Tuesday, July 13, 2010

Cita-cita; Sinis antara Realiti dan Fantasi

29 September 2022. Hari ini adalah hari yang amat bermakna buat diriku. Hari ini aku memulakan lembaran hidup sebagai seorang pendidik di Sekolah Kebangsaan Batu 10 Hulu Langat, salah satu sekolah yang terletak di daerah Cheras, Selangor. Bertugas sebagai guru sains untuk murid-murid tahun satu.

Semenjak kerajaan mengurangkan jumlah peperiksaan awam pada 2011, persaingan akademik semakin sihat dan pelajar zaman kini tidak lagi berorientasikan peperiksaan semata-mata. Yang masih menjadi cabaran adalah bagaimana membentuk jatidiri pelajar-pelajar ini memandanagkan permintaan sains yang semakin meningkat sehingga kesedaran sejarah agak ketinggalan. Justeru itu, semua pendidik d Malaysia diingatkan untuk menerapkan semangat cintakan negara, rasa rendah diri, semangat cintakan ilmu dan tanggungjawab dalam apa jua subjek bermula dari tadika.

Hari pertama tidaklah sukar buatku. Berbekalkan pengalaman 2 tahun sebagai guru pelatih dan setahun mengajar kelas tambahan yang kubuat secara sambilan sangat membantu. Ditambah pula dengan pengalamanku sentiasa membantu mengendalikan kursus motivasi untuk sekolah-sekolah menengah lebih meningkatkan keyakinanku.

Untuk hari pertama, aku tidak mengharapkan yang luar biasa dari anak-anak muridku. Bahkan akulah yang sewajarnya memberikan yang luar biasa buat mereka. Impresi pertama amat penting untuk menawan hati mereka, dan terus menarik minat mereka dengan pengajaranku pada masa akan datang. Apa yang patut aku lakukan selain sesi taaruf antara kami? Apa yang lebih menarik untuk aku ketengahkan? Sebagai penaik semangat, aku yakinkan diri untuk bertanyakan mereka apakah cita-cita mereka. Akan cuba kukupas mengikut keperluan subjek yang bakal aku ajarkan nanti. Buat masa ini, itulah idea terbaikku.

Kehadiranku masuk ke kelas disambut dengan keriuhan murid-murid tahun satu. Almaklumlah, pelajar sekolah rendah memang sebegitu. Hatiku gembira melihatkan mereka semuanya tersenyum dan tidak menunjukkan wajah terlalu pelik mahupun gerun. Sudah menjadi lumrah, kebiasaannya kanak-kanak di usia seperti mereka akan melihat aku dengan sedikit gerun disebabkan riak wajahku yang agak serius.

"Ini sudah bagus. Jarang budak-budak sambut kehadiran pertama aku seceria ini." Getus hatiku.

Berdiri di hadapan di hadapan kira-kira 25 orang murid, aku merasakan cukup bersemangat. Lafaz Assalamualaikum dan sedikit doa ringkas yang sengaja aku bacakan dengan kuat dijadikan pendahulu. Di dalam doaku, jelas aku bacakan agar mereka semua cemerlang apabila menamatkan pengajian bersamaku dan juga semoga mereka dapat memanfaatkan segala ilmu yang bakal kami kongsi bersama nanti. Murid-murid semuanya mengamikan tanpa perlu disuruh, seolah-olah memahami apa kehendak hatiku.

Selesai membaca doa, aku terus memulakan bicara.

"Murid-murid, bermula hari ini cikgu akan mengajar kamu semua untuk subjek Sains. Cikgu menggantikan Cikgu Haida yang baru sahaj bersara dua minggu lepas. Jadi cikgu nak memperkenalkan diri terlebih dahulu. Nama Cikgu Dzul Khairul bin Zain. Cikgu berasal dari Kuala Lumpur, berumur 25 tahun. Sekarang Cikgu menetap di Taman Setiawangsa, bersebelahan dengan kawasan tanah perkuburan Batu 10."

Belum sempat aku meneruskan pengenalan diri, seorang murid menyampuk. "Cikgu dah berumahtangga?"

"Belum." Jawabku ringkas.

"Bolehlah saya kenalkan Cikgu dengan kakak saya"

"Lepas kelas ni ambil nombor telefon Cikgu, bagi pada kakak kamu ya." Selorohku dan seluruh isi kelas hingar bingar dengan gelak ketawa. Ya, ada suasana di sini. Alhamdulillah antara aku dan murid-murid ini tidak kekok.

Pertanyaan tadi menamatkan pengenalan diriku. Aku teruskan dengan babak kedua untuk hari pertamaku di sekolah.

"Baik, sekarang Cikgu nak kenal setiap anak murid Cikgu pula. Setiap orang sila kenalkan diri, sebutkan sedikit latar belakang, dan juga cita-cita kamu semua."

"Kenapa Cikgu nak tau cita-cita kamu? Haaaa, sebabnya akan Cikgu jelaskan di penghujung sesi kita nanti."

"Cita-cita Cikgu memang nak jadi Cikgu ke?" seorang pelajar bertanya.

"Erm, sebenarnya Cikgu nak jadi Pilot. Kamu tahu Pilot?"

"Alaaa, juruterbang. Kami tahu Cikgu." jawab murid tadi.

"Bagus." Responku ringkas. Terasa aku macam memperkecilkan pengetahuan mereka pula. Hmm, kena elakkan lakukan kesilapan yang sama ni.

"Tapi kenapa Cikgu tak bawa kapalterbang sekarang?"

"Itulah sebabnya. Dulu masa Cikgu di Universiti, Cikgu belajar tentang perhutanan sebelum Cikgu ambil kursus Pengajian Pendidikan. Sebab tu lah Cikgu tukar cita-cita Cikgu" jawabku seloroh denagn mimik muka yang kubuat-buat. Itu bukanlah cita-citaku yang sebenar. Sengaja aku wujudkan suasana supaya komunikasi lebih banyak. Hasilnya positif. Murid-murid ketawa dan melihatkan minat mereka.

"Boleh saya mulakan Cikgu?" Sahut pelajar yang duduk di barisan paling hadapan. Terkejut aku seketika. Cepat benar respon mereka. Bersemangat dan berkobar-kobar.

"Silakan."

"Nama saya Muhammad Afiq bin Abdul Arif. Saya anak sulung dari 3 adik beradik. Ayah saya merupakan seorang jurutera, oleh sebab itu saya juga bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera. Ayah saya selalu bercerita kepada saya, kerja jurutera ni gajinya besar. Senang pada masa akan datang." Ringkas jawapannya, sesuai dengan soalanku. Yang mengejutkan lagi, hal gaji dah ditekankan kepada kanak-kanak berusia 7 tahun. Hmmmm... mungkin ini antara cabaran yang bakal aku hadapi bersama generasi ini.

"Baiklah, terima kasih. Seterusnya.." Aku tidak ingin memberikan apa-apa respon. Biarlah di penghujungnya baru aku kupaskan.

"Nama saya Nur Aliah Qaisara bte Muhammad Arif. Saya anak kedua. Saya ada seorang abang dan seorang adik lelaki. Latar belakang keluarga saya... emmm.. ayah saya seorang pensyarah di Universiti tempatan. Ibu saya seorang suri rumah. Abang saya juga belajar di sekolah ini. Sekarang darjah tiga. adik saya masih lagi tadika."

Aliah tediam seketika. "Teruskan. Apa cita-cita Aliah?"

"Aliah nak jadi seorang menteri. Aliah nak berbakti kepada masyarakat dengan bantu kebajikan semua dan bantu negara untuk terus maju. Aliah nak jadi menteri yang uruskan semua hal-hal perdagangan negara dengan negara lain."

Kali ini, aku agak tergamam. Inikah cita-cita anak generasi kini? Kalau dulu di zamanku, posmen, kerani, guru memenuhi tiap bibit impian kanak-kanak. Kami masih belum terdedah dengan pelbagai kerjaya. Apakah ini kesan teknologi dan globalisasi? Impaknya di luar jangkaan.

"Ala engkau tu. Tak habis-habis dengan meteri. Nanti makan rasuah." Terdengar suara dari belakang. Sejurus, gelak ketawa memenuhi ruang bilik darjah.

"Mana ada. Aliah tak ambil rasuahlah. Aliah nak jadi menteri yang baik. Aliah nak tolong orang, bukan nak susahkan orang." Bidas Aliah tegas menjawab tuduhan senda gurau rakannya di belakang. Kelas kecoh semula.

"Sabar, tenang. Tak baik kita katakan sesuatu yang buruk tentang impian dan cita-cita kawan kita." Aku cuba menenagkan suasana yang agak kecoh itu. "Bagus Aliah, cita-cita kamu. Baik, boleh kita teruskan. Sebelah Aliah, silakan."

"Assalamualaikum cikgu."

"Waalaikummusssalam w.b.t." jawabku. Wah, dengan salam.

"Cikgu, cita-cita saya ada banyak. Boleh saya sebutkan semuanya?" tanya pelajar tadi.

"Boleh, tapi kamu kena kenalkan dulu diri kamu."

"Terima kasih Cikgu. Nama saya Muhammad Aiman bin Ariffin. Saya anak bongsu dari tiga adik beradik Cikgu. Ayah saya bekerja sebagai petani moden. Dia usahakan ladang pisang. Ibu saya pula usahawan butik di Bangi. Kami sekeluarga tinggal di Taman Sri Jeluk. Tiaphari, ayah saya akan hantar saya ke sekolah. Saya ada seorang abang dan seorang kakak Cikgu."

"Wah, bolehlah Cikgu beli pisang dengan ayah kamu ya. Tak pun CIkgu tempah baju raya untuk ibu Cikgu dengan mak kamu. Bolehlah dapat diskaun." Aku mencelah dan cuba bergurau. Kedengaran ketawa seketika. "Baik. Apa pula cita-cita kamu?" Aku meneruskan persoalan dan suasana kembali sunyi, menantikan jawapan dari Aiman.

"Antara cita-ciat saya, saya nak jadi seorang Hafiz Cikgu. Lepas tu saya nak mengajar di masjid-masjid seluruh Malaysia tentang tafsir alQuran. Cita-cita yang lain, saya nak hantar ibubapa saya pergi menunaikan ibadat di tanah suci Mekah dengan hasil titik peluh saya. Lagi, saya harap saya dapat mandikan jenazah ibubapa saya, saya dapat uruskan jenazah mereka waktu mereka meninggal nanti."

Aku terdiam.

Aiman meneruskan bicaranya, "Lepas tu saya bercita-cita nak buka kedai yang jual semua buku-buku agama untuk rujukan masyarakat. Bila dah kaya, saya nak buka perpustakaan awam pula Cikgu. Jadi orang yang nak menuntut ilmu bole datang ke perpustakaan saya."

Aku masih terdiam.

"Aiman, tak baiklah kau cakap pasal makayah kau mati." Seorang murdi yang duduk dibelakang Aiman mengisi kekosongan itu.

"Ala, itu cita-cita aku. Bukannya aku doakan ibubapa aku mati pun."

"Yelah, tapi kalau kau yang mati dulu macam mana? Kesian mak ayah kau." rakannya yang lain mencelah lagi. Aku masih terdiam. Aku lebih berminat melihat respon antara mereka.

"Tak apa. Ini cita-cita aku. Moga Allah tunaikan." Jawab Aiman ringkas dan penuh makna. Dia terus duduk selesai menjawab persoalan rakannya itu.

Sepertimana sebelumnya, aku tidak memberikan apa jua respon. Aku meneruskan sesi taaruf hinggalah selesai. Sebagai kesimpulannya, aku tegaskan yang setiap murid perlu berusaha bersungguh-sungguh unutk merealisasikan cita-cita mereka. Hakikatnya, itu bukanlah rumusan yang aku ingin berikan. Dek kerana masih terkesima dengan jawapan murid-muirdku, aku seperti mati kutu. Rasanya aku belajar lebih banayk berbanding mereka hari ini.

Hari pertama aku melaksanakan amanah sebagai pendidik, aku lihatkan bagaimana generasi ini dibentuk. Semangat mengejar kejayaan. Ada yang didasarkan dengan keuntungan masa depan berbentuk wang ringgit, ada yang berasaskan rasa tanggungjawab untuk semua dan ada yang didokong nilai dan ganjaran dunia sana.

"Benarkah ini generasi kini?"

Apa yang nyata, aku belajar lebih banyak dari mereka.

No comments:

Post a Comment