Aku kongsikan dua situasi.
1) Seorang pemuda ditangkap mencuri di kampung. Apalagi, orang kampung yang teruslah mengambil kesempatan menyampaikan bentuk 'pengajaran' mengikut cara mereka sendiri walaupun tidak punya autoriti. Habis lebam-lebam badan si pencuri.
Mengapa orang kampung berani bertindak sendiri? Kerana mereka dah 'membuktikan' yang pemuda itu bersalah mencuri. Tak perlu tunggu mahkamah.
Orang kampung yang terlibat memberi 'pengajaran' pada pemuda itu, paling teruk ditahan semalaman di lokap untuk disoal siasat. Esoknya dilepaskan. Keluarga pemuda yang mencuri dan dibelasah tak mampu berkata apa-apa atas tindakan orang kampung yang jadi penyebab anaknya lebam satu badan dan terbaring seminggu di katil hospital. Bersuara lebih, disalahkan kembali katanya tak tahu mendidik anak.
2) Polis menembak mati seorang pemuda dari satu sindiket yang telah disiasat sekian lama. Punca berlakunya tembak apabila si pemuda dan ahli sindiketnya cuba melarikan diri, dan bertindak liar terhadap polis. Polis punya autoriti.
Esoknya heboh dalam akhbar, keluarga mangsa menuntut polis memberi penjelasan mengapa anaknya ditembak mati sedangkan belum dibuktikan bersalah. Datang pula sokongan orang ramai menyalahkan polis, mengapa tak ditembak kaki atau tangan? Mengapa dibunuh si pemuda ahli sindiket? Siasatan dan tindak balas polis cuba menangani jenayah memakan diri. Polis pula disiasat, dan berkemungkinan disaman di mahkamah.
Orang yang punya autoriti dan tak punya autoriti, kedua-duanya tak boleh bertindak suka hati. Aku berikan contoh minta kita fikirkan sama-sama, di mana rasional kita. Orang kampung mungkin betul, dan polis mungkin juga salah. Tapi tak bermakna tindakan orang kampung boleh diterima, dan tindakan polis itu tidak betul.
Aku pelik. Asal polis bertindak dan ada kes kematian, titik hitamnya jatuh pada polis. Salah masyarakat atau salah polis hinggakan kepercayaan busuk ini terpalit begitu sekali?
*Yang pasti salah adalah orang yang buat salah. Jangan lari dari isu pokok.
No comments:
Post a Comment