Monday, July 19, 2010

Pendatang

Bismillahirrohmanirrohim...

Assalamualaikum w.b.t.

Kali ini, seperti biasa saya jadikan laman web akhbar tanahair antara laman web yang wajib dikunjungi. Sekadar mengetahui perkembangan semasa. Membaca secara online sememangnya tidak sepuas dengan helaian kertas di tangan. Tapi apakan daya hanya itu pilihan yang ada. Kekadang, walaupun saya sudah mengikuti berita semasa di dada akhbar (akhbar pro @ kontra), tetap juga saya jadikan beberapa orang sahabat setia di tanahair sebagai mangsa supaya mereka menceritakan apa perkembangan di Malaysia. Kekadang, ibubapa juga satu alternatif walapun kurang sesuai. Sebab rasanya lebih seronok menghabiskan kredit telefon berbual hal-hal kekeluargaan dengan mereka berbanding isu-isu politik, semasa dan kebajikan. Penceritaan mereka-mereka (sahabat-sahabat setia yang dikatakan sebelum ini) ini biasanya akan datang dengan perkara yang tidak ada di dalam akhbar. Begitulah saya cuba meneutralkan diri bila berada di kejauhan. Sahabat-sahabatlah yang menjadi penyampai emosi berita kepada saya. Mujur mereka-mereka ini tak berpantun macam salah seorang penyampai berita terkenal tanahair.

Akan tetapi satu isu ini, suka untuk saya utarakan pandangan sendiri sebelum mendengarkan apa pandangan orang lain. Salah satu akhbar tempatan membawa satu berita yang mana salah seorang menteri merasmikan satu kempen untuk meningkatkan hasil pulangan pelancongan. Apa yang menarik minat saya bukanlah berapa kadar pulangan yang boleh dijana menerusi ekopelancongan mahupun apa pandangan politik terhadap hal ini, akan tetapi lebih kepada isu alam sekitar iaitu native species.

Daripada penulisan akhbar tersebut, jelas kementerian berkaitan berhasrat untuk memajukan lagi industri ekopelancongan tanahair. Kaedah paling asas adalah dengan memelihara serta memulihara mana-mana taman rekreasi dan taman awam, hutan lipur dan hutan rekreasi. Selain itu, mewujudkan banyak landskap alam sekitar yang indah melalui integrasi sumber alam di dalam daerah hutan batu dilihat sebagai satu alternatif yang berkesan. Mana tidaknya, saya yakin kebanyakan daripada rakyat tempatan sendiri gemar akan suasana dan kehadiran kehijauan, rimbunan pokok dan bunga di laman rumah mereka, di laluan ke pejabat mereka bahkan juga di dalam pasaraya.



Kehadiran hijau ini dilihat sebagai salah satu terapi minda yang berkesan dan tidak asing lagi untuk melepaskan atau mengurangkan tekanan selepas seharian bekerja. Lihat sahaja, bangunan dihiasi landskap tumbuhan yang diselenggara dengan baik lebih sedap untuk dipandang. Saya berikan satu contoh yang mudah. Hospital Serdang sendiri menyediakan taman mini di atas bumbung bangunan. KLIA, juga mempunyai landskap indah di dalam bangunannya. Ah, banyak lagi contoh yang jelas untuk saya berikan di Malaysia. Rasanya semua orang boleh menggambarkan apa yang ingin saya sampaikan. Rasanya kalau masih juga kabur dan samar-samar dengan konsep dan idea ini, silalah lawat bangunan-bangunan kerajaan di Putrajaya.

Berbalik kepada keratan kahbar. Pada akhirnya, diketengahkan juga satu cadangan untuk melibatkan ahli landskap dan botani sebagai medium untuk menjayakan lagi usaha murni ini. Penglibatan golongan ini pastinya mampu memberikan impak luar biasa kepada usaha tersebut. Mereka ini antara individu dengan profisien yang sangat eksklusif di dunia korporat dan juga akademik. Akan tetapi, apa yang membimbangkan saya ialah kiranya usaha mencantikkan bandar menjadi keutamaan utama sehingga mengabaikan kehadiran introduce species sehingga menindas native species.

Secara umumnya, saya boleh ringkaskan yang native species adalah spesis tumbuhan atau haiwan yang sememangnya berasal di sesebuah kawasan itu. Hidupan native tidak dibawa masuk dari daerah lain ke sesuatu kawasan samada secara sengaja mahupun tidak sengaja. Introduce species pula bersifat sebaliknya. Ia adalah spesis tumbuhan atau haiwan yang bukan berasal di sesebuah kawasan itu, bahkan ia dibawa masuk ke kawasan itu secara sengaja (mahupun tidak).

Usaha memperindahkan kawasan hutan batu dengan rimbunan kehijauan amat sesuai sebagai satu cara memperbaiki taraf kesihatan sebuah bandar yang sudah tenat. Akan tetapi ia bukan bermakna dengan menanam semua jenis tumbuhan mampu memberikan kesan positif secara optimum. Benar tumbuhan itu mampu membekalkan oksigen dan menambahkan jumlah oksigen di atmosfera bukanlah sesuatu yang khilaf, akan tetapi jika tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya, ia pasti akan mendatangkan masalah.

Suka untuk saya kaitkan isu ini dengan definasi yang saya sebutkan sebelumnya. Bagi mengindahkan landskap, sudah menjadi kebiasaan bagi kebanyakan rakyat Malaysia untuk mengutamakan keindahan visual dari nilai dan keuntungan jangka panjang. Bukan sahaja di Malaysia bahkan di mana-mana sahaja. Kita cenderung memilih untuk menanam pokok bunga-bungaan yang bukan berasal dari Malaysia. Sebagai contohnya ros dari negara barat, bunga matahari dari Amerika Utara dan kenanga dari Indonesia serta Filipina (Semua bunga ini mampu membesar di iklim tropika).



Apakah kurangnya tumbuh-tumbuhan ini? Secara lazimnya, tumbuhan yang dibawa masuk kurang dan hampir tiada pemangsa yang boleh mengawal populasinya dari terus membiak. Selain itu, spesis tumbuhan yang dibawa masuk ini juga samada mempunyai rintangan yang sangat kukuh terhadap penyakit di tanahaiar kita ataupun ia masuk ke negara ini dengan membawa penyakit baharu. Dua situasi yang saya nyatakan dia atas boleh menyebabkan dominasi spesis luar (introduce species) terhadap spesis asal (native species). Tatkala spesis tumbuhan asal bergelut menguasai ruang mukabumi, bersaing untuk mendapatkan sumber makanan (air, cahaya, karbon dioksida, nutrien dalam tanah) sesama spesis itu sendiri, introduce species dengan selesanya menguasai segala sumber sedia ada. Ini kerana spesis ini tidak dikekang dengan saingan sesama spesisnya selain tidak diancam dengan penyakit yang ada di sesebuah daerah. Pengakhirannya adalah adegan di mana spesis asal akan ditindas, dan dianiaya apabila populasinya semakin merosot dek kerana segala sumber yang ada dikuasai oleh spesis luar (Introduced Species). Sedarkah juga kita bahawa, spesis yang dibawa masuk ini memerlukan sumber lebih dari yang sewajarnya berbanding spesis asal? Sebagai contoh, bunga ros memerluakan kuantiti air yang banyak untuk memastikan 'survival'nya. Bayangkan jika ros ditempatkan di sebelah 'kejiranan' spesis asal Malaysia, pastinya air akan banyak diserap oleh tumbuhan ini menyebabkan spesis asal teraniaya. Spesis tumbuhan ini juga mampu menganggu serta mengubah perilaku haiwan, sebagai contoh tabiat pemakanan. Kita andaikan yang bunga ros ini mendominasi satu kawasan perumahan hinggakan populasi bunga-bunga lain yang 'native' di Malaysia juga disisihkan. Datang pula kelibat rerama untuk menjalankan amanah Allah buat mereka-menyebar benih melalui pendebungaan. Tabiat pemakanan rerama hanya akan bertumpu kepada bungan ros sahaja memandangkan itu ialah makan utama di kawasan perumahan tersebut. Terhad kepada satu spesis bungan untuk dilewati, jenis debunga yang boleh dibawa oleh serangga ini juga menjadi terhad. Satu pusingan yang berulang akan terbentuk, di mana hasil pendebungaan hanya melahirkan individu bunga ros yang baharu seterusnya populasi. Bayangkan jika proses ini berlaku tanpa henti dan merebak bukan hanya ke satu kawasan perumahan tetapi juga ke kawasan-kawasan lain. Itu ulasan dari sudut biologi. Dari sudut pengurusan, (mengambil kira situasi 'water uptake' yang tinggi) pastinya kos menyelenggara dan juga bil air akan meningkat untuk memastikan keindahan taman dihiasi ros ini sentiasa berseri-seri. Akibatnya, pulangan ekonomi tetap tidak begitu boleh dibanggakan. Manakan tidak, hasil yang dikutip terpaksa disalurkan ke arah kos pengurusan pula.

Bernas cadangan menteri untuk mengembangkan perolehan ekonomi menerusi sektor ekopelancongan. Menyediakan landskap hijau di tengah-tengah hutan batu, memelihara dan memulihara medan alam sekitar sedia ada pastinya mampu membantu penduduk sekitarnya dari pelbagai sudut.

Akan tetapi semoga hal yang disebut saya tidak berlaku secara serius di Malaysia. Mungkin apa yang saya sebutkan ini terlalu sukar untuk berlaku, manakan tidak.. proses ini mengambil masa puluhan, malahan mungkin ratusan tahun untuk direalisasikan. Mengapa saya mengetengahkan isu ini? Kerana kesedaran tentang 'spesis pendatang alam sekitar' masih lagi rendah di tanahair tercinta. Saya berharap agar apa yang asal di Malaysia, biarlah ia terus diberi keutamaan.



Akhirnya, suka untuk saya kaitkan coretan ini dengan 'spesis pendatang' yang bukan dari kategori alam sekitar di Malaysia. Kita sedar yang kehadiran pendatang membawa pelbagai wabak penyakit baharu. Masalah sosial, jenayah dan sebagainya. Akan tetapi, kita masih menerima mereka dengan alasan pembangunan struktur dan kemajuan bandar. Walaupun prosesnya mengambil masa yang terlalu lama, diharapkan kita tidak akan ditindas.

17 Julai 2010

No comments:

Post a Comment