Apabila saya melepasi pintu pagar sekolah itu, beberapa orang murid mengacah saya. Apabila saya menoleh mereka memberi respon seperti tiada apa berlaku dan kemudian meninggalkan saya dengan gelak tawa. Mungkin penampilan saya yang botak tetapi memakai beg agak pelik buat mereka.
Berjalan lagi, saya terlihat seorang pelajar perempuan yang juga adalah pengawas sekolah menari ala barat seperti gaya di kelab malam. Wah, ini lebih hebat. Walaupun hanya kelibat kawan-kawan perempuan di sekelilingnya, akan tetapi bukankah dia di tempat umum yang boleh dilihat semua. Dalam saya melihat gelagat itu, beberapa orang rakannya menjeling tajam ke arah saya.
Tak mengapalah. Budak-budak katakan.
Tiba di pejabat, saya menunggu giliran bertemu guru besar untuk mendapatkan keizinan mengedarkan soal selidik.
Dengan lafaz Bismillah saya masuk ke pejabat guru besar apabila dipanggil. Pertemuan pertama itu kurang menarik kerana tiada balasan senyuman yang diberikan pada saya, tidak bertemu mata sebagai tanda ikhlas menerima kehadiran saya. Tak mengapalah. Penat bekerja katakan.
Saya memulakan bicara dengan memperkenalkan diri dan sedikit latar belakang. Seterusnya memberi penjelasan tentang projek kajian. Suka untuk saya tunjukkan lampiran yang saya bawa bersama akan tetapi dukacitanya apabila guru besar menjawab dengan "Tak perlu tunjukkan pada saya. Awak jelaskan sahaja semuanya."
Agak terkesima, saya cuba menyusun kata sebaik mungkin. Respon yang saya terima adalah anggukan tanpa langsung melihat ke wajah saya sebaliknya membelek-belek kertas di atas meja.
Apabila melihatkan keadaan tidak memihak saya, terus saya pendekkan cerita. Kita faham, yang orang tak sudi nak terima kita jadi tak perlu saya cuba menerangkan dengan teliti. Saya ucapkan terima kasih pada guru besar selepas dia memberi penjelasan yang guru-guru semuanya sibuk dan terus beredar.
Tak mengapa kalau tidak mahu saya mengganggu urusan kerja guru-guru. Tapi respon yang saya terima agak mendukacitakan. Guru Besar sebuah sekolah yang agak ternama di WPKL berkelakuan begitu, memandang rendah atas kehadiran tetamu kecil seperti saya, pada kaca mata saya dia telah menjatuhkan maruah seorang pendidik.
Setiap orang punya alasan, dan takkan kita mampu puaskan hati setiap orang. Adakah ini alasan yang akan kita beri bila kita melakukan kesalahan.
Sepanjang perjalanan balik meredah hujan di atas motosikal, saya teringat pepatah "Guru Kencing Berdiri, Anak Murid Kencing Berlari".
Wallahua'lam...
Teruskan usaha dan istiqomah...sabar juga perlu ada...:)
ReplyDelete