Sunday, April 24, 2011

Amar maaruf nahi munkar dalam perhutanan

Bersempena Sambutan Hari Bumi minggu lalu, kerajaan Malaysia menerusi kementerian berkaitan menyatakan kesungguhan untuk mengekalkan peratusan separuh jumlah keluasan tanah dikekalkan sebagai kawasan berhutan.

Usaha itu dibuktikan dengan Program Penanaman 26 Juta Pokok bermula 26 April 2010. Pelbagai lagi usaha kerajaan telah dan sedang dilakukan untuk memastikan objektif ini tercapai.

Amar maaruf nahi munkar. Dalam Islam, mengikut konteks ibadat jelas dinyatakan bahawa galakan mengerjakan kebaikan hendaklah diselusuri secara bersama dengan mencegah kemungkaran untuk mendapatkan redha Illahi. Benar, kerana takkan kita mengerjakan solat sebelum pergi menjalankan urusan penipuan dalam perniagaan? Takkan kita bersedeqah selepas mencuri wang syarikat?

Islam itu adalah cara hidup kita. Samalah seperti amalan pengurusan hutan, bagi mencapai objektif yang dinyatakan.

Kebaikan yang sedang diusahakan, menanam pelbagai spesis pokok dengan jumlah yang berjuta-juta memang usaha yang sangat baik.

Tapi jangan dipinggirkan usaha pencegahannya. Secara umumnya, usaha mengekang pembalakan haram, mengawal secara mampan penebangan untuk tujuan industri, meminggirkan rasuah dalam pengurusan, mengurangkan penggunaan sumber hutan secara langsung, melarang pembangunan total di pinggir hutan, menyekat rekreasi yang memusnah keadaan hutan, mengelakkan pencemaran sungai, antara usaha yang boleh disenaraikan dan ditekankan.

Usaha kebaikan bukan cuma dengan menanam sahaja. Tetapi termasuklah meningkatkan kesedaran orang awam, baik pulih kualiti tanah, melaporkan kejayaan pengurusan dari masa ke semasa, melebarkan sayap penyelidikan dalam bidang berkaitan, mengkorporatkan industri perhutanan dan alam sekitar, mempelbagaikan bidang kemahiran dan kepakaran untuk menarik minat orang ramai, dan bermacam-macam lagi.

Banyak lagi. Semoga pakar-pakar dalam bidang berkaitan dapat ke depan untuk mengutarakan cadangan, sekaligus melaksana apa yang dicadangkan.

Wallahua'lam.

*Teringat kata-kata seorang rakan yang bekerja di dalam bidang Perhutanan dan Perancangan Bandar. Kuantiti pokok adalah perkara kedua kerana yang pertama adalah kualiti pokok. Bukan semua pokok yang ditanam, menjadi dan naik subur.

No comments:

Post a Comment