizinan mengedarkan soal selidik.

Dengan lafaz Bismillah saya masuk ke pejabat guru besar apabila dipanggil. Pertemuan pertama itu kurang menarik kerana tiada balasan senyuman yang diberikan pada saya, tidak bertemu mata sebagai tanda ikhlas menerima kehadiran saya. Tak mengapalah. Penat bekerja katakan.

Saya memulakan bicara dengan memperkenalkan diri dan sedikit latar belakang. Seterusnya memberi penjelasan tentang projek kajian. Suka untuk saya tunjukkan lampiran yang saya bawa bersama akan tetapi dukacitanya apabila guru besar menjawab dengan "Tak perlu tunjukkan pada saya. Awak jelaskan sahaja semuanya."

Agak terkesima, saya cuba menyusun kata sebaik mungkin. Respon yang saya terima adalah anggukan tanpa langsung melihat ke wajah saya sebaliknya membelek-belek kertas di atas meja.

Apabila melihatkan keadaan tidak memihak saya, terus saya pendekkan cerita. Kita faham, yang orang tak sudi nak terima kita jadi tak perlu saya cuba menerangkan dengan teliti. Saya ucapkan terima kasih pada guru besar selepas dia memberi penjelasan yang guru-guru semuanya sibuk dan terus beredar.

Tak mengapa kalau tidak mahu saya mengganggu urusan kerja guru-guru. Tapi respon yang saya terima agak mendukacitakan. Guru Besar sebuah sekolah yang agak ternama di WPKL berkelakuan begitu, memandang rendah atas kehadiran tetamu kecil seperti saya, pada kaca mata saya dia telah menjatuhkan maruah seorang pendidik.

Setiap orang punya alasan, dan takkan kita mampu puaskan hati setiap orang. Adakah ini alasan yang akan kita beri bila kita melakukan kesalahan.

Sepanjang perjalanan balik meredah hujan di atas motosikal, saya teringat pepatah "Guru Kencing Berdiri, Anak Murid Kencing Berlari".

Wallahua'lam...

Wednesday, January 5, 2011

Air Tangan Ibu vs Masakan Isteri

Masakan ibu lah yang paling sedap, tiada tandingan. Walaupun juadah paling ringkas, juadah ibu yang paling enak.

Mengapa bukan juadah di hotel lima bintang?

Saya percaya sebenarnya makanan di hotel-hotel dan restoran ternama jauh lebih enak dan sedap. Akan tetapi rahsia di air tangan ibu ialah kerana ibulah yang telah membentuk selera dan citarasa kita sejak kita dari kecil. Tambahan, ibu yang lebih tahu selera kita bagaimana. Lebih garam @ gula, kurang pekat @ cair dan pelbagai lagi rahsia di sebalik kekuatan tangan halus milik ibu.

Selepas umur tertentu, sebagai lelaki status ini akan bersaing dengan sang isteri. Masakan siapa yang lebih unggul, ibu tersayang atau isteri tercinta?

Jawapan untuk soalan ini terletak pada rahsia disebalik keberkatan juadah ibu dan isteri.

No offense, akan tetapi pusingannya ialah si isteri akan menjadi ibu juga satu hari nanti. Dia akan menerima pahala yang sama sepertimana ibunya dahulu. Manakala si anak dan suami, terus menjadi medan si ibu dan isteri mengumpul pahala.

Terima kasih kepada semua golongan ibu dan isteri kerana sentiasa menyediakan makanan di meja untuk kami sekeluarga.

Wallahua'lam...

Ucapan Maaf 2011

Dalam perbualan, seorang rakan menegur sikap saya yang terlalu mudah meminta maaf dalam apa jua perkara. Walaupun ketara salah itu bukan berpunca dari saya, tapi bait maaf tetap terbit dari mulut ini.

Kata rakan tersebut, kalau bukan salah kita tak perlu minta maaf. Akan merendahkan darjat kita dan buat orang tidak hormat pada diri kita sendiri akan datang. Sudahnya, kita akan ditindas. Tegas rakan saya lagi, kalau saya minta maaf tapi tiada rasa ikhlas dah jadi seperti main angin @ bodek. Bukan benar-benar minta maaf pun.

Saya terima teguran rakan dan cuba mengubah cara. Tetapi tak boleh. Sudah menjadi kebiasaan dari kecil meminta maaf dalam semua hal walaupun bukan salah saya, walaupun tiada perkara serius untuk meminta maaf.

Dua hari selepas itu, seorang rakan yang lain menegur sikap saya yang sama. Katanya, aku suka dengan cara kau yang suka meminta maaf dalam setiap perbualan. Dalam perilaku, walaupun orang lain yang salah tetap kau yang memulakan kata-kata maaf. Tambah rakan saya, kalaupun hati saya tidak ikhlas meminta maaf dia yakin bila menjadi kebiasaan kita mampu melatih hati dan diri untuk ikhlas dan jujur.

Saya berfikir seketika dan tanpa memerlukan masa terlalu lama, saya membuat keputusan untuk terus dengan sikap lama - jangan berhenti meminta maaf. Kerana ia mengajar saya bersabar, rendah diri dan tahu asal usul yang kita sebagai manusia memang banyak silapnya.

Wallahua'lam....

Friday, December 31, 2010

News from WWF

Preliminary expedition reveals that Semporna, Malaysia's under water enriched with huge biodiversity of marine species. The preliminary expedition also mentioned that this area might be the most biologically diverse in earth.

However, the scientist from United States, Netherlands and Malaysia itself told that there are lot of sign of human interfere that can give negative result on the marine species.

References:
WWF 2010, Malaysia expedition yields rich marine gift basket, http://wwf.panda.org/?198256/Malaysia-expedition-yields-rich-marine-gift-basket

Wednesday, December 29, 2010

9 + 1 = Success

Formula berjaya amat mudah. Semudah kira-kira, iaitu 9 + 1 = Success.

Apakah 9, apa pula 1?

9 ialah sikap (attitude) manakala 1 pula ialah ilmu dan kemahiran (skill/knowledge).
Biar sehebat mana pun ilmu dan kemahiran yang dikuasai seseorang, tapi jika dia tidak mempunyai sikap yang baik, dia tidak akan ke mana-mana.

Cth. 1: Graduan dengan keputusan CGPA akademik 3.99 akan gagal untuk mendapatkan kerja sekiranya semasa sesi temuduga tidak menunjukkan sikap yang baik, santun, akitf dan inovatif.

Cth. 2: Isteri yang pandai memasak dan menjahit tetap akan berdepan masalah dengan suami dan keluarga sekiranya masih bersikap acuh tak acuh dalam tanggungjawab. Bangun pagi jam 9, macam mana nak sedia sarapan untuk keluarga?

Cth. 3: Imam yang mahir taranum, tajwid dan pelbagai ilmu agama tidak akan disenangi masyarakat sekiranya mengamalkan sikap terlalu jumud dan tidak wasatiah mengikut keperluan keadaan. Akibatnya majlis tahlil panggil imam kampung sebelah untuk mengepalai majlis.

Cth. 4: Bos yang bijak mengurus sumber, pandai mengawal kewangan jabatan tetap tidak dapat mengawal organisasi sekiranya tidak bersikap rendah diri dengan pekerja bawahan. Macam mana orang nak respect kalau kita jalan mendongak, tak tahu nak senyum dengan orang lain?

Mungkin banyak lagi contoh, tapi ini sahaja yang mampu saya berikan buat masa ini. Tafsiran sikap (attitude) mungkin pelbagai, akan tetapi secara umu itulah yang dimaksudkan. Mungkin benar ada pekerja yang mengamalkan sikap terbaik dengan majikan (main angin/kipas bos) akan tetapi bagi kes ini, tafsiran berjaya baginya pula mungkin berbeza.

Wallahua'lam...

Setiap Makhluk ada Manfaatnya

Soalan:
"Pada pandangan tuan, dan Jabatan, adakah kera-kera ini masih mempunyai nilai ekologi yang penting terhadap manusia dan persekitarannya di kawasan yang menerima aduan konflik gangguan kera?" - Penulis

Jawapan:
"Setiap ciptaan Allah tu ada fungsinya. Walaupun ada banyak kera yang mengganggu penduduk awam dan pengunjung di sekitar Taman TAR, Ampang dan Bukit Kiara, TTDI seperti yang awak tanya, kera tersebut tetap ada kepentingan tersendiri dan nilai yang sangat tinggi. Kera-kera ni sebenarnya bertindak sebagai 'buffer' dan penapis kepada pelbagai penyakit dari dalam hutan sebelum terlepas ke kawasan yang dihuni manusia. Contohnya penyakit TB, malaria dan rabbies dari dalam hutan. Kalau tak ada kera-kera ni, dah tentu penyakit ni akan penjangkiti manusia dengan mudahnya. Tapi kera-kera ni lah yang menerima penyakit ni terlebih dahulu. Jadi tak banyaklah penyakit yang tersebar keluar dari dalam kawasan hutan" - Timbalan Ketua Pengarah, Unit KBD, PERHILITAN Malaysia.

Wallahua'lam...

Laluan Kita dan Destinasi

Setiap dari kita akan menempuh laluan yang berbeza. Ada yang lurus, ada yang bengkang bengkok, ada yang berpatah balik, dan bermacam lagi.

Tapi setiap jalan yang kita lalui, biar berbeza macam mana pun laluannya, destinasi dan penamat kita tetap sama.

Wallahua'lam...

Tuesday, December 21, 2010

Duit dan Kuasa

Dua senario:

Pertama:
Seorang usahawan berjaya berstatus jutawan sedang memandu kereta yang bernilai lebih dari RM2 juta. Apakan daya, apabila berlaku kesesakan jalanraya di tengah kota, kereta mahal beliau tetap tidak bergerak.

Kedua:
Seorang ahli politik, menaiki kenderaan kerajaan melalui jalan yang sama dengan jalan yang dilalui oleh si usahawan di tengah kesibukan dan kesesakan jalanraya di ibukota sambil diiringi polis pengiring. Dengan mudahnya beliau melepasi kesesakan tersebut.

Kesimpulan - Kuasa lebih dahsyat dari wang ringgit. Sebab itu, ramai orang gilakan kuasa walaupun baru bergelar pelajar.

Masa Lampau

Masa lampau itu ibarat cermin pandang belakang kenderaan. Perlu dilihat tapi hanya sekali-sekali. Yang penting adalah cermin hadapan.