Wednesday, January 5, 2011

Ucapan Maaf 2011

Dalam perbualan, seorang rakan menegur sikap saya yang terlalu mudah meminta maaf dalam apa jua perkara. Walaupun ketara salah itu bukan berpunca dari saya, tapi bait maaf tetap terbit dari mulut ini.

Kata rakan tersebut, kalau bukan salah kita tak perlu minta maaf. Akan merendahkan darjat kita dan buat orang tidak hormat pada diri kita sendiri akan datang. Sudahnya, kita akan ditindas. Tegas rakan saya lagi, kalau saya minta maaf tapi tiada rasa ikhlas dah jadi seperti main angin @ bodek. Bukan benar-benar minta maaf pun.

Saya terima teguran rakan dan cuba mengubah cara. Tetapi tak boleh. Sudah menjadi kebiasaan dari kecil meminta maaf dalam semua hal walaupun bukan salah saya, walaupun tiada perkara serius untuk meminta maaf.

Dua hari selepas itu, seorang rakan yang lain menegur sikap saya yang sama. Katanya, aku suka dengan cara kau yang suka meminta maaf dalam setiap perbualan. Dalam perilaku, walaupun orang lain yang salah tetap kau yang memulakan kata-kata maaf. Tambah rakan saya, kalaupun hati saya tidak ikhlas meminta maaf dia yakin bila menjadi kebiasaan kita mampu melatih hati dan diri untuk ikhlas dan jujur.

Saya berfikir seketika dan tanpa memerlukan masa terlalu lama, saya membuat keputusan untuk terus dengan sikap lama - jangan berhenti meminta maaf. Kerana ia mengajar saya bersabar, rendah diri dan tahu asal usul yang kita sebagai manusia memang banyak silapnya.

Wallahua'lam....

No comments:

Post a Comment