Wednesday, March 9, 2011

Saya Mahukan Subsidi Saya!

Prakata - Saya adalah peminjam PTPTN, dan juga penerima Biasiswa JPA. Terima kasih kepada pemerintah kerana memberi saya peluang apa yang saya telah perolehi. Akan tetapi elok kalau ada kaedah penambahbaikan dalam sistem sedia ada.



Ini bukan soal politik. Ini soal dan pandangan berkenaan sistem.

Baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia mengatakan (di Melbourne) yang biasiswa kepada pelajar-pelajar Malaysia bukanlah satu perbelanjaan akan tetapi satu pelaburan untuk kepentingan negara masa depan.

Saya setuju.

Itu biasiswa. Bagaimana pinjaman pendidikan?

Ini bukan membandingkan biasiswa dan pinjaman, dalam bentuk definasi berbeza.

Akan tetapi ini persamaan yang kedua-duanya untuk pendidikan, kedua-duanya untuk kepentingan masa depan negara.

PTPTN - satu badan yang mengendalikan hal pinjaman pendidikan kepada bakal pelajar yang akan menyambung pengajian ke peringkat institusi pendidikan tinggi. Kepada pelajar yang dari latar belakang keluarga kurang berkemampuan, PTPTN adalah saluran yang sangat baik.

Saya salah seorang dari peminjam.

Kini, sebagai peminjam saya dikehendaki membayar semula pinjaman secara bulanan kepada PTPTN. Kalau saya mempersoalkan hal ini sesudah mendapat segulung ijazah, bermakna saya bukanlah orang yang mengenang budi. Kenapa saya sanggup membayar secara bulanan untuk membeli komputer riba @ kereta, tetapi tidak kepada pinjaman yang telah membantu saya mendapat segulung ijazah? Bukan bererti saya mengutarakan pandangan bermaksud saya tak bersyukur. Ini sekadar pandangan.

Saya berbalik kepada pernyataan pemimpin utama negara, yang bantuan biasiswa atas pelajar yang berkelayakan adalah satu pelaburan untuk negara. Tidak dinafikan lagi, akan tetapi adakah pasti yang pelaburan itu akan membuahkan hasil yang benar-benar masak? Kekadang ada sahaja pemegang biasiswa hanya berjaya di peringkat rendah dan menengah tetapi kandas di peringkat tertinggi. Ada juga penerima biasiswa ini yang berjaya, akan tetapi 'terlupa' membalas jasa kepada tanah air dengan berbakti di negara asing.

Peminjam dana pendidikan pula, ada antara mereka yang kurang bernasib baik untuk mendapat biasiswa tetapi sebenarnya sangat berpotensi. Ada antara mereka yang benar-benar bergelar 'somebody' selepas pengajian. Bahkan ada juga dari mereka ini yang tidak meninggi diri.

Kasihannya kepada peminjam dana pendidikan ini, mereka tidak mendapat bantuan sewajarnya yang lebih suka saya katakan sebagai 'subsidi pendidikan' di peringkat tertinggi. Setiap bulan mereka ini terpaksa membayar kepada PTPTN, apabila terlewat, dikenakan 'bayaran denda' dan sentiasa 'diikat' undang-undang (kemungkinan disaman) sekiranya terdesak dan tidak mampu membayar selama 3 bulan berturut-turut. Sedangkan mereka ini juga menabur bakti kepada Malaysia, kepada negara, kepada keluarga mereka dan kepada bakal anak cucu mereka. Bahkan penjamin mereka juga sentiasa 'diancam' tindakan undang-undang sekiranya berlaku masalah kepada peminjam (diingatkan kebanyakan penjamin bagi peminjam adalah ibu-bapa mereka).

Jika pun benar mereka ini tidak bernasib baik untuk mendapat biasiswa awal-awal dahulu, mengapa tiada sistem yang memudahkan peminjam-peminjam ini? Contohnya memberi diskaun kepada peminjam yang membayar secara konsisten selama 3 tahun berturut-turut.

Ini bukan bersangka buruk, berdasarkan pemahaman singkat saya pihak berwajib kurang berkeyakinan dalam pelaburan pendidikan mereka.

Andaian awal mereka, belum pasti produk pendidikan ini akan kembali menyediakan output lanjutan kepada negara pada masa akan datang. Kerana itulah, jangan beri diskaun tetapi ambil keuntungan daripada mereka-mereka ini.

Tipikalnya, kalau pemerintah boleh berbelanja (bukannya melabur) memberikan subsidi untuk tidak menerima untung dalam jual beli petrol, kenapa tidak pendidikan? Kalau pemerintah boleh menyediakan subsidi yang berbilion untuk jalan raya, petrol, makanan asas dan pelbagai lagi, mengapa tidak pendidikan? Adakah kerana jualan produk-produk ini (jalan raya, petrol, makanan asas etc) SUDAH PASTI akan dapat untung baliknya dan ada pembelinya, sedangkan pelaburan pendidikan masih TIDAK PASTI? Kalau betul seperti apa yang dikatakan pemimpin utama negara, melaburlah dengan cara yang betul.

Perkara asas memanglah makanan, tempat tinggal, pakaian. Tetapi jarang yang menyenaraikan pendidikan dalam senarai paling atas apabila memberi jawapan kali pertama.

Jadi, kepada pemerintah, saya mahukan subsidi pendidikan saya. Bukan untuk saya, kerana saya tahu tidak mampu berbuat apa-apa sekarang. Akan tetapi untuk anak cucu saya.

Wallahua'lam...

2 comments:

  1. Assalamualaikum. Ini kali pertama sy mnjengah blog sdr. Tp mngikut pndgn sy, klau dibuat spt apa yg sdr cdgkn, bkn kh akn mnyusahkn krjaan. Jd mcm dh mlggr syariah plak. Sy komen ni ats fhmn yg sederhana, tdk lh pndai pun. Hrp maaf klau trslh.

    ReplyDelete
  2. Waalaikummussalam w.b.t. Terima kasih sebab sudi memberikan pandangan. Saya kurang pasti apa yang dimaksudkan dengan menyusahkan kerajaan dan melanggar syariah. Mungkin saya sendiri kurang arif dalam hal ehwal yang saudara/ri maksudkan. Apa yang ingin saya tekankan lebih kepada konsep secara keseluruhan. Rasanya lebih molek kalau kerajaan bertindak dengan menghulurkan bantuan secara lebih konsisten juga kepada peminjam dana pendidikan. Soalnya di sini bukan hanya siapa yang layak menerima di peringkat awal. Boleh juga kita ambil bantuan kepada mereka yang selayaknya selepas tempoh pengajian. Itulah penekanan saya.

    ReplyDelete