Tuesday, July 27, 2010

Ecological Footprint dan Kesederhanaan

Bismillahirrohmanirrohim...

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan pada pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang berlayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia;…… “ (ila akhirul ayat). Al-Baqarah:164.

Saya pergi ke Coles (salah sebuah pasaraya di negara Australia) hari ini dengan tujuan untuk membeli beberapa keperluan peribadi. Pada masa yang sama, saya turut menjengah ke ruangan sayur-sayuran untuk membeli sayur dan sepeket kurma. Bukan untuk persediaan Ramadhan tetapi hanya sebagai kudapan ketika terasa nak mengunyah. Asyik menjamu biskut sebagai pencuci mulut, bosan jugak. Lagipun biasalah, hidup membujang dan menyewa bersama kawan-kawan lain rutinnya kekadang bergilir-gilir membeli keperluan rumah. Kali ini, kebetulan tiba giliran saya mendapatkan bahan masakan segar. Selepas ini, mahu ke Afghan (kedai menjual daging sembelihan halal) pula.

Saya terus pulang ke rumah selepas selesai membeli barangan keperluan. Sebelum mengemas semua barang ke dalam rak, saya memerhatikan antara barangan yang telah saya beli.

1) Sepeket serbuk kopi.
2) Sepeket tomato dan lobak merah.
3) 1 kg bawang besar.
4) 3 kg paha ayam.

Saya berfikir sejenak, bagaimana manusia menilai kesemua barangan ini? Apakah medium yang digunakan untuk meletakkan harga bagi setiap unit produk? Saya bukan seorang pakar ekonomi, dan tidak juga seorang yang mahir tentang hal ehwal kepenggunaan, perihal ekonomi kapitalis ataupun sosialis mahupun dalam soal menentukan harga. Cuma saya tertarik dengan satu konsep – ‘Ecological Footprint’.

Sebelum kita pergi lebih jauh, apa kata kita cuba untuk membuat sedikit penilaian. Berapakah jumlah sumber yang digunakan untuk menghasilkan sesebuah produk? Sebagai contoh, berapa jumlah air yang diperlukan untuk membesarkan sebiji lobak, tomato dan bawang dan juga ayam untuk mendapatkan dagingnya? Berikut antara rumusannya.

Di Australia, purata sebanyak 2373 m³/tan air diperlukan sepanjang peringkat membesarkan ayam daging di ladang (http://www.waterfootprint.org/Reports/Report12.pdf) dan kira-kira 6800 liter air diperlukan untuk menghasilkan sumber makanan bagi 4 orang untuk hidangan dalam sehari (http://www.greenlivingtips.com/).*Suka untuk saya memberikan contoh penggunaan air memandangkan ia adalah sumber yang sangat prior dalam kehidupan seharian manusia.



Penggunaan air sebanyak ini pastinya mendatangkan impak negatif yang amat besar terhadap alam sekitar. Tambahan pula dengan permintaan terhadap makanan yang sedang meningkat. Statistik yang saya lihat memang mengejutkan akan tetapi hakikat ini tidak boleh dielakkan, kerana sememangnya Allah mencipta setiap benda di atas muka bumi ini untuk dimanfaatkan oleh manusia sepertimana firman Allah di dalam Al Quran yang bermaksud:

“Kemudian setelah selesai sembahyang maka bertaburanlah kamu dimuka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing); dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu beroleh kesenangan(di dunia dan akhirat)”. Al-Jumuah:10.

Akan tetapi, bagi memenuhi keperluan Homo sapien, sejauh mana kita bertimbang rasa atas semua sumber yang lain?

Persoalan ini dipanjangkan ke definasi ‘Ecological Footprint’. Ia boleh ditakrifkan sebagai satu ukuran atas kehendak manusia ke atas ekosistem bumi. Jumlah produktiviti biologi di darat dan laut diperlukan untuk menghasilkan semua sumber kepenggunaan populasi manusia secara global. Nilai kepenggunaan manusia pula diukur melalui cara hidup mereka, dalam konteks pemakanan, pengangkutan, pemakaian dan beberapa lagi yang berkaitan dengan penggunaan sumber.

Melalui konsep ini, dikatakan tidak mustahil untuk mengetahui anggaran berapakah ‘jumlah bumi yang diperlukan untuk memenuhi gaya hidup manusia’. Ia mampu mengukur ‘had daya tampung bumi’ untuk kegunaan manusia. Jika dikaitkan dengan contoh yang saya berikan, boleh kita teliti yang penghasilan makanan untuk rata-rata penghuni di bandar menyebabkan degradasi alam sekitar seperti kemerosotan jumlah air secara luar biasa, kawasan hutan terpaksa diratakan untuk menyediakan ruang meragut dan pelbagai lagi impak alam sekitar.

Sangat rumit jika dibahaskan secara keterlaluan. Saya sendiri baru sahaja diperkenalkan dengan konsep ini tidak lama dulu, justeru masih mempunyai kefahaman yang terbatas.

Apapun saya amat yakin, gaya hidup kita kini amat mempengaruhi apa yang diistilahkan sebagai ‘Ecological Footprint’. Penggunaan sumber dalam semua perkara dilihat sangat luar biasa. Rakyat Malaysia mampu memiliki buah-buahan yang hanya membesar di negara Kiwi, makan daging yang diternak di India, dan membeli baju yang dihasilkan di United Kingdom. Boleh diumpamakan yang kita tidak mampu hidup tanpa bantuan negara lain. Kita tidak mampu makan sepertimana sekarang sekiranya negara menghentikan ‘import’ kesemua barangan mentah yang berkaitan. Akan tetapi sedarkah kita berapa banyak impak negatif yang telah kita hasilkan untuk memperolehi sepinggan nasi atau sehelai baju?

Adakah manipulasi sumber lain yang menjadi penentu harga sesebuah produk? Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya bukan ahli ekonomi. Justeru jawapannya bukan pada saya. Saya ketengahkan persoalan penentuan harga ini untuk dikaitkan dengan satu lagi persoalan. Adakah harga yang kita bayar untuk membeli sesuatu produk itu berbaloi dengan pencemaran dan juga manipulasi sumber lain yang terlibat dengannya? Adakah harga RM2.70 untuk sebuku roti itu mampu untuk menggantikan jumlah air, tepung, telur, mentega, yis yang digunakan untuk menghasilkannya?

Acapkali kita berfikir, pulangan ekonomi itu untuk manusia. Akan tetapi, dimanakah pulangan ekonomi untuk keperluan alam sekitar? Sebagai individu, apa yang boleh kita buat untuk membantu alam sekitar bagi kesinambungan masa depan?



Assadourian (Worldwatch Institute) mencadangkan agar diamalkan penggunaan kitar semula, ‘biodegradable packaging’ dan tenaga yang boleh dikitar semula sebagai alternatif mengurangkan impak (http://news.nationalgeographic.com/news/2006/10/061013-footprint_2.html). Mengubah gaya hidup juga dilihat sebagai satu jalan yang sangat baik. Dari bermewah kita beralih arah supaya bersederhana.

Baginda Muhammad Sallallahualaihiwassalam bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik pekerjaan itu ialah yang pertengahan” (harap maaf kerana gagal menyediakan perawinya).

Masih dalam hal pemakanan, mengikut konteks agama Islam iaitu bersederhana. Sederhana bukan sahaja dituntut di dalam ibadat bahkan juga dalam semua cara kehidupan kita. ‘Islam is the way of life’. Islam menganjurkan agar menjaga pemakan kerana pada pemakanan itulah menentukan perkara-perkara lain. Kesihatan kita, kekuatan kita, bahkan juga ibadat kita. Berdasarkan idea yang faqir, saya rasakan menjaga pemakanan menurut Islam boleh dikategorikan kepada dua:

1) Menyediakan makanan dari sumber rezeki yang halal dan bersih.
2) Menyediakan makanan secara bersih.

Perkara kedua ini yang saya teliti mampu sedikit sebanyak membantu kita mengubah gaya hidup kita seraya membantu mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar (sebagai individu). Bagaimana? Mungkin ini antara tipsnya:

1) Sediakan juadah makan tidak membazir, hanya 2,3 juadah untuk satu hidangan.
Menyediakan juadah pada kadar yang sederhana membataskan kita membeli pelbagai barangan. Mengurangkan pembelian bermakna mengurangkan ‘Ecological Footprint’.

2) Masak masakan secara sihat, kurangkan minyak @ gula dan seimbangkan hidangan daging, ikan, sayur dan buah-buahan.
Keseimbangan hidangan amat perlu. Katakan Ahmad seorang pengamal makanan yang tidak seimbang dan cenderung mengambil gula secara berlebihan. Maka Ahmad sedang meningkatkan penggunaan produk gula dan tebu. Apabila tiba masa tertentu, Ahmad disahkan menghidap kencing manis dan terpaksa bertukar rutin pemakanannya, mungkin dengan mengambil oat. Pada masa ini, Ahmad sedang meningkatkan penggunaan produk bijirin oat. Secara tidak langsungnya, Ahmad sedang menambah ‘Ecological Footprint’ dalam kedua-dua situasi.

3) Berhenti makan sebelum kenyang, sepertimana sunnah Baginda Muhammad sallallahualaihiwassalam.
Bermakna kita akan sentiasa meletakkan diri kita pada aras bersederhana, tidak berlebihan dalam pemakanan. Saya rasa ia boleh juga ditafsir sebagai mengawal pembelian produk makanan.





Selain pengguna dan individu, saya yakin terdapat banyak lagi kaedah yang boleh diketengahkan. Apatah lagi sekiranya ada di kalangan kita yang mencari nafkah sebagai pengeluar produk ini. Pasti ada lebih banyak jalan untuk mengurangkan ‘Ecological Footprint’ dan impak negatif terhadap alam sekitar. Yang pastinya, mengubah gaya hidup adalah asas perubahan supaya lebih bersederhana.

Sesudah itu, terus saya mengemas kesemua barangan tadi ke dalam peti ais.

Wallahua’lam...

No comments:

Post a Comment