Sunday, August 29, 2010

Antara Benda Paling Mahal di Dunia

Maklumat amat memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk sebuah komuniti. Pernah dengar istilah yang berbunyi "Maklumat itu adalah antara perkara yang paling mahal di dunia"..?

Benar, saya yakin yang maklumat adalah perkara paling mahal di dunia.

Maklumat disebarkan oleh medium khusus penyampainya - media. Pihak media (akhbar, internet, blog, berita) adalah medium yang sangat efektif untuk menyampaikan maklumat. Tiap apa yang disiarkan, yang dinyatakan, akan menjadi buah mulut, mendapat perhatian semua pihak yang dijamu dengannya. Zaman ini, kita tidak boleh lari daripada mendapat tempias maklumat yang disampaikan oleh semua medium ini. Daripada tidak tahu apa-apa, kita akan tahu. Daripada tahu sedikit, kita akan berkehendakkan tahu banyak. Daripada tahu banyak itu, kita akan sebarkan. Bahkan juga sentiasa terjadi walaupun hanya tahu sedikit kita sudah mahu menyebarkan setiap apa yang kita tahu.

Pokok persoalannya, adakah apa yang disampaikan itu benar?

Saya berbual dengan salah seorang penuntut PhD dalam bidang kejuruteraan di sini, yang berasal dari German. Apa yang dsebutnya menarik perhatian saya.

Medium penyampai maklumat ini bukanlah menyiarkan berita, menyampaikan maklumat yang benar-benar sensai. Jauh lagi daripada mengetengahkan isu yang sepatutnya, yang relevan. Akan tetapi, sebenarnya medialah yang mewujudkan sesuatu berita itu sensai, sesuatu cerita, sesuatu kisah, sesuatu maklumat itu seakan-akan benar, hebat, luar biasa dan wajib diberi perhatian total.

Daripada satu kisah yang minor, ulangannya di dada akhbar, liputannya di kaca TV menyebabkan semua orang melihatkan ianya hebat dan sensasi. Walaupun ada segelintir daripada kita mampu membezakan bahawa maklumat yang disampaikan itu bukanlah segah mana, akan tetapi pada akhirnya media berjaya mengalihkan pandangan dan tumpuan kita daripada hal-hal yang lebih penting. Akhirnya secara separa sedar kita melihat hal lain yang lebih utama sebagai tidak penting. Kita akan semakin melupakannya.

Itu hal tentang mengalihkan perhatian masyarakat. Berkenaan hal benar atau tidak juga satu isu yang berat. Kekadang kerana terlalu menginginkan perhatian (mendapat jualan akhbar tertinggi etc), medium ini cenderung menyampaikan maklumat sensasi tanpa usul periksa. Lebih parah jika disengajakan menukar terma-terma ringkas tertentu hingga menyebabkan fahaman sesuatu hal itu terus berubah. Saya berikan contoh istilah 'ucapan' ditukar kepada 'tazkirah'. Dua perkataan ini memberi makna yang jauh berbeza. Akibatnya, fahaman pembaca terus beralih. Pembaca akan terus berimaginasi yang bukan-bukan mengikut fahaman mereka sendiri.

Mengalihkan perhatian dari yang lebih utama dan kecenderungan memberikan yang salah akhirnya akan membentuk satu masyarakat dengan norma yang baru. Kita kini bukanlah satu masyarakat yang mempunyai dasar budaya ilmu tetapi emosi. Semuanya terbentuk oleh media.

Menjadi kerisauan sekiranya pembentukan ini akan terus berlaku tanpa henti, yang mana kita akan terus-terusan menjadi hamba persepsi yang dikeluarkan oleh akhbar. Rumusan kita dalam sesuatu hal bukan lagi didasar oleh akal.

Sebab itu saya melihat yang "Maklumat itu adalah antara perkara yang paling mahal di dunia"...

Wallahua'lam....

No comments:

Post a Comment