Monday, June 20, 2011

Makluman dari PTPTN

*Untuk peminjam PTPTN dan mereka yang berkaitan.


Assalamualaikum,

Tuan/Puan,

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

Sukacita dimaklumkan bahawa PTPTN akan bersiaran secara langsung di Malaysia Hari Ini (TV3) pada 21 Jun 2011 (Selasa) jam 8.00 pagi.

Panel PTPTN yang terlibat adalah YB Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said, Pengerusi PTPTN dan Cik Mastura Binti Mohd Khalid, Timbalan Pengurus Kanan (Bahagian Akaun).

Temubual secara langsung selama 12 minit ini adalah untuk memberikan informasi berkaitan UJRAH 1%.

Sehubungan itu, tuan/puan amat dialu-alukan untuk mewarwarkan kepada saudara mara, rakan taulan terutamanya peminjam PTPTN agar menyaksikan temubual secara langsung ini bagi mendapatkan informasi yang jelas dan tepat berkaitan UJRAH.

Sekian, untuk makluman semua warga PTPTN.

Terima kasih.

Rina binti Abd Rahman
Bahagian Korporat dan Dasar
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

Karikatur Minta Maaf

Aku ingat dulu heboh orang bersorak dan marah TV3 sebab siarkan iklan hari raya ala krismas. AKu pun tak berapa ingat iklannya. Tapi lebih kurang macam tu lah.

TV3 dah tarik balik iklan tu dan dah buat permohonan maaf secara terbuka.

Dalam hal karikatur akhbar Utusan yang hebat ditempelak kerana mempermainkan agama Allah, kenapa tidak meminta maaf saja. Kalau diselesaikan, minta maaf terus kan senang.

Tak tahu apa tujuan sebenar pelukis @ orang yang melemparkan idea untuk minta diterbitkan karikatur yang semacam tu. Tapi akhirnya, tak kisah kalu di sebelah pembangkang atau kerajaan, kalau buat salah, buat benda yang sebabkan orang tak suka, eloklah minta maaf.

Kan senang.

Jangan bertuhankan politik beb.

Wednesday, June 15, 2011

Fantasi Drama

Rupanya ada penyakit baru di Malaysia. Aku baru tahu. Wabak Nur Kasih diganti dengan Nora Elena rupanya. Hahaha...

Dah jadi fenomena, novel-novel diterjemah dalam bentuk drama bersiri. Jangan pandang ringan kesan wabak drama bersiri macam ni. Semua orang melayan, sampaikan ada yang tak tidur malam. Kawan serumah aku pun baru-baru ni tengok Nur Kasih di You Tube sampai menangis. Hahaha.. Tak apa. Aku tak salahkan dia menangis pun.

Bila aku pulang ke Malaysia, mungkin aku sempat melihat dengan mata kepala sendiri kesan wabak ni. Sedangkan tiap kali aku menelefon orang Malaysia pun kerap benar disebutnya pasal drama ni.

Biarlah drama apa pun. Setiap yang orang siarkan tu, mesti ada iktibar yang boleh kita teladani dan jadikan sempadan. Cuma kita jangan terlalu berfantasi, dengan menantikan hero/heroin seperti itu muncul di depan mata.

Sisa-sisa masa aku di sini, aku nak amati setiap apa yang lain di sini, dan tak ada di Malaysia. Bukan untuk aku fantasikan bila balik nanti. Tapi akan aku terjemahkan dalam bentuk lain, untuk aku jadikan simpulan pelbagai bagi bakal anak-anak murid aku nanti.

*Kalau drama bersiri tajuk lelaki macam 'Ahmad Nisfu', agak-agak laku tak untuk orang tonton?

Sunday, June 12, 2011

Mengapa Aku Kurang Menonton Perlawanan Bola Sepak Tempatan?

Semalam perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Terengganu. Tahniah buat Terengganu. Aku kira perlawanan semalam sangat menarik. Mujur rumah sewa kami ada akses internet dengan kuota yang agak banyak. Mujur juga rakan serumah ada kemahiran mencari akses untuk menonton. Kalau harapkan aku yang hampir buta IT, memang kempunanlah nak menonton siaran langsung semacam itu.

Seingat aku, perlawanan bola tempatan yang aku tonton cuma perlawanan akhir sahaja. Perlawanan liga dan mana-mana pusingan yang bukan perlawanan akhir, sekadar ambil tahu sahaja tetapi tidak pula aku menontonnya. Cenderung aku lebih pada bola sepak Eropah. Alamak, tidak patriotik aku bab ini.

Biar aku ceritakan sedikit mengapa.

Word of Mouth (WOM). Istilah ini orang definasikan sebagai publisiti tidak berbayar. Pernah kau lihat papan tanda di kedai-kedai kopi - "Sedap bagitahu kawan, tak sedap bagitahu kami". Ungkapan pertama itulah WOM, tapi itu dalam aspek positif. WOM boleh juga datang dalam bentuk negatif. WOM sangat berkesan mempengaruhi persepsi orang ramai hinggakan mengubah tindakannya. Teori ini pula orang katakan Theory of Planned Behaviour.

Aku mendengar banyak WOM yang negatif tentang bola sepak tempatan dari orang ramai. Bukan sekali dua tetapi terlalu banyak kali. Ada yang mencemuh dan merendah-rendahkan kualiti bola sepak tempatan. Lagi-lagi di Malaysia, kiblat pemikiran semua orang hampir semuanya dipengaruhi politik. Lagilah menyebabkan aku kurang minat menonton perlawanan bola sepak tempatan.

Itu WOM dari orang awam. Lain dari itu adalah WOM tentang bola sepak luar negara. Iklan-iklan yang terpampang di dada akhbar, laman web yang tak habis-habis menceritakan tentang kehebatan sukan bola Eropah, perbualan dengan kawan-kawan tentang bola sepak, kedai-kedai mamak yang dinamakan dengan 'Stamford Bridge', 'Old Trafford', itu semua WOM yang positif, yang juga menggalakkan minat terhadap bola sepak Eropah, memencilkan bola sepak tempatan.

Faktor ini mempengaruhi conditioning,atau kelaziman aku terhadap sukan. Sebab itu hanya perlawanan akhir sukan bola sepak tempatan sahaja yang boleh menarik minat aku.

Mungkin kompleks. Aku cuma bercerita perihal ini dari sudut yang lain.

*Menyampah dan meluat pada kelompok penyokong yang selalu merusuh dan melontar mercun, walaupun aku punya darah dari negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia itu.

Saturday, June 11, 2011

Kalau Sejuk aku Menyorok dalam Selimut

Malam ini suhu serendah 4 celcius. Sejukkah dengan suhu ini?

Apa sangatlah sejuk di Adelaide kalau dibandingkan dengan sejuk di negara bersalji. Di sana lebih sejuk.

Tak seteruk mana. Cuma setiap kali aku menghembus nafas, kabut terhambur keluar dari mulut. Kekadang terasa sakit sendi. Nak menggerakkan jari untuk menaip pun jadi amat susah. Sejuk macam ini cuma menyebabkan aku tak mampu buat apa-apa.

Sebenarnya, dahsyatnya sejuk. Aku cuma menonton final Terengganu dan Kelantan dari dalam selimut.

Menulis pada Hari Cuti

Hari cuti sama saja bagi aku. Setiap hari adalah hari cuti dan setiap hari juga adalah hari bekerja. Setiap kali sebelum aku tidur dan selepas bangun pagi mestinya akan terdetik, macam mana dengan kerja penulisan aku. Ini lumrah ahli akademik. Kerja bukannya dari 8 pagi hingga 5 petang. Kerjanya setiap masa. Kalaupun kami berbual, kepala otak ligat memikirkan bagaimana nak meneruskan perenggan berikutnya.

Di peringkat master, ujian aku tidaklah sehebat PhD. Tapi setidak-tidaknya aku tahu beberapa persoalan penulisan. Bagaimana chapter seterusnya hendak diolah. Bagaimana penulisan aku mampu memuaskan hati penyelia. Macam-macam lagi.

Menulis blog juga mungkin nampak mudah. Nyatakan saja apa yang kau rasa. Luahkan saja isi hati yang terbuku. Tapi sebenarnya menulis dengan baik tidak mudah.

Menulis ini boleh mempengaruhi orang. Sebab itu menulis perlu dengan iman, ilmu, adab dan etika. Kalau menulis cuma dengan suka hati ia boleh datangkan hasil yang tidak baik. Orang akan megikut idealogi yang kita lemparkan. Sebab itu menulis itu bukannya mudah.

*Hasil tulisan aku bukanlah menarik pembaca sangat. Jauh lagi dari mempengaruhi orang.

Friday, June 10, 2011

Makan Apa yang Aku Masak

Hampir setahun setengah aku tak tahu berapa kali telah aku memasak. Memasak bukan untuk aku sahaja tapi juga untuk rakan serumah. Kalau makanan berlauk daging atau ayam, paprik, goreng kunyit, sup, tom yam, masak halia, masak madu dan black pepper antara yang mampu aku sediakan.

Telur dadar? Boleh. Kalau aku hidangkan mesti telurnya tak pecah. Latihan membalik telur di atas kuali berjaya aku lepasi. Lagi, telur sambal dan telur kicap.

Kalau nak yang bukan berlauk insyaAllah aku cuba sediakan nasi goreng, nasi ayam, nasi minyak. Boleh kalau aku nak tambah bubur ayam?

Baru aku tahu, susahnya memasak. Walaupun dalam seminggu giliran aku mungkin cuma datang dua kali, sudah cukup buat aku pening memikirkan apa juadah yang boleh aku sediakan. Baru aku tahu, susahnya menjadi ibu dan isteri. Setiap hari paling kurang dua kali memikirkan apa resipi yang sesuai. Pusingan resepi mesti sesuai untuk memikat selera suami dan anak-anak. Sudahlah pula kena sediakan juadah yang berkhasiat. Mana boleh makanan biasa-biasa.

Jadi para lelaki jangan merungut kalau sesekali ibu memasak terkena sesuatu yang kurang pada selera kau. Lagi pula, jangan membezakan air tangan isteri dan juga ibu. Sebab susahnya memasak. Hargai apa yang dihidangkan di depan mata.

Cukuplah aku memasak apa yang aku mampu. Jadi kalau kau datang ke rumah aku, makan apa yang aku masak. Jangan meminta lebih. Sebab susahnya memasak.

*Jangan lupa baca Bismillah sebelum makan, dan Alhamdulillah selepas makan.

Salah Poliskah?

Aku kongsikan dua situasi.

1) Seorang pemuda ditangkap mencuri di kampung. Apalagi, orang kampung yang teruslah mengambil kesempatan menyampaikan bentuk 'pengajaran' mengikut cara mereka sendiri walaupun tidak punya autoriti. Habis lebam-lebam badan si pencuri.

Mengapa orang kampung berani bertindak sendiri? Kerana mereka dah 'membuktikan' yang pemuda itu bersalah mencuri. Tak perlu tunggu mahkamah.

Orang kampung yang terlibat memberi 'pengajaran' pada pemuda itu, paling teruk ditahan semalaman di lokap untuk disoal siasat. Esoknya dilepaskan. Keluarga pemuda yang mencuri dan dibelasah tak mampu berkata apa-apa atas tindakan orang kampung yang jadi penyebab anaknya lebam satu badan dan terbaring seminggu di katil hospital. Bersuara lebih, disalahkan kembali katanya tak tahu mendidik anak.

2) Polis menembak mati seorang pemuda dari satu sindiket yang telah disiasat sekian lama. Punca berlakunya tembak apabila si pemuda dan ahli sindiketnya cuba melarikan diri, dan bertindak liar terhadap polis. Polis punya autoriti.

Esoknya heboh dalam akhbar, keluarga mangsa menuntut polis memberi penjelasan mengapa anaknya ditembak mati sedangkan belum dibuktikan bersalah. Datang pula sokongan orang ramai menyalahkan polis, mengapa tak ditembak kaki atau tangan? Mengapa dibunuh si pemuda ahli sindiket? Siasatan dan tindak balas polis cuba menangani jenayah memakan diri. Polis pula disiasat, dan berkemungkinan disaman di mahkamah.

Orang yang punya autoriti dan tak punya autoriti, kedua-duanya tak boleh bertindak suka hati. Aku berikan contoh minta kita fikirkan sama-sama, di mana rasional kita. Orang kampung mungkin betul, dan polis mungkin juga salah. Tapi tak bermakna tindakan orang kampung boleh diterima, dan tindakan polis itu tidak betul.

Aku pelik. Asal polis bertindak dan ada kes kematian, titik hitamnya jatuh pada polis. Salah masyarakat atau salah polis hinggakan kepercayaan busuk ini terpalit begitu sekali?

*Yang pasti salah adalah orang yang buat salah. Jangan lari dari isu pokok.

Negara Kebajikan

Mari bicara politik sekejap.

Sibuk di Malaysia selepas Muktamar PAS mengetengahkan usul negara kebajikan.

Negara Islam dan Negara Kebajikan, banyak diulas oleh ahli-ahli politik ini yang sebenarnya adalah saling bersangkut paut. Negara Kebajikan ada disebut dalam alQuran, dan macam-macam lagi.

Aku tak mahu ulas tentang makna negara kebajikan, pendekatan dalam alQuran dan kerajaan mana yang lebih mengamalkan corak negara kebajikan. Sebab aku bukan orang alim yang mampu menterjemah Kalam suci Allah.

Yang lebih menjadi perhatian pada aku, perubahan pada PAS. Hanya selepas berpakat dengan PKR dan DAP, terus sahaja PAS menukar rentak dan meninggalkan tema asal yang selama ini diperjuangkan.

Pada aku ada dua kemungkinan.

1) PAS akhirnya tahu bahawa hendak memerintah negara, rentak mesti diubah. Perubahan ini aku lihat dari sudut positif. Mengorbankan tema tapi tidak mengorbankan prinsip asal yang ada dalam PAS. Pasti politik itu sudah celik tentang strategi yang perlu dalam dunia berpakat.


2) PAS dah mula hilang arah. Kali ni aku lihat dari sudut negatif. Dek kerana terdorong hendak mengalahkan kerajaan masakini, pendekatan yang berimpak luar biasa dan mampu menarik lebih ramai pengundi termasuk yang bukan Islam mesti diketengahkan.

Bukan aku bermaksud pendekatan Negara Islam tidak mampu membuahkan hasil. Tapi mungkin parti politik itu sedar language or term barrier menyekat kemampuan mereka meraih lebih undi.

Mana satu yang benar, ini cuma andaian aku. Mungkin ada andaian lain yang jauh lebih bernas dan tepat.

Jawapan akhirnya tetap sama. Aku tak nampak pun potensi keadaan negara lebih stabil. Pendidikan tersekat, pengagihan kekayaan tak sama rata, masalah sosial menggunung juga.

*Soalan: Apa tanda-tanda ahli politik itu sedang menipu?
Jawapan: Apabila dia membuka mulut.