Saturday, March 5, 2011

Jangan Ikut Resmi Orang

Akhirnya rakyat di Malaysia semakin terpengaruh.

Apabila orang di luar berdemonstrasi, kita pun berdemonstrasi. Bila orang sibuk memperkatakan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara, kita pun sibuk memperjuangkan isu yang sama.

Tunaikan dulu hak sebagai manusia kepada manusia yang lain, sebelum menuntut hak kita daripada orang lain.

Kebebasan bersuara? Sia-sia. Kalau diasaskan dengan pelantar agama, ilmu, timbangrasa dan rasional yang kukuh baru sesuai. Tanpa semua itu, kebebasan bersuara cuma medan menyebar fitnah dan merosakkan ukhuwah.

Apabila orang di luar menuntut supaya pengurus dan jurulatih pasukan bola sepak meletak jawatan, kita pun turut sama mengikut resmi itu. Kasihan pada pasukan Kedah. Kalaulah pengurus pasukan ada kuasa memecat penyokong dari menyokong pasukannya, kerana tingkah laku tak rasional, saya rasa pasti ramai pengurus berbuat demikian.

Adakah kerana kita membayar wang atas sesuatu perkara, kita mempunyai hak atas sesuatu perkara itu? Ingat yang bukan semua itu milik kita. Kita membayar sejumlah wang untuk tujuan kesihatan kepada Doktor. Apabila kita sihat, adakah 'semua nilai kesihatan' itu jadi milik kita? Apabila kita sihat, kita laburkan pula kesihatan itu untuk bekerja supaya boleh menyara anak dan keluarga. Jadi bukan semua yang kita bayar pada awalnya, hanya untuk kita.

Jangan bersikap tidak endah. Akan tetapi jangan pula terlalu mengikut emosi.

Pada pemimpin, pengurus dan segala bagai orang yang namanya mengetuai organisasi, amanah yang dipikul bukan peluang untuk mengambil kesempatan. Tunaikan amanah sebaik-baiknya. Kalau berbuat kesalahan, tak salah untuk mengaku kekurangan kita dari awal, dan terima nasihat dari orang lain. Bukankah semua manusia dicipta saling menyokong satu sama lain. Individu itu bukannya pandai semua aspek.

Semoga zuriat kita, generasi akan datang diselamatkan dari kekurangan dan kesilapan kita. Amin....

No comments:

Post a Comment