Thursday, December 29, 2011

KPI Atas Rakyat

Dalam akhbar Mega keluaran Utusan hari ni ada mengulas bagaimana ketatnya KPI baharu yang ditetapkan oleh kementerian berkaitan kepada agensi bertanggungjawab menguruskan sisa pejal - Alam Flora.

Lori, tong sampah baru wajib disediakan oleh Alam Flora dalam tempoh grace period ini bagi memastikan langkah penambahbaikan seterusnya dapat dilaksana dengan realistik. Sekiranya Alam Flora di bawah pemantauan PBT gagal memenuhi kriteria KPI yang ditetapkan, mereka berdepan risiko pembatalan sebahagian mahupun keseluruhan kontrak.

Baguslah. Ini nafas baru ke arah pengurusan sisa pejal di tanah air kita.

Itu di sebelah pihak berautoriti.

Bagaimana pengguna pula?

Berapa ramai dikalangan isi rumah yang benar-benar mengasingkan sampah? Berapa ramai juga, dikalangan isi rumah yang mengikat sapah dengan baik dan benar-benar bertutup dengan plastik biodegradasi? Belum ambil kira lagi, berapa ramai di kalangan isi rumah yang membersihkan sisa kitar semula dari kotoran makanan sebelum dibuang? Nak disebutkan asa yang lebih dalam lagi, berapa ramai di kalangan kita - pengguna yang membuang sampah di tempat sepatutnya?

Jika disediakan statistik untuk menjawab persoalan di atas, pastinya sangat sedikit yang mengikut garis panduan mengasingkan sampah dan sebagainya. Sehebat mana transformasi yang dibuat kerajaan, sekiranya semua daripada kita tidak berganding bahu menyelesaikan masalah ini bersama, hasilnya tidak akan kemana-mana. AKhirnya skrip yang akan keluar dari mulut pengguna "Aku bayar cukai, diorang lah kena selesaikan". Adegan sama berualng lagi dan akta apa pula yang akan dibuat.

Akhirnya, kita sendiri yang kena berubah, bukannya kerajaan, atau PBT, atau Alam Flora.

Entah Siapa dan Yang Mana Yang Betul

Rusuhan oleh pembeli memecah masuk pejabat pemaju untuk mendapatkan kunci rumah. Tindakan ini betul atau salah?

Budaya apa sebenarnya ini? Ada istilah khususkah untuk mengklasifikasikan perilaku ini? Mungkin ada tapi ada yang tidak benar-benar tahu.

Kalau kita katakan pembeli kurang ajar dan tidak bermoral, pemaju pun sama juga. Bezanya tindakan tidak bermoral pemaju dibuat secara halus. Tindakan tidak bermoral pembeli dibuat secara terang-terangan.

Jadi siapa betul, siapa salah?

Yang pastinya tindakan ini diperhatikan anak-anak kita, dan mereka akan mengikut jalan yang sama nanti.

Sampai masa kita terpaksa mungkir janji dengan anak-anak atas alasan kerja dan sebagainya, kalau anak melawan kita, macam mana?

Worst case scenario, anak-anak yang mungkir janji dengan kita. Kita akan melawan semula?

Dalam contoh awal tadi, pembeli mungkin berbangga dengan apa yang dibuat. Tapi kita lupa yang kita bertanggungjawab atas setiap yang kita lakukan.

Wednesday, December 7, 2011

Apa Isu Sebenarnya Dalam Berita?

Dalam akhbar online alternatif ada sebut satu kerajaan negeri mengupah agensi pakar dari luar negara untuk merawat masalah kekeruhan luar biasa air di 4 loji rawatan utama.

Sibuklah pembaca bagi komen macam-macam, kutuk parti itu, sokong parti ini. Almaklumlah dah makin dekat dengan pilihanraya.

Tapi tak siapa pun sedar masalah dan maksud sebenar di sebalik berita tu.

Daripada berita tu, dikatakan sumber air kepada penghuni akan mengalami gangguan buat beberapa hari kerana kekeruhan melampau, dari 2+++ liter sehari cuma dapat bekalkan lebih kurang 1000 liter je sehari. Pada saya, isu disebaliknya ialah, sebagai pengguna, kita diminta bersedia dan berjimat cermat menggunakan air dalam tempoh masa yang ditetapkan. Jangan pulak dah tahu akan ada masalah air, masih jumlah penggunaan sama tak berubah.

Kalau tengok semula pasal sumber sangat berharga ni, masalah di loji rawatan ialah kekeruhan melampau. Jadi apakah puncanya, yang di dalam kawalan kita sebagai pengguna? Adakah sebab kita banyak buangkan sampah masa berkelah, banyak basuh kereta tepi jalan di sungai-sungai, macam-macam lagi? Kita nilai betul-betul, muhasabah dan cuba berubah.

Semoga kita tak membaca sesuatu berita cuma memerhati isu politik. Elok jugak kalau kita kritikalkan pemikiran kita dengan mencari penyelesaian yang mampu kita laksanakan. Pemerintah, biar dia buat kerja dia. Kita rakyat marhaen, buat kerja kita, jaga kebersihan dan sampai masa mengundi. Komen lebih tapi buang puntung rokok merata-rata, guna air membazir, tak berhemah pula rasanya.

Wallahua'lam...

Tuesday, November 8, 2011

Lagi Perihal 7 Billion

Maish berkisar isu 7 billion, berdasarkan artikel saya sebelum ini.

Kali ini saya ingin berkongsi lebih lagi, dengan artikel lain. Maaf copy paste dan bukan my own writing. Tapi saya setuju dengan apa yang dibentangkan.

"7 billion manusia bukan sekadar angka"

Antara isunya - cuba kira dari angka 1 hingga 7 billion.

Berapa cepat kadar kelahiran untuk mencapai jumlah 7 billion?

7 billion saat dahulu, bumi berada di tahun berapa?

Moga kita sedar dan bertindak, apa langkah yang sepatutnya diambil.

Thursday, November 3, 2011

7 Bilion dan Impaknya

Kelahiran individu ketujuh bilion dunia memberi makna signifikan untuk pelbagai pihak.

Bagi si ibu dan bapa, sudah tentu kelahiran ini memberikan kegemberiaan dan rahmat tuhan, walau dari apa jua agama yang dianuti.

Dari satu belah pihak yang lain, saintis dan pemerhati akademik, kegembiraan kelahiran ini juga menyalakan lampu merah yang perlu difahami oleh semua pihak.

Dengan jumlah populasi dunia yang semakin meningkat, permintaan atas makanan, air bersih, kawasan teduhan dan ruang pembangunan juga semakin meningkat. keamanan dan kestabilan juga tidak dinafikan dikategorikan sebagai keperluan asas buat masa kini. Sayangnya dengan keadaan iklim yang tidak lagi mudah diramal dan dikaji, semua nikmat Allah yang dinikmati ratusan, ribuan tahun dahulu semakin tiada.

Ruang semakin menyempit. Sumber makanan semakin terhad dan isipadu air bersih semakin kurang. Dengan jumlah populasi semakin bertambah dan jumlah sumber semakin menyusut, apa tindakan kita untuk memastikan anak-anak kita merasa benda yang sama dengan apa yang kita rasa dahulu.

Adakah kita sudah mengubah cara hidup kita? Paling utama, cara berfikir kita.

Sayangnya, kita masih membuang puntung rokok merata-rata tempat. Kita masih membuka paip sambil menggosok gigi. Kita masih membeli makanan berlebihan walaupun tahu ia hanya akan dilontar ke dalam tong sampah. Kita masih membuka lampu hingga ke tengahari.

Banyak lagi gaya hidup mementingkan diri yang kita amalkan.

Kekadang ia dibahaskan secara kritikal. Kiat perlu menggunakan air yang banyak untuk keperluan industri. Kita perlukan ruang di dalam hutan untuk dijadikan tempat kumbahan sisa kimia. Kita perlu gunakan banyak arang dan diesel untuk menggerakkan jentera. Jadi tak salah menggunakan sumber itu. Hasil akhirnya untuk manusia.

Tak dipertikaikan, pembangunan juga penting. Yang gagal kita praktiskan pada masa kini ialah mengutamakan yang lebih penting dan juga mengamalkan gaya hidup sederhana. Bukan hanya sederhana berbelanja supaya duit masih berbaki hingga masuk gaji hujung bulan. Tetapi juga bersederhana untuk kepentingan generasi akan datang.

Berfikir dan bertindak di luar kotak.

Thursday, October 20, 2011

Jom Berhimpun 2???

Kalau dahulu perhimpunan BERSIH, sekarang HIMPUN. Seingat aku dulu-dulu ada jugak perhipunan AMAN.

Banyak sungguh perhimpunan sekarang. Perhimpunan yang dibuat sebagai platform mencari sokongan pihak majoriti tentang sesuatu isu yang hendak dimenangkan.

Bolehkah menyertai HIMPUN? Benarkah HIMPUN dibuat atas asas kesedaran agama? Atau hanya mainan politik yang semakin menjadi-jadi? Wallahua'lam, sebagai manusia biasa memang kita tak kan tahu.

Siapa nak pergi, pergilah. Pada yang tak berpeluang dan tak berkeyakinan untuk pergi, berdoalah. Cuma pada aku, elok lagi berhimpun di masjid-masjid dan surau-surau memenuhkan saf berjemaah. Bukan bermaksud aku merelakan usaha memurtadkan saudara seagama dengan aku. Cuma rasanya usaha memenuhkan saf masjid perlu lebih diberi penekanan. Kan dah selalu disebut-sebut, nak lihat baik buruk sesuatu masyarakat, lihat jemaah di surau atau masjidnya. Jadi, jika makin utuh dan bersemangat kita memenuhkan masjid menunaikan ibadat secara jemaah, insyaAllah aqidah kita akan dilindungi Allah.

Bukan sekadar pergi berhimpun dan juga terbitkan drama TV berunsurkan Islam. Agama itu bukan untuk didagangkan.

Bukan bermaksud berdiam diri, cuma kita perlu perbaiki diri. Betulkan aku kalau aku silap.

Wallahua'lam.

Tuesday, October 11, 2011

Laman Sosial

Facebook, blog, twitter dan macam-macam lagi satu medan untuk pengguna berkomunikasi dengan pelbagai orang, baik dalam jarak dekat mahupun jauh. Kalau 10 tahun lalu masih terlalu mahal untuk setiap dari kita memiliki telefon bimbit, sekarang ini kekadang ada yang punya 2 telefon bimbit. Bukan sekadar untuk berkomunikasi, telefon bimbit pun digunakan untuk melayari internet. Maka lebih mudahlah untuk pengguna facebook dan laman sosial seadanya menggunakan platform tersebut.

Platform ini juga digunakan untuk sesetengah orang mengetengahkan pandangan, persepsi, ideologi, mencari kawan dan sebagainya. Ini termasuklah untuk tujuan yang tidak baik seperti memburukkan orang lain, mencari pengaruh dan menyebarkan berita palsu.

Kajian Institut Sosial Negara menunjukkan anak muda Malaysia kini menghabiskan hampir 4 jam sehari menghadap komputer melayari laman sosial seperti ini. Tabiat ini dilihat mampu merosakkan pemikiran dan sahsiah anak muda. Kalau tak ditegah, bahayanya akan menular dan menjadi semakin parah.

Tak perlu kita bahaskan bagaimana nak mengurangkan masalah ini. Dah terlalu ramai pakar yang membincangkannya. Biar kita bincangkan dari sudut penggunaannya sahaja.

Ada yang menggunakan laman sosial untuk melepaskan kemarahan. Silap kawan sedikit, post di facebook atas kekurangannya. Dah menjadi ruang berhujah siapa betul, siapa salah. Kalau di blog pula, semua menjadi hakim. Katakan kalau yang pemilik blog itu pemimpin kerajaan, pengulas dari pembangkang terus-terusan menyelar hasil tulisannya tanpa memberi ruang kepada pengulas lain untuk lebih berfikir secara waras dan matang. Kalau idea yang diberikan menarik pun, pengulas cenderung untuk berat sebelah.

Setiap orang akan ada pendirian tersendiri. Pemahaman dan penerimaan atas idea orang lain ini yang sangat kritikal kerana keperluan dan kehendak setiap orang itu berbeza-beza. Kita tak boleh menerima secara membuta tuli, tapi tak boleh juga kita menolak mentah-mentah. Kalau kita tak bersetuju, eloklah dibahaskan secara baik. Kalau pandangan kita masih tak diterima, eloklah kita tinggalkan perbincangan itu dan buka minda untuk perbincangan lain. Kalau terus berhujah, apa yang dirisaukan jadi perbahasan atas kepentingan diri pula. Budaya berbincang secara terbuka dan berhemah, menghormati orang lain perlu disemat dalam diri setiap orang.

Perkara kedua yang perlu diambil perhatian adalah kesahihan maklumat. Sesetangah orang boleh berhujah secara berhemah dari sudut komunikasi, akan tetapi tidak pula berhemah dari segi fakta. Ada yang mengutarakan pelbagai fakta-fakta dengan nombor untuk menunjukkan perbandingan dalam hujah. Akan tetapi sejauh mana fakta itu sahih dan benar? Dari manakah sumbernya? Adakah sumbernya boleh dipercayai? Adakah kita mengambil fakta begitu sahaja, tanpa membuat perbandingan dengan dua-tiga lagi sumber?

Isu ini perlu mendapat perhatian setiap individu, kerana penggunaan lama sosial semakin meluas. Ia dah menjadi seperti produk asas. Maklumat dan medan perbincangan itu terlalu banyak, hinggakan tak tahu saluran yang mana lebih kukuh. Kalau dibiarkan, akhirnya setiap orang akan menjadi hakim. Setiap orang akan membina teori sendiri. Setiap orang akan merasakan dia sahaja yang betul.

Akhirnya, ia berbalik kepada pendidikan dan perlu diingat yang tak ada kebebasan dan keterbukaan yang mutlak.

Monday, October 3, 2011

Yang Menyesatkan

Orang kita suka benar berhibur. Kalau ke mana-mana pun, bila-bila masa pun, hampir setiap masa adalah hiburan.

Kita cenderung untuk gelak ketawa, mencari yang seronok daripada mencari intipati sesuatu isu.

Sebab itulah kita semakin leka.

Sedihnya bila melihat iklan di kaca TV yang menunjukkan pemimpin utama negara turut serta dalam konsert terbesar Malaysia tahun ini, dan dalam hiruk pikuk orang berjoget tak sedar diri, pemimpin negara jelas menamakan identiti "Inilah generasi baru Malaysia".

Maknanya generasi baru ini generasi yang suka berhibur, yang suka menari, yang sukakan suasana sepertimana di dalam konsert tersebut.

Dalam sambutan apa pun, mesti ada slot hiburan - tarian, nyanyian, etc.

Yang lebih pedi, dalam setiap hiburan, mesti ada diselit fahaman-fahaman yang kononnya betul sedangkan salah.

Tajuk drama pun dah ada Tahajjud Cinta. Dah jadi penyakit baru, agama digunakan sebagai medium penarik pelanggan dalam dunia hiburan. Intipati cerita dalam wayang pun, banyak yang dibuat sambil lewa tanpa mengambil kira kesan kepada anak-anak kecil.

Dalam pendidikan pun, kita terlalu cenderung untuk mengejar keseronokan dalam sesi pembelajaran. Kalau tak seronok, kita takut anak murid tak boleh tumpu perhatian. Tak salah untuk ketengahkan modus operandi yang semacam itu. Tapi kebanyakan guru jarang membuat kesimpulan dalam apa-apa perbincangan.

Kalau tak ditegah dari sekarang, kita akan sesat dengan hiburan.

Monday, September 26, 2011

Audit Sesi Menipu Diri Sendiri?

Pada suatu hari, seorang pengurus sibuk menyelesaikan segala urusan dokumentasi berkaitan pentadbirannya. Kesibukannya hari itu luar biasa memandangkan hari itu, hari istimewa. Pejabatnya akan dikunjungi auditor yang juga autoriti yang akan menganugerahkan sijil ISO.

Sebagai satu entiti kecil, 'kejayaan' jabatannya dipilih untuk diaudit merupakan satu kebanggan besar, tapi juga satu bencana yang luar biasa baik.

Manakan tidak. Kalau gagal di peringkatnya, banyaklah masalah yang akan timbul, dan akhirnya menyulitkan lagi keadaan organisasi secara keseluruhan untuk dianugerahkan ISO.

Terdorong dek rasa tanggungjawab yang tinggi, pengurus ini bermati-matianlah mengarahkan semua staf bawahannya bersedia 200%. Kemaskini dokumen, penambahbaikan pelaksanaan, semakan fail-fail dan macam-macam lagi. Semuanya dibuat berbulan-bulan sebelum hari audit tiba.

Akhirnya pada hari itu, sebelum auditor tiba ke jabatannya, Pengurus masih lagi bertungkus lumus. Buat kali yang terakhir, Pengurus mengarahakn bermacam-macam lagi gerak kerja kepada staf bawahannya untuk disiapkan.

Malang tak berbau. Oleh sebab tekanan kerja yang terlalu banyak, salah seorang staf bawahannya pitam. Dia muntah dan terjatuh, tak mampu bangun dengan sendirinya. Dia cuma kerani biasa, tidak mendapat latihan insentif seperti seorang bergelar pegawai. Mungkin kerana beban kerja dan daya tahan yang tidak sepadan, dia jatuh pada hari itu. Panik semua isi pejabat, termasuklah si Pengurus.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Pada masa itu jugaklah auditor sampai ke muka pintu. Bertambah merah padam muka si Pengurus. Auditor yang melihat keadaan itu, terus bertanya kenapa semua ini terjadi.

Diceritakan secara jujur oleh Pengurus, auditor mendengar dengan baik. Staf yang pitam tadi dibawa ke klinik untuk rawatan dan diberi cuti rehat untuk 2 hari. Manakala sesi audit berjalan semula seperti biasa.

Cukup dari kisah ini. Ini kisah benar, tapi dengan sedikit olahan.

Salah si Penguruskah? Atau memang lemah si staf bawahan? Atau silap audit?

Bukan salah sesiapa. Mendapatkan pensijilan bertujuan untuk mendisiplinkan semua entiti dan jabatan di Malaysia supaya berdisiplin dalam menyiapkan kerja, cekap dan tidak buat sambil lewa.

Sayangnya disiplin itu masih belum dipupuk di dalam jiwa semua kita. Sebab itulah kita cuma bertungkus lumus hanya untuk audit, bukan untuk tugasan kita. Kita buat kerja supaya mendapat sijil. Bukannya untuk memberi khidmat seperti yang sepatutnya kita dibayar gaji.

Nampaknya macam sesi audit ini ialah sesi untuk kita menipu diri sendiri.

Thursday, September 22, 2011

Sedikit Perkongsian Berkenaan Sistem Ujrah PTPTN

Semalam saya berbual dengan salah seorang pegawai perundangan di PTPTN. Beliau menjelaskan isu persoalan saya tentang beberapa perkara yang dinyatakan dalam perjanjian sistem Ujrah. Untuk berkongsi, saya sediakan dalam bentuk penulisan ringkas dan point form.

1) Secara principle, katakan seorang pelajar yang telah mengambil pinjaman PTPTN selama 3 semester. Pada semester ke-4 sekiranya apa-apa berlaku kepada peminjam (seperti kemalangan yang menyebabkan kematian atau keilatan kekal) yang juga menyebabkan pelajar tidak dapat menyambung pengajian, jumlah pinjaman 3 semester pertama tidak perlu dibayar semula. Ia akan dibayar oleh pihak Takaful.

2) Katakan seorang peminjam yang telah bergraduat, dan membayar mengikut jadual tanpa tunggakan selama 3 tahun. Pada tahun keempat, peminjam meninggal dunia dan tempoh bayaran balik masih berbaki dengan jumlah tertentu. Jumlah baki pinjaman yang tinggal tidak perlu dibayar semula. Ia akan dibayar oleh pihak Takaful.

3) Katakan seorang peminjam yang telah bergraduat, dan membayar tidak mengikut jadual sepatutnya dengan tunggakan selama 3 tahun. Kekadang bayar, kekadang tidak. kalaupun bayar, tidak penuh mengikut jumlah yang ditetapkan. Pada tahun keempat, peminjam meninggal dunia dan tempoh bayaran balik masih berbaki dengan jumlah tertentu. Juga, masih ada jumlah tunggakan yang tidak berbayar secara penuh semasa hayatnya untuk 3 tahun pertama. Dalam kes ini, jumlah baki pinjaman yang tinggal (iaitu baki pinjaman tahun keempat dan seterusnya) tidak perlu dibayar semula. Ia akan dibayar oleh pihak Takaful. Akan tetapi, jumlah baki tunggakan (yang tidak dibayar secara sempurna oleh peminjam dalam tempoh 3 tahun pertama semasa hayatnya perlu lah dijelaskan oleh penjamin ataupun waris peminjam.

4) Katakan seorang peminjam yang telah bergraduat, dan berdasarkan pinjaman dia perlu menjelaskan jumlah hutang pinjaman dalam tempoh 10 tahun (berdasarkan jumlah pinjaman). Sekiranya dia mampu menjelaskan hutang pinjaman kurang dari tempoh yang diberi (katakan 5 tahun selesai menjelaskan semua hutang), peminjam berhak meminta semula lejar premium dari pihak PTPTN. Lejar premium merupakan satu jumlah yang disediakan sebagai jaminan risiko peminjam tidak membayar mengikut jadual atau tidak mengikut masa yang ditetapkan (sekiranya saya tidak salah).

5) Peminjam yang tamat cemerlang (CGPA first class) berhak untuk menuntut penukaran status pinjaman kepada biasiswa kepada PTPTN. Bermakna, pelajar dalam status ini tidak perlu membayar semula pinjaman PTPTN. Ini merupakan hadiah yang diberikan oleh kerajaan kepada pelajar yang bertungkus lumus dalam pengajiannya. Akan tetapi, permohonan perlu dibuat. Ia tidak akan diberi secara automatik.

Ini apa yang dapat saya kongsikan. Maafkan saya sekiranya masih menyediakan maklumat yang salah atas kekurangan saya sendiri.

Sedikit komen. Pada saya, PTPTN atas arahan kerajaan masih bertindak seperti sebuah bank dengan polisi bayaran balik yang diketengahkan. Apapun, segala usaha yang dibuat untuk membantu meringakan pelajar masih dilihat relevan dan baik.

Jadi saya sambut baik usaha yang dibuat.

Wednesday, September 14, 2011

Perkhidmatan

Dunia perkhidmatan memerlukan pengendali dan sistem berkesan untuk memastikan hasil kemajuan sesuatu urusan dapat dicapai dalam masa dan kualiti yang ditetapkan. Sayangnya tiada sistem yang sempurna, begitu juga tiada manusia yang lengkap serba serbi tanpa mampu membuat kesalahan.

Kombinasi human error and system lacking ini menjurus kepada satu kesimpulan - penganiyaan yang tidak disengajakan kepada customer.

Untuk itu, kepada mereka yang pernah menjadi mangsa perkara ini, diharap dapat bersabar. Mungkin petugas itu sudah tua dan tidak mampu bertugas secara agresif. Mungkin juga prosedur di dalam sistem kurang dijelaskan di dalam dokumen.

Ada kemungkinan juga, kita sendiri yang salah.

Aku Merungut

Semalam bermesyuarat dan bekerja hingga larut malam. Pulang ke rumah jam 1 pagi. Itu semua adalah kerja menyelesaikan masalah orang lain, bukannya masalah aku sendiri.

Pulangan materialnya? Gaji yang tak seberapa. Apa boleh buat. Nama pun makan gaji. Cuma sesekali terfikir nak cabut lari buat bisnes sendiri.

Kata rakan aku, kita memang bekerja kerana wang. Untuk survival hidup di medan yang perit ini. Yang selalu menyebabkan kita leka dan lalai dengan hal-hal ketuhanan.

Sebab itu ada kalangan staf yang berkelahi kerana Anugerah Cemerlang. Ada sesama staf yang memaki kerana penerbitan jurnal. Ada staf yang iri hati dan berdengki kerana agihan jadual kerja lebih masa yang tidak sama rata. Si pegawai menunjuk hebatnya. Si kerani keras dengan egonya. Kita berjuang semuanya atas sebab kerana wang, untuk survival hidup kita.

Akhirnya, masalah tak juga selesai. Yang lama berlalu, yang baru menjengah.

Monday, September 12, 2011

Sedihnya dengan Apa Yang Berlaku

Sedih aku bila semakin teruk orang berbalah tentang sejarah. Sampaikan ada yang sanggup mengubah sejarah, memperlekehkan Bapa Kemerdekaan, meminta maaf dengan British kerana kononnya tersilap memanggil mereka penjajah, macam-macam lagi.

Dengan mudahnya kita terus bersetuju yang sejarah puluhan tahun itu perlu diubah.

Dengan mudahnya kita menerima setiap apa yang ditulis di dalam blog.

Dengan mudahnya kita percaya setiap apa yang tidak kita setuju dengan parti pemerintah itu adalah salah yang total.

Aku bukan memihak mana-mana pihak. Tapi aku kasihankan rakyat yang rata-ratanya semakin teruk dijajah. Dulu kita dijajah minda kerana mengikut rentak budaya barat. Sekarang semakin parah kita dijajah bila dengan mudahnya kita hendak mengubah sesuatu tanpa kita serahkan pada orang yang sepatutnya untuk mengepalai jalan penyelesaiannya.

Kita terima kata seorang dari kata jemaah, kerana yang seorang itu bukan dari parti yang kita suka. Kita obses dengan ceramah di medan yang salah. kerana penyampai itu orang yang kita suka dan kita rai.

Akibatnya kasihan pada cendekiawan yang bertungkus-lumus mencari kebenaran, kerana kita lebih hebat dari para cendekiawan, hanya selepas kita membaca blog sdan mendengar ceramah. Siapa sebenarnya kita?

Akhirnya kita tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya, kita tiada yang adilnya.

Monday, September 5, 2011

Kawasan Hutan

Bulan Oktober ini akan diadakan sambutan Hari Perhutanan Sedunia. Bagaimana pemimpin-pemimpin di kementerian dan kerajaan negeri mengadakan sambutannya aku kurang pasti. Yang jelas, Fakulti Perhutanan UPM akan membuat sambutan itu selama seminggu dan pelbagai acara akan diadakan. Sambutan ini diadakan di peringkat universiti dan kebanyakan aktiviti akan berlangsung di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong. Hutan ini diserahkan kepada Fakulti Perhutanan untuk dikelola dan diurus secara mampan dalam satu perjanjian dengan Kerajaan Negeri Selangor selama 90 tahun bermula pada tahun 1996. Siapa sangka, di tengah-tengah hiruk-pikuk kesibukan metropolitan, adanya Green Lung yang boleh dikatakan luas dan tidak terusik oleh pembangunan.

Ok, tinggalkan tentang sejarah. Aku bukan nak berkongsi kisah sejarah. Serba sikit untuk pengenalan je.

Sambutan Hari Perhutanan Sedunia yang dianjurkan oleh Fakulti Perhutanan turut mengadakan bermacam-macam program. Contohnya pertandingan fotografi, Bird Race, Orienteering, Paintball dan pameran pendidikan. Pada akhirnya akan dianjurkan satu upacara penanaman pokok dengan kerjasama antara syarikat minyak terkemuka dunia, ExxonMobil.

Sebagai antara institut yang mengetengahkan bidang pengajian perhutanan di peringkat tinggi, Fakulti Perhutanan memang sentiasa aktif menganjurkan program-program kesedaran dan pengembangan secara tidak langsung seperti yang diadakan pada tahun ini. Pada umumnya, diharapkan menerusi program-program semacam ini akan membuka mata orang ramai yang bidang perhutanan bukan hanya berkisar pokok dan aktiviti penebangan balak sahaja. Orang awam harus berhenti 'melihat' perhutanan dengan imej renjer beruniform hijau tua, memegang chain saw dan juga kawasan yang seram lagi menakutkan. Tapi kita semua perlu sedar yang kawasan hutan merupakan punca pembekal kebanyakan sumber asli langsung dan tidak langsung yang kita gunakan dan yang kita manfaatkan selama ini. Air, madu lebah, rotan, pollinators, tanah, kayu balak, peluang rekreasi, ruang pembuangan sampah haram, terapi bunyi air terjun, kesejukan asli, primat, budaya orang asli, batu-batuan sungai, dan bermacam-macam lagi termasuklah penyakit dan penawarnya.

Aspek perhutanan di zaman penuh mencabar ini perlu dilihat secara meluas dan kritikal. Kalau dibiarkan sahaja jumud dan ketinggalan, aku yakin yang potensi untuk kawasan hijau di Malaysia ini terus dipelihara semakin tipis dek kerana kerakusan pembangunan. Untuk pastikan tindakan pengurusan, pemeliharaan dan pemuliharaan dibuat secara efektif, aku lihat integrated approach sangat-sangat berbaloi untuk diketengahkan. Macam mana? Senang saja. Pendekatan yang libatkan orang awam dan bukan hanya agensi-agensi tertentu.

Semasa aku berbual dengan graduan Kochi University, Jepun, kawasan hutan di sekitar daerah itu lebih 70% dan hampir 80% dari jumlah keluasan hutan yang ada di sana adalah milik dan hasil usaha orang persendirian, bukannya kerajaan. Dah menjadi industri di sana. Pengamatan mata aku sendiri pula di Adelaide, orang tak mampu memiliki kawasan hutan sendiri yang berluas ratusan ekar. Sebagai gantinya, mereka sediakan pula kawasan berhutan di kawasan bandar dengan adakan dominasi urban forest. Penghuni negara kangaroo ini suka menanam pokok dengan berbagai strata untuk memastikan green corridor di kawasan perumahan mereka tak terputus. Juga ada yang sediakan artificial nest untuk possum, birds, dan lizards. Sampaikan ada orang yang sanggup melabur ribuan dollar untuk sediakan laman dengan tanaman yang sihat dan subur. Ada laman hadapan dan belakang rumah seperti itu satu kebanggaan buat orang-orang di sana.

Tak perlu kita jadi seperti orang negara lain. Elok kita bentuk identiti dengan cara kita sendiri. Identiti kita menjaga hutan dengan kaedah dan jalan kita sendiri. yang penting aku nak tekankan di sini, orang-orang di negara maju menghargai kawasan-kawasan berhutan dan mereka melihat secara kritikal setiap isu kawasan hijau di tempat masing-masing. Menggunakan sumber kawasan hutan sebagai punca rezeki juga jalan yang baik. Jadi bagaimana kita?

Kita jangan bencikan pembangunan. Cuma bagaimana kita melestarikan pembangunan di sekitar kita, itu yang menjadi persoalan.

Friday, August 26, 2011

Apa Yang Berlaku Itu Kerana Diri Kita Sendiri

Bila kita ada masalah, biasanya kita cenderung melihat apa punca luar yang menyebabkan sesuatu berlaku. Jarang kita muhasabah, mengapa sesuatu berlaku atas alasan kesilapan diri sendiri.

Asasnya mudah. Setiap dari kita, hambaNya Yang Maha Esa akan dipertanggungjawabkan atas setiap apa yang kita pimpin - termasuklah diri sendiri.

Dan balasan Allah itu tak semestinya sama dengan buruk yang kita lakukan. Kekadang ia datang dalam zahir yang berbeza tapi dengan nilai dan maksud yang sama, supaya kita berfikir. Ini yang selalu kita lupa dan leka.

Kalau di jalanraya, kita berhenti untuk membantu memberi laluan kepada kereta dari haluan lain. Bila tiba giliran kita menunggu lama untuk masuk ke simpang, dan ada kereta lain yang memberi laluan pada kita, adakah itu kereta yang sama dengan kereta yang kita bantu tadi?

Kita banyak bersedeqah pada faqir dan miskin yang mengemis di tepi jalanan. Sebagai ganjaran zahir, adakah nanti akan ada orang memberi kita sedeqah di tepi jalan sebagaimana kita memberi pada orang? Tak mungkin? Mana tahu Allah sediakan ganjaran biasiswa untuk belajar kepada anak kita. Mana tahu juga ALlah balas dengan kenaikan pangkat untuk kita.

Melihat dari perspektif lain, isu jumlah gereja dan kuil yang semakin bertambah. Adakah kerana kita merobohkan masjid-masjid sedia ada dan Allah membalas kepada qaryah di sesebuah kawasan itu dengan menambahkan jumlah gereja dan kuil? Tak pula kita lihat masjid-masjid dirobohkan dan digantikan dengan gereja dan kuil ataupun tokong. Tapi Allah hendak hambaNya berfikir. Kerana kita punya masjid yang besar, kita ada masjid yang cantik, tapi tidak diimarahkan oleh masyarakat setempat. Setiap waktu solat cuma satu saf sahaja. Jemaahnya tidak ada. Oleh itu Allah balas dengan ketidakstabilan politik, masalah ekonomi, kebergantungan pada kemajuan negara luar, masalah sosial dan jenayah, isu murtad, dan macam-macam lagi. Kerana kita tidak meneliti apa yang dituntut oleh Allah dan RasulNya. Kita tidak muhasabah diri, mencari kekurangan diri yang menjadi punca sesuatu masalah berlaku. Kita cenderung melihat faktor luar yang kononnya mempengaruhi setiap masalah. Akhirnya gaya hidup Islam cuba hebat dicanang di bibir kita sahaja.

Wallahua'lam...

Thursday, August 25, 2011

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri

Semakin kita menghampiri penghujung Ramadhan, semakin kita dihangatkan dengan kemeriahan Aidilfitri.

Apapun perayaan ini tak akan bermakna jika apa yang kita latih dan bentukkan semasa Ramadhan terus luput bersama dengan takbir pagi Aidilfitri.

Biarlah apa yang telah kita bina, kita teruskan dengan istiqamah.

Aidilfitri bukan hanya medan bermaaf-maafan tapi juga ruang untuk terus menguji diri, sejauh mana kita memahami dan menghayati kehebatan tarbiyyah Ramadhan.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Wassalam...

Tuesday, August 23, 2011

Kena Tipu Penjual atau Kita Membeli Membuta-Tuli?

Ada tercatat pada laptop tu, saiz HardDisk 500GB. Bila balik, semak semula dalam properties cuma bersaiz 320GB.

Banyak kurangnya tu.

Itu kisah pembeli terkena dengan peniaga. Tak tahulah adakah peniaga tak sengaja atau sengaja. Menipu harga atau apa pun aku tak pasti.

Sebab itu aku pernah berjumpa ikan keli goreng sambal RM5 seekor, murtabak RM4 sekeping, air kelapa RM3.50 sebungkus kecil. Ini sebab kenaikan kos bahan mentah atau memang sengaja dinaikkan peniaga, tak tahulah. Yang pastinya kalau aku ke kawasan bukan bandar-bandar besar, rendah pula harganya berbanding di sekitar kawasan rumah aku.

Itu kisah liciknya orang berniaga. Jarang aku dengar kisah bijaknya orang yang membeli.

Bagaimana Pemahaman Kita?

Pemahaman manusia ini berbeza-beza. Keterbukaan kita terhad dan terbatas dengan penerimaan kita terhadap sesuatu keadaan, ilmu kita, dan tahap kita memahami sesuatu dengan lebih jauh.

Contoh paling mudah, ada orang melihat pokok itu satu dirian dengan daun. Ada pula orang melihat pokok dengan tempat untuk sarang burung dan tempat serangga belindung. Advance lagi, sebut pokok teringat oksigen dan jualan balak. Ada pula orang melihat kereta sebagai satu objek berenjin membawa kita dari satu point ke point lain. Ada juga yang lihat kereta sebagai kenderaan yang boleh lindungi pengguna dari hujan. Bagaimana pula orang melihat bulan Ramadhan? Bulan yang sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga? Atau lebih dari bulan melatih diri dan aqidah?

Aku tak tahu adakah ini teori sebenar tentang pemikiran manusia, tapi ini kesimpulan yang aku dapat selepas sebulan lebih bertugas dan dua minggu melapor diri secara rasmi. Resam politik dalam pejabat benar-benar membuatkan aku penat. Mana yang patut aku ikut? Mana yang patut tuju?

Itu baru rakan sekerja. Belum lagi permasalahan dengan kawan-kawan.

Ada orang berkongsi pada aku, elok aku berdiri sendiri dengan paksi yang aku sendiri yakini. Sebab pada titik akhir itu, aku akan dipertanggungjawabkan atas semua benda yang aku lakukan. Samada berat atau ringan tanggungjawab itu, aku sendiri yang akan rasa. Sama juga dengan balasan di dunia sana.

Jadi elok kita sama-sama mencari paksi itu dan berdiri sendiri. Cuma jangan kita tersalah paksi.

Tuesday, August 16, 2011

Apa Kata Orang Lama?

Ada orang lama cakap begini:

"Dulu di zaman aku, kami seronok bermain di tali air. Airnya masih bersih, ikannya boleh ditangkap dengan tangan. Bukan macam sekarang."

"Kalau aku dan kawan-kawan aku dulu boleh sudahkan PhD dalam masa 4 tahun, kenapa tak boleh orang-orang sekarang siapkan dalam masa yang sama? Patutnya boleh lebih cepat lagi sebab sekarang dah ada internet."

"Aku ingat lagi dulu bekerja tak macam sekarang. Bosnya baik-baik aja. Sekarang bos orang muda, baru naik dah berlagak. Mintak itu ini. Tak dihormatnya orang berpengalaman macam aku ni."

"Masa aku kecik-kecik dulu, puasa seronok. Tak panas macam sekarang. Sejuk aja. Waktu maghrib rasa hening dan selesa. Sekarang malam pun berpeluh."

Aduhai orang lama. Itu dahulu dan bukan sekarang. Zaman berubah dan cabaran juga bertambah. Kalau dulu orang susah mencari maklumat, sekarang orang sibuk nak mengesahkan ketulenan lambakan maklumat. Kalau dulu orang berkerjaya sibuknya tak seberapa, dek kerana persaingan global orang sekarang sibuknya bagai nak gila. Dulu cuacanya baik-baik aja sebab pencemaran kurang. Sekarang panas sebab asap yang dilepaskan sejak dari zaman orang dahulu terkumpul sampai sekarang. Dulu senang nak cari ikan di tali air, sekarang dah habis dek kerakusan guna tanah.

Orang dahulu, terima kasih kerana berkongsi cerita. Terima kasih kerana tak lokek pengalaman lama. Cuma cabaran berbeza mengikut masa. Perbandingan itu boleh cuma janganlah seperti diperlekeh generasi X dan Y. Ikutkan cerita, susah orang sekarang, panas zaman sekarang, tingginya cabaran zaman sekarang dek kerana orang dulu yang tak begitu menyumbang untuk orang sekarang.

Alhamdulillah, mujur hanya segelintir sahaja orang lama yang sebegitu.

Tuesday, August 9, 2011

Mengajak Diri Sendiri

Hampir 2 bulan aku di tanah air, cuba aku praktikkan apa yang aku belajar dan aku kongsikan dengan orang lain selama ini - penggunaan sumber secara efisien, kitar semula, jaga kebersihan.

Benda asas sebenarnya tapi susah sungguh nak dipraktik. Pengalaman aku, peringkat yang paling susah ialah proses nak mengajak orang sama-sama buat apa yang aku buat. Benda macam ni, kalau tak ada jemaah, lama-lama aku sendiri yang akan hanyut dan mula tinggalkan. Jadi sebab tu aku mengajak orang lain buat sama-sama dengan aku. Setidaknya kalau aku terlupa, orang akan tegur dan ingatkan aku jugak. Yelah, aku pun manusia biasa.

Ok, berbalik ke isu utama. Memang susah nak mengajak orang buat sesuatu. Setiap dari kita akan mentafsir sesuatu itu mengikut pemahaman kita sendiri. Keterbukaan manusia ini pelbagai mengikut kecenderungan yang mereka sendiri perolehi. Kecenderungan ini pulak dipengaruhi oleh bermacam-macam perkara. Ilmu psikologi ini apa yang aku belajar dari tuan Fakir Fikir dulu.

Sebab itu jugaklah, bila aku pesan pada orang untuk jimat guna air, jimat guna elektrik, jaga kebersihan, jangan buang sampah puntung rokok merata-rata, orang akan cakap, tak apa. Tak ada masalah. Sebab akan ada orang bersihkan semulalah, air hujan akan turunlah, ini memang kadar aku berjimatlah, dan macam-macam lagi.

Pada akhirnya bila dikemukakan fakta yang krisis air akan berlaku di Lembah Klang, tarif elektrik meningkat, kawasan pembuangan sampah semakin meluas, jumlah e-waste tak mampu disimpan lagi, barulah orang akan sedar yang selama ini apa yang diamalkannya taklah sebetul mana. Ini jugak tak bermaksud apa yang aku buat selama ni betul Apa yang aku tulis ni mengingatkan diri aku jugak.

Nak menunggu akhirnya itu, kesedaran semua orang sedar tu memang lambat. Jadi untuk mempercepatkan proses pendidikan ni, eloklah aku sendiri memperbetulkan diri aku betul-betul, amalkan betul-betul secara istiqamah (konsisten) apa yang aku nak minta orang ikut. Moga-moga dengan cara ni, orang yang perhati cara aku akan ikut cara aku jugak, mana yang baik.

Kita tak boleh mengubah seseorang. Yang boleh kita buat ialah mengubah diri kita sendiri supaya jadi lebih baik. Moga-moga dengan pengamalan tu, dapat datangkan minat dan kesedaran orang di sekeliling kita untuk mengikut cara kita.

Jadi, untuk aku sendiri, jangan lupa jimatkan guna air dan elektrik. Cuba amalkan kitar semula dan jaga kebersihan.

"Makan ingat orang belakang"

Dalam kemuliaan Ramadhan, dalam kita sibuk menunaikan kewajipan berpuasa dan mengawal pelbagai bentuk nafsu, kita juga diasuh untuk berjimat. Kalau ke bazaar, mesti berjimat. Beli apa yang patut, yang hendak di makan dan boleh di makan sahaja. Jangan berlebih-lebih sebab akan jadi pembaziran. Ada juga didikan berjimat yang melarat hinggakan semasa hendak menyambut Aidilfitri. Beli baju yang harga sederhana. Kalau tahun lepas bajunya masih elok dan cantik, tak salah untuk dipakai lagi... Baguslah. Benda baik mesti dikekalkan dan ditingkatkan lagi pada masa-masa akan datang.

Tapi kekadang kita terlupa berjimat benda-benda yang lebih asas.

Berjimat air dan elektrik. Puas aku tegur beberapa orang, kalau mandi biarlah sekejap-sekejap. Badan dah bersih dah baik sangat. Takkanlah kita nak biar sampai bilik mandi tu banjir baru nak berhenti mandi. Jawabnya dah berbuka boleh mandi lama sikit.

Setengah orang pula, kalau buka TV dan kipas, tak bertutup 24 jam walaupun tak ada orang yang betul-betul menggunakannya. Belum kira lagi yang tak switch off plug point charger handphone. Jawabnya, bulan Ramadhan ni panas, kipas kena selalu pusing. Benda kecil tapi kalau berterusan dan dibiarkan sahaja, impaknya tinggi.

Ada orang menjawab, "Aku bayar bil, ikut aku lah nak guna sebanyak mana. Itu yang aku selesa." Kiranya dia selesa TV dibuka tanpa tutup, kipas beprusing tanpa henti, air paip melimpah-limpah? Ini bukan soal kita mampu menanggung bil atau tidak. Ini soal penjimatan untuk kegunaan masa depan. Kita tahu, tapi kita tak sedar, yang air tawar yang bersih digunakan kita setiap hari itu adalah sumber terhad. Jumlah air tawar di dunia yang boleh igunakan manusia kurang dari hanya kira-kira 3%. Nak tunggu berhujan pun belum tentu air akan masuk ke kawasan tadahan. Air dikitar semula tetapi tidak boleh diguna semula. Air yang bersih selepas rawatan itu gunanya untuk dikumbah ke lautan bagi mengurangkan kadar pencemaran. Elektrik pula, tak sampai 30% pun janaan elektrik di Malaysia hasil dari turbin elektrik, apatah lagi photovoltaic di bumbung-bumbung bangunan. Elektrik yang kita jana dari sumber kitar semula sangat sedikit. Kira-kira 90% yang menampung penggunaan seluruh di Malaysia janaan elektrik adalah dari bahan mentah petroleum.

Itu baru cerita di Malaysia. Belum penggunaan sumber di negara-negara berkapasiti tinggi seperti China, United States, Jepun dan India.

Oleh sebab penggunaan sumber yang tinggi, kita disaran untuk berjimat. Bayangkan, kalau dalam bil yang dihantar ke setiap rumah tu, bagi setiap unit penggunaan elektrik ada juga dikenakan charge untuk generasi akan datang, mesti kita merungut. Kenapa pulak nak kena bayar semua ni. Aku guna untuk diri aku saja. Bukan untuk anak-anak aku (Entah panjang umur atau tidak untuk dapat zuriat). Tapi itulah hakikatnya. Kita meminjam dunia yang sedia ada dari anak-anak kita, dari generasi akan datang. Jadi jangan melampau sangat menggunakannya.

Selalu mak aku mengingatkan aku di meja makan, "Makan lauk tu ingat juga 'orang belakang'." Tak salah kalau diaplikasi dalam hal ni. "Guna air dan elektrik tu, ingat juga 'orang depan'."

Jadi eloklah diamalkan berjimat. Tarbiyyah Ramadhan bukan hanya untuk mengawal nafsu makan dan minum, nafsu melihat keluk badan wanita, nafsu mengumpat dan mengata buruk orang di sebelah kita, nafsu bongkak dan tak sedar diri. Tapi juga medan untuk kita mengawal bagaimana untuk berjimat menggunakan sumber. Ingatlah 'orang depan' sikit.

Tuesday, August 2, 2011

Jangan Mudah Percaya Membabi-buta

Dah lama aku tak post apa-apa, sekali post keluar terlebih pulak dari satu. Huhuhuhu... Bukan apa, sebelum ni aku dalam tempoh berkurung. Bila dah dapat result, baru mampu untuk ke depan semula.

Oklah, sambung apa yang aku nak ceritakan. Minggu lepas aku solat jumaat di salah satu masjid yang terkemuka. Tak boleh aku sebutkan nama di sini. Sensitif. Sementara menunggu masuk waktu, ramai orang berjual beli. Tak lupa ada yang sedang buat promosi produknya - Minyak Magnet Kuat. Apa yang kita boleh dapat dari produk ni, kalau disapu sedikit minyak ni pada bahagian bawah botol air mineral, dan kita minum air tu, tak semena-mena segala penyakit ringan dalam badan akan dinyahkan dan segala macam kekuatan fizikal akan menerjah dalam badan, membantu kerja seharian kita. Ada brader tu tunjukkan bukti dengan bagi orang minum seteguk air dari botol mineral yang dah disapu Minyak Magnet Kuat tu. Siap ada sesi praktikal, dengan brader tu cuba buktikan potential customer dia tu boleh menampung berat badan dia yang sedang jatuh dengan mudah. Belum kira dia tunjuk orang berdiri sebelah kaki macam mana. Semacam live testimoni lah tu.

Punyalah bersungguh brader ni promote produk dia. Orang yang mendengar di keliling aku rasakan lebih dari 30 orang.

Penghujungnya, aku tak tahu berapa ramai yang membeli produk Minyak Magnet Kuat tu.

Entahlah. Bukan aku tak percaya, tapi memang aku susah nak percaya. Takkanlah sekali sapu minyak tu pada botol yang tak ada apa-apa membran untuk meresap minyak, terus boleh zat-zatnya berasimilasi dengan air dalam botol tu. Takkanlah jugak dalam tempoh kurang dari seminit, dah boleh datangkan impak dan kesan pada pengguna. Dari lemah, minum seteguk, tak sampai seminit, sihat dan kuat semula.

Kalaulah semua orang percaya dan terus percaya membabi-buta dengan benda-benda semacam ini, kasihan pada orang yang belajar bertahun-tahun mencari kebenaran keistimewaan pelbagai ciptaan Allah secara ilmiah dan saintifik.

Bang, benda baik takkan datang bergolek senag-senang je bang.

Ramadhan sekarang...

Dah masuk Ramadhan. Bulan yang penuh rahmat.
Malam pertama Ramadhan aku dalam kereta, menyudahkan perjalanan dari Perak Ke Shah Alam. Jadi tarawikh di rumah aje, bila sampai di Shah Alam lebih kurang jam 1025 pm.

Hari pertama Ramadhan, aku berbuka di Masjid Besi (Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin) Putrajaya dengan kawan baik satu jabatan. Terkenang pulak keluarga di Shah Alam. InsyaAllah aku akan curi masa balik ke rumah berbuka dengan family.

Berbeza dengan tahun sudah, aku menyambut Ramadhan dalam suasana panas dan tempoh berpuasa yang lebih panjang. Lebih banyak cabaran. Lebih-lebih lagi bila ke bazaar, itulah ujian untuk berjimat. Kalau di tempat aku belajar dulu, tak ada bazaar untuk aku habiskan wang. Makan apa yang aku masak, apa yang rakan serumah masak. Sekarang ni, ada ayam golek, air tembikai, nasi beriani, nasi ayam, char kuew teow, sup ekor, kepak ayam, gulai kawah, aduhai... macam-macam.

Tapi agama itu tetap sama. Di ceruk mana pun, syariat tarawikh tetap ada dan dituntut sangat untuk dilaksana. Puasa di mana pun, mata tetap kena jaga. Bukan sekadar perut sahaja. Galakan mengaji tak henti-henti. Yang membezakan cuma bagaimana kita menghidupkan norma Ramadhan di dalam hati kita. Jadi jangan henti-henti berusaha berbuat yang baik, jangan putus asa tinggalkan yang jahat.

Di Malaysia

Dah 3 minggu lebih aku di Malaysia. Alhamdulillah, setakat ni semuanya dalam keadaan baik. Minggu pertama aku cukup resah menunggu keputusan Master dan hingga minggu ketiga di sini (minggu lepas lah tu), baru aku beroleh keputusan rasmi. Syukur tak terhingga aku pada Allah, kiranya ni antara hadiah Ramadhan untuk aku.

Dalam tepoh yang seketika ni, banyak benda yang aku amati. Ada yang baik, dan ada yang buruk. Kita cerita perihal baik ajelah buat masa ni. Seronok benar aku bila dengar promosi teknologi hijau dicanag-canang dalam radio. Banyak jugak produk elektrik yang dijual ada highlight branding eco-ideas. Aku kirakan sebagai usaha yang baik untuk membantu mengawal penggunaan sumber melalui pendidikan langsung dan tak langsung.

Dikalangan student pulak, ramai yang dah mula cakap tak perlu print itu ini. Cukup sekadar hantar dokumen menerusi email. Kan jimat. Betullah tu.

Orang sekeliling aku pun, walaupun cuma ada kesedaran umum tapi dah ramai yang tahu istilah pemanasan global. Cuma bila aku ceritakan tentang ecological footprint, masih agak terpinga-pinga. Yang eloknya, orang-orang ni tunjukkan minat untuk tahu dengan lebih lanjut. Bagus!

Kita tak boleh mengubah manusia supaya jadi apa yang kita rasakan patut jadi. Tapi kita boleh berusaha menyampaikan apa yang baik, apa yang kita tahu. Jadi insyaALlah aku akan terus berkongsi cerita dengan sesiapa supaya kita berjimat dan mengoptimumkan penggunaan sumber.

Friday, July 8, 2011

Selamat Tinggal Adelaide

Esok perhimpunan BERSIH di Malaysia. Sedangkan aku pula dalam proses menamatkan langkah peringkat pertama untuk mendapatkan job security.

Banyak suka duka sepanjang aku berada di bumi kangaroo. Dalam semua masalah dan cabaran, ada orang yang menolong dan ada yang aku usahakan sendiri untuk menyelesaikannya. Moga tiap itu jadi pengajaran dan teladan terbaik untuk aku.

Di sini pun aku ada keluarga sendiri. Rakan serumah, jiran, kawan sekampus dan persatuan pelajar itulah keluarga aku. Memang mereka bukan darah daging aku, tapi aku bersyukur, dapat mereka menguatkan semangat aku.

Syukur tak terhingga pada Allah atas semua rahmat dan bantuannya. Terima kasih yang amat aku pada keluarga di sini, maaf kalau ada salah silap aku.

Moga-moga selamat perjalanan aku esok, hinggalah sampai ke akhir hayat. InsyaAllah aku datang lagi ke Adelaide bila ada rezeki.

Thursday, July 7, 2011

Apa Yang Aku Belajar di Adelaide Zoo

Sebab tajuknya ada Zoo, mesti ada antara kau orang rasa aku nak share pengalaman tengok binatang di Adelaide Zoo kan? Alamak, sorry beb. Aku nak share macam mana didikan mak ayah pada anak-anak masa dia orang pusing-pusing melawat zoo.

Ok lah. Siapa yang dah bergelar ibu atau ayah kat sini?

Mesti antara kau orang dah ada, dah plan dan dah terfikir apa corak didikan untuk anak-anak korang kan. Bagus dan tahniah pada mereka yang sangat-sangat bersedia membantu zuriat korang sendiri.

Cara mendidik anak bagi setiap pasangan mestinya berbeza. Parenting styles kekadang dipengaruhi budaya sesebuah keluarga. Ada yang dicorakkan oleh respon anak-anak itu sendiri. Sebagai orang yang belum jadi ayah, aku rasa tak berapa layak untuk aku bincangkan lebih-lebih perihal ni.

Ceritanya macam ni ye.

Ada seorang ibu tu, tak habis-habis bercerita pada dua anak dia (aku rasa umur 6 dan 7 tahun) apa yang kambing gurun buat. Menanduk, melompat, makan. Itu biasa. Yang lebih luar biasa, setiap penceritaan tu mesti bersebab.... "You know why they fighting? Because they want to win and get the female".... "You know why its jumping? Because they want to climb the rocks".... "They eat to keep their energy".... Tak kisahlah apa jawapannya, betul atau salah, yang penting si ibu ni tak bosan bercerita apa yang binatang tu buat, dan tak jemu bagi rasional setiap perbuatan binatang tu yang dilihat dek dua anaknya.

Kes lain. Anak yang aku rasa dua tahun, bila berjalan pun terhuyung-hayang. Tapi tak dipimpin pun oleh mak ayahnya pun. Dibiar je berjalan ikut sesuka hati, nak berlari ke mana pun, nak memanjat apa pun, ikutlah anak tu. Bila anak tu jatuh, dibiarkan bangun sendiri. Kalau menangis, tak pun didukung atau diangkat. Mak ayah cuma datang dekat, cakap sikit suruh bangun, terus bingkas anaknya. Cuma sesekali kalau nampak anak ke tempat bahaya, dicapai jugaklah tangan.

Lagi kes lain. Kalau bukan anak tanya mak ayah, apa, kenapa, mengapa, bila, mesti mak ayah yang tanya anak-anak. Pendek kata, komunikasi tu sentiasa berjalan walaupun tak ada benda menarik mana untuk diulas.

Kes lagi, yang ni aku rasa dah agak kompleks. Dalam explanation mak ayah pada anak-anak, kadang-kadang siap mak ayah cerita dari sudut saintifik. Animal conservation, endangered status, food chain (prey and predator) habis diulas pada anak yang belum ambil subjek sains pun lagi.

Yang ni lagi best. Bila anak-anak tanya, mak ayah explain, anak masih tak faham lagi. Lembut mak ayah membalas yang dia orang pun tak tahu sangat pasal binatang tu. Lepas tu, mak ayah sambung.... "How if we go to education center and ask the zoo keeper.".... "Lets go and read the information at the corner. C'mon."....

Dalam banyak-banyak situasi, jarang-jarang benar aku dengar perkataan "No" atau "Don't".

Sejak dari usia kecil, minat untuk berdiskusi, mencari dan memahami sesuatu dah dipupuk oleh mak ayah pada anak-anak. Kesannya cukup baik bila anak-anak dah besar. Sebab itulah dalam kelas, aku tengok anak orang putih kebanyakannya suka untuk berbincang dan tak ada masalah untuk tegakkan pandangan dia dengan pensyarah secara ilmiah dan tidak emosional. Sedangkan aku, segan silu nak bercerita sedikit perihal tropical rainforest.

Cara ni jugak aku tengok macam berjaya pupuk sikap berani dalam diri anak-anak tu. Berani berdiri sendiri pada anak-anak dan mak ayah pun berani nak lepaskan anak-anak bila dah cukup dewasa untuk merantau cari pengalaman sendiri.

Aku bukan agungkan orang putih, sebab tak ada budaya yang sempurna. Sekadar berkongsi apa yang aku rasakan elok dan jarang aku nampak di tanah air sendiri. Kenapa aku masih belum nampak? Mungkin sebab aku belum bergelar ayah dan kurang memerhati betul-betul.

E-Waste - Handphone

KOSMO hari ni keluarkan berita ada institusi pengajian tinggi ketengahkan cadangan kepada semua pengguna teknologi untuk mula mengamalkan kitar semula dengan handphone.

Elok sangat tu. Benda baik kena sokong baik secara literal mahupun action. Telefon bimbit/handphone salah satu produk e-waste (Lepas ni aku sebutkan EW je. Senang aku nak menaip). EW bukan sahaja dari handphone tapi juga semua produk telekomunikasi, teknologi elektrik itulah EW. Remote control televisyen pun EW. Mouse komputer pun EW. Kabel cerek elektrik pun EW. Banyak sebenarnya EW ni. Berkenaan cadangan recycle handphone, kenapa kena mulakan dengan produk ni?

Oklah, aku mula dengan sikit introduction. Dalam manusia gopoh mengejar kemajuan dan kecanggihan hidup, para saintis mula merekacipta bermacam-macam alatan, device baru. Semua teknologi ni pun bukan sekadar dicipta baru tapi juga berkembang dan berevolusi. Contohnya, telefon bimbit yang dah bermacam-macam model. Evolusi teknologi ni mempengaruhi dan dipengaruhi demand dari pengguna. Pengguna macam kita-kita semua ni, dah ada Nokia 3310, beli pulak Nokia Butterfly. Dah ada iPhone3, cari pulak Samsung Galaxy. Lepas tu beli lagi iPhone4. Tambah lagi macam-macam tawaran khidmat telekomunikasi, menyebabkan orang nak lebih dari satu nombor telefon. Kalau dah ada lebih dari satu nombor telefon, mestilah nak lebih dari satu telefon jugakkan.

Dan umum jugak kita semua maklum yang handphone ni, hayatnya tidaklah selama mana. Dari segi harga, hayatnya cuma sehari selepas terlepas dari pasaran. Hari ni orang beli harga RM200, esok harganya RM110. Jangkamasa kegunaan pulak, paling optimum dengan penggunaan tanpa masalah, puratanya ialah 4 tahun (ni bukan kajian khusus ok. cuma pengalam aku sendiri je). Jadi dalam juta-juta orang di Malaysia yang ada handphone, lepas tamat jangka hayat, bayangkan betapa banyaknya handphone yang tak terpakai. Tu baru kita kirakan yang tamat jangka hayat. Kalau kita dah tak nak pakai sebab beli baru? Lagilah berbukit-bukit handphone ni.

Jangan kita ingat 'plastik gelenya' (loghat Kelantan) aka plastik bungkusan, polisterin dan tali rafia je yang tak boleh dikitar semula. EW macam telefon bimbit pun sama, bahkan lebih serius lagi. Pateri yang menyambungkan komponen-komponen dalam body handphone ni dah sanagt beracun. Belum lagi komponen-komponen handphone tu sendiri.

Kertas, sumbernya adalah pokok. Cara kita mengawal pengeluaran kertas, ialah dengan mengawal penebangan pokok. Bila kita kitar semula kertas, bermakna kita membantu mengurangkan kadar pokok yang ditebang. EW bukan macam kitar semula kertas, yang mana handphone dibuat dari bahan kimia yang direka dari manusia itu sendiri melalui adunan benda yang bukan-bukan lagi bahaya. Jadi, tak ada kekangan yang pengeluaran tak terkawal handphone boleh merosotkan kuantiti sumber alam sekitar. Akibatnya, susahlah nak mengawal jumlah sisa handphone ni. Cara untuk membantu mengurangkan sisa EW macam handphone ialah dengan kitar semula.

Jadi, amalkanlah recycle EW.

Wednesday, July 6, 2011

Kamera Yang Paling Canggih Ambil Gambar Lagi

Siri jalan-jalan aku yang terakhir di bumi kangaroo hari ni tak sejauh mana. Cuma ke Barossa Valley. Daerah winery yang sangat famous di South Australia. Opppsss... aku tak de try test ok wine ok... kalu nak cakap aku tipu pun tak lojik sebab sekarang ni winter, manalah pokok anggur berbuah. Lagipun hujan dan angin bertiup kuat. Tak berani nak keluar lama-lama di jalan.

Apa yang menarik di Barossa Valley? Tak sempat jugak aku nak habiskan jelajah daerah ni sebab kena penuhi jemputan ke rumah kawan sebelah petangnya. Jadi cuma tiga tempat yang aku singgah. Barossa Reservoir, The Herbig Tree Family dan juga The Toy Factory.

Uniknya Barossa Reservoir dengan Whispering Wall. Empangan setinggi 36 meter yang mula dibina sekitar tahun 1800 lebih kurang (tak ingat lah pulak). Setiap tutur kata kita pada satu bahagian hujung empangan ni boleh didengar di hujung yang lain empangan. Aku melawak mungkin ada walkie-talkie dalam dinding empangan. Sebab tu boleh dengar suara kita oleh orang di sebelah sana. Hahaha...



(Cakaplah apa pun di sini, orang di bahagian hujung empangan yang satu lagi boleh dengar apa yang kita kisahkan)



Seterusnya, The Herbig Tree. Alkisah pada kira-kira 550 tahun lalu pokok ni mula tumbuh (Gum Tree). Pada kira-kira 150 tahun lepas, Herbig Family datang ke daerah ni dan tebuk pokok ni, jadikan pokok ni tempat diorang berdiam. Kesimpulan aku dan kawan serumah, Herbig ni pemalas sampaikan nak bina rumah pun malas. Menginap di celah pokok. Huhuhuhu.... Anyway, pokok ni sebenarnya antara tarikan dan tinggalan arborikultur di Australia. Masih hidup sampai sekarang walaupun keadaannya amat 'parah'.



Ok, yang akhir sekali Toy Factory. Tahu tak antara tarikan di Australia ialah benda-benda lot of biggest things in the world. Contoh paling significant ialah The Biggest Rock di Uluru. Lepas tu ada The Biggest Rocking Lobster di Robe dan banyak lagi. Di Toy Factory, Barossa Valley, ada The Biggest Rocking Horse in the World. Patung kuda sebenarnya benda ni. Mendaki tiga tingkat, memang sejuk angin tiup kuat bila aku atasnya.



(Hamba kerdil di bahagian kepala kuda tu - aku)



Habis dah rasanya sesi 'jelajah mini Australia' aku dalam setahun setengah ni, sebelum aku balik ke Malaysia beberapa hari lagi. Tak banyak mana pun tempat aku melawat. Cuma dalam setiap lawatan, bersyukur aku diberi peluang oleh Allah melawat kawasan-kawasan di luar Malaysia. Antara tujuan jelajah mini aku ni, untuk aku dedikasikan kepada orang-orang yang aku sayang dan juga untuk bakal student aku pada masa akan datang. Moga dapat aku kongsikan pengalaman bila aku dah cukup layak dan berjawatan tetap nanti.

Jom Berhimpun???

Entry aku yang lepas cukup pendek. Cuma tiga, empat ayat. Tapi aku rasa dengan itu pun dah ada orang melabel aku berat sebelah pada satu pihak.

Berbaur politik ke entry aku tu? Memanglah. Aku tulis tu pun sebab ada isu politik. Hahaha... Cuma aku menulis dengan niat mengajak berfikir, supaya kita jangan berkiblatkan politik.

Pergilah berhimpun sehebat mana pun. Kumpullah orang seramai mana pun, kalau betul dan sah haq yang dituntut. Dalam kes politik BERSIH tahun 2011 ni, aku tak kata salah, tak juga aku kata betul tindakan yang dibuat penganjur, yang disokong penyokong-penyokongnya. BERSIH, PERKASA atau Patriot, sama sahaja.

Pernah tak orang di luar sana sedar, tak semestinya orang yang menyokong perhimpunan BERSIH tu orang Pakatan Rakyat dan tak semestinya orang yang menentang BERSIH tu dari Barisan Nasional. Kadang-kadang sebaliknya. Kalau kita masih berpaksikan ideologi ni, "Aku lawan BERSIH, aku BN. Kau sokong BERSIH, kau pembangkang", sampai bila pun politik Malaysia matang. Inilah antara yang dimaksudkan berkiblatkan politik. Sebenarnya kita kena nyatakan apa yang kita rasakan betul dan prioriti dengan fakta dan hujah yang tepat. Penilaiannya pula, jangan kita sendiri memberi markah. Angkat bakul sendiri nanti jadinya beb...

Dalam kes entry aku yang lepas, fokus aku, perbezaan orang yang pergi solat jemaah di masjid dan surau, dengan jemaah perhimpunan jalanan. Sekali sahutan, berduyun-duyun penuhkan jalan. Seruan Allah, hanya dua saf. Perbandingan ni, cukuplah aku nyatakan sebagai perbandingan seruan politik dan agama. Kepentingan kita masih pada politik. Bila dikisahkan politik, mana-mana pihak mulalah hujankan hujah agama. Bila bab fardhu ain, aduhai....

Aku yakin, kalau betul aqidah dan urusan ibadat yang wajib, bab lain tak ada masalah. Apatah lagi politik.

Apapun aku tahu yang hasil tulisan aku bukanlah hebat sangat. Tak sehebat mana untuk mempengaruhi pembaca. Aku menulis bukan menunjuk hebat, sekadar berkongsi pendapat dan pengalaman. Kalau ada yang nak betulakn, silakan. Lagipun entah blog aku ni ada pembaca atau pun tidak. Hahaha... Aku tak kisah mana bab tu.

Tuesday, July 5, 2011

Jom Berhimpun!!!

Panggilan ke perhimpunan BERSIH dan penggilan ke masjid-masjid, surau-surau untuk solat jemaah. Mana yang lebih ramai jemaahnya?

Aduh....

Saturday, June 25, 2011

Kamera Yang Paling Canggih

Siapa minat ambil gambar?
Siapa mahir mengambil gambar?
Siapa mahir 'mengedit' gambar?
Tak kisahlah gambar apapun. Gambar majlis kahwin ke, gambar pemandangan ke, gambar makanan, binatang, bintang, bulan mengambang, orang mengandung, lelaki main bola, gambar tingkap rumah, kawasan bersejarah. Apa-apa lah...
Kalau ada yang minat dan mahir atau pun nak memahirkan diri ambil gambar, mesti orang tu akan ada kamera canggih-manggih kan. Kalau jawapan aku salah, tak kisahlah.
Bilamana seseorang tu ke tempat baru atau tempat yang unik, lain dari yang lain, kawasan yang memang dia hajatkan nak pergi, biasanya dia akan rakamkan gambar, video, macam-macam lagi.
Sama jugak dengan aku. Aku kirakan, tempoh hampir setahun setengah tak sebanyak mana tempat menarik yang sempat aku pergi. Cuma untuk setiap tempat yang aku pergi, seboleh-bolehnya aku akan rakamkan gambar. Bukan untuk kenangan sangat pun. Sekadar untuk aku jadikan bahan motivasi untuk adik-adik aku dan modal atau contoh dalam slide pengajaran aku nanti, kalau berkaitan. Selain tu, aku nak kongsikan dengan orang-orang tertentu kawasan yang aku lawati. Tak mampu nak bawa lawat South Australia, aku sediakan gambar pun jadilah.
Eh, balik semula dengan gambar tadi.
Nak tahu, sehebat mana pun kamera yang kau ada, DSLR ke, Sony ke, Panasonic ke, Pensonic ke, apa-apalah... tetap takkan dapat lawan satu kamera paling hebat dalam dunia.

"Mata" dengan memory card dalam otak kita.

Dalam 'sesi jalan-jalan' aku hari ni, cuma kalimah MasyaAllah dan Subhanallah saja yang dapat aku ungkapkan. Biar aku ambil gambar macam mana pun (dengan kamera compact murah aku ni), tetap tak secantik realiti yang aku lihat dengan mata kepala aku sendiri. Kalau aku guna kamera canggih-canggih pun, aku rasa tak sehebat mana gambarnya.

Hebat kuasa ciptaan Allah. Mata dan alam untuk kita nikmati.

Aku kongsikan gambar serba sikit mana yang aku mampu.

Uphill Warrina. Aku tak tahu nak ulas apa, sebab pada aku bald hill di kawasan ni dan sekitarnya terlalu menakjubkan. Macam custom picture dalam Windows XP. Bald hill sebenarnya ada vegetasi dalam susunatur yang telah di scrubb kan, lebih kuranglah. Untuk apa, tujuan farming. Kemudian, jadilah begini.



Uphill Myponga Reservoir. Matlamat sebenar untuk first destination untuk ke Myponga Reservoir tapi menyinggah di sini, dan aku rasa dalam banyak-banyak gambar, aku berkenan yang ini. Kawasan atas bukit, padang ragut dairy cattle. Jenuh aku menunggu bilalah lembu ni nak melepak bawah pokok ni, tapi tak jugak bergerak-gerak lembu-lembu tu. Lastly cuma ambil gambar pokok tunggal. Entah kenapa aku suka ambil gambar macam ni. Banyak erti pada aku. Katakan saja kaitkan dengan bidang pengajian aku, gambar ni macam tunjukkan habitat fragmentation. Pokok tu diibaratkan semacam satu kawasan hijau di tengah bandar (padang ragut). Cuma di situ sajalah tempat persinggahan unggas-unggas sedangkan penghuni bandar (erk, lembu. tapi aku tak maksudkan yang manusia ni lembu) sibuk menghabiskan hasil mahsul di kelilingnya (rumputlah tu). Bila dah bosan, nak merasa kelainan, berehatlah manusia ni di kawasan hijau (urban escapes). Simbolik tak metafora ni? Hehehe...




Uphill Cape Jervis. Disebabkan tak cukup masa, aku cuma sempat ambil gambar ni saja di Cape Jervis. Agak kecewa sebab hajat di hati nak 'mengona' lebih jauh tapi driver sibuk bercerita dan dia pun sedap aje pusing. Kita ikutkan aje lah. Gambar ni, sebenarnya nak dapatkan shot burung bertenggek di pokok. Sedang elok aku menunduk, burung tu pun terbang. Nasib badan, cuma dapat gambar pokok mati. Tapi aku rasa agak unik. Bukan nak angkat bakul sendiri tapi aku berkenan tengok gambar ni.



Rapid Bay. Di sini kawasan popular memancing sotong dan jugak beberapa spesies ikan. Kalau kau berpeluang jengah tempat ni, rasanya macam tak lojik je boleh memancing sebab ombaknya saja cukup kuat, setinggi 1.5 meter puratanya. Itupun kalau bukan waktu ribut. Tempat ni pun sesuai untuk buat firewood camping. Cuma kena tahan sejuk. Anginnya mengalahkan ais.



Nearland Head Conservation Park. Aku kena akui, yang ini adalah pantai paling cantik pernah aku lihat (pada mata kasar akulah. mungkin ada yang lain). Memang cukup cantik. Vegetasi bushes yang ada lebih dari 3 tona warna hijau memang memikat mata memandang, warna kayu mati, tona biru laut yang berlapis-lapis dengan warna putih ombak, ditambah dengan warna pasir dan jugak warna klasik biru langit yang disilau metahari petang, cukup memukau. Yang aku agak dukacitakan, aku tak dapat kongsikan deruan angin, ombak, kicau burung, bunyian serangga dan jugak bau-bauan yang ada di sini.

Friday, June 24, 2011

Hampir Selesai Satu Perkara

Alhamdulillah, aku dah dapat surat makluman dari JPA, dengan e-Ticket untuk balik ke Malaysia.

Fuwaaaa..!!! Seronoknya...!!!

Baru aku tahu bagaimana perasaan gembira kawan-kawan aku bila dapat tiket balik Malaysia.

Apapun, gembira aku tak boleh berlebih. Aku masih dalam 'proses temuduga' sebelum dapat kerja tetap. Lama sungguh temuduga aku ni. Kalau aku kirakan, rasanya mungkin 6 tahun. Menamatkan pengajian di peringkat ini cuma satu dari beratus langkah yang akan mendatang. Dan langkah-langkah yang akan datang jauh lebih mencabar dan berliku.

Cuma kadang-kadang datang juga rasa sedih dan hiba, dah nak tinggalkan Adelaide.

Masa yang berbaki sebelum Julai ini, aku akan habiskan dengan melihat sekeliling aku.

Thursday, June 23, 2011

Elak Ambil Sumber Haram

Sejak kebelakangan ni, macam-macam berita di akhbar tempatan keluar nyatakan tentang produk tu haram, produk ni haram, makanan ni haram, makanan ni ada DNA babi. Banyak sungguh.

Salah seorang kawan aku pernah cakap, "Kalaulah betul, lagi bahaya Malaysia dari negara asing macam Australia ni."

Tak tahulah betul atau tidak.

Kawan saya berseloroh, tabung uji yang digunakan untuk 'mengetest' makanan haram atau tidak, ada DNA babi atau tidak, diguna pakai yang sama sahaja tak bertukar-tukar. Hahaha... seloroh saja.

Apa kata, printkan semua senarai additive yang boleh dimakan, simpan dalam wallet. Bila nak membeli, tengok kandungannya. Kalau sah ada additive yang haram, jangan beli. Dengan cara ni, kita tak bergantung pada persepsi. Kesian orang meniaga.

Apapun, terima kasih kepada mereka yang mula-mula mewar-warkan apa-apa berita tentang produk haram. Setidak-tidak orang akan berjaga-jaga.

Cuba Sendiri

Masih ingat Ecological Footprint? Cuba semak semula di sini kalau sudi.

Ecological Footprint istilah pertama yang saya belajar di sini. Dulu saya tak didedahkan dengan perkara ni. Jadi bila berpeluang, suka benarlah. Kawan saya yang ada PhD pun ada yang kurang tahu berkenaan perkara ini. Jadi bersyukur benar aku diberi peluang oleh Allah belajar tentang ini.

Reflek atas pembelajaran tu, saya rasa sedikit sebanyak saya dah mula aware atas setiap benda yang dibuat, semua benda yang digunakan. Bab perubahan tingkahlaku (behaviour), erm.... masih belum sampai ke tahap itu. Cuma sedikit sahaja yang mampu diperbaiki. Berharap sangat dan akan berusaha mengubah cara hidup dengan lebih sihat untuk kepetingan anak-anak sendiri juga nanti.

Tak semua feedback yang saya dapat positif berkenaan Ecological Footprint. Saya ingat lagi, rakan PhD dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan matematik tak habis-habis memandang rendah tentang hal ni. Katanya orang putih terlalu exxagerate perihal kehabisan sumber. Kononnya untuk memperbodohkan orang Asia dari negara membangun macam saya. Agak tercabar dan rasa sakit hati. Tapi akhirnya bila ingat semula yang tidak semua orang faham dan boleh terima perkara yang bukan dalam minatnya. Semacam jugak diri saya sendiri, yang memandang kejuruteraan bukanlah sebagai ketaksuban. Kawan saya, ya. Sebab itu bidang pengajiannya, bidang kepakarannya.

Sudahlah dulu. Apa kata cuba sendiri Footprint Calculator. Dari situ kita boleh tahu bagaimana perkaitan cara hidup kita dengan sumber asli yang kita gunakan, dan impaknya kepada alam sekitar. Klik sini.

Moga-moga semua kita pun belajar sesuatu dari hal ni.

Tuesday, June 21, 2011

PTPTN, Ucaplah Terima Kasih

"Dah baca Berita Harian hari ni, berita tentang PTPTN?

Dalam artikel tu, kenyataan yang disiarkan cuma ketengahkan PTPTN cuma menerima kurang separuh dari jumlah 5 juta yang dianggarkan sepatutnya diterima setakat ni (Lebih kuranglah. Tak ingat aku).

Bahagian bawah pulak, disebut tentang pendekatan sekat pemberian pinjaman kepada pelajar yang dapat PNGK bawah dari 2.0.

Sepanjang artikel tu, tak ada pula penghargaan atau terima kasih kepada peminjam yang membuat pembayaran samaada mengikut jadual ataupun mengikut kemampuan. Langsung tak ada. Kasihan pada peminjam yang berusaha sedaya upaya, buat sehabis baik menjelaskan pinjaman.

Kalau teliti habis kebanyakan artikel berkenaan PTPTN dalam mana-mana saluran, jarang sangatlah (aku langsung tak pernah dengar/terbaca) akan ada sebut "Terima kasih kepada peminjam yang menjelaskan bayaran." Yang selalu diungkit-ungkit ialah "PTPTN dah sediakan pinjaman. Pelajar kena langsaikan semula."

Tak tahu media terlepas pandang nak ketengahkan penghargaan PTPTN atau agensi tu sendiri memang tak menghargai usaha peminjam.

PTPTN, ingat dan sedarlah. Bukan semua orang sengaja mengelak membayar pinjaman. Bukan semua orang mampu bayar pinjaman ikut kadar cekik darah yang ditetapkan dengan keadaan ekonomi sekarang, dengan peluang pekerjaan yang semakin suntuk. Kami sedar kami berhutang dan kami tak nak tanggung dosa. Kami nak jelaskan hutang tu. Kami usaha bayar ikut jadual. Kalau tak mampu, kami kurang kan sedikit dalam sebulan tapi kami tak pernah mengelak nak membayar pinjaman.

PTPTN ingat tak, kadang-kadang pelajar dah hantar borang permohonan penangguhan pembayaran (sebab lanjutkan pengajian dari diploma ke ijazah) sebulan awal dari tarikh tutup tapi langsung tak diproses? Lepas berbulan-bulan, pelajar dapat surat saman dari lawyer konon tak mohon penangguhan.

PTPTN pernah tak ambil tahu, dengan jumlah kutipan sekarang, peminjam yang membayarnya kekadang tak ada waktu hujung minggu sebab kerja part-time hanya untuk seratus dua bayar pinjaman? Kami terpaksa lupakan impian nak mula kumpul aset sebab slip gaji mesti ada reserve untuk bayar hutang. Kami pun berkorban untuk bayar hutang.

Hargailah usaha kami (peminjam yang menjelaskan hutang). Janganlah asyik hal busuk saja yang disebut-sebut, figure tak cukup saja yang diungkit-ungkit. Macamlah kami semua dari kami ni teruk sangat. Tak salah dalam angka juta-juta tu disebut sikit pasal kami. Lagi elok adakan satu alternatif tambahan yang boleh memotivasikan dan menarik minat peminjam untuk bayar hutang. Kadang-kadang, jangan asyik menakut-nakutkan peminjam."

*Ulasan semula dari luahan hati peminjam yang tak jelak menjelaskan hutang PTPTN.

Monday, June 20, 2011

Makluman dari PTPTN

*Untuk peminjam PTPTN dan mereka yang berkaitan.


Assalamualaikum,

Tuan/Puan,

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

Sukacita dimaklumkan bahawa PTPTN akan bersiaran secara langsung di Malaysia Hari Ini (TV3) pada 21 Jun 2011 (Selasa) jam 8.00 pagi.

Panel PTPTN yang terlibat adalah YB Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said, Pengerusi PTPTN dan Cik Mastura Binti Mohd Khalid, Timbalan Pengurus Kanan (Bahagian Akaun).

Temubual secara langsung selama 12 minit ini adalah untuk memberikan informasi berkaitan UJRAH 1%.

Sehubungan itu, tuan/puan amat dialu-alukan untuk mewarwarkan kepada saudara mara, rakan taulan terutamanya peminjam PTPTN agar menyaksikan temubual secara langsung ini bagi mendapatkan informasi yang jelas dan tepat berkaitan UJRAH.

Sekian, untuk makluman semua warga PTPTN.

Terima kasih.

Rina binti Abd Rahman
Bahagian Korporat dan Dasar
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

Karikatur Minta Maaf

Aku ingat dulu heboh orang bersorak dan marah TV3 sebab siarkan iklan hari raya ala krismas. AKu pun tak berapa ingat iklannya. Tapi lebih kurang macam tu lah.

TV3 dah tarik balik iklan tu dan dah buat permohonan maaf secara terbuka.

Dalam hal karikatur akhbar Utusan yang hebat ditempelak kerana mempermainkan agama Allah, kenapa tidak meminta maaf saja. Kalau diselesaikan, minta maaf terus kan senang.

Tak tahu apa tujuan sebenar pelukis @ orang yang melemparkan idea untuk minta diterbitkan karikatur yang semacam tu. Tapi akhirnya, tak kisah kalu di sebelah pembangkang atau kerajaan, kalau buat salah, buat benda yang sebabkan orang tak suka, eloklah minta maaf.

Kan senang.

Jangan bertuhankan politik beb.

Wednesday, June 15, 2011

Fantasi Drama

Rupanya ada penyakit baru di Malaysia. Aku baru tahu. Wabak Nur Kasih diganti dengan Nora Elena rupanya. Hahaha...

Dah jadi fenomena, novel-novel diterjemah dalam bentuk drama bersiri. Jangan pandang ringan kesan wabak drama bersiri macam ni. Semua orang melayan, sampaikan ada yang tak tidur malam. Kawan serumah aku pun baru-baru ni tengok Nur Kasih di You Tube sampai menangis. Hahaha.. Tak apa. Aku tak salahkan dia menangis pun.

Bila aku pulang ke Malaysia, mungkin aku sempat melihat dengan mata kepala sendiri kesan wabak ni. Sedangkan tiap kali aku menelefon orang Malaysia pun kerap benar disebutnya pasal drama ni.

Biarlah drama apa pun. Setiap yang orang siarkan tu, mesti ada iktibar yang boleh kita teladani dan jadikan sempadan. Cuma kita jangan terlalu berfantasi, dengan menantikan hero/heroin seperti itu muncul di depan mata.

Sisa-sisa masa aku di sini, aku nak amati setiap apa yang lain di sini, dan tak ada di Malaysia. Bukan untuk aku fantasikan bila balik nanti. Tapi akan aku terjemahkan dalam bentuk lain, untuk aku jadikan simpulan pelbagai bagi bakal anak-anak murid aku nanti.

*Kalau drama bersiri tajuk lelaki macam 'Ahmad Nisfu', agak-agak laku tak untuk orang tonton?

Sunday, June 12, 2011

Mengapa Aku Kurang Menonton Perlawanan Bola Sepak Tempatan?

Semalam perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Terengganu. Tahniah buat Terengganu. Aku kira perlawanan semalam sangat menarik. Mujur rumah sewa kami ada akses internet dengan kuota yang agak banyak. Mujur juga rakan serumah ada kemahiran mencari akses untuk menonton. Kalau harapkan aku yang hampir buta IT, memang kempunanlah nak menonton siaran langsung semacam itu.

Seingat aku, perlawanan bola tempatan yang aku tonton cuma perlawanan akhir sahaja. Perlawanan liga dan mana-mana pusingan yang bukan perlawanan akhir, sekadar ambil tahu sahaja tetapi tidak pula aku menontonnya. Cenderung aku lebih pada bola sepak Eropah. Alamak, tidak patriotik aku bab ini.

Biar aku ceritakan sedikit mengapa.

Word of Mouth (WOM). Istilah ini orang definasikan sebagai publisiti tidak berbayar. Pernah kau lihat papan tanda di kedai-kedai kopi - "Sedap bagitahu kawan, tak sedap bagitahu kami". Ungkapan pertama itulah WOM, tapi itu dalam aspek positif. WOM boleh juga datang dalam bentuk negatif. WOM sangat berkesan mempengaruhi persepsi orang ramai hinggakan mengubah tindakannya. Teori ini pula orang katakan Theory of Planned Behaviour.

Aku mendengar banyak WOM yang negatif tentang bola sepak tempatan dari orang ramai. Bukan sekali dua tetapi terlalu banyak kali. Ada yang mencemuh dan merendah-rendahkan kualiti bola sepak tempatan. Lagi-lagi di Malaysia, kiblat pemikiran semua orang hampir semuanya dipengaruhi politik. Lagilah menyebabkan aku kurang minat menonton perlawanan bola sepak tempatan.

Itu WOM dari orang awam. Lain dari itu adalah WOM tentang bola sepak luar negara. Iklan-iklan yang terpampang di dada akhbar, laman web yang tak habis-habis menceritakan tentang kehebatan sukan bola Eropah, perbualan dengan kawan-kawan tentang bola sepak, kedai-kedai mamak yang dinamakan dengan 'Stamford Bridge', 'Old Trafford', itu semua WOM yang positif, yang juga menggalakkan minat terhadap bola sepak Eropah, memencilkan bola sepak tempatan.

Faktor ini mempengaruhi conditioning,atau kelaziman aku terhadap sukan. Sebab itu hanya perlawanan akhir sukan bola sepak tempatan sahaja yang boleh menarik minat aku.

Mungkin kompleks. Aku cuma bercerita perihal ini dari sudut yang lain.

*Menyampah dan meluat pada kelompok penyokong yang selalu merusuh dan melontar mercun, walaupun aku punya darah dari negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia itu.

Saturday, June 11, 2011

Kalau Sejuk aku Menyorok dalam Selimut

Malam ini suhu serendah 4 celcius. Sejukkah dengan suhu ini?

Apa sangatlah sejuk di Adelaide kalau dibandingkan dengan sejuk di negara bersalji. Di sana lebih sejuk.

Tak seteruk mana. Cuma setiap kali aku menghembus nafas, kabut terhambur keluar dari mulut. Kekadang terasa sakit sendi. Nak menggerakkan jari untuk menaip pun jadi amat susah. Sejuk macam ini cuma menyebabkan aku tak mampu buat apa-apa.

Sebenarnya, dahsyatnya sejuk. Aku cuma menonton final Terengganu dan Kelantan dari dalam selimut.

Menulis pada Hari Cuti

Hari cuti sama saja bagi aku. Setiap hari adalah hari cuti dan setiap hari juga adalah hari bekerja. Setiap kali sebelum aku tidur dan selepas bangun pagi mestinya akan terdetik, macam mana dengan kerja penulisan aku. Ini lumrah ahli akademik. Kerja bukannya dari 8 pagi hingga 5 petang. Kerjanya setiap masa. Kalaupun kami berbual, kepala otak ligat memikirkan bagaimana nak meneruskan perenggan berikutnya.

Di peringkat master, ujian aku tidaklah sehebat PhD. Tapi setidak-tidaknya aku tahu beberapa persoalan penulisan. Bagaimana chapter seterusnya hendak diolah. Bagaimana penulisan aku mampu memuaskan hati penyelia. Macam-macam lagi.

Menulis blog juga mungkin nampak mudah. Nyatakan saja apa yang kau rasa. Luahkan saja isi hati yang terbuku. Tapi sebenarnya menulis dengan baik tidak mudah.

Menulis ini boleh mempengaruhi orang. Sebab itu menulis perlu dengan iman, ilmu, adab dan etika. Kalau menulis cuma dengan suka hati ia boleh datangkan hasil yang tidak baik. Orang akan megikut idealogi yang kita lemparkan. Sebab itu menulis itu bukannya mudah.

*Hasil tulisan aku bukanlah menarik pembaca sangat. Jauh lagi dari mempengaruhi orang.

Friday, June 10, 2011

Makan Apa yang Aku Masak

Hampir setahun setengah aku tak tahu berapa kali telah aku memasak. Memasak bukan untuk aku sahaja tapi juga untuk rakan serumah. Kalau makanan berlauk daging atau ayam, paprik, goreng kunyit, sup, tom yam, masak halia, masak madu dan black pepper antara yang mampu aku sediakan.

Telur dadar? Boleh. Kalau aku hidangkan mesti telurnya tak pecah. Latihan membalik telur di atas kuali berjaya aku lepasi. Lagi, telur sambal dan telur kicap.

Kalau nak yang bukan berlauk insyaAllah aku cuba sediakan nasi goreng, nasi ayam, nasi minyak. Boleh kalau aku nak tambah bubur ayam?

Baru aku tahu, susahnya memasak. Walaupun dalam seminggu giliran aku mungkin cuma datang dua kali, sudah cukup buat aku pening memikirkan apa juadah yang boleh aku sediakan. Baru aku tahu, susahnya menjadi ibu dan isteri. Setiap hari paling kurang dua kali memikirkan apa resipi yang sesuai. Pusingan resepi mesti sesuai untuk memikat selera suami dan anak-anak. Sudahlah pula kena sediakan juadah yang berkhasiat. Mana boleh makanan biasa-biasa.

Jadi para lelaki jangan merungut kalau sesekali ibu memasak terkena sesuatu yang kurang pada selera kau. Lagi pula, jangan membezakan air tangan isteri dan juga ibu. Sebab susahnya memasak. Hargai apa yang dihidangkan di depan mata.

Cukuplah aku memasak apa yang aku mampu. Jadi kalau kau datang ke rumah aku, makan apa yang aku masak. Jangan meminta lebih. Sebab susahnya memasak.

*Jangan lupa baca Bismillah sebelum makan, dan Alhamdulillah selepas makan.

Salah Poliskah?

Aku kongsikan dua situasi.

1) Seorang pemuda ditangkap mencuri di kampung. Apalagi, orang kampung yang teruslah mengambil kesempatan menyampaikan bentuk 'pengajaran' mengikut cara mereka sendiri walaupun tidak punya autoriti. Habis lebam-lebam badan si pencuri.

Mengapa orang kampung berani bertindak sendiri? Kerana mereka dah 'membuktikan' yang pemuda itu bersalah mencuri. Tak perlu tunggu mahkamah.

Orang kampung yang terlibat memberi 'pengajaran' pada pemuda itu, paling teruk ditahan semalaman di lokap untuk disoal siasat. Esoknya dilepaskan. Keluarga pemuda yang mencuri dan dibelasah tak mampu berkata apa-apa atas tindakan orang kampung yang jadi penyebab anaknya lebam satu badan dan terbaring seminggu di katil hospital. Bersuara lebih, disalahkan kembali katanya tak tahu mendidik anak.

2) Polis menembak mati seorang pemuda dari satu sindiket yang telah disiasat sekian lama. Punca berlakunya tembak apabila si pemuda dan ahli sindiketnya cuba melarikan diri, dan bertindak liar terhadap polis. Polis punya autoriti.

Esoknya heboh dalam akhbar, keluarga mangsa menuntut polis memberi penjelasan mengapa anaknya ditembak mati sedangkan belum dibuktikan bersalah. Datang pula sokongan orang ramai menyalahkan polis, mengapa tak ditembak kaki atau tangan? Mengapa dibunuh si pemuda ahli sindiket? Siasatan dan tindak balas polis cuba menangani jenayah memakan diri. Polis pula disiasat, dan berkemungkinan disaman di mahkamah.

Orang yang punya autoriti dan tak punya autoriti, kedua-duanya tak boleh bertindak suka hati. Aku berikan contoh minta kita fikirkan sama-sama, di mana rasional kita. Orang kampung mungkin betul, dan polis mungkin juga salah. Tapi tak bermakna tindakan orang kampung boleh diterima, dan tindakan polis itu tidak betul.

Aku pelik. Asal polis bertindak dan ada kes kematian, titik hitamnya jatuh pada polis. Salah masyarakat atau salah polis hinggakan kepercayaan busuk ini terpalit begitu sekali?

*Yang pasti salah adalah orang yang buat salah. Jangan lari dari isu pokok.

Negara Kebajikan

Mari bicara politik sekejap.

Sibuk di Malaysia selepas Muktamar PAS mengetengahkan usul negara kebajikan.

Negara Islam dan Negara Kebajikan, banyak diulas oleh ahli-ahli politik ini yang sebenarnya adalah saling bersangkut paut. Negara Kebajikan ada disebut dalam alQuran, dan macam-macam lagi.

Aku tak mahu ulas tentang makna negara kebajikan, pendekatan dalam alQuran dan kerajaan mana yang lebih mengamalkan corak negara kebajikan. Sebab aku bukan orang alim yang mampu menterjemah Kalam suci Allah.

Yang lebih menjadi perhatian pada aku, perubahan pada PAS. Hanya selepas berpakat dengan PKR dan DAP, terus sahaja PAS menukar rentak dan meninggalkan tema asal yang selama ini diperjuangkan.

Pada aku ada dua kemungkinan.

1) PAS akhirnya tahu bahawa hendak memerintah negara, rentak mesti diubah. Perubahan ini aku lihat dari sudut positif. Mengorbankan tema tapi tidak mengorbankan prinsip asal yang ada dalam PAS. Pasti politik itu sudah celik tentang strategi yang perlu dalam dunia berpakat.


2) PAS dah mula hilang arah. Kali ni aku lihat dari sudut negatif. Dek kerana terdorong hendak mengalahkan kerajaan masakini, pendekatan yang berimpak luar biasa dan mampu menarik lebih ramai pengundi termasuk yang bukan Islam mesti diketengahkan.

Bukan aku bermaksud pendekatan Negara Islam tidak mampu membuahkan hasil. Tapi mungkin parti politik itu sedar language or term barrier menyekat kemampuan mereka meraih lebih undi.

Mana satu yang benar, ini cuma andaian aku. Mungkin ada andaian lain yang jauh lebih bernas dan tepat.

Jawapan akhirnya tetap sama. Aku tak nampak pun potensi keadaan negara lebih stabil. Pendidikan tersekat, pengagihan kekayaan tak sama rata, masalah sosial menggunung juga.

*Soalan: Apa tanda-tanda ahli politik itu sedang menipu?
Jawapan: Apabila dia membuka mulut.

Wednesday, June 8, 2011

Teknologi Hijau

Usaha mempromosi Teknologi Hijau.

Artikel ini disiarkan di akhbar mStar Online. Ia mencirikan secara umum isu carbon emission dan juga green technology selaras dengan sasaran menjapai negara maju di abad ke 21.

Teknologi hijau (green technology) adalah satu inovasi yang tidaklah baharu. Ia diperkenalkan apabila kesedaran mengenai tahap pencemaran alam, penipisan ozon, kemerosotan sumber semakin berleluasa lama dahulu di Eropah. Ekoran dari kesedaran ini, wujudlah teknologi hijau.

Teknologi hijau perlu seiring dengan pembangunan. Katakan sesebuah negara akan membangunkan rangkaian jalanraya bawah tanah di seluruh negaranya. Bukan sekadar kejuruteraan hebat yang membina underground road network yang kukuh, pembangunan ini juga perlu mengambil kira aspek pemuliharaan sumber air bawah tanah, pergerakan hidupan liar, gangguan bunyi bising pada perilaku binatang, dan kesan kadar pelepasan sisa kimia di dalam tanah. Banyak lagi.

Katakan pula sebuah syarikat pemaju hendak membangunkan sebuah bangunan yang mampu memuatkan populasi 1/3 penghuni Melaka. Dimana hendak dicari pembeli? Persoalan yang berlegar di kalangan pembeli seperti kos operasi yang terlalu besar, kos penyelenggaraan dan lain-lain kos berterusan. Jadi syarikat pemaju perlu menerapkan teknologi hijau seperti cermin janakuasa elektrik, bahan pembinaan tahan lasak dan mesra alam, sistem pembentungan dan pengudaraan efisien dan lain-lain lagi.

Contoh lain, kawasan perumahan di masa kini ada yang dimuatkan dengan sistem pembentungan air secara berkesan. Penapisan sisa ampai bermula sejak kawasan perumahan. Lebih asas, sistem pengairan di kawasan perumahan ada kemampuan menakung air hujan untuk dijadikan sumber pengairan kawasan awam seperti taman rekreasi.

Teknologi hijau menekankan penggunaan sumber asli secara efektif, optimum, dengan kadar penjimatan sebaik mungkin. Ia juga diinovasikan sebagai alternatif untuk mengurangkan tekanan terhadap alam sekitar. Semua ini sebagai jaminan untuk anak cucu kita, generasi akan datang. Sebagai penghuni masa kini yang meminjam harta alam dari anak-anak kita, kita tak mampu menjamin keadaan yang sesempurna seperti mana di zaman kita. Tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha.

Penggunaan teknologi hijau datang dengan kos yang tinggi. Kerana ia masih tidak diterima secara menyeluruh. Ini antara sebab ia kurang mendapat perhatian dari banyak pihak.

Artikel di mStar Online ini sangat bernas. Elok dibanyakkan lagi artikel seumpama ini, dan dipelbagaikan lagi promosi teknologi hijau untuk meningkatkan kesedaran orang awam. Kalau kita punya teknologi yang bukan kepalang hebatnya, tak guna juga kalau tak ada orang yang berminat nak gunakannya dek kerana kurangnya kesedaran.

Tuesday, June 7, 2011

Lelaki Boleh Tengok Drama Melayu Sampai Menangis?

Selalunya lelaki tak sinonim dengan drama Melayu. Kalau lelaki tonton drama Melayu, tak jantan namanya. Lelaki padan dengan rancangan tembak menembak, sepak terajang, tumbuk menumbuk sampai darah memancut-mancut, lumba kereta, meletup-letup, penyiasat persendirian dan yang sama dengannya.

Kalau lelaki menonton drama melayu tambah-tambah yang jenama cinta-cinta ni, aduhai memang jadi bahan ketawa. Apatah lagi kalau drama bersiri. Sanggup kau berkejar dan menunggu depan TV, cancelkan plan main bowling dengan kawan semata-mata nak tonton drama Melayu? Common lah.

Pada aku, tak kisah pun. Boleh je kalau kau nak lelaki dan nak tengok drama Melayu yang penuh dengan babak-babak cinta. Pandangan pertama yang aku gambarkan itu tipikal.

Semua cerita itu ada mesejnya. kalau hari ini kau penuhkan jadual tontonan dengan siri meletup-letup, tapi tak ada penghayatan, apa gunanya. Sebab tu aku pun pernah teman mak aku bila dia nak tengok cerekarama. Sebab aku rasa ada mesejnya.

Elok lagi cerita yang ditonton tu mampu memberi kesan pada jiwa kita. Kalau babaknya menyebabkan marah, biarlah kita jadi marah dan geram dengan lemahnya si hero. Kalau babaknya sedih dan syahdu, biarlah kita pun sayu sebab hero terpaksa berkorban untuk heroin.

Yang perlu ditekankan ni bukanlah obsesi kita dengan sesuatu cerita. Biar aku highlightkan, keutamaan pada aku adalah macam mana kita menghayati sesuatu episod dan melatih diri kita supaya menjiwai sesuatu keadaan.

Di dunia nyata, kenyataan jauh lebih pedih dan perit. Jadi mungkin jugak ini boleh dijadikan latihan.

Mungkin pendapat aku ni salah, tapi aku rasa ada betulnya jugak. Sebab tu aku tak salahkan kawan serumah aku menangis bila dia menonton siri drama Melayu. Cuma seronok sikitlah bile menyakat dia. Hehehe....

*Kita menangis tak bila baca @ tengok @ diceritakan kisah kesusahan Rasullullah saw?

Friday, June 3, 2011

Taman Sebenarnya Penyeimbang

Negara yang punya taman awam yang baik', dapat menarik pelancong. Bahkan diiktiraf oleh NGO besar seperti National Geographic. Klik sini.

Kalau nak tahu juga, rumah yang ada laman, kawwasan perumahan yang punya taman permainan di sudut kejiranannya punya harga yang jauh lebih mahal berbanding rumah-rumah biasa.

Dah terbukti kan, peranan taman kepada ekonomi.

Semasa saya berkunjung ke Queens Park di Perth, harga makanan dan cenderamatanya mahal berbanding dengan produk yang sama di luar kawasan taman. Pernah ke Taman Warisan, Putrajaya? Saya rasa harga makanan di sana lebih sedikit casnya berbanding biasa. Tak tahulah kerana ia di lokasi taman atau memang kerana taraf hidupnya lebih tinggi berbanding di kawasan lain.

Begitulah serba sedikit, gambaran umum bagaimana peranan taman dalam membentuk faktor social, economy dan enironment.

Sebenarnya taman itu (pengkhususan saya di sini taman-taman awam) lebih menjurus kepada faktor environment. Ia menyeimbangkan dominasi economy dan social dengan memenuhi keperluan faktor yang awal tadi. Banyak lagi medium environment yang boleh dijadikan asas untuk menyeimbangkan economy dan social seperti green corridor, graveyard, street trees, rooftop garden, dan front/backyard garden.

Sokongan orang awam ke atas kawasan-kawasan seperti ini perlu dikekalkan dan ditingkat. Kerana kehendak ekonomi sentiasa tinggi, amatlah ditakuti kesihatan alam akan terganggu. Aku dan kita semua tak nak tinggalkan keadaan alam yang tidak sihat kepada anak-anak kita semua.

Kalaupun kita mempunyai kawasan taman yang luas berbanding kawasan bandar tapi tidak terjaga dan sentiasa menjadi model negatif kepada orang awam. Kawasan seperti ini mesti dikekalkan kualiti dan kuantitinya. Selalulah menyokong usaha mengekalkan kawasan hijau secara waras tanpa tujuan hendakkan manfaat tersembunyi.

Suka aku nak kongsikan perihal River Torrens Linear Park. Taman di Adelaide ini direka khas selari dengan Torrens River dari kawasan kaki bukit (Adelaide Hill) hingga ke pantai (Henley Beach). Jaraknya memang jauh. Terletak diantara kawasan perumahan, taman ini juga menjadi laluan O-Bahn Bus dan hub beberapa perhentian bas. Memudahkan pengguna. Laluannya yang menyambung terus ke Central Business District menggalakkan orang awam pergi kerja dengan menaiki basikal ataupun pengangkutan awam - gaya hidup sihat. Terdapat banyak point section pada setiap jarak tertentu di sepanjang Linear Park ini, yang dilengkapi BBQ Kitchen, taman permainan kanak-kanak dan meja serta kerusi. Dari segi ekologi, aku lihat taman ini menjadi zon penampan yang sangat baik untuk sungai yang selari dengannya. Aku sukakan Linear Park kerana ia sangat-sangat praktikal. Orang awam punya akses yang sangat mudah dengan taman ini.

Moga-moga ada usaha untuk diadakan taman sepraktikal ini di Malaysia satu hari nanti.

Rujukan: National Geographic 2011

Pusingan Alam di Taman

Siapa pernah tonton siri animasi "The Bee's Life". Kartun ni ceritakan macam mana lebah berhenti mengutip dan membuat madu kerana mereka dah bosan dikhianati manusia. Alamak, banyak pula aku nak kena jelaskan. Elok aja lah aku ceritakan, oleh sebab lebah berhenti mengutip madu dari bunga-bunga, proses pendebungaan tak berlaku. Central Park di New York mati, sampaikan bunga-bunga di kedai pun tak menguntum.

Itu misalannya aja.

Dalam taman, ada banyak pusingan alam yang berlaku. Bunga-bunga yang mekar menguntum bekalkan manisan kepada lebah. Setiap hinggapan lebah pada semua kuntuman bunga membantu proses pendebungaan. Barulah pokok bunga tu boleh terus kekal berbunga pada masa-masa akan datang. Jadi jangan sekali-kali bunuh lebah. Kalau tak ada lebah, bunga dan buah tak akan ada. Lepas itu, pokok pun sedikit demi sedikit akan berkurangan. Rama-rama pun makin berkurangan.

"Tapi lebah ni bahaya. Kalau dah banyak sangat, nanti kita kene sengat". Ini respon tipikal pelawat Taman Awam lembah Kiara bila aku bualkan tentang lebah.

Jangan risau. Bukankah ada burung yang memakan serangga. Burung-burung ni boleh mengawal populasi lebah mengikut sistem yang dah Allah tetapkan. Bayangkan taman yang tiada bunga, lebah, rama-rama, burung.. alahai, tak seronoknya.

"Semut bahaya jugak kalau kita terpijak sarangnya. Habis satu koloni naik badan dan digigitnya kita. Kalau ada sisa makanan atas tanah tu, habis dihurungnya. Geli tengok. Elok dihapuskan semua semut ni di taman-taman."

Semut ni membina porosity yang baik untuk tanahlah. Kalau tanah terlalu padat dan tiada rongga, susah untuk akar pokok-pokok kecil nak menembusi tanah. Lagipun, eloklah semut hurung sisa makanan. Dia akan habiskan dan tak tinggal sisa makanan tu. Jadi tak adalah kotoran tertinggal. Semut pun makanan untuk burung. Itu fungsi asas semut. Banyak lagi fungsinya macam simbiosis. Aku cuma ceritakan secara asas saja, sebab nak tunjukkan keperkaitan dengan kemampanan.

Banyak lagi haiwan dalam taman. Labah-labah, kelawar, tupai, ular, cicak, katak, cacing, ulat daun, siput babi, kumbang, monyet, ikan dan kura-kura.

Ini lagi keunikan environment pada taman yang mendorong kemampanan.

Mereka yang ada anak, kalau ke taman ceritakan dan contohkan kelebihan pusingan alam yang ada di situ.