Thursday, July 22, 2010

Peak Oil di Malaysia

Bismillahirrohmanirrohim...

“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya maqbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. Al-A’raf, 7:56. “

Assalamualaikum w.b.t.

‘Peak Oil’ @ Puncak Minyak adalah satu teori yang boleh didefinasikan sebagai satu situasi dimana kadar maksimum pengambilan petroleum secara global telah mencapai tahap klimaks. Timbal baliknya, pengeluaran petroleum untuk kegunaan seharian dalam semua sektor industri akan terganggu dan terjejas. Teori ini diperkenalkan oleh M. King Hubbert pada tahun 1956. Beliau turut menggambarkan teori ini dengan satu graf dengan keluk yang memberikan gambaran sebelum dan selepas ‘Peak Oil’. Persoalan yang bermain di minda saintis kini ialah bilakah ‘Peak Oil’ akan berlaku dan apakah yang bakal berlaku selepas ‘Peak Oil’? Adakah di titk A @ B @ C?



Teori ini timbul setelah saintis mengenalpasti bahawa petroleum mentah adalah satu sumber yang tidak boleh dikitar semula. Proses pembentukannya pula memakan masa berjuta-juta tahun. Senario pengambilannya dari perut bumi amat luar biasa dan tidak menampakkan tanda-tanda untuk berhenti walaupun untuk seketika (buat masa ini).

Terdapat pelbagai andaian dibuat mengenai teori ini. Ada pihak yang secara optimis menyatakan kesedaran tentang penceramaran global dan ketandusan sumber menyebabkan manusia semakin cuba mengejar kemajuan teknologi. Dengan teknologi ini, manusia mampu untuk memastikan keluknya terus menganjur secara mendatar di bahagian kanan graf (b). Sesetengah pihak pula secara tegas berpendirian yang apa jua teknologi yang diketengahkan tetap akan menyebabkan keluk bergerak secara curam di bahagian kanan graf (a).

Secara umumnya, itulah penerangan ringkas tentang ‘Peak Oil’.

Kaitannya petrol dengan Malaysia?


Beberapa bulan yang lalu, salah seorang menteri di Jabatan Perdana menteri berkata bahawa dalam masa yang tidak lama lagi Malaysia boleh jatuh bankrap atau muflis sekiranya kerajaan terus-menerus memberi pelbagai subsidi kepada rakyat, khususnya subsidi petrol. Salah seorang penulis di Malaysiakini pula menekankan yang Malaysia akan menjadi negara pengimport minyak bermula tahun 2016 - salah satu indikator negara ini akan melintasi ‘Peak Oil’. Pada pandangan saya, kenyataan kedua-dua individu ini saling berkait rapat. Malaysia mungkin semakin hampir dengan situasi di mana petroleum mereka akan habis. Oleh kerana petrol milikan sendiri bakal habis (tak kira bila pun ia akan berlaku), maka Malaysia akan bertukar kepada negara pengimport petrol. Jika subsidi dengan jumlah yang sama masih disuap kepada rakyat, muflis mungkin berlaku.

Bukan muflis, bukan subsidi, bukan celaru politik yang saya ingin ketengahkan. Akan tetapi ketahan Malaysia menangani permasalah sumber yang terhad.
Ini persoalan saya.

1) Adakah Malaysia sudah bersedia untuk menghadapi situasi ‘Peak Oil’? Jika ada saintis luar negara yang optimis mereka mampu mencapai kemajuan (teknologi alternatif seperti ‘renewable energy’) yang boleh membendung dan mengurangkan impak negatif ‘Peak Oil’, bagaimana pula dengan Malaysia?

2) Sudahkah kita punya usaha mengejar kemajuan yang sebegitu?

3) Adakah sudah cukup didikan kepada semua masyarakat kita tentang kesedaran kekurangan (bahkan lebih parah ketiadaan) petrol?

4) Adakah sistem pengangkutan awam kita sudah berada dalam keadaan terbaik untuk bertindak sebagai medium mengurangkan kenderaan di jalanraya selaras dengan usaha memperlahankan tibanya masa ‘Peak Oil’?

Sekiranya semua persoalan ini masih dihidang dengan jawapan negatif, negara kita bakal berdepan dengan risiko ekonomi dan sosial yang serius. Perhatikan dengan teliti, kita masih bergelut dengan pelbagai isu serta permasalahan yang seakan-akan tidak berpenghujung. Bagaikan sebuah negara yang baru sahaja merdeka. Masa yang ada banyak dihabiskan untuk bertelagah dan berdebat isu yang sama. Mengapa tidak kita memudahkan apa-apa jalan yang sukar? Mengapa kita terus menerus menolak perkara yang mampu menjaga kemaslahatan bersama? Akhirnya kita juga yang rugi..... Tidak perlu akibat memberi subsidi, tidak perlu sehingga 'Peak Oil', akan tetapi kerana sikap kita yang sering berbalah tak henti-henti, kita sudah boleh muflis.

Ini hanya tentang satu sumber – minyak.


Kelak kita akan disajikan pula dengan teori yang mungkin sama, tetapi sumber yang berbeza – air. Siapa tahu? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Wallahua’lam...

No comments:

Post a Comment