Friday, November 12, 2010

Oh Mekah...

Kerajaan berjanji akan mengekalkan subsidi Haji bagi setiap jemaah yang berniat untuk mengerjakan ibadat Rukun Islam kelima itu bagi tahun-tahun mendatang. Sungguhpun pembangunan pesat berlaku di sekitar Masjidil Haram dan berkemungkinan akan meningkatkan kos mengerjakan Haji dan Umrah, akan tetapi kerajaan berjanji akan meastikan akan membantu bakal jemaah sedaya upaya dari segi kewangan dan kebajikan.

Rujuk Berita Harian 12 Nov 2010 - http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Subsidihajidikekalkan/Article

Dahulu, teknologi antara perkara yang mengekang umat Islam mengerjakan Haji. Susahnya nak ke sana, kerana tiada pengangkutan yang efisien seperti 'kapal besi' di masa kini. Jadi kapal laut adalah satu-satunya cara untuk ke sana. Bayangkan sebulan diperlukan untuk ke Tanah Suci Mekah. Sampaikan pokok pisang pun boleh berbuah di atas kapal. Belum dikira waktu pulang lagi. Masa yang diperuntukkan untuk mengerjakan Haji dan selamat kembali ke tanah air memakan masa 3 bulan.



Kalaupun bukan kerana teknologi, ekonomi juga adalah kekangan. Kerjaya sebagai pesawah, pekebun kecil dan tukang sapu tidak mampu memberi pendapatan lumayan. Paling tinggi pun kerjaya masyarakat Melayu adalah sebagai kerani, posmen, guru (Menurut apa kata orang-orang tua kepada saya lah). Kebergantungan kepada harta pusaka adalah kemestian. Tanah kebun dan petak sawah akan menjadi modal. Kebanyakan masyarakat Melayu Islam terpaksa menjual tanah kalau hendak ke Tanah Suci Mekah.

Kini, teknologi dan kemudahan semakin berkembang. Akan tetapi masih memberi kekangan kepada umat Islam yang berhajat mengerjakan Haji. Pelbagai pilihan penerbangan untuk ke sana membuka persaingan antara syarikat penerbangan. Maka banyaklah tawaran tiket murah. Akan tetapi, oleh kerana medium untuk tiba ke Tanah Suci mekah semakin banyak, ia meningkatkan jumlah umat Islam yang mengunjungi Mekah. Sesuatu yang baik dari sudut spiritualnya. Pusingannya, penginapan perlu ditambah, aliran trafik dan sistem pengangkutan domestik perlu dikemaskini, penyediaan bantuan kesihatan perlu ditambahbaik, keperluan bahan makanan perlu sentiasa ada dan tidak boleh putus, dan pelbagai lagi. Oleh kerana itu, kerajaan Mesir terpaksa menaikkan kos mengerjakan Haji untuk menampung modal pembangunan di sana.



Tak lupa kesan ekonomi. Kalau dahulu, kerjaya yang terhad dan tidak berkembang menyekat pulangan pendapatan lumayan. Kini, kerjaya yang semakin mencapah mampu memberikan individu pulangan pendapatan kira-kira RM3000 sebulan. Isunya di sini, kalau nak mengeluarkan output, perlu ada input. Pelbagai kerjaya menyebabkan penggunaan sumber semakin meningkat. Apabila sumber semakin terhad, maka kawalan terpaksa dikenakan atasnya. Saya rasa antara kaedah paling asas mengawal sumber adalah dengan menaikkan harga di pasaran. Keputusannya, kos sara hidup meningkat. Maka sama sahaja kalau dibandingkan bergaji RM3000 sekarang dengan RM300 20 tahun dahulu.

Semua itu adalah ujian Allah untuk menilai kesungguhan kita melengkapkan Rukun Islam kelima. Biarpun setinggi mana kosnya, sesukar mana hendak menyimpan duit untuk ke Tanah Suci Mekah, jangan sekali-kali kita berhenti berniat dan berusaha untuk ke sana. Kalau kita mampu membayar RM900-1000 sebulan untuk kereta impian, mengapa tidak menyimpan RM100 sebulan paling kurang untuk mengerjakan Haji.

Sambil berusaha mengumpul duit, usaha juga menambah ilmu dan menguatkan benteng jiwa sebagai persediaan ke sana. Jangan hanya mengharapkan kursus Haji beberapa bulan sebelum ke sana. Menjaga kesihatan juga satu usaha. Kita takkan tahu pada umur berapa kita berpeluang ke sana. Mungkin pada usia 50an. Kalau tak menjaga kesihatan, pada umur 30 tahun dah disahkan mengidap kencing manis, susahlah apabila hendak melengkapkan rukun Haji di usia tua. Niatlah menjaga kesihatan dan mengekalkan kekuatan supaya mudah mengerjakan Haji. Bila sebut hal umur, tetapkan sasaran bila kita hendak ke sana. Pada usia 30? 35? 42? 47? 51? Atau lima tahun selepas pencen? Bila ada sasaran, barulah kita akan berusaha bersungguh-sungguh.

Kepada golongan muda, mulalah menyimpan sejak dari awal. Jangan tunggu setelah beroleh pendapatan baru nak bermula, memang merugikan.

Semoga kita semua dapat ke rumah Allah satu hari nanti, dan beroleh Haji Mabrur. Amin.

Salam Aidil Adha kepada semua umat Islam....

No comments:

Post a Comment