Sunday, November 7, 2010

Kebijaksanaan Manusia Mengeksploitasi Sumber

Penilaian Impak Persekitaran (EIA) didefinasikan sebagai satu penilaian atas impak terhadap alam sekitar yang disebabkan oleh projek yang dirancang. EIA digunakan sebagai medium proaktif mengenalpasti apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang terhadap alam sekitar serta kaedah-kaedah yang sesuai untuk mengatasinya. Lebih asas, sekiranya impak yang dikenalpasti itu tidak mempunyai jalan untuk dikurangkan kesan negatifnya, maka projek pembangunan tersebut tidak akan dijalankan. Jelas di sini, dari sudut pemikiran logika manusia, bencana alam yang berpunca dari satu-satu pembangunan yang dirancang boleh ditaksir sebagai kesilapan manusia dalam membuat keputusan, adakah projek pembangunan tersebut berbaloi untuk dijalankan jika dibandingkan dengan kesan yang akan timbul daripadanya.

EIA adalah satu proses di peringkat perancangan. Sebagai alat penilaian, ia mampu membantu sesebuah negara meninggalkan khazanah masa kini kepada generasi akan datang dalam keadaan baik.

Di Malaysia, EIA telah mula bertapak secara khusus dan menyeluruh sekitar 1980an. Bernaung di bawah kementerian khusus, EIA bergerak dengan sokongan Akta Kualiti Alam 1974 di bawah kelolaan Jabatan Alam Sekitar. Sebanyak 19 aktiviti (19 Prescribed Activities) pembangunan telah dikenalpasti untuk dikenakan EIA mengikut jadual yang ditetapkan di dalam akta tersebut.

DI atas kertas, EIA dilihat sangat mampu mengawal pembangunan dan penggunaan sumber asli, serta mengelakkan pembinaan secara tidak terurus.

Sayangnya, kebijaksanaan manusia seringkali digunakan ke atas jalan yang salah. Sebijak-bijak pentadbir menyediakan satu panduan pembangunan, bijak lagi pengusaha projek. Keinginan mengejar keuntungan menyebabkan EIA diperbudak-budakkan.

Ukuran kuantitatif dalam mengenalpasti 'Prescribed Activities' digunakan untuk mematahkan hujah tidak boleh manjalankan pembangunan.

Syarat pembangunan kawasan perumahan ialah tidak melebihi 50 hektar. Maka pemaju perumahan akan menggunakan kelebihan angka untuk mengatasi fleksibiliti. Kebanyakan pemaju atas nama berbeza tetapi berindukkan yang sama memilih untuk membangunkan 49 hektar kawasan sebagai kawasan perumahan di beberapa kawasan berbeza, tetapi berlokasi dekat sesama mereka. Katakan 3 permohonan membangunkan kawasan perumahan dengan saiz 49 hektar setiapnya. Setiap permohonan tidak perlu dikenakan EIA kerana hanya pembangunan perumahan yang melibatkan kawasan lebih 50 hektar sahaja perlu dikenakan EIA. Maka 3 permohonan ini akan diluluskan dengan mudah. Lokasi bersebelahan menyebabkan jumlah guna tanah untuk pembangunan perumahan tersebut sebenarnya ialah 147 hektar, bukannya 49 hektar seperti di atas kertas.

Itulah sebabnya jika banyak di dedahkan akhbar, penduduk merungut projek pembangunan seperti tidak wajar dijalankan. Akan tetapi dari segi perundangan ia sebenarnya boleh dilaksanakan.

Jadi, kekurangan kuantitatif di dalam prosedur EIA ini perlu dikurangkan bagi mengimbangi kebijaksanaan manusia mengeksploitasi sumber.



Rujukan:
1) Briffett, C, Obbard, JP & Mackee, J 2003, ‘Towards SEA for the developing nations of Asia,’ Environmental Impact Assessment Review, vol. 23, no. 2, pp. 171–196.
2) Glasson, J, Chadwick & Therivel, R 1999, Introduction to environmental impact assessment, 2nd edition, Spon Press, London, UK.
3) Memon, PA 2000, ‘Devolution of environmental regulation: environmental impact assessment in Malaysia,’ Impact Assessment and Project Appraisal, vol. 18, no. 4, pp. 283–293.
4) Nor, YM 1991, Environmental policy making: Problems and perspectives in Malaysia, Environment Impact Assessment Review, vol. 11, pp. 129–142.

No comments:

Post a Comment