Tuesday, July 13, 2010

Perkhidmatan Awam

Assalamualaikum w.b.t.

Bismillahirrahmanirrahim...

Terlebih dahulu saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya apa yang dicoretkan tidak didasarkan dengan bukti yang kukuh. Kerana apa yang saya utarakan adalah luahan rasa personal yang dirumuskan hasil dari pemerhatian singkat dan kurang pengalaman.

Saya terpanggil untuk membuat sedikit luahan rasa berkenaan isu yang sedang berlaku kini. Kes kematian seorang remaja yang ditembak oleh polis.

Dahulu, ketika saya bersekolah pelbagai jenis denda yang dikenakan terhadap saya atas kesalahan yang saya lakukan. Pembaris kayu, besi, rotan, paip getah antara medium penyampai mesej betapa sesuatu tindakan saya itu adalah satu kesalahan. Tak cukup dengan itu, denda secara konsisten juga dikenakan. Sujud 45 minit, duduk separuh dan pelbagai lagi. Dan apa yang dikenakan terhadap saya disokong oleh ibu dan ayah saya. Bahkan mereka mengucapkan terima kasih kepada guru yang memberi saya pengajaran sedemikian. Hari ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua guru-guru saya. Jasa anda tidak ternilai.

Sehinggalah ketika berlakunya beberapa kes, guru menyebabkan kecederaan anak murid dan mendapat bangkangan daripada ibubapa. Ia semakin merebak ibarat wabak yang tidak terkawal. Bagaikan bermusim, semua tindakan guru dipersalahkan. Hinggakan kesalahan beberapa tahun lalu juga diungkit semula. Guru disaman, diminta memohon maaf secara terbuka, sekolah dilabel dengan status kurang baik dan sebagainya. Impaknya kini, institusi perguruan hanya dipandang sebagai satu medan peluang pekerjaan dan bukannya ruang untuk mendidik anak bangsa. Jadi guru gaji tinggi, cuti sekolah panjang. Kurang amat ungkapan "Jadi guru mulia sebab jasa mendidik anak bangsa." Tindakan guru dihadkan. Ibubapa melihat sebarang denda sebagai penderaan. Tafisran ini dibuat akibat daripada pemula kes awal yang semakin merebak. Tiada lagi kepercayaan total di dalam hal ini.

Kesinambungannya, guru-guru masakini semakin kurang produktif. Mereka tersekat norma budaya yang sayangkan anak secara membuta tuli. Takut diserang ibubapa yang boleh menyebabkan karier terancam, guru-guru semakin lemah. Kini, pelajar-pelajar berani mengambil kesempatan terhadap guru. Cermin kereta dipecahkan, mesej ugutan bahkan ada yang mengajak guru bergaduh. Situasi apakah ini? Dimanakah nilai murid dan guru? Saya yakin barisan guru di luar sana lebih memahami keadaan kini. Saya sendiri sering kali mendengar keluhan ahli keluarga yang bekerja di dalam arena pendidikan sekolah berkenaan isu berkaitan.

Senario yang sama sedang berlaku. Wabak ketidakpercayaan atas kebencian akibat kesalahan satu individu bakal merosakkan institusi selain guru-polis. Umum mengetahui, masih tidak diketahui siapakah yang benar dan siapakah yang salah di dalam kes Aminulrasyid Amzah, akan tetapi 'hakim' telah pun membuat keputusan. Hakim yang saya maksudkan di sini ialah masyarakat. Persepsi masyarakat cenderung melihat adik Aminulrasyid adalah mangsa yang sia-sia. Polis adalah pesalah yang total. Dan kini, pelbagai lagi kes-kes setahun, dua tahun lalu sedang dibangkitkan semula. Saya percaya ia akan bercambah lebih banyak lagi selepas ini. Bahkan sudah kedengaran permintaan agar polis menyerahkan semua senjata api mereka dan hanya mengawal keselamatan menggunakan baton. Agak melucukan.

Saya bukan ingin bertindak sebagai pembela mana-mana pihak. Apa yang merunsingkan saya ialah kepercayaan atas institusi yang mengawal keselamatan ini semakin terhakis. Wabak 'kerana nila setitik rosak susu sebelanga' semakin menular. Apa akan berlaku kiranya rakyat Malaysia sendiri tidak mempercayai polis untuk membantu mereka mencegah jenayah? Bagaimana dengan talian 999? Adakah kita hendak menghubungi 13008809xx sekiranya berlaku apa-apa jenayah?

Sedarlah wahai semua bahawa tiap kita melakukan kesalahan. Dan ianya tidak boleh manjadi kayu ukur seluruh organisasi. Janganlah kita menghukum secara total akibat satu kepincangan yang berlaku. Parti-parti politik dan media, terima kasih kerana menjadi medium penyampai ketidakpuas hati masyarakat. Tanpa anda, masyarakat akan hilang bisa dan hak bersuara.Akan tetapi janganlah hingga mengapi-apikan umum dan menyampaikan sesuatu yang tidak bernas, tidak benar. Didiklah masyarakat umum secara berhemah dan tidak berteraskan emosi semata. Institusi kepolisan juga harus bertindak. Imej sebagai penerima rasuah dan pelbagai lagi nama yang kurang baik harus digantikan dengan sesuatu yang mendatangkan kepercayaan.

Sura kesebelas di dalam alQuran-surah Hud banyak menceritakan kisah-kisah sejarah perjuangan nabi dan rasul. Bagaimana binasa yang menimpa kaum Thamud, Firaun dan sebagainya. Diceritakan kisah itu supaya kita mengambil banyak pengajaran daripadanya. Saya bukan pentafsir alQuran, dan tidak tahu apakah yang tersembunyi di sebalik kisah yang disampaikan (mutasyabihat) wallahua'lam, sesunggunya ilmu Allah itu tidak terbatas. Akan tetapi dengan akal yang pendek ini saya melihat bahawa kita jangan terlalu obses dengan apa yang kita lihat sebagai satu kesalahan. Kelak membinasakan kita.

Semoga kebenaran akan didedahkan dan yang bersalah akan dihukum. Jika bukan disini, disana adalah satu kepastian.

Wallahua'lam...

Al-fatihah untuk arwah adik Aminulrasyid Amzah.

No comments:

Post a Comment