Wednesday, September 29, 2010

Hutang dan Masa Depan

Ini bukan hal politik. Tetapi kerana isu ajakan debat antara PERKASA dan Nurul Izzah tentang hal PTPTN menyebabkan saya jadikan politik sebagai pemula coretan kali ini.

Apa pandangan parti politik terhadap PTPTN?

Pada pandangan saya, parti politik yang mampu menukar status 'pinjaman' PTPTN kepada 'biasiswa' dengan syarat tidak memberi impak negatif jangka panjang kepada ekonomi negara dan pada masa yang sama meningkatkan kualiti mahasiswa insyaAllah boleh meraih undi yang sangat majoriti dari golongan remaja, yang merupakan pengundi dan pemimpin masa depan negara.

Saya petik dua daripada nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya:

"Wahai anakku! Aku sudah merasakan segala benda-benda yang pahit,
tetapi aku belum pernah merasakan sesuatu yang lebih pahit dari kemiskinan
dan kehinaan."

"Wahai anakku! Aku sudah pernah mengalami penderitaan dan bermacam-macam
kesusahan dan kepayahan, tetapi aku belum pernah mengalami
penderitaan yang lebih susah dan lebih payah dari menanggung hutang."

Kuncinya di sini adalah kemiskinan dan kepayahan menanggung hutang.

Nah, menanggung hutang itu jelas perkara yang amat menderitakan. Bayangkan di alaf ini, kebanyakan remaja-remaja di Malaysia yang puratanya berusia 18 tahun dan tak punya opsyen kewangan, terpaksa memilih PTPTN sebagai alternatif terakhir telah diberi tanggungjawab memegang mata pena untuk menandatangani perjanjian yang akan mengikatnya dengan hutang untuk 10 tahun yang akan datang.

Sebelum seorang remaja di Malaysia itu berjaya menamatkan pengajian, dia sudah mempunyai beban hutang kira-kira RM20,000.00 pada kadar minimum.

Jadi bagaimana dia hendak menyimpan untuk keperluan dan kehendaknya yang lain?

Simpanan menunaikan Haji? Simpanan pernikahan? Simpanan membeli rumah dan kenderaan? Simpanan waktu sakit dan kecemasan? Ini antara simpanan asas yang diperlukan apabila mula memperoleh pendapatan sendiri.

Akan tetapi sukarnya untuk membuat simpanan sebanyak itu, jika selepas 6 bulan pertama kerja sudah terpaksa membayar hutang pada kadar RM400 sebulan.

Saya wujudkan satu situasi:

1) Purata pelajar lepasa ijazah mendapat gaji awal kira-kira RM2300 (itupun sekiranya bernasib baik beroleh kerja yang sesuai dengan ijazah).
2) Berikut perbelanjaan sebulan (bujang). Sewa rumah - RM300. Ansuran kereta - RM500. Belanja dapur - RM400. Belanja minyak kenderaan dan tol - RM300. Belanja makan di pejabat - RM200. Bayaran hutang pinjaman pendidikan - RM400. Jumlah = RM2,100.00. Baki - RM200.



Ini adalah kadar pukul rata. Jika benar matematika tersebut, maka untuk setahun individu itu hanya mampu menyimpan sebanyak RM1,200.00 dengan karrier asasnya. Bagaimana jika harga minyak naik? Harga barangan naik? Membeli rumah jauh sekali. Sudahlah harga rumah sekarang seperti tidak masuk akal. Hampir setengah sejuta sedangkan rumah tidaklah bertanah.

Terdapat banyak kesan susulan daripada masalah ini. Pada sudut ekonomi saya boleh kongsikan seperti berikut:

Akibat untuk memenuhi fitrah, individu itu akan cenderung melakukan kerja sambilan, di luar waktu kerja asasnya. Kesan sampingannya ialah kurang produktiviti dalam karrier asas. Bagi yang bertugas sebagai penjawat awam, ia mendatangkan persepsi negatif yang berterusan kepada Jabatan Kerajaan. Kepada penjawat swasta, tiada kualiti bermakna ditendang pergi.

Naud'zubillah. Ada juga yang mengambil inisiatif terlibat dengan pelbagai perkara haram semata untuk menambah pendapatan. Rasuah, tikam belakang rakan sepejabat, penipuan kontrak dan sebagainya.

Dari sudut sosial pula mungkin:

Meningkatkan tahap stress individu kerana tidak punya masa untuk beristirehat. Penglibatan dalam alternatif tidak sihat seperti rasuah dan penipuan juga memberi impak negatif dengan tiadanya output efektif atas servis untuk masyarakat.

Bagi yang kurang bernasib baik, tidak mendapat kerja walaupun telah 2 tahun mencuba, berkemungkinan cenderung terlibat dengan jenayah. Institusi kekeluargaan juga akan terkubur dek kerana ini.

Terlalu banyak kesan yang tidak diingini kesan daripada berhutang secara mampannya.

Apa yang saya nyatakan bukanlah bermakna saya tidak berpuas hati dengan polisi kewangan yang telah membantu saya memperoleh diploma dan ijazah. Saya tidak menyalahkan PTPTN. Kerana keluarga saya bukan dari golongan yang berkemampuan, maka saya memilih PTPTN untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas pendidikan peringkat menengah. Terima kasih kepada PTPTN kerana dengan bantuannya, saya dapat menamatkan diploma dan ijazah dengan baik. Saya juga tidak menuding jari menyatakan yang PTPTN adalah punca utama semua itu berlaku. Ia sekadar membuka mata bahawa beban hutang pendidikan mampu memberikan kesan yang sangat luar biasa dalam kehidupan individu. Setidak-tidaknya, jumlah RM400 sebulan itu boleh saya asingkan untuk pelbagai perbelanjaan lain.

Jika boleh kerajaan menetapkan polisi win-win situation kepada semua peminjam PTPTN, pastinya ia membuatkan semua orang senyum lebar. Walaupun seperti fantasi tetapi kekadang saya terfikir. Menariknya jika peminjam PTPTN juga diikat dengan salah satu agensi kerajaan @ badan berkanun yang khusus menawarkan peluang pekerjaan sebagai galang ganti pinjamannya itu.

Saya yakin, setiap hamba itu telah ditentukan rezekinya oleh Allah s.w.t. Akan tetapi kita diberikan akal dan kebijaksanaan untuk menentu laluan terbaik yang hendak kita tempuh. Jadi, kepada semua bakal ibu dan bapa mulalah menyimpan untuk kepentingan pendidikan anak-anak anda dari sekarang. Jika tidak banyak, sedikit pun jadilah. Jangan wariskan hutang pendidikan kepada mereka dengan alasan ijazah dan diploma itu adalah milik mereka. Buat semua peminjam PTPTN yang sudah mula berkerjaya, jangan lupa menjelaskan hutang anda kepada PTPTN. Apapun ketidakpuashatian di dalam benak anda, anda tetap seorang penghutang dan wajib hukumnya menjelaskan hutang tersebut. Jangan dianiaya generasi akan datang dengan lari dari membayar hutang kerana ia mungkin memberi impak lain pada masa akan datang.

Sebagaimana saya memulakan penulisan ini, begitu juga saya akan menamatkannya. Saya persilakan parti-parti politik untuk terus memainkan isu PTPTN bagi menarik undi golongan remaja. Moga Malaysia dan segala isinya akan punya peluang untuk terus maju pada masa akan datang, dala semua aspek. Baik sahsiah, ekonomi, pendidikan dan kepemimpinan.

*Jadilah individu yang mencipta kerjaya sendiri untuk menangani masalah ini. Wallahua'lam...

Tuesday, September 28, 2010

Hadiah Hari Lahir

Seketika saya berfikir sejenak. Sudah 7 bulan 23 hari saya di bumi Adelaide. Sepanjang tempoh waktu itu, perbandingan antara hakikat saya hari ini dengan sejarah saya semalam berbeza dari tafsiran zahirnya, tetapi sama dari terjemahan isinya. Saya yakin, hakikat hari ini dengan perjuangan esok hari tetap sama – membentuk hadiah untuk diri sendiri.

Saban hari, kita membuka lembaran baru. Meniti masa itu juga membuktikan kita semakin tua. Semalam adalah sejarah, hari ini adalah hakikat yang pasti, esok adalah cita-cita yang akan kita perjuangkan.

Semasa kita kecil, di hari ulangtahun kelahiran kekadang ada yang bernasib baik, beroleh pelbagai hadiah dari saudara-mara terdekat, kawan-kawan rapat. Saya tak nafikan yang saya sendiri pernah beroleh hadiah dari mereka yang dinyatakan. Memang bahagia dan menggembirakan, disambut, diraikan dan beroleh hadiah. Seingat saya hadiah terakhir dari tangan ibu adalah kuih donut coklat. Cukup indah, dan nikmat. Selepas itu, tiada lagi hadiah secara material yang saya terima dari orang lain.

Apabila dewasa, mentaliti mengharapkan hadiah kini telah saya terjemahkan dalam definasi yang sedikit berbeza. Daripada menanti hadiah, saya kini mencari dan membentuk hadiah untuk diri sendiri. Hadiah pertama untuk diri saya, dari diri saya sendiri adalah ‘derma darah kali pertama’ pada usia 19 tahun, tangga umur yang mula melayakkan seseorang untuk menderma. Hadiah seterusnya yang amat bermakna apabila berjaya menamatkan pengajian pengajian di peringkat Bacelor di UPM pada tahun 2008. Alhamdulillah, secara rasminya saya berjaya menamatkan pengajian pada tarikh 19 Disember 2008, tarikh menamatkan pengajian yang sama dengan tarikh lahir saya. Syukur juga saya diberi peluang oleh Allah berjaya memperoleh keputusan yang agak memuaskan. Itulah hadiah yang saya bentuk selama hampir 30 bulan untuk diri sendiri.

Sekali lagi saya membuka lembaran baru. Setelah 3 peringkat perjalanan, kini agenda hidup makin mencabar. Saya sedar, semakin usia meningkat semakin kita dipertanggungjawabkan dengan pelbagai perkara.

Pada saya, bertambahnya tanggungjawab bererti bertambah kasih Allah pada kita. Cuma bagaimana kita memanfaatkan peluang kasih saying yang Allah berikan pada kita? Firman Allah s.w.t yang memberi maksud:

Bismillahirrohmanirrohim..

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus..."

Terjemahan surah At Tiin, 95:1 – 6.

Alhamdulillah, sehingga kini saya dikurniakan pelbagai nikmat oleh Allah. Pancaindera, kesihatan, kemampuan berfikir, kebolehan berlari, keupayaan membezakan baik dan buruk, Islam dan pelbagai lagi nikmat yang tak kunjung tiba. Dengan kelebihan, kelengkapan nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan pada saya, saya mampu bergelar juga dilayan sebagai manusia. Alhamdulillah, sujud sepanjang hayat juga tak mampu membalas semua nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada saya, hambaNya yang serba dhaif.

Sehingga kini juga, Allah masih mengizinkan saya membuka lembaran baru setiap hari. Saya masih bernafas apabila celik di awal pagi. Saya masih punya deria sentuh dan sejuk apabila jasad ini dibasahi wudhu’ untuk mengerjakan solat subuh. Dan saya masih punya kekuatan untuk menunaikan ibadat kepadaNya. Sekali lagi saya panjatkan syukur kepada Allah s.w.t.

Setiap hari juga saya berdoa, semoga saya dan setiap muslimin muslimat di muka bumi Allah ini terus diberikan bimbingan dan petunjuk hidayah olehNya dalam menghadapi segala ketentuan qada’ dan qadar.

Meneruskan perjuangan hari ini dan esok hari juga satu ibadat. Kejarlah kebahagiaan, kecemerlangan, kaya budi dan akhlaq. Bentuklah diri dengan akhlak Al Quran dan sifat-sifat mahmudah. Tuntutlah ilmu sebaiknya kerana buahnya akan kita pungut pada masa kelak. Hargailah ibu-bapa selagi kita berpeluang. Carilah teman seperjuangan yang boleh mendekatkan kita kepada Allah dalam kita meneruskan jihad setiap hari. Hindarilah membuang masa dan mencari hiburan. Dengan itu saya yakin di penghujung jalan, di penghujung usia, itulah hadiah yang amat bermakna untuk setiap dari kita yang bergelar manusia, khususnya apabila bertemu denganNya.

Jadi, persiapkanlah semampu kita menyediakan hadiah terbaik untuk diri sendiri. Hadiah yang kekal kesannya, bukan hanya seketika kita di usia 14, 23, 37, 46 mahupun 51. Bentuklah hadiah yang kekal hingga ke dunia sana. Dalam membentuk hadiah itu, kita punya kuasa dan hak memilih yang mana jalan terbaik beroleh hadiah. Jika pun kita tak punya hadiah sewajarnya di usia ini, yakinlah bahawa Allah menyediakan pelbagai lagi hadiah untuk kita di dunia sana.

Wallahua’lam. Hanya kepada Allah s.w.t. kita berserah.

29 September - Selamat hari lahir diucapkan kepada sesiapa yang lahir pada tarikh ini. Semoga sentiasa berada di bawah lindungan dan naungan Allah, bahagia bersama keluarga tercinta, berjaya mencapai apa yang dicita-citakan. Amin...

Bumi Allah

Tuesday, September 21, 2010

Terapi Alam

Saya tertarik apabila membaca salah satu akhbar online Malaysia. Ia menceritakan bagaimana Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin amat berminat dengan rawatan terapuetik menggunakan kuda bagi mengatasi pelbagai masalah 'dalaman' seseorang itu. Ia merangkumi juga masalah kecerdasan minda.

"Dan di antara binatang-binatang ternak itu, ada yang dijadikan untuk pengangkutan, dan ada yang untuk disembelih.... Al-An'aam (8:142)"

"Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami, lalu mereka memilikinya? Dan kami jinakkan dia unutk kegunaan mereka; aka sebahagian daripada mereka menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan. Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?... Yaa Sin (23:71-73)"

Memandangkan kuda itu sendiri adalah satu elemen alam sekitar ciptaan Allah, ia berjaya menarik minat saya untuk berkongsi sedikit pandangan saya.

Sebenarnya elemen alam sekitar ciptaan Allah ini begitu luas manfaatnya sepertimana yang dijelaskan di dalam Al-Furqan. Tidak wajar kita melihat sayur-sayuran hanya menyediakan kita vitamin dan zat untuk kesihatan badan. Sama juga dengan batu hanya sebagai medium untuk kita bina bangunan. Banyak lagi kelebihannya yang boleh diteroka untuk kesejahteraan masyarakat secara total.

Berkisarkan tentang rawatan terapeutik, saya amat mengesyorkan ianya diketengahkan di Malaysia. Jika dalam hal pengalaman Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tentang kuda, saya cadangkan pula landskap alam sekitar.

Umum sudah mengetahui landskap yang cantik amat seronok untuk dipandang. Akan tetapi ramai yang tidak sedar bahawa selain Al Quran, sebenarnya landskap yang lengkap dengan 'equipment alam sekitar' mampu menjadi ubat yang berkesan menangani 'sakit di dalam jiwa'.

Khusus di persekitaran bandar, pelbagai 'small green patches' boleh kita temui. Bermula dari taman mini di halaman rumah, koridor hijau di sepanjang jalan raya, 'pocket park' dan 'green hub' antara landskap yang dilengkap dengan elemen alam sekitar ini. Dalam ruang lingkup komuniti, ia juga diyakini menjadi medium yang sangat berkesan untuk meningkatkan kualiti sosial. Manusia melawat taman, memiliki taman-taman mini di halaman rumah kerana mereka ingin berehat, keluar dari kesibukan kota.

Banyak kajian saintifik yang telah membuktikan yang landskap alam sekitar ini mampu membantu emosi, psikologi dan minda kita. Kawasan seumpama ini mampu membantu emosi dan psikologi manusia seraya meningkatkan taraf kualiti hidup. Bagaimana ia dibuktikan mampu meningkatkan taraf kualiti hidup? Ini dibuktikan melalui bagaimana berehat dari kesibukan, berhenti seketika dari rutin harian mampu membolehkan emosi dan psikologi manusia itu mencapai tahap keseimbangan setara di dalam jiwa mereka (Chiesura, A 2004 dalam The Role of Urban Park to Sustainable City).

Dengan ini, minda mereka tidak hanya ligat berfikir mengenai kesibukan tanggungjawab di pejabat,keperluan untuk membayar hutang mahupun tekanan tersekat di tengah-tengah kesibukan jalan raya. Ruang kosong ini bolehlah ditafsir sebagai medan mencapai keseimbangan. Keseimbangan ini diisi dengan rasa kelegaan seterusnya mendorong ‘spiritual’ mereka untuk kembali bermotivasi dan mencari alternatif-alternatif baharu bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Perkembangan positif ini hanya dapat dicapai jika minda diberi ruang untuk berehat seketika.

Demikianlah bagaimana alam sekitar membantu kita membentuk peribadi yang lebih stabil. Bukan sahaja landskap yang dibentuk di kawasan bandar-bandar, bahkan juga landskap di hutan belantara. Sebab itulah Allah memerintahkan hamba-hambaNya untuk sentiasa meneroka keajaiban alam dan berfikir atas setiap yang dikurniakan pada kita. Juga, perlunya kita terus meneroka kelebihan ini supaya kita dapat terus menjadi seorang hamba yang bersyukur.

Wallahua'lam.

Thursday, September 16, 2010

Buat sesuatu biarlah berpada-pada

Cuepacs mencadangkan agar tempoh persaraan bagi kakitangan awam dilanjutkan sehingga seorang itu berumur 60 tahun.

Saya tahu dan faham benar ramai rakan graduan akan merungut. Jadi tiada apa yang saya rasa untuk saya ulaskan di sini.

Saya lebih berminat melihat perkembangan dari sudut sosial masyarakat. Walaupun secara hypothetical, apa yang saya nyatakan ini juga hasil perbualan dengan mereka yang lebih berusia dan juga hasil pemerhatian yang serba dhaif.

Apa akan berlaku apabila umur persaraan ditingkatkan lagi sehingga ke umur 60 tahun:

1) Warga emas akan lebih banyak meluangkan masa dengan kesibukan jalanraya dan waktu di pejabat daripada bermain dengan anak cucu dan keluarga. Kesibukan ini mengekang dari mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
2) Membuka banyak lagi kelemahan institusi kemasyarakatan. Masa yang diperuntukkan untuk ke pejabat dah menutup ruang untuk perkembangan komuniti bagi tahap umur warga emas. Sudahlah orang muda sukar hendak bersama masyarakat, tambah parah bila warga tua pun mengambil alternatif yang sama seperti orang muda. Mengelak dari aktiviti kemasyarakatan.
3) Tekanan mental meningkat seraya masih lagi perlu memikirkan pelbagai tanggungjawab kerja walaupun sudah berumur 58 tahun.
4) Produktiviti kerja?
5) Mewujudkan suasana tidak berpuas hati dengan apa yang ada. Umur 40, masih lagi berfikir nak buat loan dengan bank sebab masih berpotensi untuk berbuat demikian. Manakan tidak, masa dah bertambah. Kalau loan untuk perkara-perkara mustahak dan perlu, tak mengapa. Tapi kalau loan untuk menukar kereta dan rumah? Akibatnya, suasana berhutang terus hidup dalam masyarakat.

Mungkin banyak lagi. Ini sekadar pandangan jumud dan sekali imbas selepas selesai solat subuh tadi. Almaklumlah, saya bukanlah penganalisis masyarakat.

Sungguhpun cadangan Cuepacs adalah opsyen bagi setiap kakitangan awam, saya tetap berpendirian yang cadangan itu tidak wajar.

Memang benar yang ada hadith nabi Muhammad sallallahualaihiwassalam mengingatkan kita agar bekerja seperti kita akan hidup 1000 tahun lagi. Tidak lupa yang bekerja juga merupakan satu ibadah, jika benar niat, tujuan dan caranya. Saya rasakan, sebilangan besar dari mereka yang memilih opsyen ini (sekiranya cadangan kurang masuk akal ini diterima) adalah dari golongan yang suka makan gaji buta, yang ingin menghabiskan hutang pinjaman dengan bank, yang tidak gemar bersama keluarga dan yang tidak merancang hari tua dengan baik.

Bekerja biarlah berpada-pada. Defisit tenaga sejajar dengan umur, dan wajar juga kita manfaatkan tenaga yang semakin menyusut dengan 'perkara yang lebih sesuai'. Mengapa tidak pengalaman yang ada pada setiap warga tua ini diterjemah dalam bentuk penulisan? Kalaupun ada kelompok yang gemarkan komitmen khusus, mengapa tidak memilih saluran NGO dan juga badan-badan sukarelawan mengikut bidang yang sesuai?

Saya bukan menafikan kehebatan warga emas dengan pernyataan saya ini. Secara peribadinya saya rasakan zaman sekarang kurang sesuai untuk diimplementasi sebegitu. Lagipun apa yang saya zahirkan juga kerana saya tidak mahu menjadi orang tua yang masih bekerja walaupun saya telah berumur 60 tahun kelak. Itupun kalau Allah s.w.t beri rezeki umur 60 tahun pada saya.

Buat golongan muda, mungkin juga cadangan ini timbul kerana generasi lama tidak yakin dengan kemampuan anda. Jadi, buktikanlah yang golongan muda mampu melakukannya.

Monday, September 13, 2010

Jaga Anak Cucu daripada Sampah

Pada satu tarikh yang telah saya lupa, satu akhbar tempatan (Berita Harian) memberi satu statistik umum yang rakyat di ibukota terkenal negara ini (Kuala Lumpur) menghasilkan secara purata 9000 tan sampah sisa pejal berupa sisa makanan dalam tempoh sehari. Maklumat ini diperolehi pada bulan Ramadhan 1431 Hijrah yang lalu. Jumlah tersebut mewakili kira-kira 45 peratus daripada 20,000 tan sisa pepejal atau sampah dihasilkan sehari di seluruh Malaysia.

Akhbar juga melaporkan yang situasi ini menunjukkan masyarakat di ibukota Kuala Lumpur rata-ratanya suka membazir dengan membuang makanan walaupun masih elok untuk dijamu. Natijahnya - jumlah sampah terpaksa dilupuskan di tapak pelupusan sisa pepejal meningkat, selain membawa kesan negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia berhampiran tapak pelupusan. Sedangkan jumlah sampah yang sedikit dapat mengurangkan kos pengurusan sisa pejal seperti sisa makanan. Peruntukan untuk pengurusan ini bolehlah digunakan untuk kepentingan lain. Ini apa yang dilaporkan akhbar.

Apa yang berlaku, tafsiran saya secara langsungnya purata rakyat di Malaysia mempunyai kemampuan kewangan yang baik untuk membeli makanan.

Secara tidak langsungnya, rakyat di Malaysia semakin suka mengamalkan sikap membazir, cenderung memilih gaya hidup mewah, memilih makanan yang lebih membawa masalah kesihatan, rendah fahaman agama Islam (tidak mengamalkan gaya hidup Islam sebaiknya), dan tiada kesedaran tentang kepentingan alam sekitar.

Agak keras tapi itulah realitinya.

Sebagai seorang pencinta alam, saya melihat ini sebagai satu perkara yang sangat serius. Manakan tidak. 9000 tan sisa pejal yang dibuang untuk sehari memang mendatangkan masalah untuk dilupuskan semula. Di mana lokasi yang sesuai untuk dibuang kesemua sisa ini? Memang, sisa makanan agak sukar untuk dikitar semula. Tambahan dengan sistem kitar semula yang masih di takuk 'pengenalan' di Malaysia (mengikut persepsi penerimaan masyarakat). Akan tetapi angka yang ditunjukkan agak mendukacitakan. Tambah dukacita, perangkaan ini dibuat ketika Ramadhan. Bayangkan ketika Aidilfitri.

Ini bukan hanya tentang kitar semula tapi juga isu penggunaan sumber secara tidak berhemah. Tahukah kita semua, dengan membazir makanan kita bukan sahaja membazir makanan itu sahaja? Akan tetapi juga membazir sumber lain. Kita bermewah membazir sedangkan rakyat di beberapa daerah di Pakistan dan Palestin kekurangan makanan.

Saya berikan contoh pada kadar minimum. Sekiranya sebuah keluarga membazirkan 1 ekor ikan masak kicap, membuangnya ke dalam tong sampah. Sebenarnya yang dibuang bukan hanya sisa makanan/sisa pejal. Turut sama ikut ke dalam tong sampah adalah minyak masak, bawang, cili merah, air dan soya (kicap).

Memang lucu dan berbunyi sedikit cerewet tapi itulah hakikatnya. Jika 50 buah rumah melakukan perkara yang sama, boleh kita bayangkan berapakah jumlah pembaziran sumber yang akan dihasilkan.

Amalan berjimat dan berbelanja seadanya mengikut keperluan amatlah perlu. Sekiranya berbaki dan bersisa, gunakanlah saluran yang betul untuk membuat kitar semula. Saya sendiri bukanlah seorang yang benar-benar efektif dalam mengasingkan setiap sisa dan sampah yang saya hasilkan. Justeru untuk mengurangkan impak terhadap alam, saya menggunakan setiap sumber secara berhemah. Makan apa yang diinginkan sahaja, dan mengikut keperluan. Setiap apa yang ada, dihabiskan dan tidak pula dibazirkan. Bukan apa. Kita tidak mahu anak cucu kita pada 20 tahun akan datang diam di atas longgokan sampah yang tidak terkira banyaknya.

Satu perumpamaan. National Geographic dalam websitenya menyatakan yang Pemanasan Global tidak boleh dihentikan, akan tetapi prosesnya boleh diperlahankan. Saya merasakan hal ehwal sampah sarap ini juga sama. Kita tidak boleh berhenti menghasilkan sampah. Sedangkan sisa dalam badan kita pun layak digelar sampah. Akan tetapi kita boleh memperlahankan prosesnya.

Cukuplah kita perturunkan pelbagai masalah kecelaruan agama, ekonomi, politik, perkauman dan peluang kerjaya kepada anak cucu kita. Setidak-tidaknya kita hendaklah berusaha menyelamatkan mereka daripada sampah. Jika tidak, jangan salahkan mereka kalau satu hari nanti mereka melihat kita sebagai sampah masyarakat, yang hanya tahu mewariskan pelbagai masalah, bukannya kebaikan kepada mereka.

Sunday, September 12, 2010

Syawal 1431 Hijrah

Hampir berlalu 3 Syawal 1431 Hijrah. Lembaran baru esok hari pastinya penuh tanda tanya. Esok juga bermakna genap 7 bulan di bumi Australia ini.

Tentang Syawal, tiada apa bezanya ketika di Malaysia. Tiada yang luar biasa. Tiada rendang Kangaroo, tiada kuah lodeh dengan daging koala. Bahkan semua itu bukanlah istimewa, kerana setiap Syawal itu istimewa walau di mana lokasinya. Kelainannya ialah, terpaksa menyediakan hampir 70% masa untuk menyelesaikan tugasan akademik sedangkan kalau di tanah air, seminggu sebelum Aidilfitri sudah mula bercuti. Hampir mabuk dan hilang upaya kerana segenap masa memerah otak menyelesaikan tugasan.

Terkesan apabila melihat berita di negara lain. Beberapa daerah di Pakistan dirundung malang ujian dari Allah, saya tidak berhak berdukacita hanya kerana berjauhan dari keluarga tercinta. Kerana di sini adalah keluarga saya. Saya masih mampu menjamu selera dengan pelbagai juadah, masih mampu bergembira berziarah sesama rakan taulan, masih mampu memenuhi undangan Mayor Adelaide, masih mampu turut sama dalam majlis jamuan hari lahir anak kepada rakan rapat di sini, masih mampu menelefon keluarga di Malaysia, menggunakan internet melayari pelbagai website, masih mampu menunaikan solat dan beribadah kepadaNya tanpa sedikit pun rasa gusar dan tidak selesa.

Alhamdulillah kerana diberikan nikmat ini. Semoga Allah terus melindungi semua muslimin muslimat dari segala bencana. Tiap apa yang berlaku sama ada itu nikmat atau bencana, ia adalah ujian dari Allah. Seperti awalnya, esok adalah lembaran muka surat yang baru. Saya sedang menetapkan niat untuk berbuat yang terbaik.

*Cuma kekadang saya risau, jika keluarga di tanah air terlalu bimbangkan saya.

Wallahua'lam...

Thursday, September 9, 2010

Salam Lebaran

Saya sedang mendengar Takbir Raya sekarang. Secara tak langsungnya, hati saya perlahan-lahan turut sama mengalunkan zikir itu di dalam hati.



Syukur, Allah telah memberikan saya bermacam-macam nikmat selama saya hidup.
Maha Suci Allah, Segala puji bagi Allah, Allah Maha Besar, dan tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah.

Selamat menyambut Aidilfitri 1431 Hijrah. Dari lubuk hati ini, saya memohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap, dunia akhirat. Semoga kita terus diberi kekuatan oleh Allah Yang Maha Esa untuk meneruskan tarbiyyah Ramadhan pada bulan-bulan yang lain dan semoga kita ditemukan semula dengan Ramadhan tahun yang akan datang. Moga kejayaan tahun ini disambut penuh meriah dan penuh makna dalam Aidilfitri.

Wassalam...

Wednesday, September 8, 2010

Ramadhan yang dulu...

Syawal semakin menghampiri, dengan Ramadhan insyaAllah bakal melabuhkan tirainya untuk tahun hijrah kali ini sehari lagi. Semua muslimin dan muslimat sudah mula sibuk dengan persiapan Aidilfitri. Tidak asing lagi, suasan jalan raya di kota raya yang lengang kerana semakin ramai meninggalkan hutan batu ini kembali ke kampung halaman masing-masing (walaupun kini sudah semakin ramai orang berkampung bandar).

Dengan ini, semakin hampir juga tempoh masa sebulan yang saya luangkan untuk Ramadhan tanpa ibu bapa. Bukan kerana saya anak manja yang perlukan belaian manja, cuma terasa janggal tidak bersama mereka tahun ini sepanjang bulan barakah.

Ketika saya kecil, ayah saya sering mengingatkan saya supaya tidak lupa untuk niat berpuasa. Seringkali juga dia yang menjadi reminder kepada dua anak terunanya yang berapa hari telah berlalu.

Ibu saya pula, sememangnya seorang tukang masak yang sangat mahir. Bukan kerana dia sangat hebat memasak, tapi kerana dia paling arif tentang selok-belok perasa makanan yang digemari setiap ahli keluarganya. Oleh sebab itulah ibu saya berjaya membuatkan saya menghabiskan sekurang-kurangnya 3 pinggan nasi untuk santapan ketika bersahur.

Abang saya pula, tak dinafi waktu kecil saya semtiasa di belakangnya. Ke masjid untuk bermain mercun, bermain sembunyi-sembunyi, meletupkan mercun di depan rumah orang, dan macam-macam lagi. Semuanya dikepalai oleh dia. Tak lupa, dia juga yang pastinya orang pertama akan berundur dan mengalah sekiranya kami berebutkan sesuatu perkara. Samalah juga seperti makanan.

Adik-adik saya, mungkin kerana ketika itu saya semakin membesar usia, maka mereka pula yang disajikan didikan serupa oleh ibu dan ayah untuk menghadapi Ramadhan. Ingatan supaya jemaah subuh di surau, mengaji dan tidak meninggalkan terawih terus lekat di telinga saya walaupun saya bukanlah audien utama kali ini.

Banyak lagi sebenarnya kalau diikutkan. Takkan cukup kisah lebih 20 tahun untuk diceritakan dalam satu lembaran.

Kali ini ia tiada. Semua itu tiada. Saya tersenyum sendiri mengenangkan semua itu. Sedar benar yang masanya semakin tiba, satu hari nanti, saya pula yang akan mengambil peranan menyampai, mengalah dan mendidik.

Itulah rezeki Ramadhan. Bukan hanya rezeki yang mampu dizahirkan, tapi juga apa yang tersirat disebaliknya. Memori dan didikan Ramadhan, benar-benar dirindui.

Saya semakin merasainya........

Thursday, September 2, 2010

Selepas Ogos dan Ramadhan

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini saya bersedih, terasa hiba secara tiba-tiba. Setelah saya amati, rupanya sehingga kini saya amat merindukan suasana Ramadhan bersama keluarga. Telah agak lama rupanya saya tidak mengucup tangan ayah dan ibu, lebih-lebih lagi ketika selepas solat dan waktu awal pagi ketika semua hendak bertolak pergi ke pejabat. Saya juga terlepas sesi berbuka bersama keluarga, yang mana saya sifatkan sebagai waktu yang sangat-sangat bahagia dalam hidup. Sehingga hari ini, Ramadhan pula semakin meninggalkan saya, dan kita Umat Muhammad sallallahualaihiwassalam.

Disambut seiring dengan sambutan kemerdekaan Malaysia, saya yakin sebenarnya tiada kemerdekaan yang mutlak di dalam hidup seorang Muslim. Sungguhpun kita merdeka, akan tetapi kita akan terus diperhati oleh Allah Yang Maha Kuasa. Selepas Ramadhan juga, kita akan kembali diekori syaitan-syaitan yang kembali dibebaskan oleh Allah s.w.t. Kebebasan dari dihasut makhluk hina ini kembali ditarik semula. Sedangkan kita juga tidak pernah bebas dari ikatan nafsu yang sentiasa merantai diri, tak kira di bulan Ramadhan mahupun di bulan kemerdekaan.

Dalam usia akhir Ramadhan ini, saya cuma mengharapkan yang saya diberi kesempatan lagi oleh Allah s.w.t. untuk bertemu semula dengannya tahun yang akan datang. Semoga juga saya diberi kesempatan untuk menyambutnya bersama dengan keluarga tercinta.

Saya percaya, kesedihan hari ini diberi oleh Allah agar saya menjadi lebih kuat dan sentiasa berusaha mendekatkan diri kepadaNya.

Wassalam...