Baru-baru ini saya menziarahi Mak Cik, salah seorang jiran saya di sini. Mak Cik bukanlah warga Australia. Akan tetapi selepas dinikahkan dengan salah seorang warga Australia, Mak CIk berpindah ke negara Kanggaru ini. Mak Cik sebenarnya berada dekat sangat dengan Malaysia. Asalnya berjiran sungguh dengan kita - Malaysia. Memang kekadang saya akan luangkan masa menziarahi Mak Cik dan suaminya. Menemani warga tua banyak berkatnya. Itu didikan tak langsung yang ibu ayah saya berikan pada saya sejak kecil.
Perbualan kami berkisar makanan di Malaysia dan negara Mak Cik, sebabkan pada masa yang sama televisyen sedang menyiarkan sebuah rancangan yang mempromosi makanan di Malaysia. Almaklumlah, lama tak merasa ikan masin, petai, budu, pucuk paku dan ikan selar goreng umi, saya pantang melihat makanan Malaysia di televisyen. Sedang asyik bercerita perihal makanan, Mak Cik berkongsi tentang apa yang berlaku di negaranya. Mungkin keluarga Mak Cik di negara sana mustahil untuk mewakili semua populasi Melayu di situ akan tetapi saya rasa isinya tetap ada.
Setelah diringkaskan, ini antara isi dialog dengan Mak Cik:
1) “Anak saudara makcik tu tak kenal bulu ayam, macam mana rupa bentuk ayam. Mana taknya, pergi ke pasar semua dah dibelah. Yang ada Cuma bentuk paha, kepak, dada. Sebab tu tak kenal ayam macam mana.”
2) “Keluarga dia orang tak makan ulam-ulam ni. Satunya memanglah sebab tak sedap, yang duanya sebab tak diajar dari kecil makan sayur. Rupa ulam pun tak kenal. Yang dikenalnya dia orang kobis, sawi. Sayur-sayur yang macam tu lah.”
3) “Semua anak saudara Mak Cik tak nak ikut mak ayah pergi ziarah ke rumah orang. Kalau nak ikut pun, dia akan tanya ada komputer atau tidak, boleh main game di komputer di rumah tu atau tidak. Kalau tak boleh, pujuklah macam mana pun tetap dia orang tak nak pergi.”
4) “susah dah sekarang. Kalau ada nak buat majlis tahlil arwah, nak solat jenazah, nak buat apa-apa bacaan doa selamat mesti susah nak cari orang.”
5) “Yang paling bongsu tu, tak nak berjalan atas rumput walaupun berselipar. Kalau terpaksa pun mesti terjenkit-jengkit. Yelah, pijak tanah, bau lumpur pun tak pernah. Itulah jawapannya kenapa jijik nak berjalan atas rumput. Rumput di taman permainan kindergarden pun rumput plastik. Bukan rumput betul pun.”
6) “Buah rambutan mana nak dimakannya. Alasannya sebab leceh nak kena kopek kulit. Durian pun sama tak dimakan sebab bau busuk kata dia orang. Jadi kalau Mak Cik belikan buah-buah macam tu bawa balik ke dia orang, kenalah Mak Cik kopekkan kulitnya dulu, slice isi dalam mangkuk baru lah nak makan. Itu pun tak habis. Kalau durian tu memang Mak Cik makan sendiri-sendirilah.”
7) “Jadual seharian dia orang kalau bukan di sekolah menghadap komputer main game. Sampai berpuluh jam. Maknya sampaikan terpaksa buat jadual nak elak anak main game selalu. Itu pun tak makan saman.”
8) “Kawan-kawan anak buah Mak Cik tu yang dalam komputer lah. Dia orang tak keluar rumah main bola, jumpa orang.”
9) “Tak ada dah rojak macam dulu, letak sayur kangkung dalamnya. Yang diletaknya buah epal, pear. Memang dah lain sangat-sangat dah sekarang.”
10) “Macam itu lah hidup di negara bukan milik kita. Kene ikut cara dia orang. Kalau tak, kita ketinggalan memang nak makan pun susah. Itu yang ibu bapanya keje bagai nak mati, tak ada masa untuk tengok anak-anak lebih lagi.”
Ini antara keluhan yang disuarakan oleh Mak Cik pada saya dan rakan serumah semasa menziarahinya tentang perbezaan generasi. Menurut Mak Cik, semua ini berlaku dek kerana mengejar keperluan ekonomi dan mengejar kompetensi, asuhan dan perhatian pada anak-anak menjadi kurang. Manakala kemajuan dan teknologi yang dipuja-puja selama ini juga oleh kebanyakan kita saya lihat mendatangkan sesuatu yang lebih negatif tentang jatidiri seseorang. Kta sudah tidak kenal apa disekeliling kita. Lebih menakutkan jika kita sudah tidak mengenali siapa diri kita.
Saya lihat dan saya teliti, ada perkaitan antara pendedahan dengan alam sekitar dan juga sahsiah dan jatidiri seseorang. Kalau dulu kanak-kanak bermain lumpur bersama kawan-kawan. Di situ mereka kenal dan mengerti maksud persahabatan. Bergaduh, bergembira semuanya pada masa itu. Pada masa itu juga mereka secara tak langsung kenal akan ibu bapa rakan masing-masing. Dari perkenalan itu, mereka dijemput pergi menghadiri majlis tahlil, menolong kenduri dan sebagainya. Dari perkenalan itu juga, ibu bapa mereka dan ibu bapa rakan-rakan mereka ada alasan untuk lebih rapat. Mulalah bertukar lauk-pauk, menjemput minum petang, bersedeqah bila ada rezeki lebih dan sebagainya. Dari situ juga, adanya hubungan kemasyarakatn yang baik. Semuanya berlaku secara tidak langsung. Akan tetapi kini, rakan-rakan anak-anak kini semuanya secara maya. Mungkin mereka bangga kerana ada kawan dari Eropah, Mesir mahupun Kanada akan tetapi semuanya di dalam skrin. Kalaupun bertukar hadiah, juadah, semuanya secara maya (mungkin game di dalam FB misalannya).
Saya sendiri bukanlah orang yang luar biasa, benar-benar mengetahui susur galur darah daging saya. Bahkan saya yakin penulisan saya di sini banyak juga salah dan kesilapannya dari pelbagai segi. Saya juga bukanlah orang yang beruntung sepertimana ibu ayah saya dahulu. Saya tidak punya pengalaman sehebat mana, tidak merasa sesusah mana, tidak sempat merasa nikmat alam seperti umibaba. Saya juga generasi XYZ. Akan tetapi saya bersyukur kerana saya pernah dan berpeluang mandi banjir, panjat pokok langsat dan rambutan, kenal ulam dan sayur-sayuran, , kenal bau dan rupa tahi lembu, tahu makan umbut pisang, kenal rupa ayam dan lembu, pernah peluk kambing, tahu kupas kelapa tua, pernah merasa miang serai, gatal main longkang dan lombong, pernah berdarah digigit pacat dan lintah, pernah terpihak tahi ayam, tahu bermain gasing, ting-ting, batu seremban dan congkak buah getah (walaupun tak sehebat mana), pernah rosakkan pokok getah untuk menoreh, merasa pedih dan bisa digigit kerengga bilaman sarangnya jatuh atas kepala (gara-gara curi buah pelam pak cik Husin), tahu sejuknya tali air, merasa penat hidup dapur kayu, kacau dodol dan bakar lemang, menikmati rasanya telur belangkas bakar, merasa penat meredah gelumang lumpur sawah, melastik burung dan tupai, petik pucuk rebung, panjat pokok kelapa untuk dapatkan buah dan minum airnya dan merasa kepah bakar segar yang dikutip sendiri di pantai. Ini baru sedikit. Saya yakin dan saya tahu ramai di luar sana mempunyai 'pengalaman liar' yang lebih menarik dan luar biasa berbanding saya. Saya juga yakin dan saya tahu, saya tidak sempat untuk berkongsi apa yang saya rasakan, apa yang pernah saya alami kepada bakal anak-anak saya.
Apapun saya harap jatidiri dan sahsiah mereka, generasi akan datang tetap kukuh terbina. Kerana siapa lagi yang akan sambung ukhuwah fillah antara saya dan saudara-mara dan rakan taulan saya selepas saya pergi, uruskan jenazah saya, bacakan tahlil untuk saya kalau bukan anak-anak saya - generasi akan datang.
No comments:
Post a Comment