Wednesday, July 28, 2010

Hairy-nosed Otter ditemui semula di Malaysia

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana penemuan spesis memerang ini di Hutan Simpan Deramakot, Sabah. Berdasarkan pembacaan ringkas saya, kali terakhir memerang spesis ini ditemui di Malaysia ialah pada tahun 1997, setelah dkenal pasti oleh Burhanuddin Hj. Mohd. Nor (salah seorang pegawai PERHILITAN dan amat arif tentang hidupan dari famili Mustelidae ini). Itupun yang ditemui adalah individu yang telah mati.



Memerang secara umumnya tidak dilihat mampu memberi banyak sumbangan langsung kepada manusia akan tetapi ia merupakan seekor haiwan yang bertindak untuk mengawal keseimbangan ekosistem melalui pemangsaan. Memerang juga boleh dijadikan sebagai satu indikator tahap kebersihan air, di mana spesis ini hanya boleh mendiami kawasan dengan tahap kualiti air yang bersih.

Haiwan ini merupakan spesis yang sangat pemalu. Amat sukar untuk melihatnya dan peluang melihatnya secara semulajadi adalah satu peluang yang sangat luar biasa. Haiwan ini gemar bermain-main di kawasan air dan berpasir, mendapat cahaya matahari secara sederhana dan mempunyai bukaan kanopi hutan juga sederhana.

Ia gemar menggelongsor dari bahagian pasir (batu) ke dalam sungai @ laut. Kesan gelongsorannya boleh dilihat dengan ketara. Memerang juga menandakan kawasan permainannya dengan najisnya. Najis yang ditinggalkan oleh memerang mengeluarkan bau yang amat tengik, hancing dan juga hanyir. Sesuai dengan diet pemakanannya.

(Berikut adalah capaian terhadap bukti penemuan Memerang Hidung Berbulu/Hairy-nosed Otter di Hutan Simpan Deramakot, Sabah. - http://news.nationalgeographic.com/news/2010/07/photogalleries/100726-hairy-nosed-otter-borneo-camera-trap-deramakot-science-pictures/#borneo-camera-trap-hairy-nosed-otter-lutra-sumatrana_23953_600x450.jpg)

No comments:

Post a Comment